Susu khususnya yang diperolehi pada peringkat awal penghasilannya ataupun kolostrum mempunyai banyak khasiat khususnya kepada anak yang baru dilahirkan. Sebenarnya terdapat banyak bahan-bahan berkhasiat yang wujud di dalam susu supaya ianya menjadi sumber nutrient yang sempurna kepada manusia terutama untuk tujuan tumbesaran dan perlindungan daripada penyakit. Salah satu bahan yang didakwa terkandung di dalam susu dan kolustrum adalah Transfer Faktor (TF). Dengan bermodalkan nama TF inilah penjual produk susu akan mendakwa susu dan produk-produk yang dikaitkan dengannya dapat menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Persoalannya benarkah TF wujud di dalam produk susu/kolostrum dan jika benar adakah ianya berkesan mencegah dan merawat penyakit seperti yang didakwa? Rencana ini akan menjawab persoalan ini.
Sejarah transfer factor (TF) bermula pada tahun 1949 apabila Dr. H Sherwood Lawrence, seorang pakar imunologi di University of New York, menemui molekul protein bersaiz kecil yang dapat meregulasi sistem imun di dalam badan manusia. TF yang ditemui oleh beliau bukan daripada susu tetapi dihasilkan oleh sel darah putih yang bernama limfosit (sel T dari darah ataupun limpa). Sel ini penting di dalam sistem pertahanan badan. Ia boleh diekstrak dari sel darah putih manusia (dikenali sebagai TF-H) dan haiwan (TH-C jika dihasilkan dari lembu, boleh juga diperolehi dari haiwan lain) ataupun dari sel-sel limfosit yang diklon di luar badan. Perkataan TF digunakan kerana ahli sains mendapati kekebalan seseorang terhadap serangan benda asing (termasuk organisma penyebab penyakit) dapat dipindahkan kepada orang lain melalui molekul ini tanpa orang tersebut terdedah kepada benda asing tersebut.
Peranan transfer faktor di dalam sistem pertahanan (imun) badan. Perhatikan transfer faktor dihasilkan oleh sel limfosit
yang dinamakan sel T
TF didapati berfungsi sebagai molekul yang penting di dalam mengawal dan memodulasikan sistem imun badan. TF membuatkan sistem imun berfungsi pada kadar yang optima, tidak terlalu melampau dan tidak terlalu lemah, sesuai dengan ransangan yang diterima oleh badan, di samping ianya juga memberi signal tentang kewujudan unsur luar yang hendak menyerang badan. Jadi sumber TF asal yang ditemui oleh Dr.Sherwood adalah dari darah dan kaedah pemberiannya adalah melalui suntikan samada suntikan bawah kulit ataupun suntikan ke dalam otot. Hasil dari penemuan TF ini, banyak kajian2 berkaitan dengan TF menggunakan sumber dari darah. Disebabkan TF mengawal sistem pertahanan maka ahli sains meramalkan mungkin banyak potensi manfaat yang boleh diperolehi daripadanya kerana banyak jenis penyakit dikaitkan dengan masalah sistem pertahanan termasuk penyakit alahan seperti asma, penyakit autoimun, penyakit kanser, diabetes, darah tinggi, jantung, psoriasis, multiple sclerosis, Acne vulgaris, ketuat, Chronic fatique syndrome, Alzeimers, AIDs dan lain-lain. Maka banyak kajian-kajian dilakukan terhadap TF. Kajian-kajian yang dilakukan ke atas penyakit-penyakit ini walau bagaimanapun kebanyakannya kajian praklinikal. Kajian ke atas manusia pula adalah melibatkan saiz sampel yang kecil dan hampir keseluruhannya memberi keputusan yang tidak meyakinkan. Pendek kata kajian lanjut yang lebih besar perlu dijalankan untuk mengesan keberkesanan TF di dalam merawat penyakit-penyakit yang dihidapi oleh manusia.
BENARKAH TERDAPAT TRANSFER FAKTOR DI DALAM SUSU AWAL LEMBU ATAU KOLUSTRUM
Pengetahuan mengenai khasiat susu ibu terutamanya kolustrum ataupun susu awal yang dihasilkan ini telah bertambah. Ahli sains mendapati terdapat banyak khasiat di dalam kolustrum yang boleh memberi perlindungan dan nutrisi kepada bayi yang baru lahir. Salah satu bahan yang ditemui di dalam kolustrum adalah sejenis protin bermolekul kecil yang dinamakan Proline-rich polypeptide (PRP) ataupun Colostrin yang mempunyai ciri-ciri hampir sama dengan TF. Walaupun ciri-cirinya hampir sama, PRP bukanlah molekul yang sama dengan TF sepertimana yang ditemui oleh Dr.Sherwood. PRP ini juga boleh ditemui di dalam telur ayam.
