PESANAN KEPADA PEMBERI TESTIMONI PRODUK KESIHATAN OVERCLAIM
Jika anda selalu membaca tulisan saya mengenai bagaimana membuktikan keberkesanan sesuatu produk kesihatan, tentu anda faham mengapa testimoni dianggap kaedah yang paling LEMAH untuk tujuan tersebut. Malangnya testimoni masih digunakan oleh ramai penjual dan pengedar produk kesihatan khususnya dalam kategori produk "overclaim". Mereka menggunakan khidmat beberapa orang pengguna sebagai subjek yang memberi testimoni.
Apabila saya melihat wajah2 pemberi testimoni ini, perasaan saya bercampur baur antara kasihan, sedih dan terkilan. Kasihan sebab mereka mungkin tidak sedar bahawa produk yang mereka ambil itu sebenarnya tidak berkesan dan kesan positif yang mereka alami itu tidak ada kaitan dengan produk tersebut ataupun mereka mengalami kesan plasebo semata2. Saya sedih kerana mereka mungkin dijadikan umpan untuk melariskan jualan produk.
Bagaimana pula individu yang sengaja memberi testimoni palsu ataupun menokok tambah fakta untuk tujuan mempromosi produk? Tindakan ini tentu akan memerangkap ramai orang dan boleh mengancam kesihatan serta pembaziran wang ringgit.
Justeru, menjadi seorang pemberi testimoni ini mempunyai tanggungjawab yang sgt besar kerana mereka mungkin boleh memudaratkan orang lain. Kesannya tentu lebih serius jika melibatkan penyakit yang berat seperti kanser, sakit buah pinggang, diabetes, jantung dan lain2. Kita belum lagi membicarakan isu kesan sampingan yang diakibatkan oleh pengambilan produk ini, lazimnya pengambilan produk ini tidak mempunyai sistem rawatan susulan dan pemantauan yang betul.
Mengapa testimoni boleh mengelirukan? Contohnya ada 100 orang yang mengambil produk tersebut dan hanya 5 orang sahaja yang berkesan (itu pun belum tentu ada kaitan dengan produk yg diambil, mungkin sembuh disebabkan faktor lain ataupun kesan plasebo), kadar keberkesanan hanya 5%. Maksudnya hanya 5% (5/100) BERKESAN dan 95% TIDAK BERKESAN. Pengguna yang 5% ini akan digunakan sebagai pemberi testimoni dan dakwaan mereka diviralkan, sedangkan baki 95% yang tidak berkesan itu akan dilupakan. Melalui kesan viral 5% inilah lebih ramai pengguna dapat ditarik sehingga mungkin berpuluh ribu orang. Bayangkan 5% daripada 100,000 pengguna, sudah ada seramai 5,000 orang, nampak besar bukan tetapi sebenarnya 95% pengguna yang lain iaitu 95,000 orang hanya membazirkan wang semata2. Seperkara lagi, 5% yang berkesan itupun belum tentu berpunca dari pengambilan produk tersebut. Penjual produk pula untung untuk kesemua 100,000 jualan. Kalau satu produk untung RM10 bersih, keuntungan bersih sudah mencecah RM1 juta.
Dengan kemudahan sistem penyampai maklumat hari ini, testimoni yg diberikan akan terus hidup selagi produk itu masih berada di pasaran. Ini bermaksud, jika testimoni itu adalah satu pembohongan ataupun maklumat yang tidak benar, kesan mudaratnya akan berterusan selagi produk itu dibeli dan digunakan. Mungkin ramai pemberi testimoni sudah meninggal dunia, tetapi testimoni mereka itu akan terus digunakan dan kesannya akan berlanjutan. Jadi sebelum mengambil keputusan untuk menjadi seorang pemberi testimoni, fikirkan masak2 kesannya kepada orang lain pada masa ini dan masa akan datang. Apabila anda mengalami masalah kesihatan, berjumpalah dengan doktor kerana doktor perubatan telah dilatih untuk memilih jenis ubat yang betul untuk anda.
Dato' Dr Rushdan Noor
17hb Ogos 2023
No comments:
Post a Comment