Negara kita sudah selesai menyaksikan satu pilihanraya negeri yang melibatkan 6 buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan. Di dalam pilihanraya negeri atau PRN ini kita dapat melihat betapa hebatnya kempen di kedua-dua belah pihak dengan menggunakan pelbagai isu.
Keputusan PRN di semua negeri telah diumumkan dan keputusannya adalah status quo di mana pihak kerajaan berjaya mengekalkan penguasaan di 3 negeri dan pembangkang juga di 3 negeri. Walaupun kelihatan seperti seimbang, namun ada satu fenomena yang menarik untuk diberi perhatian iaitu peralehan yang besar undi orang melayu kepada pembangkang. Mungkin momentum dari PRU15 masih berterusan ke PRN dan pembangkang lebih berjaya di dalam strategi "perang saraf" untuk mempengaruhi khususnya pengundi melayu memilih mereka. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan trend pengundian ini dan saya cuma memilih satu daripadanya yang saya fikir menarik untuk dibincangkan. Salah satu faktor yang seringkali disebut-sebut mempunyai kaitan dengan keputusan PRN yang lalu adalah faktor parti DAP (Demokrat Action Party). Faktor-faktor lain tentu telah dikupas dengan mendalam oleh penulis yang lain, jadi saya tidak akan mengulanginya lagi di sini.
Sebelum menulis rencana ini, saya mengambil masa membuat pembacaan dan sedikit penyelidikan tentang politik negara khususnya berkaitan dengan kerjasama di antara parti-parti politik di negara kita. Tumpuan lebih diberikan terhadap sikap dan tanggapan parti2 politik melayu serta pengikut mereka terhadap parti DAP.
Melalui pembacaan saya, penolakkan dan kemarahan terhadap parti DAP ini sudah lama wujud dan mungkin ditanamkan oleh pemimpin-pemimpin melayu terdahulu, jadi ianya bukanlah perkara baru. Saya kurang pasti apakah asas kebencian tersebut. Saya mengenali parti DAP semenjak tercetusnya peristiwa pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.
Walaupun DAP menjadi sasaran serangan politik sekian lama, namun sejarah politik kita menunjukkan wujudnya kerjasama antara parti orang melayu dengan DAP berkali-kali di atas pelbagai alasan. Di sekitar tahun 1990, sudah ada gabungan DAP dengan parti PAS di dalam Angkatan Perpaduan Ummah. Dari tahun 1999 hingga 2002, mereka bersama dalam Barisan Alternatif. Kemudiannya parti ini telah menjadi salah satu komponen di dalam Pakatan Rakyat (ditubuhkan pada tahun 2008) dan pada ketika itu parti PKR yang diasaskan oleh DSAI bekerjasama dengan DAP dan PAS. DAP juga bekerjasama dengan parti PPBM membentuk kerajaan 22 bulan pada tahun 2018 di mana pengerusi PPBM pada masa itu adalah Tun Dr. Mahathir.
Pelbagai kemelut politik berlaku semenjak 1998 dan apa yang saya nampak PKR, Amanah dan DAP konsisten di dalam pakatan hingga ke hari ini. Manakala parti PAS telah keluar dari pakatan tersebut pada tahun 2015. Jadi gabungan PAS-DAP dalam Pakatan Rakyat ini berlangsung selama 7 tahun. Parti Amanah Negara yang ditubuhkan pada bulan September 2015 menyertai PKR dan DAP di dalam pakatan baru dinamakan Pakatan Harapan menggantikan Pakatan Rakyat. Jadi Pakatan Harapan tidak mengandungi parti PAS. Kemudian bermulalah era pergolakan politik yang hebat menyebabkan Malaysia mempunyai 4 orang Perdana Menteri dalam masa 4 tahun. DSAI dilantik menjadi perdana menteri pada tahun 2022 hingga pada tarikh rencana ini ditulis. Yang menariknya, selepas berpuluh-puluh tahun bermusuhan di dalam politik, UMNO dan DAP dapat bekerjasama dalam kerajaan Perpaduan, betul lah tidak ada yang mustahil dalam.politik.
