Thursday, 29 October 2026

APABILA KESETIAAN MENGATASI KEWARASAN

 

Seperti yang saya pernah tulis, bersikap non-partisan bukan bermaksud menganggap politik itu tidak penting, tetapi ia memberi peluang kepada kita untuk membuka minda dengan lebih luas. 

Bila terikat dengan mana-mana parti, banyak pertimbangan dan penilaian yang kita buat akan menjadi terbatas. Biarlah mereka yang menjadikan politik sebagai kerjaya dan sumber pendapatan mengemudi parti masing-masing. Kita sebagai rakyat biasa, kekal menjadi pemerhati dan memilih mana yang lebih baik.

Kita sudah cukup lama memerhatikan perjalanan parti-parti politik negara dan semua orang maklum bahawa tidak ada satu pun yang sempurna. Mereka juga tidak mempunyai musuh dan kawan yang sentiasa setia. Prinsip dan pendirian boleh berubah mengikut keadaan, begitu juga dengan cara mereka menjustifikasikan sesuatu tindakan.

Cuma satu perkara yang saya nampak sangat membimbangkan ialah apabila tertanam sikap taksub kepada mana-mana parti atau perjuangan. Garis antara kebenaran dan kebatilan mula menjadi kabur. Tidak hairanlah apabila orang yang cerdik pandai dan pintar boleh bertukar menjadi sebaliknya apabila sudah terlalu taksub kepada parti dan pemimpin.

Sebelum mereka bersama parti politik, kita kagum dengan keilmuan dan kewibawaan mereka dalam bidang kepakaran masing-masing. Tetapi apabila sudah masuk ke gelanggang politik, mereka kelihatan berbeza. Adakah politik yang mengubah mereka ataupun politik yang membuka tirai karakter sebenar mereka? Saya rasa kedua-duanya, tetapi pengaruh yang pertama itu mungkin lebih kuat.

Pada saya, kualiti pemimpin dan penyokong di bawah merupakan refleksi kepada kualiti kepimpinan di atas. Apa yang paling penting ialah ideologi dan akhlak yang dimiliki oleh pemimpin. 

Sesebuah parti politik boleh menyerupai sebuah kultus apabila ideologi perjuangannya menuntut kepatuhan mutlak kepada pemimpin sehingga pemimpin itu seolah-olah mempunyai kedudukan yang tidak boleh dipersoalkan. Apabila sampai ke tahap itu, pemikiran kritis mula mati, kesalahan pemimpin dianggap benar dan teguran pula dilihat sebagai pengkhianatan. Akhirnya, kesetiaan kepada pemimpin mengatasi kesetiaan kepada prinsip dan kebenaran.

Dalam hal ini, kita perlu sentiasa ingat bahawa Islam sendiri tidak mengajar kita supaya mengikut seseorang secara membuta tuli. Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat 8, mengingatkan kita supaya berlaku adil dan jangan sekali-kali kebencian terhadap sesuatu kaum mendorong kita berlaku tidak adil. Prinsip ini sangat besar maknanya dalam politik. Jangan kerana terlalu sayangkan parti, kita menutup mata terhadap kesalahannya. Jangan pula kerana terlalu membenci parti lawan, kita menolak kebenaran yang datang daripada mereka.

Akhirnya, parti politik hanyalah wadah dan pemimpin hanyalah manusia biasa. Kedua-duanya bukan agama yang perlu dipertahankan tanpa soal. Kita boleh menyokong sesuatu perjuangan tanpa perlu menjadi pengikut yang taksub. Kita boleh mengakui kebaikan pihak lawan tanpa perlu merasa bersalah dan kita juga boleh mengkritik parti sendiri apabila melakukan kesilapan. Bagi saya, itulah kematangan berpolitik. 

Jangan sampai kerana terlalu setia kepada parti, kita hilang kesetiaan kepada kebenaran. Jangan sampai kerana mahu mempertahankan pemimpin, kita sanggup menggadaikan prinsip, akal dan akhlak. 

Politik sepatutnya menjadi medan untuk memperbaiki kehidupan rakyat, bukannya medan yang merosakkan pertimbangan dan persaudaraan sesama manusia.

Dato' Dr.Rushdan Noor

30hb Okt 2026

No comments:

Post a Comment