Friday, 4 August 2023

MAQASID SYARIAH: APA YANG ORANG AWAM PERLU TAHU

MAQASID SYARIAH: APA YANG ORANG AWAM PERLU TAHU

Sebagai orang awam, kita patut mengetahui beberapa istilah yang sering digunakan oleh agamawan kita di dalam media sosial ataupun majlis perbincangan. Saya selalu terjumpa dengan perkataan Maqasid Syariah. Disebabkan perkataan ini seringkali digunakan, maka rasa rugi kalau saya terlepas daripada mengetahui tentangnya. Saya pun membuat pembacaan dan bertanya kepada ahlinya. Saya memberanikan diri untuk berkongsi maklumat mengenai maksud Maqasid Syariah supaya walaupun tidak mendalami, sekurang-kurangnya kita tidak terasa asing dengan perkataan ini. Jika saya salah, tolong perbetulkan. 

Syariah adalah aturan hukum yang ditetapkan oleh Allah untuk kemaslahatan umat manusia. Ia adalah peraturan yang telah ditetapkan Allah kepada manusia, samada berkaitan dengan hubungan manusia dengan Allah, mahupun hubungan manusia sesama manusia. Rujukan kepada hukum adalah bersumberkan Quran, Sunnah dan Ijmak Ulamak. Setiap syariat yang ditetapkan itu pasti ada matlamatnya iaitu untuk kebaikan umat dan mencegah kemudaratan. 

Maqasid Syariah pula adalah TUJUAN ataupun MATLAMAT syariat tersebut. Maqasid Syariah boleh diumpamakan seperti “BUAH” yang dipetik hasil daripada perlaksanaan syariah (Al-Raysuniy). Apabila menanam pokok, ada peraturan dan teknik penjagaan yang betul untuk menghasilkan pokok yang subur supaya buah yang dihasilkan ranum dan sedap. 

Ulamak berpendapat bahawa Maqasid Syariah tidak dianggap dalil perundangan Islam, namun ia adalah pendekatan untuk lebih mendalami dalil yang kuat dan fakta yang sahih.

Imam Al Ghazali menggariskan 5 Maqasid Syariah iaitu:

1. Pemeliharaan agama (hifz al-din)

2. Pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs)

3. Pemeliharaan akal (hifz al-a’ql)

4. Pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl)

5. Pemeliharaan harta (hifz al-mal)

Kita ambil contoh mudah iaitu salah satu syariat Islam adalah mengeluarkan zakat. Apakah Maqasid Syariah amalan Zakat? Terdapat 10 matlamat amalan zakat termasuk membersihkan harta, membersihkan jiwa pemberi dan penerima, mencegah hasad dengki, meningkatkan ekonomi dan lain-lain. Matlamat inilah Maqasid Syariah. Tetapi untuk mencapai Maqasid Syariah ini kita memerlukan kaedah perlaksanaan yang cekap dan selari dengan syariah. Perlaksanaan terbaik (mengutip dan membahagikan zakat) akan membuahkan hasil terbaik. Perlaksanaan memerlukan buah fikiran, komitmen dan kerjasama golongan ulamak,pemerintah dan cendikiawan di dalam menghasilkan pelan tindakan yang terbaik. Pelan tindakan yang terbaik sahaja tidak cukup jika tidak ada komitmen yang jitu daripada golongan pelaksana.Jadi memang mudah untuk menetapkan Maqasid Syariah tetapi sangat sukar untuk mencapainya kerana ujudnya kelemahan semasa proses perlaksanaan.

Pendek kata Maqasid Syariah melibatkan semua aspek kehidupan daripada sekecil-kecilnya sehingga sebesar-besarnya. Saya tertarik dengan salah satu contoh kecil yang relevan di dalam masyarakat kita iaitu memakai tudung untuk menutup aurat. Memakai tudung itu adalah perlaksanaan, manakala Maqasih Syariahnya adalah kesopanan dan kepatuhan kepada hukum Allah. Tetapi jika pemakainya tidak bersopan, tidak tercapailah Maqasih Syariah. Begitu juga wanita yang tidak memakai tudung tetapi sopan juga tidak mencapai Maqasih Syariah kerana di dalam perlaksanaan, syariah tidak dipatuhi.