Menyingkap kembali punca parti PAS keluar dari Pakatan Rakyat, saya difahamkan akibat daripada keengganan kepimpinan DAP untuk menyokong perlaksanaan pemerintahan Islam versi yang dibawa oleh parti PAS. Sejauh mana kebenaran maklumat ini tidak dapat dipastikan tetapi jika itulah alasannya bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana parti DAP itu dipimpin oleh orang bukan Islam sama seperti parti MIC, MCA dan Gerakan. Malahan tiga parti lain yang saya sebutkan itu adalah parti satu kaum, sedangkan DAP mempunyai ahli berbangsa melayu dan india. Parti Gerakan yang bersama PAS di dalam gabungan Perikatan National sekarang, pernah membawa isu perlaksanaan Hudud ke mahkamah Persekutuan (1). Parti Gerakan memfailkan notis usul perkara 4(3) dan 4(4) perlembagaan persekututan memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Enakmen Hudud itu tidak sah dan batal kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Parti Gerakan juga pernah mencabar keputusan mahkamah tinggi Pulau Pinang yang membenarkan tulisan jawi diajar di sekolah venakular Cina dan Tamil di negara ini (2). Kes terbaru adalah penentangan parti Gerakan terhadap cadangan memasukkan pengajian hadith 40 imam Nawawi kepada pelajar-pelajar melayu di sekolah agama dan sekolah kebangsaan (14). Terlintas juga di fikiran saya, mengapa selepas 7 tahun bersama dengan DAP, tiba-tiba memberikan alasan tersebut untuk berpisah. Mungkinkah ada alasan lain, saya tidak pasti. Hari ini parti PAS boleh pula bersama dengan parti Gerakan di dalam Perikatan National.
Bagi saya tindakan parti-parti yang pemimpinnya bukan beragama Islam ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana yang pertama, mereka bukan beragama Islam dan kedua, dalam kalangan pemimpin melayu sendiri pun perkara-perkara ini masih dibincangkan dan kata putus belum dibuat. Pemimpin PAS sendiri pernah mengakui bahawa hukum hudud masih sukar dilaksanakan sekarang kerana kekangan perlembagaan dan tidak mendapat sokongan yang kuat dari pemimpin melayu yang lain (3). Dari kenyataan pemimpin PAS ini jelas menunjukkan bahawa dalam kalangan pemimpin melayu pun ada yang tidak menyokong. Malahan terdapat agamawan yang beranggapan bahawa kita belum lagi bersedia untuk melaksanakan hukum hudud (4). Maksudnya dalam kalangan sarjana Islam pun berlaku perbezaan pendapat di dalam isu perlaksanaan hukum hudud. Walaupun mereka sebulat suara mengakui kewajipan untuk melaksanakannya tetapi faktor bila dan bagaimana masih diperdebatkan (5). Pemimpin tertinggi parti PAS sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa hukum Hudud dan Qisas sukar untuk dilaksanakan jika keadaan rakyat belum stabil (6). Manakala pemimpin melayu islam yang paling lama memerintah negara kita iaitu Tun Mahathir pernah membuat kenyataan tidak setuju dengan hudud (15).
Bagaimana pula tanggapan yang menuduh parti DAP ini pro-komunis ? Saya dapati tuduhan pro-komunis yang dibuat oleh seorang pemimpin melayu tersebut adalah berdasarkan kepada alasan adanya ahli parti yang tidak percaya kepada tuhan dan yang menyokong supaya abu mayat bekas ketua komunis malaya , Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia. Ada beberapa lagi alasan yang tidak berapa jelas. Sekali lagi, jika inilah alasan yang diberikan, maka ianya bukanlah satu bukti yang kukuh dan mungkin setakat pendapat peribadi semata-mata. Malahan pemimpin parti Gerakan Pulau Pinang pernah memohon agar pemimpin parti komunis itu dibenarkan pulang ke Malaysia, pada ketika itu Chin Peng masih lagi hidup (7). Apa-apa pun, saya berpendapat alasan yang berkaitan dengan Chin Peng ini bukanlah bukti yang kuat untuk menuduh bahawa parti-parti ini membawa ideologi komunis. Samalah seperti pemimpin yang bertemu dengan pemimpin komunis China bukan bermakna menyokong ideologi komunis, bertemu dengan pemimpin syiah di Iran bukan bermaksud menyokong ideologi syiah. Pencarian maklumat yang saya buat menunjukkan bahawa penubuhan parti DAP ini diinspirasikan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diasaskan oleh Lee Kuan Yew. Lee Kuan Yew adalah seorang pemimpin yang diketahui sangat anti-komunis. Jadi tuduhan pro-komunis tidak mempunyai asas yang kukuh. Di dalam laman web DAP juga ada dinyatakan yang parti DAP ditubuhkan di atas ideologi sosial demokrasi dan bukan komunis (8).
