Di sekolah, anak-anak kita belajar daripada guru pelbagai kaum. Di hospital, kita dirawat oleh doktor dan jururawat tanpa mengira bangsa. Di kedai makan, pasar raya atau bengkel kereta, kita berjual beli dan saling membantu setiap hari. Hakikatnya, dalam sebuah negara seperti Malaysia, kita semua saling memerlukan.
Tetapi peliknya, apabila tiba musim pilihan raya, ada pula yang cuba meyakinkan kita bahawa kaum atau agama lain ialah ancaman.
Sentimen dimainkan, ketakutan ditimbulkan dan rakyat dihasut supaya saling mencurigai. Sedangkan semalam kita masih minum semeja, bekerja sebumbung dan hidup berjiran.
Politik seperti ini tidak membawa kita ke mana-mana. Mungkin ada yang mendapat undi, tetapi negara yang menanggung akibatnya.
Kepercayaan antara rakyat semakin terhakis, hubungan menjadi renggang dan masyarakat semakin berpecah.
Dalam demokrasi, tidak salah berbeza pendapat. Kita bebas memilih parti yang kita sokong. Tetapi biarlah persaingan itu berdasarkan idea, dasar, kejujuran dan kemampuan mentadbir, bukannya dengan menakut-nakutkan rakyat menggunakan isu kaum dan agama.
Akhirnya, kuasa berada di tangan kita sebagai pengundi. Jika kita benar-benar sayangkan Malaysia, jangan beri ganjaran kepada ahli politik yang membina sokongan dengan menyemai kebencian.
Pilihlah mereka yang berusaha menyatukan rakyat, bukannya memecah-belahkan masyarakat.
Kerana selepas selesai mengundi, kita tetap akan kembali hidup bersama. Kita tetap berjiran, bekerja bersama, berniaga bersama dan membina masa depan negara yang sama.
MENANG ATAU KALAH SESEBUAH PARTI HANYA UNTUK BEBERAPA TAHUN. TETAPI PERPADUAN RAKYAT DAN KESTABILAN NEGARA ADALAH WARISAN YANG MESTI KITA PELIHARA UNTUK ANAK CUCU KITA.
Dato' Dr.Rushdan Noor
25hb Julai 2026

No comments:
Post a Comment