Tuesday 2 January 2024

KARSINOGEN (AGEN PENYEBAB KANSER)

 


Seperti yang telah saya sebutkan di dalam tulisan terdahulu, kanser disebabkan oleh kelainan ataupun mutasi gen/baka yang mengawal fungsi pembiakan sel. Faktor ataupun agen yang menyebabkan kerosakan ini dinamakan karsinogen. Sebahagian kecil mutasi gen boleh diturunkan kepada generasi seterusnya. Walau bagaimanapun, majoriti kes mutasi ini adalah disebabkan oleh pendedahan kepada faktor-faktor luar yang wujud dalam alam sekitar. 

Faktor-faktor luar tersebut dibahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu:

1. Faktor gaya hidup seperti makanan (makanan yang diproses, daging merah), penggunaan tembakau, aktiviti fizikal seperti berjemur di bawah sinaran matahari meningkatkan risiko kanser kulit akibat dari sinar UV, kurang aktiviti fizikal dan lain-lain.

2. Faktor yang wujud secara semulajadi seperti sinaran ultraungu, gas radon, jangkitan virus serta bakteria. Aflatoksin yang dihasilkan oleh kulat terdapat pada kekacang. Gas radon dari bahan radioaktif yang ujud secara semulajadi juga boleh sampai kepada manusia.

3. Pendedahan kepada faktor-faktor di tempat kerja seperti asbestos, formaldehyde, benzene dan lain2.

4. Pendedahan kepada faktor-faktor yang wujud di rumah seperti chloroform yang terkandung di dalam air minuman, talc di dalam bedak, formaldehyde, agen-agen karsinogen di dalam produk kosmetik, sabun, syampu, pencuci dan lain-lain.

5. Pencemaran air, udara (contoh Benzene, arsenik, esbestos, logam berat, gas radon dan lain2)

6. Lain-lain.  Dalam keadaan yang sangat jarang berlaku, kanser kedua boleh wujud akibat rawatan hormon dan antikanser (sebahagian ubat sititoksik dan radioterapi) pada dos yang tinggi ataupun rawatan yang berulang2 tanpa penyeliaan serta pemantauan yang rapi. Individu yang mengalami kelemahan sistem  pertahanan badan juga lebih mudah tewas kepada karsinogen berbanding dengan individu yang mempunyai sistem pertahanan/imun yang baik.

Ahli sains mengenal bahan-bahan karsinogen melalui kajian ke atas haiwan dan juga lapisan sel di dalam makmal. Manakala karsinogen juga dikenal pasti melalui kajian epidemiologi ke atas manusia dan mengaitkan kanser tertentu dengan penyebabnya berdasarkan kepada kadar kejadian kanser dan kaitannya dengan pendedahan kepada bahan-bahan tertentu di tempat kerja ataupun penempatan mereka. Inilah asas yang digunakan oleh IARC untuk membuat pengklasan karsinogen yang lebih sistematik yang dikenali sebagai IARC Monograph.

International Agency for Research on Cancer (IARC) adalah badan di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang bertanggungjawab di dalam banyak polisi dan kajian yang berkaitan dengan kanser. IARC telah kategorikan karsinogen kepada 5 kumpulan berdasarkan kepada kekuatan bukti yang ejen2 tersebut dikaitkan dengan kanser:

Kumpulan 1 : Carcinogenic to humans

Kumpulan 2A : Probably carcinogenic to humans

Kumpulan 2B : Possibly carcinogenic to humans

Kumpulan 3 : Unclassifiable as to carcinogenicity in  human

Kumpulan 4 : Probably not carcinogenic to humans

Kebanyakan ejen-ejen yang diuji tergolong di dalam kumpulan 2, 3 dan 4. Hanya lebih kurang 120 ejen sahaja yang dikategorikan di dalam kumpulan 1. 

Jumlah ejen yang dinilai setakat ini adalah 1,067 dan bilangannya bertambah dari semasa ke semasa. Di samping itu, ada juga perubahan dari segi kedudukan di dalam kumpulan. Terdapat ejen yang diturunkan dan ada yang dinaikkan.