Mungkin terdapat kenyataan-kenyataan yang agak keras dan mengguris perasaan orang melayu dilakukan oleh beberapa orang pemimpin parti DAP , namun ianya dilakukan oleh individu dan tidak mewakili pendirian parti. Jadi kita perlu bijak membezakan pendirian individu dengan prisip parti. Mana-mana parti sekalipun tentu ada beberapa orang pengikut dan pemimpin yang terlanjur perkataan ataupun bersikap keterlaluan, sedangkan ianya tidak direstui oleh parti mereka.
Parti-parti politik yang ditubuhkan di Malaysia perlu mendapat kelulusan ROS dan apa sahaja yang terkandung di dalam perlembagaan parti mestilah tidak bercanggah dengan Perlembagaan persekutuan. Maka kita bolehlah menyimpulkan bahawa semua parti politik yang telah diluluskan penubuhannya adalah parti politik yang sah dan tidak bercanggah dengan perlembagaan. Perlembagaan negara kita jelas meletakkan agama Islam, Raja-raja melayu, Bangsa Melayu dan Bahasa Melayu pada kedudukan yang istimewa. Jadi semua parti-parti politik yang bertanding di dalam setiap pilihanraya negara kita akur dengan perkara-perkara tersebut. Jika tidak, tentulah parti mereka akan diharamkan.
Tuduhan anti-Islam adalah sangat berat dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya samada terhadap orang bukan Islam ataupun orang Islam yang lain. Mengikut pendapat Prof Madya Dr. Ruzman Md Noor, Pensyarah Akademi Islam , Universiti Malaysia, dakwaan anti-Islam tidak boleh diputuskan oleh individu ataupun kumpulan, sebaliknya ianya adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri-negeri atau Parlimen bagi Wilayah Persekutuan. Begitu juga dengan status kafir harbi dan kafir zimmi yang hanya boleh diputuskan oleh autoriti agama yang sama. Selagi tidak diputuskan ataupun difatwakan seseorang individu ataupun kumpulan itu sebagai anti-Islam ataupun kafir harbi, maka mereka itu bukanlah anti-Islam. Menuduh tanpa bukti yang kukuh adalah sikap tidak bertanggungjawab dan tidak adil.
Begitu juga dengan perkataan Liberal yang seringkali disalah-erti dan diguna sewenang-wenangnya. Liberal bermaksud kebebasan, keterbukaan dan kesamarataan. Liberal di dalam bersosial (Liberalisme Sosial) merujuk kepada kebebasan untuk bersuara, mendapat pembelaan sama rata dan tidak ada diskriminasi. Liberalisme ekonomi yang membawa maksud suatu polisi yang mengurangkan regulasi dan campur tangan kerajaan dalam ekonomi sesebuah negara, bagi menarik penglibatan lebih aktif oleh pihak swasta. Liberal dalam makna yang dinyatakan ini tidak bertentangan dengan agama. Anda boleh membaca tulisan Dato Seri Dr. Zulkifli Al-Bakri tentang tajuk ini secara lebih mendalam (9). Berbeza dengan istilah Islam Liberal iaitu suatu aliran pemikiran yang memberikan kebebasan mutlah kepada individu dalam menafsirkan ajaran Islam tanpa terikat dengan dasar dan sumber ajaran Islam yang telah disepakati oleh para ulama muktabar (10). Pengamal Islam Liberal ini menganggap semua agama itu benar belaka (pleuralisme), kebebasan berkahwin campur (berbeza agama), wanita boleh mengimami sembahyang lelaki, desakan menafsir semula quran dan lain-lain yang terang-terangan bertentangan dengan ajaran Islam. Sama seperti tuduhan anti-Islam, dakwaan fahaman Islam Liberal ini adalah juga di bawah bidang kuasa autoriti agama. Tuduhan tanpa bukti adalah berat dan zalim, apatah lagi jika tuduhan itu ditujukan kepada orang Islam yang lain kerana ianya boleh dianggap satu bentuk amalan takfiri.
