Saturday 19 August 2023

SCAMMER DI DALAM POLITIK


Dalam semua aspek kehidupan, terdapat individu ataupun kumpulan yang cuba mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan untuk dirinya sendiri ataupun kumpulannya. Apabila cara yang digunakan itu melibatkan penipuan dan kerugian orang lain ianya boleh dianggap satu bentuk scam. Terdapat banyak jenis scam yang wujud di negara kita seperti Macau Scam, Scam E-Dagang, Keldai Akaun, Phishing, Love Scam, Pengubahan wang haram dan banyak lagi. 

Untuk kali ini saya ingin mengupas satu lagi bentuk penipuan ataupun manipulasi yang jarang diperkatakan orang iaitu SCAM POLITIKAL ataupun scam yang dilakukan oleh orang politik. 

Politik adalah satu ilmu berkenaan cara pemerintahan sesebuah negara dan hubungannya dengan negara lain (Kamus Dewan). Jadi politik adalah baik dan bertujuan memakmurkan sesebuah negara. Walau bagaimanapun, politik boleh disalahgunakan untuk tujuan kepentingan diri sendiri. Apabila politik digunakan untuk habuan diri atau sesuatu kumpulan sehingga melibatkan kerugian, menjejaskan kepentingan rakyat  dan kehilangan wang ringgit, maka ianya bolehlah dianggap satu bentuk scam. Imbuhan politik juga termasuk sesuatu yang bukan bersifat kebendaan seperti penguasaan ideologi dan kepercayaan. Ada ahli politik yang sebelum masuk politik sudah menanam niat untuk mendapat habuan dalam bentuk wang, harta dan kekuasaan. Mungkin ada juga yang asalnya berniat baik tetapi apabila sudah berada di dalamnya terikut2 dengan amalan yang telah menjadi budaya ataupun norma.

Penyalahgunaan wang rakyat, rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh ahli politik boleh dianggap satu perbuatan scam. Menipu rakyat dengan janji-janji palsu juga dianggap scam politik. Adapun janji yang tidak mampu ditunaikan bukanlah satu bentuk penipuan. Menyalahgunakan isu 3R iaitu Raja-Raja (Royals), Kaum (Racial) dan Agama (Religion) untuk memancing undi adalah juga satu bentuk scam. Mengapi-apikan sentimen perkauman dan menunggang agama boleh dianggap satu bentuk penipuan yang bertujuan untuk mendapatkan undi dan sokongan. Ahli-ahli politik yang melakukan perkara di atas bolehlah dianggap scammer. 

Mungkin ramai yang pertikai penggunaan istilah "Menunggang Agama", kerana perkataan ini agak kabur tetapi ingin saya jelaskan bahawa dalam konteks rencana ini, maksud "menunggang"  adalah menggunakan elemen agama yang palsu ataupun bukan pada tempatnya bertujuan semata-mata untuk memancing undi dan menarik sokongan. Ini termasuklah menggunakan dalil quran atau hadith di luar konteks semata-mata untuk membenarkan apa yang diucap dan perbuatan yang dilakukan. Contoh menunggang agama adalah memberi janji palsu kepada pengundi bahawa mengundi partinya boleh masuk syurga dan mengundi parti lawan masuk neraka. Begitulah juga menganggap partinya memperjuangkan Islam dan parti lawan menentang Islam. Mengkafirkan orang Islam lain kerana perbezaan fahaman politik juga termasuk di dalam kategori menunggang agama untuk tujuan menarik sokongan kepada parti politiknya. Menanam ketaksuban kepada pengikut-pengikut juga termasuk dalam kategori menunggang agama kerana taksub adalah sifat yang dicela kerana taksub ataupun fanatik adalah salah satu ciri-ciri melampau dalam beragama. 

Sabda Rasulullah saw bermaksud " Jauhilah melampau dalam agama. Sesungguhnya rosaknya orang-orang sebelum kamu kerana mereka melampau dalam agama". 

Allah berfirman di dalam Surah Al Maidah ayat 77 bermaksud " Katakanlah: Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampau-lampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul".

Scam politik yang saya sebutkan di atas kesemuanya boleh memberi kesan buruk kepada negara dan menjejaskan hubungan baik sesama Islam. Ianya juga boleh menyebabkan ketegangan antara kaum. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa boleh menyebabkan ketidakadilan, negara menanggung hutang yang besar dan masalah ekonomi. Masalah ekonomi menjejaskan semua aktiviti dan usaha untuk meningkatkan martabat rakyat dan negara. Rasuah adalah umpama anai-anai yang memakan tiang dan dinding, luar nampak elok tetapi di dalam sudah hancur dan rumah menunggu masa untuk runtuh. 

