WAJARKAH TINDAKAN MENBOIKOT PENYOKONG PARTI POLITIK
Selepas selesai pilihanraya negeri baru-baru ini, berlaku pula kempen memboikot perniagaan penyokong parti lawan. Ianya disuarakan secara terbuka di media-media sosial. Kita tidak pasti samada ianya serius ataupun hanya sekadar acah-acah sahaja. Adakah ini petanda masyarakat kita masih belum matang dalam berpolitik ataupun sememangnya memboikot itu boleh diamalkan dalam situasi tertentu?
Kempen memboikot terhadap produk2 atau perniagaan pihak lain yang dianggap musuh ataupun ancaman bukan perkara baru. Ianya dianggap satu bentuk tindakan melepaskan rasa ketidakpuasan dan perasaan marah kepada pihak yang diboikot. Berdasarkan kepada sejarah kempen memboikot yang lepas-lepas, hampir kesemua kempen tersebut tidak bertahan lama, umpama "hangat-hangat tahi ayam".
Memboikot jika dilakukan dengan sistematik dan dirancang dengan baik boleh memberi kesan negatif ke atas pihak yang diboikot. Persoalannya adakah boikot itu satu tindakan yang matang dan wajar ? Tidakkah dengan memboikot itu bukan sahaja pihak yang diboikot terkesan tetapi ada "collateral damage" ataupun kerugian sampingan yang berlaku ke atas orang lain, yang tidak terlibat tetapi mempunyai hubungan dengan mangsa boikot.
Memboikot ini ada baik dan buruknya. Memboikot boleh memberi pengajaran kepada pihak yang diboikot agar tidak mengulangi perkara yang menjadi punca boikot. Dengan syarat pihak yang diboikot itu benar2 melakukan kesalahan ataupun penganiayaan. Walau bagaimana pun tindakan memboikot secara semberono boleh menyebabkan pihak yang diboikot pula teraniaya, contohnya memboikot hanya kerana seseorang itu mempunyai pendapat yang berbeza. Kadangkala pihak yang memboikot turut sama mengalami kerugian jika pihak yang diboikot itu mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat.
Di dalam politik, memboikot yang dilakukan secara pukal seperti memboikot peniaga dari negeri tertentu adalah tindakan yang tidak wajar kerana mangsa boikot itu nanti adalah semua peniaga dari negeri tersebut termasuk yang menyokong pihak yang memboikot. Lagipun hak mengundi itu adalah hak kebebasan individu yang diperuntukkan oleh perlembagaan. Mengundi parti politik lawan bukan satu kesalahan ataupun dosa kerana pendirian politik adalah satu ijtihad. Pendek kata, alasan memboikot seperti ini akan membawa lebih banyak keburukan dari kebaikan. Peniaga2 tersebut juga mempunyai pekerja2 mereka dan ada sumbangan2 mereka kepada pendapatan negeri dan negara. Memboikot begini akan menyebabkan "collateral damage" yang besar.
Memboikot dalam politik boleh juga dilakukan dalam bentuk tidak menyalurkan bantuan, mendiskriminasi, menarik balik kemudahan dan lain-lain terhadap individu atau kumpulan yang dianggap lawan politik.
Bagaimana pula memboikot terhadap individu yang menggunakan populariti dirinya berkempen untuk mana-mana parti politik ? Kebelakangan ini telah menjadi satu trend berkempen menggunakan media sosial seperti tik tok, youtube, tweeter, facebook dan sebagainya. Menggunakan media social influencer dan artis yang sememangnya sudah dikenali adalah kaedah sangat berkesan untuk menyebarkan bahan2 kempen dan propaganda. Mereka ini mungkin mendapat bayaran yang tinggi untuk kerja-kerja sebagai agen berkempen. Mereka ini juga mungkin terlibat dengan perniagaan. Jadi mereka mungkin akan menjadi sasaran memboikot oleh penyokong parti politik. Di samping risiko kehilangan peminat, perniagaan mereka juga boleh terancam.
Pada pendapat saya, terdapat dua kategori golongan selebriti dan "sosial media influencer" yang membantu kempen politik. Golongan pertama adalah mereka yang berkempen melalui kaedah yang beretika dan beradab, golongan kedua adalah mereka yang berkempen secara tidak beretika, menyebarkan fitnah, menunjukkan akhlak yang buruk dan tidak segan silu melanggar peraturan berkempen yang telah ditetapkan oleh pihak SPR. Secara umumnya, saya menentang amalan memboikot ke atas golongan yang pertama tetapi saya tidak menentang jika ada usaha memboikot golongan kedua. Lebih2 lagi jika mereka ini menerima upah untuk melakukan kerja tersebut. Walaupun memang akan ada "collateral damage" ke atas pemboikotan golongan kedua, namun ianya tidak sebesar memboikot ke atas golongan pertama ataupun memboikot secara pukal. Tambahan pula, menyebarkan fitnah dan melanggar peraturan berkempen membawa lebih mudarat kepada masyarakat dan tindakan memboikot ini boleh dijadikan kaedah pencegahan dan amaran kepada lain-lain selebriti atau "social media influencer" yang bercadang untuk melakukan perkara yang sama di masa hadapan. Niat memboikot adalah untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya akhlak dan tanggungjawab serta mencegah budaya memfitnah semasa berpolitik.
Membantu kempen mana-mana parti politik adalah pilihan diri sendiri tetapi berisiko kerana anda telah mendedahkan kepada orang ramai tentang parti politik yang anda sokong dan menentang parti lain secara terbuka. Tentu sekali, pihak lawan atau kenalan anda yang berbeza parti tidak akan merasa senang dengan tindakan anda dan perasaan ini mungkin dimanifestasikan dengan memboikot produk ataupun perniagaan anda. Memboikot bukan semestinya secara terang-terangan, tetapi secara tersembunyi, contohnya mereka memilih kedai atau produk dari syarikat lain. Mereka juga mungkin mula menjauhkan diri dari anda dan hubungan persahabatan mungkin terjejas. Tidak semua orang mempunyai hati yang terbuka dan menerima perbezaan pendapat di dalam politik.
Jika anda seorang selebriti atau "media social influencer", ketahuilah batas2 berkempen dan lakukan pencarian maklumat agar anda tidak bersubahat memfitnah orang lain. Dosa memfitnah tidak terlepas di atas apa sahaja alasan. Wang ringgit boleh dicari tetapi dosa memfitnah boleh menyebabkan anda muflis di sana nanti. Pesanan yang sama kepada anda yang bercadang untuk memboikot kerana tindakan ini boleh menjadi "senjata makan tuan".
Maka sebelum mengambil keputusan untuk berkempen dengan parti politik, anda sepatutnya sudah tahu risiko-risiko yang bakal dihadapi. Anda dapat imbuhan dari penaja tetapi anda mungkin juga akan menghadapi cabaran diboikot selepas selesai pilihanraya.
Dato' Dr.Rushdan Noor
27hb Ogos 2023
TULISAN DI ATAS HANYALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS.
No comments:
Post a Comment