Kita tidak nafikan tentang bahayanya ideologi Islam Liberal, tetapi pada waktu yang sama kita juga patut bimbang dengan keujudan kelompok yang mudah mengkafirkan serta menyesatkan orang Islam yang lain hanya kerana perbezaan fahaman politik. Kedua-dua golongan ini boleh membawa mudarat yang besar kepada masyarakat kita.
Salah satu lagi faktor kebimbangan orang melayu terhadap parti DAP adalah prinsip Malaysian Malaysia yang dibawa oleh parti ini. Kalau kita membaca perlembagaan parti ini, mendukung perlembagaan negara adalah perkara yang paling atas dan Malaysia Malaysia dinyatakan dalam perenggan penyatuan semua rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Malaysian Malaysia ini asalnya diperkenalkan oleh Lee Kuan Yew di dalam parti PAP. Ia menekankan kesamarataan dan keadilan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira latarbelakang. Maka ianya tidak bercanggah dengan mana-mana prinsip kemanusiaan dan agama kerana tidak ada agama yang menyokong ketidakadilan dan diskriminasi. Tambahan pula, Setiausaha Agung DAP sendiri menegaskan yang DAP tetap mempertahankan perlembagaan negara, malahan di dalam kongres parti ini pada bulan September 2023, tiga daripada 9 resolusi yang diluluskan oleh parti ini adalah menyokong keistimewaan diberikan kepada Agama Islam, Bangsa melayu dan Bahasa Melayu (16). Dengan pendirian DAP ini, tidak salah kalau kita katakan konsep Malaysian Malaysia yang dibawa oleh DAP bukan dicedok bulat-bulat dari apa yang dibawa oleh PAP.
Akhir sekali, saya ingin mengajukan satu soalan yang sangat penting iaitu adakah kebencian yang wujud di dalam kalangan orang melayu terhadap parti DAP adalah sesuatu yang berasas ataupun hanyalah prasangka semata-mata, akibat daripada doktrinisasi yang ditanam di dalam minda sekian lama. Adakah kebencian atau ketakutan ini sengaja dicipta untuk tujuan kepentingan politik, meraih sokongan dan menang pilihanraya? Saya serahkan jawapannya kepada pembaca-pembaca semua.
Secara peribadi setelah mengikuti perjalanan parti ini semenjak saya mula faham tentang politik dan melihat sendiri contoh pemimpin-pemimpin DAP yang menjadi menteri dalam kerajaan serta meneliti isi kandungan perlembagaan parti (11), saya mengambil pendirian untuk berbaik sangka. Beberapa orang menteri dari parti DAP adalah di antara menteri-menteri yang paling menonjol dan berkebolehan. Mereka berbudi bahasa, mempunyai penguasaan bahasa melayu yang sangat baik, menghormati agama Islam dan belum pernah saya mendengar mereka menghina raja-raja melayu kita. Saya percaya, ramai lagi orang melayu di Malaysia mempunyai pendirian yang sama. Lagipun, kesemua parti-parti politik utama melayu di Malaysia (PAS, PKR, PPBM, Amanah, UMNO) sudah pernah atau sedang bekerjasama dengan DAP di dalam gabungan parti. Mengapa semasa bersama, semuanya OK, tetapi bila berpisah, semuanya tak OK. Tak mustahil selepas ini parti melayu lain seperti PAS dan PPBM akan kembali bekerjasama dengan DAP.
