Friday, 13 June 2025

SUPLEMEN FITOSTEROL ATAU STATIN UNTUK RAWATAN KOLESTEROL ?


 

PENDAHULUAN
Sebelum membaca rencana ini saya syorkan anda membaca tulisan saya bertajuk KOLESTEROL DAN UBAT STATIN: FAKTA DAN AUTA , KLIK DI SINI. Keputusan untuk menggunakan ubat statin diterangkan di dalam tulisan tersebut. Rencana terbaru ini adalah dalam konteks yang sama. Tulisan ini juga akan menjawab terhadap dakwaan kononnya ada rawatan alternatif dari sumber semulajadi yang lebih baik dan terbukti melalui kajian klinikal.
APAKAH STEROL TUMBUHAN ATAUPUN FITOSTEROL Salah satu sebatian kimia dari tumbuhan yang melalui kajian saintifik adalah FITOSTEROL ("phytosterols") ataupun Sterol tumbuhan. Fitosterol terdiri dari beberapa jenis, antaranya campesterol, beta-sitosterol dan stigmasterol. Sebatian semulajadi ini terdapat dalam tumbuh-tumbuhan yang mempunyai struktur kimia mirip dengan kolesterol dalam tubuh manusia. SUMBER SEMULAJADI FITOSTEROL Fitosterol wujud secara semula jadi dalam: 1. Kacang dan biji (seperti badam, biji bunga matahari) 2. Minyak sayuran (minyak jagung, minyak kacang soya) dan minyak zaitun. 3. Sayur-sayuran dan buah-buahan seperti broccoli, avacado, limau dll (dalam kuantiti kecil) 4. Produk yang diperkayakan ("fortified") sterol (margarin, yogurt, susu rendah lemak) BAGAIMANA FITOSTEROL MENGURANGKAN LDL DARAH Disebabkan persamaan struktur fitosterol dengan kolesterol, fitosterol boleh bersaing dengan kolesterol untuk masuk ke dalam pengangkut dinamakan micelle yang diperlukan untuk penyerapan kolesterol ke dalam darah. Apabila fitosterol memenuhi micelle, maka kolesterol tidak dapat diserap dan dilepaskan bersama najis. Kolesterol darah akan menurun dan hati akan menarik lebih banyak kolesterol dari darah untuk menghasilkan cecairan hempedu. Hasilnya paras LDL (kolesterol jahat) darah akan menurun. Fitosterol tidak menjejaskan tahap HDL (kolesterol baik) dan Trigliserida. BERAPA BANYAK FITOSTEROL DIPERLUKAN UNTUK MENURUNKAN KOLESTEROL Kajian menunjukkan bahawa pengambilan 2 gram fitosterol setiap hari boleh menurunkan kolesterol LDL sebanyak 5–15%. Fitosterol ini biasanya perlu diambil secara tetap dan dengan makanan untuk kesan optimum. Tetapi untuk mengambil 2 gram fitosterol sehari, jika sumbernya hanya dari biji badam, ANDA PERLU MENGAMBIL 1.3 KG BIJI BADAM. KAJIAN SAINTIFIK FITOSTEROL DAN PENGURANGAN KOLESTEROL DARAH Satu kajian meta-analisis telah dijalankan melibatkan 59 kajian rawak menilai keberkesanan fitosterol dalam menurunkan kolesterol darah. Kajian itu mendapati (1) : Fitosterol mengurangkan LDL sebanyak ~0.31 mmol/L (~12 mg/dL), bersamaan dengan penurunan sebanyak 8–15%, selepas pengambilan selama 4–6 minggu dengan dos 1–3 gram sehari, dalam bentuk makanan yang diperkayakan. Lagi tinggi dos, lagi besar penurunan kolesterol di mana 3 gram sehari pengambilan fitosterol menurunkan LDL sehingga 12%. Walau bagaimana pun, pengambilan melebihi 3 gram fitosterol sehari tidak memberi manfaat tambahan. SUMBER FITOSTEROL DARI MAKANAN DAN DALAM BENTUK SUPLEMEN Hasil kajian menunjukkan kedua2 sumber samada melalui makanan yang diperkaya ("fortified food") ataupun suplemen, kesan penurunan LDL darah adalah sama dengan syarat dos fitosterol yang diambil adalah sama.