Tuesday 29 August 2023

PENGARUH MEDIA SOSIAL DALAM MENCIPTA PERSEPSI DAN SENTIMEN SEMASA PILIHANRAYA


PENGARUH MEDIA SOSIAL MENCIPTA PERSEPSI DAN SENTIMEN SEMASA PILIHANRAYA
Saya membaca satu pendapat berkenaan dengan punca kemenangan Donald Trump di dalam pilihanraya besar Presiden Amerika Syarikat menewaskan Hillary Clinton pada tahun 2016. Pada peringkat awal, rata-rata penganalisis politik telah membuat ramalan bahawa Hillary Clinton akan menang. Hanya 5% sahaja penganalisa berpendapat beliau akan kalah. Hillary menghabiskan $450 juta USD berbanding dengan Trump, $239 juta USD untuk berkempen. Apabila keputusan pilihanraya diumumkan, ramai terkejut kerana Donald Trump yang menang. Selepas pilihanraya selesai dan mendapat keputusan, penganalisis politik percaya bahawa kunci kejayaan Trump adalah bermain dengan persepsi dan sentimen melalui media sosial. Beliau menggunakan sepenuhnya kemudahan media sosial terutama Twitter untuk tujuan kempen. Trump mempunyai 16.8 juta pengikut twitter berbanding dengan Hillary Clinton sebanyak 11.3 juta. Begitu juga dengan facebook di mana camp Trump melakukan "engagement" sebanyak 67 juta kali berbanding dengan Hillary sebanyak 59 juta. Manakala interaksi di dalam facebook Trump berjumlah 1.14 billion berbanding dengan 934 juta di pihak Hillary. Di samping penguasaan Trump di dalam menggunakan media sosial, pengkaji juga menilai sentimen dan persepsi yang cuba dicipta oleh kedua-dua calun. Keseluruhannya sentimen positif dan sentimen negatif yang diperolehi oleh Trump jauh lebih banyak daripada Hillary. Walau bagaimanapun Hillary didapati mempunyai nisbah sentimen negatif yang lebih tinggi daripada Trump. Pengkaji membuat kesimpulan bahawa kejayaan menguasai media sosial dengan mencipta persepsi dan sentimen adalah kunci kejayaan Donald Trump semasa pilihanraya Amerika. Nampaknya peranan media sosial sudah semakin berkembang dan boleh mempengaruhi kehidupan manusia sehingga boleh menentukan kemenangan pilihanraya besar. Mencipta persepsi dan sentimen yang kemudiannya ditularkan secara meluas sehingga sukar untuk membezakan yang mana putih dan yang mana hitam. Pengaruh media sosial boleh menukar yang buruk kelihatan baik dan yang baik kelihatan sangat buruk dan keji. Media sosial juga boleh membesarkan satu isu kecil dan mengecilkan isu yang besar. Membuat seseorang yang bersalah itu kelihatan benar dan sebaliknya. Pendek kata ia sangat berkesan untuk dijadikan agen propaganda dan senjata perang saraf yang berkesan.

Bayangkan jika sentimen kebencian sesama manusia, salah faham dan fitnah ditularkan seluas-luasnya di dalam media sosial semasa berkempen. Menang persepsi bukan kemenangan sebenar yang kita inginkan, sebaliknya kebencian yang ditanam kepada orang ramai boleh mencetus ketegangan dan konflik berpanjangan. Kemenangan seumpama ini tidak akan bertahan lama. Perpecahan sesama umat Islam semakin meruncing dan ketegangan antara kaum boleh berlaku. Jika fenomena ini tidak dikawal, negara kita akan berdepan dengan masalah yang sangat besar.

Sesuatu yang lebih berkesan perlu dilakukan bagi menghentikan penyalahgunaan media sosial semasa berkempen, bimbang kita akan alami apa yang telah terjadi semasa pilihanraya presiden Amerika Syarikat dahulu. Mungkin ianya sudah berlaku di negara kita, walaupun pada skala yang lebih kecil. Sentimen yang negatif akan terbawa-bawa hingga ke luar musim pilihanraya. Lebih parah lagi jika sasaran pengaruh media sosial ini adalah anak-anak muda yang lebih mudah terpengaruh dan kurang matang, sedangkan mereka adalah pelapis generasi akan datang. Sudah muncul golongan yang taksub secara melampau dan mereka ini dapat dikenali dari tulisan2 di dalam media sosial menghina dan mengugut pemimpin2 termasuk raja-raja melayu, dilakukan secara terbuka.

Tulisan di atas memaparkan sisi gelap media sosial yang disalahgunakan semasa jempen pilihanraya. Tidak dapat dinafikan media sosial mempunyai peranan yang besar dalam menyebarkan kebaikan jika ianya digunakan untuk tujuan yang betul. Menjadi tanggungjawab kita untuk menggunakan media sosial ini sebagai satu platform pendidikan dan keamanan bagi mengimbangi golongan yang menyalahgunakan alat komunikasi ini untuk kepentingan peribadi mereka. Dato' Dr Rushdan Noor 30hb Ogos 2023 Slogan kempen Trump adalah " Make Amerika Great Again".

No comments:

Post a Comment