Sunday 28 January 2024

KANSER DAN "TUMOUR MARKERS"

Salah satu ciri-ciri kanser adalah kemampuannya untuk membiak dengan cepat. Setiap sel adalah seperti kilang yang berkemampuan untuk menghasilkan produk-produk tertentu yang kebanyakannya adalah protein. Jika sel tersebut bertukar menjadi kanser dan membiak dengan cepat, protein-protein ini juga akan dihasilkan dengan banyak. Ada juga produk-produk ini di dalam bentuk hormon dan ada yang diperbuat daripada makronutrien yang lain. 

Perkataan tumour merujuk kepada ketumbuhan dan marker bermaksud petunjuk. Tumour markers adalah bahan yang dihasilkan oleh sel-sel kanser dalam kuantiti yang lebih banyak daripada sel-sel yang normal. Bahan-bahan ini kebanyakannya adalah protein. Kebelakangan ini ahli sains mendapati bukan sahaja protein yang boleh berperanan sebagai ”tumour markers” tetapi juga reseptor hormon, corak ekpresi gen dan kelainan molekul DNA yang terdapat di dalam sel kanser. Sehingga hari ini terdapat lebih daripada 30 jenis tumour markers.

Disebabkan pengetahuan yang masih terhad tentang sifat banyak jenis kanser, tidak semua kanser mempunyai tumour markers. Berkemungkinan ianya belum lagi ditemui. Di samping itu, belum ada lagi satu tumour markers yang spesifik untuk satu jenis kanser sebaliknya satu tumour markers boleh dihasilkan oleh lebih daripada satu jenis kanser.Terdapat juga pesakit yang mempunyai kanser yang sama tetapi jenis tumour markers yang berbeza. Jenis tumour markers yang dihasilkan akan diketahui apabila ujian darah dan lain-lain cecair badan dilakukan sebelum rawatan kanser diberikan. 

Tumour marker boleh diukur di dalam sampel darah, air kencing, cecair badan dan juga tisu kanser yang diambil. Kuantiti tumour marker akan menentukan berapa banyak ataupun besarnya kanser yang wujud di dalam badan seseorang pesakit. Jadi tumour markers boleh digunakan untuk membantu mengesan kanser, memantau rawatan yang diberikan dan mengesan kanser yang berulang. 

FUNGSI TUMOUR MARKERS

1. Tumour markers boleh digunakan sebagai ujian saringan mengesan kanser bersama dengan ujian2 lain. Ia boleh juga digunakan untuk membuat ramalan samada ketumbuhan yang dialami itu masih di peringkat bukan kanser, prakanser ataupun kanser. Ini boleh membantu pakar melakukan intervensi untuk mencegah kanser.

2. Tumour markers tidak boleh mengesahkan penyakit kanser tetapi ia boleh membantu bersama2 dengan ujian lain untuk mengesan kanser. Penyakit kanser disahkan melalui ujian biopsi dan pemeriksaan makmal oleh pakar patologi. 

3. Tumour marker juga kadangkala boleh menjadi petunjuk kepada tahap keganasan dan juga risiko sesuatu kanser.Tumour markers selalunya diukur sebelum rawatan dan semasa rawatan susulan dijalankan sehinggalah pesakit sembuh sepenuhnya. Jadi ia digunakan untuk memantau keberkesanan rawatan dan perkembangan penyakit kanser selepas rawatan. 

4. Kandungan tumour markers boleh juga dijadikan petunjuk untuk meramal sejauh mana berkesannya rawatan yang akan diberikan dan apakah keberangkalian pesakit akan mengalami kanser berulang ataupun pesakit akan sembuh selepas rawatan.

Walaupun tumour marker adalah salah satu ujian yang penting untuk dijalankan, ianya belum mencukupi untuk memantau pesakit jika digunakan secara bersendirian. Pesakit perlu diperiksa dan menjalani ujian-ujian lain termasuk ujian pengimejan seperti Ultrasound, CT scan, MRI ataupun PET scan.

PESAKIT PERLU TAHU TENTANG TUMOUR MARKERS MEREKA

Setiap pesakit perlu mengetahui adakah kanser mereka mempunyai tumour markers dan jika ada, mereka perlu mengetahui nilai kandungannya semasa rawatan susulan. Bertanyalah kepada pakar ataupun doktor yang merawat tentang kandungan tumour marker. 

