Monday 28 August 2023

BANGKIT BERSAMA, KITA TANGANI PENULARAN MITOS KESIHATAN DAN PRODUK OVERCLAIM

Salah sebuah NGO yang mendidik masyarakat tentang kesihatan dan menyanggah mitos yang wujud khususnya di dalam media sosial adalah Medical Mythbusters Malaysia (M3). Anak2 muda di dalam Medical Mythbusters Malaysia ini memang berbakat, dedikasi dan bekerja keras mendidik masyarakat walaupun secara sukarela. Daya tahan mereka tinggi dan bukan calang-calang orang sanggup melakukan apa yang sedang mereka usahakan. Halatuju perjuangan mereka jelas dan cabaran yang dihadapi bukan sedikit termasuk ancaman saman dan tidak kurang tohmahan. Saya berharap KKM dapat membantu NGO seumpama ini kerana sumbangan mereka bukan sedikit dan sebenarnya mereka juga meringankan tugas KKM yang berkaitan dengan aktiviti pendidikan ini.

Ancaman kesihatan terhadap rakyat negara kita bukan sahaja akibat dari kesan gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat tetapi yang lebih penting adalah tahap kesedaran dan pendidikan. Ilmu yang salah akan menyebabkan amalan yang dilakukan juga salah. Jadi peranan NGO menyanggah mitos kesihatan ini sebenarnya sangat besar. Apa sahaja aktiviti kempen gayahidup sihat dan pencegahan penyakit akan gagal jika kita gagal mendidik masyarakat tentang mitos kesihatan. Tarikan dari pihak yang menyebarkan mitos itu lebih kuat. Ianya umpama mengisi air dalam bekas yang bocor, apabila lubang kebocoran itu lebih besar, bekas akan sentiasa kosong.

Pandemik Covid-19 telah mengajar kita betapa sukarnya sesuatu wabak untuk ditangani tanpa pengetahuan dan amalan yang betul tentang wabak dan pencegahan penyakit berjangkit. Mitos-mitos dan produk-produk overclaim menjadi wabak tambahan yang memberi kesan terhadap usaha kerajaan dan KKM menangani wabak ini.

Saya ingin mencadangkan agar KKM dapat menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan NGO seperti ini dan memberi sokongan dalam apa sahaja bentuk bagi mengukuhkan lagi hasil kerja mereka. Di antara sokongan yang boleh diberikan adalah peruntukan kewangan, pengiktirafan, kepakaran dan khidmat guaman. Mungkin KKM boleh wujudkan satu jawatankuasa bertindak yang mempunyai fungsi yang hampir sama seperti mereka dan jawatankuasa ini akan menjalinkan hubungan serta menjadi pelengkap antara satu sama lain. 

Penguatkuasaan undang2 dan peraturan mencegah penularan mitos kesihatan dan promosi produk overclaim perlu dipertingkatkan lagi. Mendidik dan menyanggah mitos semata2 tidak memadai kerana ianya perlu disertakan dengan penguatkuasaan peraturan dan undang2 yang lebih proaktif dan lebih berkesan. Satu rangka modus operandi penguatkuasaan yang lebih  berkesan perlu diwujudkan agar aktiviti penyebaran mitos kesihatan dan penjualan produk overclaim ini dapat dikekang di negara kita. Ini mungkin dapat dilaksanakan melalui penglibatan pihak berkuasa dan Bahagian Amalan Perubatan di dalam jawatankuasa yang saya cadangkan di atas. 

Tindakan tegas juga patut diambil ke atas mana-mana petugas kesihatan yang terlibat di dalam penyebaran mitos kesihatan dan penjualan produk overclaim. Terdapat dalam kalangan mereka yang menyebarkan maklumat kesihatan yang mengelirukan dan berbeza dengan garispanduan klinikal yang dikeluarkan oleh KKM sedangkan mereka berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia. 

KKM juga perlu menggalakkan penglibatan kakitangan di dalam aktiviti melawan mitos kesihatan dengan diberikan insentif kepada mereka yang terlibat. Jika tidak ada insentif, sokongan moral pun sudah memadai. Salah satu faktor perencat yang menyebabkan kakitangan KKM kurang berminat untuk aktif di dalam usaha ini adalah kekangan masa dan tidak ada jaminan yang kebajikan mereka akan terjaga. Mereka juga takut dengan tindakan saman. Jadi KKM perlu mencari mekanisma bagaimana kakitangan yang terlibat dilindungi samada melalui khidmat nasihat perundangan, pembiayaan khidmat guaman dan juga perlindungan dari tindakan undang-undang.

Dengan mengukuhkan lagi usaha mendidik masyarakat dan membenteras penyebaran mitos kesihatan serta produk overclaim ini saya pasti Misi dan Visi Kementerian Kesihatan akan dapat dicapai dalam masa yang lebih singkat.

Syabas saya ucapkan kepada M3, NGO yang seumpama (e.g MedtweetMy dll) dan semua "social media influencers" yang bergerak secara solo ataupun berkumpulan. Anda semua hebat dan teruskan perjuangan. Saya tidak dapat untuk tag Dr. Sakinah Sulong dan bersyukur dengan perkembangan terkini kes beliau.


Dato' Dr Rushdan Noor 

28hb Ogos 2023

No comments:

Post a Comment