(2) .Tetapi umumnya, pengambilan melalui makanan semulajadi (kekacang, bijirin, minyak sayur, buah dan sayuran cth: avocado, broccoli, limau dan pistachios) hanya membekalkan fitosterol kurang dari 600 mg sehari. Kecuali jika mengambil makanan yang diperkayakan (fortified) dengan sterol ataupun dalam bentuk suplemen, makanan semulajadi sukar untuk mengurangkan LDL darah secara berkesan UNTUK TUJUAN RAWATAN. MENGAPA PAKAR TIDAK MENGESYORKAN SUPLEMEN FITOSTEROL UNTUK MENGURANGKAN LDL BERBANDING DENGAN UBAT STATIN Persoalan ini adalah dalam konteks apabila seseorang itu telah memenuhi kriteria untuk dirawat dengan ubat kolesterol, selain daripada mengamalkan diet dan gayahidup sihat. Ini adalah juga soalan paling penting untuk dibincangkan dalam rencana ini kerana penerangan ini akan juga terpakai untuk ubat2 lain dan suplemen2 lain yang digunakan untuk merawat penyakit. Pengamal perubatan konvensional tidak menafikan tentang adanya sebatian kimia berasaskan tumbuhan yang melalui kajian saintifik. Ada antaranya didapati berkesan seperti fitosterol di dalam mengurangkan LDL. Tetapi ada beberapa isu besar yang menyebabkan pakar2 perubatan keberatan untuk mengesyorkannya sebagai kaedah utama, berikut adalah 4 sebab utama: 1. KETIDAKPASTIAN KESAN FITOSTEROL KE ATAS SISTEM SALURAN DARAH JANTUNG, OTAK DAN KADAR KEMATIAN Menilai keberkesanan ubat kolesterol bukan setakat kemampuannya menurunkan kandungan LDL-C ataupun non HDL-C darah, tetapi juga kesan akhirnya ke atas kesihatan jantung yakni adakah ia mengurangkan kadar serangan jantung, angin ahmar dan mengurangkan kadar kematian. Kesan akhir ini bergantung kepada beberapa faktor lain termasuk kesan pengurangan proses keradangan. Memang terdapat banyak kajian ke atas fitosterol dalam bentuk makanan yang diperkayakan ataupun ekstrak fitosterol , tetapi hanya setakat pengurangan kandungan LDL C. Kajian2 ini tidak cukup besar dan tidak cukup panjang untuk menilai kesan rawatan ke atas kesihatan salur darah jantung dan otak, apatah lagi kadar kematian. Jika pun ada kajian itu, setakat ini belum menunjukkan keberkesanan yang sama seperti ubat statin. Ubat statins telah dibuktikan bukan sahaja mengurangkan tahap kolesterol LDL tetapi juga dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dan kematian seperti kajian The JUPITER dan 4S. (3,4). Jadi manfaatnya ke atas kesan akhir itu telah dibuktikan. Kajian terbaru juga membuktikan ubat statin mengurangkan risiko nyanyok atau dementia. Ini tidak dibuktikan oleh pengambilan fitosterol. 2. POTENSI KESAN MUDARAT TERHADAP INDIVIDU TERTENTU. Fitosterol menurunkan kandungan LDL dengan bersaing untuk masuk ke dalam pengangkut (micelle) di usus dan saingan ini mengurangkan penyerapan kolesterol. Walaupun fitosterol bersaing untuk tertarik ke dalam pengangkut semasa proses penyerapan, kadar penyerapannya sangat rendah ke dalam darah. Jadi kandungan fitosterol darah tidak tinggi. Dikatakan kurang dari 2% sahaja yang diserap ke dalam darah. Berbanding dengan kolesterol, fitosterol di dalam darah ini lebih mudah membentuk plug (lebih "atherogenic"). Lebih kurang 8-12% dari populasi, kadar penyerapan masuk fitosterol ke dalam darah lebih tinggi dari orang biasa disebabkan oleh faktor genetik yang dikenali sebagai sitosterolemi. Apabila mengambil produk berasaskan fitosterol, mereka ini akan mengalami tahap fitosterol darah yang lebih tinggi dan meningkatkan pula risiko penyakit salur darah. Kepada mereka2 ini, fitosterol umpama serampang dua mata. Di samping itu, pengambilan fitosterol melebihi 3 gram sehari tidak memberi lebih manfaat, sebaliknya boleh menyebabkan gangguan penyerapan vitamin larut lemak (Vit A, D, E, K). 