Sebelum kita bercakap tentang oxidized LDL, kita perlu faham satu perkara penting. Oxidized LDL bukanlah entiti yang terpisah daripada LDL. Ia ialah LDL yang telah mengalami pengoksidaan (akibat radikal bebas) selepas memasuki dinding salur darah. Oleh itu, dakwaan bahawa "yang penting bukan LDL tetapi oxidized LDL" adalah kenyataan yang tidak lengkap dan boleh mengelirukan.
Memang benar oxidized LDL memainkan peranan utama dalam pembentukan plak aterosklerosis. LDL yang teroksida mencetuskan keradangan, menarik sel imun, membentuk foam cells dan akhirnya menghasilkan plak yang menyempitkan salur darah. Namun, persoalan yang perlu ditanya ialah: dari mana datangnya oxidized LDL? Jawapannya ialah daripada LDL biasa.
Semakin tinggi paras LDL dalam darah, semakin banyak zarah LDL yang berpeluang memasuki dinding arteri dan mengalami pengoksidaan. Dengan kata lain, jika kita mengurangkan jumlah LDL, kita juga mengurangkan "bahan mentah" yang boleh bertukar menjadi oxidized LDL.
Inilah sebabnya mengapa garis panduan kardiologi di seluruh dunia masih menekankan kawalan LDL-C, non-HDL-C dan ApoB sebagai sasaran rawatan. Ujian oxidized LDL belum digunakan secara meluas dalam amalan klinikal kerana kaedah pengukurannya belum distandardkan, harga yang lebih mahal dan tiada sasaran rawatan yang dipersetujui. Sebaliknya, bukti bahawa penurunan LDL mengurangkan risiko serangan jantung dan strok adalah sangat kukuh dan konsisten.
Kesimpulannya, oxidized LDL sememangnya penting, tetapi ia bukan alasan untuk mengabaikan LDL. Kedua-duanya saling berkait. Mengatakan LDL tidak penting kerana yang menyebabkan penyakit ialah oxidized LDL adalah ibarat mengatakan kayu api tidak penting kerana yang membakar rumah ialah api. Hakikatnya, tanpa kayu api, api tidak akan terus marak. Begitu juga dalam aterosklerosis—mengurangkan LDL tetap merupakan salah satu strategi paling berkesan untuk mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.
Dato' Dr.Rushdan Noor
22hb Julai 2026

No comments:
Post a Comment