Tuesday 13 April 2021

MENGAPA PENERIMA VAKSIN MASIH BOLEH DIJANGKITI OLEH COVID-19 DAN KESAN PELTZMAN

Sudah hampir 1 juta rakyat Malaysia rata2 terdiri dari frontliners telah menerima vaksin Covid-19. Di samping aduan-aduan mengenai kesan sampingan kita menjangkakan akan meningkat juga kes-kes di mana penerima vaksin dijangkiti Covid-19 walaupun sudah melengkapkan pengambilannya. 

Terdapat sekurang2nya 5 sebab mengapa seseorang yang sudah menerima vaksin boleh dijangkiti Covid-19 iaitu:

1. Jika keberkesanan vaksin adalah 95%, anda mungkin termasuk di dalam 5% yang masih boleh mendapat jangkitan. 

2. Anda mungkin sudah mendapat jangkitan dan tidak bergejala sebelum vaksin diberikan. Mungkin beban virus pun masih rendah dah jika ujian Covid dilakukan pun boleh dapat keputusan negatif ("false negative").

3. Anda mendapat jangkitan semasa vaksin yang diberikan itu belum berkesan untuk mencegah jangkitan. Umumnya perlindungan maksima hanya mula diperolehi selepas 2 minggu suntikan kedua. Jadi anda masih boleh dijangkiti sebelum vaksin itu berkesan sepenuhnya. 

4. Tidak semua vaksin berkesan untuk semua varian virus Covid-19. Berdoa semoga anda tidak dijangkiti oleh virus Covid-19 dari varian B1.351 (varian Afrika Utara) yang kebal kepada beberapa jenis vaksin.

5. KESAN PELTZMAN

Di dalam posting kali ini, saya ingin berkongsi tentang sebab ke-5 iaitu KESAN PELTZMAN. Saya menggunakan istilah Kesan Peltzman yang merujuk kepada satu teori di mana seseorang akan melakukan perbuatan yang lebih berisiko apabila wujudnya peraturan melindungi mereka daripada risiko tersebut. Istilah ini digunapakai semasa peraturan pemakaian tali pingang keledar mula dikuatkuasakan di mana bilangan kemalangan jalanraya meningkat disebabkan oleh sikap pemandu yang merasa lebih selamat.

Kesan Peltzman ini boleh berlaku ke atas penerima vaksin termasuk frontliners. Apabila mereka sudah menerima vaksin, mereka merasa lebih selamat dan mula melonggarkan amalan pencegahan yang lain. Mereka mula melakukan aktiviti berisiko serta tidak memakai topeng muka dengan betul dan penjarakkan yang mencukupi. Walaupun mereka mungkin mengalami gelaja ringan namun mereka boleh menjangkiti orang lain.

Frontliners termasuk doktor2 yang merawat pesakit Covid-19 juga tidak terlepas dari Kesan Peltzman ini. Tidak hairanlah mengapa berlaku kejadian doktor2 (luar negara) yang mendakwa dijangkiti oleh Covid-19 walaupun sudah menerima vaksin. Ada di antara mereka ini mengadu bahawa sebelum menerima vaksin mereka sudah merawat beratus2 pesakit Covid-19 tetapi tidak dijangkiti. Sebaliknya selepas diberikan vaksin, mereka dijangkiti. Di samping sebab2 yang dinyatakan di atas, fenomena ini boleh juga diterangkan dengan Kesan Peltzman. Semasa merawat pesakit Covid-19, mereka terselamat dari dijangkiti kerana mengamalkan langkah pencegahan yang ketat. Tetapi sesudah menerima vaksin, amalan pencegahan mereka menjadi semakin longgar kerana menyangka yang mereka lebih selamat.

Sebagai penerima vaksin, kita perlu meneruskan amalan pencegahan yang lain memandangkan pandemik Covid-19 ini masih berlaku dan jangkitan sudah merebak masuk ke dalam masyarakat kita. Sesiapa sahaja di sekitar kita mungkin pembawa virus. Selagi Pandemik Covid-19 ini wujud, maka selagi itulah kita perlu berwaspada walaupun sudah menerima vaksin. Kita hanya dapat kembali kepada kehidupan asal apabila kita sudah mencapai Imuniti Berkelompok (Herd Immunity).

Berita baik untuk penerima vaksin adalah walaupun mendapat jangkitan Covid-19, gejala yang akan dialami adalah ringan kerana vaksin membantu menekan serangan virus. Anda mungkin tidak perlu dimasukkan ke wad, tidak memerlukan bantuan pernafasan dan tidak mati akibat Covid-19.




Dato' Dr.Rushdan Noor

14 hb April 2021

No comments:

Post a Comment