KUMPULAN DAN CONTOH KARSINOGEN


Kumpulan 1: Carcinogenic to humans

Trichloroethylene, Alflatoxins, Alkohol, Aluminium production, 4-Aminobiphenyl, Areca nut, Arsenic, Asbestos, Auramine, Benzene, Formaldehyde, High Risk HPV, Helicobacter pylori, Hepatitis B, Hepatitis C, HIV, Tobacco smoking, UV light etc

Jumlah : 128 ejen

Kumpulan 2A : Probably carcinogenic to humans

Acrylamide, Androgenic steroid, Adriamycin, Azacitidine, Chloramphenicol, Captafol, Biomass fuel (primarily wood), Malathion, Red meat, Trichloroethylene etc

Jumlah : 95 ejen

Kumpulan 2B : Possibly carcinogenic to humans

Acrylonitrile, Aloe vera (whole leaf extract), para-Aminoazobenzene, Amsacrine, Anhraquinone, Aramite, Carbazole etc

Jumlah: 323 ejen

Kumpulan 3 : Unclassifiable as to carcinogenicity in human 

Acrylic acid, Agaritine, Benzopyrene, Bisulfites, Bromoform, Cafeine,Captan, Xylenes,Vinyl toluene  etc

Jumlah: 500 ejen

Kumpulan 4 : Probably not carcinogenic to humans 

Cuma ada 1 ejen yang disenaraikan. Kumpulan 4 telah diabaikan semenjak tahun 2019.

Ejen di dalam kumpulan 1 dianggap mempunyai bukti yang paling kukuh kaitannya dengan kanser. Manakala, kumpulan 2A bukti keatas manusia masih terhad dan hanya dikesan ke atas haiwan di dalam makmal. Manakala dalam kumpulan 2B pula, bukti ke atas manusia belum ada, manakala bukti terhadap haiwan masih terhad. Semakin bawah kedudukan kumpulan ini semakin lemah bukti yang ada. Perlu diingatkan yang susunan kumpulan2 ini bukan berdasarkan kepada tahap risiko  untuk mendapat sesuatu kanser (" risk of developing cancer") tetapi berdasarkan kepada kekuatan bukti ("levels of evidences") tentang kaitannya dengan kanser. 

Kategori karsinogen yang dikeluarkan oleh IARC ini walaupun digunakan dengan meluas, ianya tidak terkecuali daripada kritikan kerana ada yang berpendapat bahawa senarai ini kadangkala mengelirukan. Ada juga yang mengkritik bahawa IARC tidak mengambil kira kuantiti/dos serta tempoh masa pendedahan. Senarai ini hanyalah sebagai panduan dan boleh berubah apabila maklumat lanjut diperolehi dari masa ke semasa apabila ada bukti baru.

Kalau merujuk kepada keseluruhan ejen karsinogen  di dalam monograf IARC ini, bolehlah disimpulkan yang setiap manusia tidak mungkin dapat menghindarkan diri dari terdedah kepadanya. Walau bagaimanapun, proses kejadian kanser sangat kompleks dan proses ini berjalan hanya apabila pendedahan itu berlaku ke atas dos yang tinggi untuk jangka masa panjang. Tambahan pula, selain dari kumpulan 1, hubungan ejen2 dalam kumpulan 2 dan 3 masih belum konklusif. Faktor dalaman dan gayahidup seseorang juga mempengaruhi proses-proses tersebut. Walaupun terdedah kepada karsinogen, manusia boleh mengurangkan risiko menghidap kanser melalui pelbagai kaedah pencegahan yang akan diterangkan di dalam tulisan akan datang.

Dato' Dr Rushdan Noor

3hb Disember 2023


Rujukan:

 https://monographs.iarc.who.int/agents-classified-by-the-iarc/


https://www.iarc.who.int/

No comments:

Post a Comment