Wednesday 21 April 2021

ADAKAH PERUBATAN KOMPLIMENTARI DAN ALTERNATIF (PKA/CAM) BOLEH MERAWAT KANSER ?

Saya sudah menulis panjang lebar mengenai apakah kaedah moden (konvensional) untuk merawat penyakit kanser. Tulisan ini adalah di dalam konteks rawatan penyakit kanser walaupun istilah PKA/CAM ini boleh juga digunakan untuk penyakit2 lain. Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh rawatan komplimentari dan alternatif ke atas pesakit kanser. 

Berikut adalah ringkasan mengenai isu ini daripada perspektif perubatan moden.

1.RAWATAN KANSER MODEN (KONVENSIONAL) terdiri daripada pembedahan, kemoterapi, radioterapi, terapi hormon, targeted therapy, terapi imun (masih baru) dan gabungan dua ataupun lebih rawatan2 ini. Kaedah rawatan ini bertujuan untuk menyembuhkan ataupun memanjangkan hayat pesakit kanser.

2.RAWATAN KOMPLIMENTARI adalah rawatan sampingan yang bertujuan untuk mengurangkan gejala akibat daripada penyakit ataupun kesan sampingan rawatan kanser moden. