Saturday 19 September 2020

BENARKAH ADA PRODUK YANG BOLEH MENGURANGKAN BERAT BADAN ?

 


Obesiti adalah masalah yang serius dialami oleh masyarakat kita pada hari ini. Umumnya masalah obesiti ini perlu ditangani dengan kaedah mengawal pengambilan makanan dan melakukan senaman yang tetap. Kata kunci kepada kejayaan program mengawal berat badan adakah kaedah yang betul, selamat dan konsisten. Malangnya kebanyakan daripada kita gagal sebab tidak konsisten dan cepat berputus asa. Tidak kurang juga yang mahu hasil yang cepat dengan mengambil suplemen dan ubat untuk menurunkan berat badan.  Kalau boleh mereka mahu berat badan turun dengan cepat tanpa mengawal makanan dan melakukan senaman.

Orang ramai mencari jalan pintas dan tidak kisah untuk membelanjakan wang yang banyak. Kesempatan ini diambil oleh  peniaga-peniaga  dengan mencipta produk menguruskan badan melalui percampuran pelbagai bahan yang kononnya boleh memecahkan lemak dan menurunkan selera makan. Produk-produk yang kononnya "pemecah lemak" ini dikeluarkan di dalam pelbagai bentuk seperti pil, kapsul, kopi, teh, susu, jus dan lain-lain lagi.

Sebenarnya tidak ada suplemen ataupun ubat-ubat herba yang boleh memecahkan lemak serta mengurangkan selera makan. Ini termasuklah herba-herba yang sering digunakan seperti ekstrak Hoodia, Garcenia Cambodia dan lain-lain. Tidak ada kajian kukuh yang membuktikan keberkesanan Hoodia, Garcenia Cambodia dan lain-lain herba dapat menurunkan berat badan.

Kebanyakan produk-produk menguruskan badan yang dijual akan mensyaratkan pengguna menggabungkan program kawalan diet dan senaman. Mereka akan menulis bahawa tanpa program tersebut, produk ini kurang berkesan. Sebenarnya kawalan diet dan senaman itulah yang memberi sumbangan terbesar untuk mengurangkan berat badan, sedangkan produk yang mereka jual itu hanya untuk tujuan mengaut keuntungan.

Jika produk-produk tersebut berkesan mengurangkan selera makan dan menurunkan berat badan, dikhuatiri terdapat ubat-ubat terkawal atau racun berjadual yang dimasukkan ke dalamnya secara diam-diam. Lebih-lebih lagi jika diwar-warkan produk ini berkesan tanpa perlu mengawal makan dan melakukan senaman.  Sedangkan ubat-ubat ini hanya boleh dipreskripsi oleh doktor. Ubat-ubat ini dinamakan ubat perencat nafsu makan ("APETTITE SUPPRESSOR").

Ubat perencat nafsu makan boleh dikategorikan kepada 3 kumpulan berdasarkan kepada mekanisma tindakbalas iaitu :

1.CATECHOLAMINE PATHWAYS (cth: amphetamine, penmetrazine,  amfepramone,phentermine, phenylpropanolamine dll)

2. SEROTONIN PATHWAYS (cth: fluoxetine)

3. LIPASE INHIBITORS (cth: orlistat)

Ubat daripada kategori cotecholamin pathway iaitu amphetamine dan penmetrazine sudah tidak diluluskan untuk kegunaan menurunkan berat badan kerana kesan ransangan ("stimulant") dan juga ketagihan. Ada beberapa ubat daripada kategori ini yang diluluskan oleh FDA seperti amfepramone, phentermine, mazindol dan phenylpropanolamine (PPA). Meskipun begitu kajian yang dilakukan mendapati ubat ini tidak begitu berkesan mengurangkan berat badan dan jika diambil berlebihan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan denyut jantung yang tidak stabil. Ianya juga boleh menyebabkan mengantuk, kering mulut, cirit dan muntah.

Begitu juga ubat daripada kategori kedua ("serotonin pathways") yang walaupun kadangkala berkesan merencat selera makan, ubat ini perlu diambil bersama dengan program senaman dan diet yang komprehensif. Ubat ini juga tidak boleh diambil melebihi 16 minggu. Di antara ubat di dalam kategori "serotonin pathways" adalah fluoxetine dan sibutramine. Ubat-ubatan ini bertindak di bahagian otak dan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti jantung berdebar, gangguan tidur, pening, sakit kepala dan lain-lain.

Lipase inhibitor pula adalah kumpulan ubat yang merencat enzim lipase. Enzim lipase berfungsi untuk menghadamkan lemak di dalam usus (supaya mudah diserap), apabila ianya direncat, kadar pemecahan dan penyerapan lemak berkurangan sehingga 30%.Salah satu ubat dalam kategori Lipase Inhibitors ini adalah Orlistat. Seperti juga ubatan lain, ubat ini boleh menyebabkan kesan sampingan seperti gangguan fungsi usus, sakit perut, alahan dan lain-lain lagi.

Di samping ubat-ubat yang dinyatakan di atas, ada juga yang memasukkan ubat pelawas ataupun laksatif untuk menurunkan berat badan dengan cepat. Pengambilan pelawas menyebabkan seseorang itu mengalami kehilangan air dan mineral. Berat badan mereka turun bukan disebabkan oleh kandungan lemak yang berkurangan tetapi akibat dehidrasi ataupun kekurangan air. Pengambilan pelawas dalam jangkamasa panjang boleh menyebabkan banyak masalah kesihatan termasuk keadaan usus yang dikenali sebagai melanosis coli. Untuk meyakinkan pengguna supaya membeli, perkataan Detok seringkali digunakan bersama semasa mempromosi produk ini.  Jadi pengguna akan teruja kerana dapat mengurangkan berat badan dan detok tubuh badan sekali gus. Walhal, semuanya hanya strategi pemasaran. Baca di sini tentang kesan ubat pelawas dan penyalahgunaan perkataan detok.

Pengambilan ubat-ubatan yang dinyatakan di atas tanpa nasihat dan pengawasan doktor boleh memudaratkan badan. Memasukkan ubatan ini ke dalam produk menurunkan berat badan akan menjadikan produk ini di bawah kategori ubat terkawal yang sememangnya sukar untuk mendapat kelulusan daripada KKM. Sebab itu pihak KKM seringkali terjumpa ubat-ubat terkawal ini di dalam produk menurunkan berat badan yang dimasukkan secara senyap. Tentu lebih mudah untuk mendapat kelulusan KKM jika pihak pengeluar tidak mengisytiharkan kehadiran ubat terlarang kerana produk mengurangkan berat badan hanya dikategorikan sebagai suplemen ataupun makanan jika ianya dihasilkan dalam bentuk minuman samada teh, kopi dan sebagainya.

Berhati-hati apabila anda disyorkan untuk mengambil produk-produk pelansing yang dijual di kedai-kedai ataupun diedarkan melalui jualan langsung. Jangan mudah percaya dengan testimoni. Ingat, produk pelansing yang menjanjikan hasil yang cepat ini samalah seperti scam skim cepat kaya yang seringkali memangsakan orang ramai. Tidak ada jalan pintas untuk menangani masalah obesiti dan kaedah yang paling selamat adalah melalui kawalan makanan (diet) dan senaman yang tetap. Sila dapatkan khidmat nasihat daripada pakar pemakanan atau doktor supaya program diet dan senaman yang anda amalkan adalah selamat.


Dato' Dr Rushdan Noor

5hb Jan 2019


Contoh produk yang berasaskan teh pelansing yang dikesan mengandungi sibutramine


No comments:

Post a Comment