Thursday 7 December 2023

BENARKAH ADA BUAH, DAUN, AKAR, BIJI DAN MAKANAN ANTI-KANSER ?

 


Bagi seorang pakar kanser, perkataan anti-kanser selalunya merujuk kepada kaedah rawatan yang boleh mematikan sel kanser dan merawat kanser. Jika kita mengunakan perkataan UBAT ANTI-KANSER, maka ianya merujuk kepada kemoterapi, terapi hormon dan terapi “targeted” yang diberikan kepada pesakit untuk tujuan merawat kanser. Maka istilah BUAH, DAUN, BIJI, AKAR dan JUS ataupun MAKANAN ANTI-KANSER adalah istilah yang kabur dan boleh mengelirukan. Penyalahgunaan istilah ini telah menyebabkan ramai pesakit kanser menganggap memakan buah, meminum jus dan mengamalkan makanan tertentu boleh merawat kanser, mencegah kanser berulang dan menggantikan ubat anti-kanser.
Pada pandangan pakar kanser, memakan buah, mengambil makanan tertentu dan meminum jus TIDAK BOLEH merawat kanser meskipun terdapat ahli sains yang menemui adanya sebatian kimia ataupun bahan aktif yang boleh mematikan sel kanser di dalam buah ataupun tumbuhan tersebut.
Sebatian kimia yang boleh membunuh sel-sel kanser sebenarnya terdapat di mana-mana, hatta mungkin di dalam udara yang kita sedut ini pun ada bahan-bahan kimia yang jika diambil, diproses dan disuntikkan kepada lapisan sel kanser boleh mematikannya (udara mengandungi nitrogen dan methane, kompoun yang mengandungi nitrogen dan methane mempunyai ciri-ciri anti-kanser). Malahan jika dibuat kajian ke atas semua buah-buahan dan tumbuh2an di mukabumi ini, berkemungkinan besar ahli sains akan menemui adanya bahan-bahan aktif yang boleh mematikan sel kanser.
Walau bagaimanapun, UJUDNYA BAHAN ANTI-KANSER DI DALAM BUAH2AN DAN TUMBUH2AN BUKANLAH BERMAKNA KANSER DAPAT DIRAWAT DENGAN MEMAKAN BUAH2AN ATAUPUN MANA-MANA BAHAGIAN TUMBUH2AN BERKENAAN. Ini adalah kerana di dalam tumbuhan dan buah-buahan itu terkandung pelbagai sebatian kimia yang lain yang boleh berinteraksi sesama sendiri dan boleh memberi kesan yang bertentangan. Sebatian kimia yang dikesan memiliki ciri-ciri anti-kanser tersebut perlu diekstrak ataupun dikeluarkan daripada sumber asalnya dan ditulinkan sebelum dapat memberi kesan. Kuantitinya dan kaedah pemberiannya pula perlu ditentukan terlebih dahulu.
Saya berikan contoh buah DURIAN BELANDA yang didakwa sebagai anti-kanser. Sebenarnya di dalam buah durian belanda terdapat seribu satu jenis bahan-bahan kimia. Ahli sains menemui bahan kimia yang dinamakan CIS-ANNONACIN yang terkandung di dalam BIJI buah durian belanda. Ahli sains mengeluarkan cis-annonacin ini dan kemudian menentukan kuantitinya sebelum disuntik kepada lapisan sel-sel kanser di dalam makmal. Lapisan sel-sel kanser ini pula adalah sel-sel kanser usus besar dan kemudian dibandingkan dengan ubat anti-kanser yang dikenali sebagai Adriamycin. Ringkasnya, kajian ini hanya di peringkat KAJIAN PRA-KLINIKAL, menggunakan EKSTRAK CIS-ANNONACIN daripada BIJI buah dan kajian ini pula hanya melibatkan LAPISAN SEL KANSER USUS BESAR di dalam MAKMAL. Tambahan pula, belum ada kajian klinikal yang besar ke atas manusia.
Terdapat lebih 150 jenis kanser yang dihidapi oleh manusia dan kebanyakannya memerlukan kaedah rawatan yang berbeza dengan regimen ubat anti-kanser yang berbeza. Hanya dengan kajian praklinikal yang saya sebutkan di atas, nama buah durian belanda telah melonjak serata tempat sehingga ujudnya “pakar-pakar kanser segera” seluruh dunia, boleh merawat semua jenis kanser. Masyarakat kita terus melabel buah durian belanda dan jus durian belanda sebagai anti-kanser. Maka ramai yang terpengaruh termasuk dalam kalangan doktor-doktor sendiri mempromosikan buah dan jus durian belanda untuk mencegah dan mengubati kanser.
Durian belanda, belalai gajah, daun rerama, keladi tikus dan ganja adalah beberapa contoh daripada senarai yang panjang buah2an dan tumbuh2an yang dilabelkan dengan perkataan anti-kanser, dan masyarakat menjadi keliru berulang-ulang kali. Modus operandi pihak yang mendakwa adalah sama sahaja, selepas tamat kajian praklinikal, hasil kajian makmal ini diwar-warkan di dalam media seolah2 sudah ditemui ubat anti-kanser terkini paling berkesan dan kemudian kajian ini akan terhenti di situ untuk selama2nya. Pada waktu yang sama, peniaga yang “bijak” tidak akan melepaskan peluang ini untuk menghasilkan produk mereka sendiri dan menggunakan label anti-kanser bagi melariskan jualan. Fenomena ini berlaku berulang-ulang kali sehingga munculnya berpuluh2 jenis buah, sayuran dan makanan anti-kanser. Kemudian muncul pula rencana-rencana dan buku-buku yang menerangkan tentang buah2an dan makanan anti-kanser yang kononnya memberi panduan yang berkesan untuk mencegah dan merawat kanser secara semulajadi.
Pada pandangan peribadi saya, penggunaan perkataan anti-kanser yang dilabelkan kepada buah2an, tumbuh2an dan makanan sebenarnya akan lebih mengelirukan masyarakat terutamanya pesakit-pesakit kanser yang sedang berjuang melawan kanser. Kembalilah kepada pakar di dalam rawatan kanser untuk mendapat maklumat yang tepat dan kaedah rawatan yang lebih baik. Mengamalkan makan buah-buahan dan sayuran (apa2 sahaja jenis buah dan sayuran yang selamat dimakan) adalah sangat baik untuk kesihatan dan mengurangkan berat badan, ini MUNGKIN mempunyai kesan tidak langsung mengurangkan risiko penyakit-penyakit yang dikaitkan dengan makanan dan kegemukan.
Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
19 hb Feb 2018

No comments:

Post a Comment