Wednesday 13 September 2023

TELUR REBUS VS TELUR GORENG


TELUR REBUS VS TELUR GORENG

Umumnya telur yang direbus lebih baik dari telur goreng. Samada merebus separa masak (soft boiled) ataupun sepenuh masak (hard boiled), tidak banyak perbezaan dari segi kandungan nutrient. Tetapi telur yang direbus sepenuhnya itu mungkin bermanfaat dari segi kurang risiko kontaminasi bakteria berbanding dengan telur mentah dan suku masak.

Telur yang dimasak juga memudahkan penyerapan protein (91% penyerapan protein) dan sumber biotin yang lebih tinggi.Tetapi memasak yang keterlaluan boleh mengurangkan kandungan antioksidant dan vitamins, walaupun kandungan nutrient ini masih tinggi. Jadi jangan memasak pada suhu yg terlalu tinggi dan jangkamasa yang panjang. Suhu yang tinggi ini juga boleh mengoksidasikan kolesterol menjadi kompoun yang lebih tidak sihat untuk jantung. Jadi secara peribadi, saya lebih cenderung untuk mengambil telur direbus dengan sederhana (medium-hard bolied) dan bukan terlalu masak (> 15 minit perebusan (overcooked) ataupun yang suku masak.

Apa yang lebih penting adalah apakah ramuan2 yang dicampurkan semasa penyediaan telur. Contohnya 1 biji telur yang direbus mengandungi lebih kurang 78 kalori, 6.3 g protein dan 5.3 g lemak. Tetapi jika telur ini digoreng dengan 1 sudu besar mentega, anda telah menambah 100 kalori dan 11.5 g lemak. Satu hirisan keju pula mengandungi 570 kalori, 16.7 g protein dan 44 g lemak. Itu belum lagi termasuk tambahan kicap/garam atau sos.

Perbandingan kandungan nutrient di dalam telur rebus dan telur goreng (goreng biasa tanpa tambahan mentega atau keju) ditunjukkan dalam jadual di bawah. Jumlah lemak dan lemak tepu di dalam telur goreng lebih tinggi.

Salah satu nutrient yang ada dalam telur kuning adalah kolesterol. Pada masa dahulu, pakar pemakanan menghadkan pengambilan kolesterol dalam makanan tetapi kini pakar jantung mendapati kandungan kolesterol di dalam makanan tidak mempengaruhi kandungan lemak jahat (LDL) di dalam darah. Kebanyakan kolesterol (80%) dalam darah datangnya dari hati dan sudah cukup untuk tubuh anda. Mengenai had pengambilan kolesterol melalui diet, garispanduan terkini tidak menetapkan had tertentu jika anda tidak mengalami masalah kolesterol yang tinggi dan sakit jantung. Kandungan lemak di dalam telur pula adalah sederhana dan majoriti adalah lemak tidak tepu. Lemak dan kolesterol hanya terdapat di dalam telur kuning (yolk).

Satu kajian yang disiarkan dalam The American Journal of Clinical Nutrition mendapati mengambil sebanyak 12 biji telur dalam masa seminggu selama 3 bulan tidak meningkatkan risiko penyakit jantung ke atas pesakit diabetes jenis 2. Umumnya, mengambil 1-2 biji telur sehari yang disediakan dengan betul dan digabungkan dengan sayur/salad adalah baik untuk kesihatan.

Dato' Dr Rushdan Noor 
14hb Sep 2023






No comments:

Post a Comment