3. KESAN PENGURANGAN LDL YANG LEBIH KECIL Kadar pengurangan LDL darah oleh produk yang berasaskan kepada fitosterol adalah lebih kecil dari ubat statin. Dos yang dianggap tinggi fitosterol hanya mampu mengurangkan LDL darah pada kadar 8-12% , berbanding dengan dos rendah ubat statin yang paling minimum mengurangkan LDL sebanyak 30-40%. Kajian klinikal yang membandingkan 5 mg Rosuvastatin dengan 1.6 gram fitosterol sehari mendapati, ubat statin mengurangkan LDL sebanyak 33.5% berbanding dengan fitosterol yang tidak memberikan sebarang kesan penurunan (-1.7%). (5) Pengambilan fitosterol melebihi 3 gram sehari tidak menurunkan tahap LDL lebih rendah, jadi terdapat had ataupun siling keberkesanan fitosterol. Maka ianya tidak mampu untuk menurunkan tahap LDL jika sasarannya lebih rendah. 4. KERAGUAN PRODUK SUPLEMEN DARI ASPEK PROSES PENGHASILAN, DOS FITOSTEROL DAN KESELAMATAN Fakta ini terpakai untuk semua jenis suplemen.Tidak seperti ubat preskripsi seperti statin, kebanyakan suplemen tidak perlu melalui ujian klinikal yang ketat sebelum dipasarkan. Di banyak negara (termasuk Malaysia), produk ini dikawal sebagai produk makanan ataupun suplemen kesihatan (kategori N), bukan ubat (kategori A), maka piawaian keselamatan dan keberkesanan tidak seketat ubat dari kategori A. Hasil kajian yang positif tentang fitosterol diperolehi melalui pengendalian rapi peserta kajian dan pengambilan dos fitosterol yang betul. Tetapi ini sukar diperolehi jika diambil oleh orang ramai di luar konteks penyelidikan. Kebimbangan ke atas produk suplemen ini juga ujud tentang kandungan sebenar, kuantiti bahan aktif (fitosterol) yang mungkin tidak sama seperti yang tercatat di label, pencemaran dan kemungkinan campur-palsu Kadar penyerapan bahan aktif juga tidak seragam dan boleh berlaku interaksi dengan ubat-ubat lain yang diambil. KESIMPULAN Masalah kolesterol darah yang tinggi boleh diatasi dengan pelbagai kaedah. Mengawal makanan, melakukan senaman, mengurangkan stress dan mengamalkan gayahidup sihat adalah salah satu amalan yang perlu dilakukan oleh semua orang. Apabila seseorang memenuhi kriteria2 yang mewajarkan mereka mengambil ubat kolesterol, mereka akan disyorkan mengambil ubat statin. Ubat statin adalah pilihan terbaik untuk mengurangkan risiko serangan jantung, angin ahmar, dementia dan menurunkan kadar kematian. Walaupun fitosterol berkesan mengurangkan LDL, pengambilannya dalam bentuk makanan ataupun suplemen mempunyai banyak kelemahan dan kurang bukti keberkesanan di dalam menurunkan kadar serangan jantung dan kematian. Mungkin fitosterol dari sumber makanan yang diperkayakan boleh dipertimbangkan untuk dijadikan ikhtiar tambahan ke atas ubat statin jika individu tersebut tidak boleh mengambil statin melebihi dos tertentu kerana kesan sampingan. Dato' Dr.Rushdan Noor 13hb Jun 2025 RUJUKAN 1. AbuMweis SS, Barake R, Jones PJH. Plant sterols/stanols as cholesterol lowering agents: a meta-analysis of randomized controlled trials. Food & Nutrition Research, 2008. 2. Shaghaghi, A., Abumweis, S. S., & Jones, P. J. H.Cholesterol-lowering efficacy of plant sterols and stanols provided in capsule and tablet formats: A systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials.Journal of the Academy of Nutrition and Dietetics, 2013,113(11), 1494–1503 3.Ridker, P. M., Danielson, E., Fonseca, F. A. H., et al. JUPITER Study Group. (2008). Rosuvastatin to prevent vascular events in men and women with elevated C-reactive protein. New England Journal of Medicine, 359(21), 2195–2207 4. Scandinavian Simvastatin Survival Study Group. (1994). Randomised trial of cholesterol lowering in 4444 patients with coronary heart disease: the Scandinavian Simvastatin Survival Study (4S). The Lancet, 344(8934), 1383–1389 5.Barkas, F., Bathrellou, E., Nomikos, T., Kontogianni, M. D., et al. Comparative effects of low-dose rosuvastatin, placebo, and dietary supplements on lipids and inflammatory biomarkers. Journal of the American College of Cardiology. 2023


No comments:

Post a Comment