Perbincangan tentang Maqasid Syariah tentulah sangat panjang dan hanya layak diberikan oleh ilmuan-ilmuan Islam kerana sifatnya yang sangat luas merangkumi keseluruhan hidup manusia. Ianya dianggap perbincangan tahap tinggi dalam Islam dan memerlukan kefahaman yang mendalam terhadap hukum (tekstual dan kontekstual). Orang awam seperti kita tidak layak untuk memberi pendapat apabila timbul isu-isu kontroversi mengenai Maqasid Syariah. Biarlah isu-isu ini dibincangkan oleh golongan yang berkelayakan seperti mufti, ulamak dan ahli akademik. 

Untuk mencapai Maqasid Syariah ini kita memerlukan kepimpinan ulamak yang serba boleh, berpengetahuan luas bukan sahaja tentang hukum hakam agama, tetapi juga ilmu keduniaan. Inilah kelemahan yang dihadapi oleh Islam hari ini, kita masih ketandusan golongan ilmuan serba boleh seperti ini. Walau bagaimanapun ini boleh diatasi dengan kaedah kolaborasi yakni membawa kepakaran-kepakaran ini kepada satu meja perbincangan yang sama. Di dalam perlaksanaan mencapai Maqasih Shariah, satu lagi golongan yang penting dan tidak boleh disisihkan adalah pemimpin (umarak) kerana mereka  memegang kuasa pemerintahan. 

Menurut A.Prof Dr.Ruzman daripada Akademik Pengajian Islam, UM, tidak semua Maqasid Shariah itu dapat ditemui, maksudnya kita tidak tahu mengapa Allah menetapkan sesuatu Syariah, tidak tercapai akal manusia untuk mencarinya. Di dalam keadaan ini, kita hanya perlu meletakkan keabdian dan kepatuhan kepadaNya.

Disebabkan oleh masyarakat yang semakin kompleks dan teknologi berkembang dengan pesat, maka perlaksanaan untuk mencapai Maqasid Syariah juga berubah-ubah mengikut masa dan menjadi lebih kompleks berbanding dengan masa lampau. Pendek kata ianya bersifat dinamik walaupun prinsipnya sama. Kaedah perlaksanaan inilah yang seringkali menjadi perdebatan sehingga kadangkala menyebabkan berlakunya pertelingkahan. Dengan kompleksiti masyarakat dan kepesatan ilmu ini maka kita sebenarnya memerlukan golongan agama yang lebih tinggi darjat keilmuan dan kebijaksanaannya. 

Saya kongsikan kebimbangan Prof Emeritus Dato' Dr. Mahmood Zuhdi berkenaan dengan apa yang sedang berlaku di dalam dunia Islam hari ini iaitu sudahlah kita ketandusan ulamak yang serba boleh, ulamak-ulamak yang ada pada hari ini pula sedang berbalah sesama sendiri sehingga berlaku perpecahan. Punca perpecahan yang paling ketara adalah kegagalan untuk menangani perbezaan pendapat. Apa yang malang sekali adalah perpecahan ini disebabkan oleh berbalah mengenai isu-isu ranting sehingga isu-isu pokok tertinggal ke belakang. Jika ini berterusan, maka jauhlah lagi perjalanan kita untuk mencapai Maqasid Syariah seperti yang digariskan oleh Imam Al-Ghazali itu.

Prof Zuhdi juga menekankan mengenai betapa pentingnya perpaduan umat Islam sehingga beliau mencadangkan  satu lagi Maqasid Syariah iaitu Memelihara Hubungan. Perpecahan boleh menyebabkan kita gagal mencapai Maqasid Syariah. Akibat perpecahan, sebuah tamadun boleh runtuh. Katanya, akibat perpecahan juga, majoriti menjadi minoriti kerana sudah terpecah kepada banyak kumpulan sehingga akhirnya golongan yang benar-benar minoriti boleh menguasai golongan yang asalnya majoriti.Jika kita masih lagi bersikap tidak kisah dan tidak mengambil berat isu perpecahan ini, maka bersedialah umat Islam untuk menghadapi masa depan yang gelap. 


Dato' Dr. Rushdan Noor  

5hb Ogos 2018

No comments:

Post a Comment