Menyalahgunakan isu 3R boleh menyebabkan perpecahan sesama Islam dan ketegangan antara kaum. Polarisasi kaum boleh berlaku akibat daripada sikap perkauman yang sempit. Institusi raja-raja dipandang rendah sedangkan inilah payung negara. Kesetiaan kepada raja-raja adalah salah satu rukun negara. Raja-raja di negara kita dianggap ketua agama dan juga pemerintah yang paling tinggi kedudukannya. Bayangkan jika Raja-Raja tidak dihormati dan dihina, negara boleh menjadi huru hara dan rakyatnya berpecah belah. Pasca PRU-15 baru-baru ini telah membuktikan betapa pentingnya peranan Yang Dipertuan Agung di dalam menentukan halatuju pemerintahan negara. Dengan kuasa yang baginda miliki, kerajaan perpaduan dapat ditubuhkan dan pemerintahan negara dapat berjalan walaupun tidak ada mana-mana parti politik yang memperolehi majoriti untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

Sikap taksub dan fanatik yang ditanamkan ke dalam diri pengikut boleh menjadi bibit-bibit ekstremisme. Orang yang taksub akan menganggap dirinya sahaja yang betul dan orang lain salah. Taksub kepada seseorang akan menyebabkan orang tersebut dianggap maksum, tidak melakukan kesalahan dan apa yang diperkatakan semuanya benar belaka. Taksub menyebabkan seseorang itu mudah menuduh orang lain dari parti politik lain sebagai tidak baik dan melabelkan mereka dengan pelbagai nama yang jelik. Jika eleman agama disalahgunakan, parti A menganggap parti B kurang keislamannya, kafir ataupun sesat.  Taksub juga menyebabkan perasaan benci kepada orang lain yang tidak sependapat. Sedangkan politik hanya salah satu kaedah daripada banyak lagi pendekatan untuk berdakwah dan menyebarkan ajaran Islam. Fahaman politik adalah ijtihad semata-mata. Akibat daripada sikap taksub, seseorang mudah membenci orang lain,  bersikap kasar di dalam pertuturan, mudah memaki hamun orang lain, merendah-rendahkan orang lain dan tidak bertolak ansur. Jika penyakit taksub ini tidak ditangani, akhirnya boleh mencetuskan pergaduhan dan persengketaan dalam bentuk keganasan.

Sengaja memfitnah ataupun menyebarkan berita palsu tentang lawan politik juga dianggap satu bentuk penipuan yang bertujuan untuk mendapatkan laba politik. Fitnah menyebabkan salahfaham dan buruk sangka yang akan menjadi api kebencian sesama manusia. Suka memfitnah bolehlah dianggap salah satu ciri-ciri scammer politik.

Scam politik ini bukan mudah untuk ditangani dan tidak akan dibincangkan dengan mendalam di dalam rencana ini. Pemimpin politik asalnya rakyat biasa, jadi dari rakyat biasa mereka menjadi pemimpin. Pemimpin adalah bayangan rakyat yang memilih mereka. Pemimpin yang baik dipilih oleh rakyat yang baik, begitulah sebaliknya. Pendidikan agama dan moral perlu ditanamkan dari peringkat kanak-kanak oleh ibubapa. Ibubapa yang cemerlang selalunya akan menghasilkan anak-anak yang cemerlang. Anak-anak ini akan membesar dan menjadi individu dewasa yang kemudiannya membina keluarga. Individu yang cemerlang adalah mereka yang berilmu, berakhlak, berkemahiran dan berintegriti. Jadi semuanya bermula dari institusi keluarga, bertitik tolak dari sistem pendidikan yang berkualiti dan berkesan. Apabila keluarga cemerlang, masyarakat pun cemerlang. Apabila masyarakat cemerlang, pemimpin yang bakal dihasilkan nanti tentu juga cemerlang. Ahli-ahli di dalam masyarakat yang terdidik ini juga tidak mudah menjadi mangsa scammer. Akhirnya scam politik hanya akan menjadi sejarah hitam yang tidak berulang.

Tulisan ini bukan bertujuan untuk membuat tuduhan secara pukal terhadap semua pemimpin-pemimpin politik. Kita tidak pasti berapa ramai yang boleh dikategorikan sebagai scammer politik. Ramai ahli-ahli politik yang ikhlas, yakin dengan perjuangan dan bekerja keras kerana ingin membantu rakyat tanpa mementingkan diri sendiri. Tidak kurang dalam kalangan mereka yang melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan berjuang bertahun-tahun lamanya. Pemimpin politik ini akan tetap dihargai dan diingati oleh rakyat dari dahulu, hari ini dan masa akan datang. 


Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

19hb Ogos 2023 


Tulisan ini adalah pendapat peribadi dan tidak mewakili mana-mana organisasi ataupun institusi. Ianya adalah tulisan bersifat umum dan tidak ditujukan kepada mana-mana pihak secara khusus.

1 comment:

  1. Muslims have always obeyed the rulers, not the rules, a problematic attitudes that survives to this day. Even worse when followers are unable to differentiate between political statements & non political statements made by the leaders of religious based parry.

    ReplyDelete