Adakah mungkin faktor pengaruh DAP itu lebih besar berbanding dengan parti-parti bukan melayu yang lain menjadi salah satu punca DAP dianggap satu ancaman. Tetapi sebesar mana sekalipun DAP, parti orang melayu tetap majoriti, kita mempunyai Raja-Raja melayu dan perlembagaan memelihara hak kita. Alangkah baiknya jika orang-orang melayu bersatu dan ini tentulah tanggungjawab yang patut dipikul oleh pemimpin-pemimpin melayu sendiri.
Pilihanraya sudah selesai dan wakil-wakil rakyat sudah mengangkat sumpah untuk memulakan tanggungjawab dan melaksanakan janji yang telah dibuat sebelum pilihanraya. Sudah sampai masanya kita rakyat Malaysia bersatu padu dan bekerjasama demi masa depan negara yang lebih baik, tidak kira apa latar belakang kita. Ketepikan sikap perkauman yang sempit dan jangan mudah terpedaya dengan fitnah serta propaganda. Satu perkara lagi , jangan mudah terpengaruh dengan tulisan-tulisan, klip video, tiktok dan ucapan-ucapan yang mengarah kepada kebencian sesama manusia. Selidiki dahulu semua maklumat dan jangan mudah termakan hasutan. Perpecahan dan ektremisme akan membantut usaha ke arah memajukan dan memakmurkan negara kita. Kepada ahli politik, berpolitiklah dengan penuh matang, beretika dan berakhlak agar menjadi contoh tauladan yang baik. Kerajaan dan pembangkang memainkan peranan masing-masing supaya ada semak dan imbang di dalam melayari bahtera untuk kemajuan negara tercinta.
Saya sarankan anda untuk membaca rencana tulisan Dato' Seri Dr.Zulkifli Al-Bakri mengenai panduan hidup bersama orang-orang bukan Islam dalam negara majmuk seperti Malaysia dengan apa yang dinamakan sebagai konsep Fiqh Al-Ta'ayush. (12)
Baca juga tulisan saya tentang Scammer di dalam politik untuk mengenali ciri-ciri ahli politik yang menggunakan platform politik untuk tujuan peribadi ataupun kumpulan mereka, sehingga rakyat menjadi mangsa.(13).
Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
22hb Ogos 2023
RUJUKAN
1. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/gerakan-bawa-kes-hudud-ke-mahkamah-persekutuan-59547
2. https://malaysiagazette.com/2019/11/30/tulisan-jawi-gerakan-mahu-cabar-keputusan-mahkamah/
3.https://www.malaysiakini.com/news/613915
4.https://www.ukm.my/news/Latest_News/malaysia-belum-bersedia-laksanakan-hudud-bicara-persada/
6. https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2008/12/28/hadi-situasi-tidak-stabil-sukar-laksana-hudud
7.https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2009/05/20/gerakan-harap-chin-peng-dibenar-kembali-ke-malaysia
8.https://dapmalaysia.org/en/about-dap/#history
9. https://zulkiflialbakri.com/al-bayan-siri-12-dari-liberalisme-ke-islam-liberal-satu-sorotan/
10. http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15852
11. https://dl.dapmalaysia.org/repository/Eng_Constitution_july_2022.pdf
13. https://www.minda2tinta.com/2023/08/scammer-di-dalam-politik.html
14. https://harapandaily.com/gerakan-bantah-hadis-40-imam-nawawi-di-sekolah-mana-suara-pas/
TULISAN INI ADALAH PANDANGAN PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA2 ORGANISASI DAN INSTITUSI. MAAF JIKA ADA TULISAN SAYA INI YANG MENGGURIS PERASAAN MANA-MANA PIHAK ATAUPUN ADA FAKTA-FAKTA YANG TIDAK TEPAT.
Perlembagaan Parti DAP
Bagus sekali bila jawapan tidak di beri secara 'direct' yang bagi saya 'sudah terang lagi bersuluh'. Lemahnya minda kita bila mudah percaya dgn isu 'melayu akan hilang kuasa', kedudukan islam terancam walhal isu2 ini di main saban waktu oleh parti2 politik yang berkepentingan utk kelompok mereka & bukan ikhlas pun utk membela bangsa. DAP hanya di kambing hitamkan guna memenuhi nafsu serakah & agenda kotor kelompok ini.
ReplyDeleteTetima kasih di atas komen ini sahabat
ReplyDelete