Kajian-kajian yang menunjukkan keistimewaan TF bukanlah daripada sumber susu ataupun telur sebaliknya yang diekstrak keluar daripada sel darah putih manusia ataupun haiwan dan diberikan dalam bentuk suntikan. Malangnya, dengan menggunakan hasil kajian di atas, pengeluar produk susu mendakwa susu mereka memberi kesan manfaat yang sama sedangkan banyak perbezaan di antara kedua-duanya. Perbezaan2 tersebut adalah seperti berikut:
1. Colostrin di dalam susu/kolustrum tidak sama dengan TF di dalam sel darah putih,
2. Meminum susu tidak sama dengan mengambil ekstrak yang mengandungi TF dan
3.TF yang asal kebanyakannya diberikan di dalam bentuk suntikan, manakala susu diminum. Apabila diminum, tidak ada jaminan Colostrin yang terdapat di dalam susu dapat masuk ke dalam darah dan memberi kesan yang sama, ia mungkin akan dimusnahkan oleh jus perut.
Manfaat sebenar Colostrin yang ada di dalam susu dan kolustrum tidak pernah dibuktikan melalui kajian besar yang meyakinkan untuk merawat penyakit-penyakit yang tersebut di atas. Tambahan pula kajian-kajian yang dijalankan bukan menggunakan susu ataupun kolustrum sebaliknya ektrak Colostrin yang dikeluarkan daripada sumber tersebut.
Terdapat juga pengeluar produk susu ini mencampur-adukkan susu ataupun kolustrum dengan pelbagai bahan-bahan sampingan lain seperti herba, mineral, vitamin, suplemen dan lain-lain untuk tujuan mempengaruhi pengguna. Ia juga dipasarkan di dalam bentuk-bentuk lain seperti kapsul, pil, krim dan sebagainya. Produk yang mengandungi Colostrin dan TF dikategorikan sebagai makanan tambahan dan bukan dalam kategori ubat, jadi tidak sepatutnya wujud dakwaan yang ia boleh mencegah ataupun merawat penyakit.
Ahli sains masih lagi menjalankan penyelidikan berkenaan dengan ektrak TF dan Colostrin. Sehingga saat ini bahan-bahan ini masih lagi dianggap berada di dalam fasa kajian dan belum boleh digunakan untuk merawat penyakit di luar skop penyelidikan.
KESIMPULAN
Transfer faktor adalah sejenis protein yang memainkan peranan di dalam sistem pertahanan badan manusia tetapi ia hanya bermanfaat jika dihasilkan di dalam badan dan bukan diambil daripada luar. Berlaku kekeliruan yang serius tentang TF yang ditemui di dalam sel darah putih dengan PRP ataupun Colostrin yang ditemui di dalam susu, kolustrum dan telur ayam. Pengeluar produk susu dan kolustrum mendakwa susu dan kolustrum keluaran mereka memberi manfaat yang sama dengan TF yang diektrak keluar daripada sel darah putih. Hakikatnya susu mengandungi Colostrin dan bukan TF yang sebenar, susu diminum dan bukan disuntik seperti mana kajian yang dijalankan menggunakan ekstrak TF yang ditemui di dalam sel darah putih. TF yang digunakan dalam kebanyakan kajian diperolehi daripada sel darah putih manusia dan bukan daripada susu ataupun telur. Walaupun terdapat kajian menggunakan Colostrin, hasil kajian tersebut tidak menunjukkan kesan yang sama seperti yang didakwa, tambahan pula kajian itu menggunakan Colostrin yang diektrak daripada sumber asal dan bukan di dalam bentuk susu ataupun produk suplemen. Akibat daripada kekeliruan dan salah faham yang serius ini pengeluar produk susu dan kolustrum mendakwa produk mereka bermujarab untuk mencegah ataupun mengubati berbagai jenis penyakit sedangkan ianya tidak pernah dibuktikan benar. Kesimpulannya, mengatakan produk susu dan kolustrum boleh mencegah dan merawat penyakit adalah satu dakwaan palsu ataupun "overclaim". Menjual produk ini dengan harga yang mahal adalah satu bentuk penipuan dan sikap tidak bertanggungjawab yang akan merugikan pengguna. Dapatkan nasihat doktor sebelum anda terpedaya dengan produk-produk susu sebegini lebih-lebih lagi jika anda adalah pengidap penyakit-penyakit kronik seperti diabetes, sakit jantung, kanser dan lain-lain. Meminum susu adalah amalan yang baik sebagai sumber nutrient (makronutrient dan mikronutrient) tetapi bukan untuk tujuan merawat penyakit.
Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Isi kandungan rencana ini adalah pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili mana-mana pertubuhan dan institusi. Ianya adalah hanya untuk bacaan orang awam.
Rujukan
https://www.youtube.com/watch?v=qq5X3s4Zwso
https://www.mskcc.org/cancer-care/integrative-medicine/herbs/transfer-factor
Senarai contoh kajian-kajian berkenaan TF yang disiarkan di journal-journal:
http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/8993769 (non small cell lung ca)
http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/304143 (biochemical study, head and neck cancer)
No comments:
Post a Comment