Ada pihak yang mempertahankan aktiviti berkonvoi di jalan raya dengan alasan, "Berkonvoi tidak salah. Yang salah ialah peserta yang tidak mematuhi peraturan. Berkonvoi pun ada manfaat, dinyatakan beberapa manfaat...".
Dalam konteks sikap pengguna, penguatkuasaan undang2 dan keadaan sistem jalanraya kita, saya kurang setuju dengan pendapat ini walaupun ada hujah yang munasabah. Ini pendapat saya...
Keselamatan bukan hanya bergantung kepada sikap manusia, tetapi juga kepada kesesuaian tempat dan sistem jalanraya.
Kita tidak bermain bola di lebuh raya walaupun semua pemain berjanji akan mengikut peraturan dan diawasi oleh pengadil yang cekap. Kita juga tidak membenarkan perlumbaan basikal di jalan yang sesak semata-mata kerana pesertanya berdisiplin. Tempat yang tidak sesuai tetap mendedahkan risiko yang tinggi.
Lebih penting, risiko itu bukan hanya kepada peserta, tetapi turut melibatkan pengguna jalan raya yang lain. Bukan sekadar risiko cedera, tetapi juga cacat dan mati.
Begitu juga dengan konvoi motosikal. Jalan raya kita bukan dibina khusus untuk konvoi motosikal yang besar. Ia dikongsi dengan lori, bas, kereta dan pelbagai pengguna lain. Apabila puluhan atau ratusan motosikal bergerak sebagai satu kumpulan, satu kesilapan kecil sahaja sudah cukup mencetuskan kesan berantai yang meragut banyak nyawa.
Dalam keselamatan jalan raya, kita tidak boleh bergantung kepada harapan bahawa semua orang akan sentiasa memandu atau menunggang dengan sempurna. Manusia tetap melakukan kesilapan.
Sebab itu, langkah yang paling berkesan bukan sekadar mengingatkan peserta supaya berhati-hati, tetapi mengelakkan aktiviti berisiko tinggi daripada dilakukan dalam persekitaran yang memang tidak direka untuknya.
Kadang-kadang, keputusan yang paling bijak bukanlah mencari cara untuk mengurangkan risiko, tetapi memilih untuk tidak mengambil risiko itu sejak awal.
Catatan: Tulisan di atas tidak merangkumi konvoi kenderaan resmi yang dipantau pergerakannya oleh pihak berkuasa.
DDrRN
13hb Julai 2026

No comments:
Post a Comment