TUMOUR MARKERS TIDAK SPESIFIK

Perlu diingat bahawa tumour markers ini juga dihasilkan oleh sel-sel yang normal dan penyakit-penyakit lain yang bukan kanser, jadi jangan panik apabila kandungannya tinggi. Contohnya CA125 yang sering-kali tinggi kandungannya di dalam darah pesakit kanser ovari, tetapi ia juga boleh meningkat dalam darah seorang wanita yang hamil, wanita yang sedang datang haid dan mengalami penyakit endometriosis (bukan kanser). Dapatkan nasihat pakar kanser dan jangan membuat keputusan sendiri untuk melakukan ujian tumour markers.

CONTOH TUMOUR MARKERS

Kaedah penilaian tumour markers adalah lebih tepat jika ianya dinilai berdasarkan kepada trend iaitu corak penurunan atau peningkatan yang diperolehi melalui beberapa siri ujian yang dilakukan. Satu bacaan sahaja kurang membantu. Pakar kanser akan menentukan jarak masa antara satu ujian dengan ujian yang seterusnya. Ianya tidak boleh dilakukan terlalu kerap ataupun jarak masa yang terlalu panjang.

Berikut adalah sebahagian daripada tumour markers dan juga kanser-kanser yang menghasilkannya (rujuk juga imej di bawah):

1. CA125 (Kanser ovari).

2. CA19-9 (Kanser pankreas, kanser pundi hempedu, kanser perut, sebahagian kanser ovari).

3. CEA (Kanser usus besar).

4. AFP (Kanser hati, kanser ovari jenis germ cell, kanser kelenjar testis).

5. Beta HCG (Koriokarsinoma dan kanser sel germa).

6. Thyroglobulin (Kanser tiroid).

7. HE4 (Kanser ovari).

8. Lactate dehydrogenase (limfoma, leukemia, melanoma dan lain-lain).

9. Prostate-specific antigen (PCA) (Kanser prostat).

10. BRCA 1 dan 2 gene mutation (Kanser payudara, kanser ovari)

11. Neuron-specific enolase (Kanser paru-paru, neuroblastoma)

12. CA15-3/CA27.29 (Kanser payudara)

13. Beta-2-microglobulin (Multiple myeloma, chronic lymphocytic leukemia, limfoma)

14. Chromosomes 3,7,17, 9p21 (Kanser pundi kencing)

15. Oetrogen/Progesterone receptor (Kanser payudara, kanser endometrium)

16. HER2/neu gene amplification (kanser payudara, kanser perut)

KELEMAHAN/LIMITASI TUMOUR MARKERS

Terdapat beberapa kelemahan tumour markers, di antaranya adalah:

1. Terdapat kanser yang tidak diketahui ataupun tidak mempunyai tumour markers

2. Setengah tumour markers hanya dapat dikesan di dalam darah apabila sel2 kanser sudah cukup banyak. Maksudnya, tumour marker jenis ini tidak dapat membantu mengesan kanser di peringkat yang sangat awal.

3. Seperti yang telah dinyatakan, tumour marker tidak spesifik kerana terdapat keadaan2 lain yang boleh meningkatkan kandungannya di dalam darah.

4. Terdapat keadaan di mana kandungan tumour markers ini naik turun tanpa dapat diketahui puncanya.

5. Ketepatan ujian tumour markers berbeza2 dan kadangkala bergantung juga kepada teknik dan makmal yang melakukannya. Ralat boleh berlaku semasa makmal mengukur kandungan tumour markers. Ujian tambahan mumgkin perlu dilakukan untuk menentukan punca ralat ataupun nilai yang tidak menggambarkan keadaan sebenar. Apabila tumour markers dikesan meningkat sedangkan pesakit masih kekal sihat ianya dikenali sebagai "false positive". Manakala "false negative" adalah nilai yang normal tetapi hakikatnya kanser sedang aktif.


PESANAN UNTUK PESAKIT KANSER

Pesakit kanser yang bijak adalah pesakit yang mengambil tahu perkembangan diri mereka dan mengambil initiatif untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang penyakit kanser yang mereka hidapi. Saya seringkali bertemu dengan pesakit yang tidak tahu banyak perkara tentang penyakit dan rawatan yang telah mereka lalui sehingga mereka tidak mampu  membuat keputusan untuk diri mereka sendiri. Tumour marker adalah salah satu pengetahuan yang perlu dimiliki oleh pesakit kanser. Ujian tumour markers dilakukan secara bersiri dalam jarakmasa tertentu kerana pakar kanser ingin melihat trendnya, jadi satu bacaan  tidak memadai. Jangan panik dan terlalu risau jika satu bacaan sahaja meningkat, dengar penjelasan dan nasihat pakar kanser. Patuhi nasihat pakar kanser untuk melakukan ujian tumour markers.


Dato' Dr Rushdan Noor

28hb Jan 2023

No comments:

Post a Comment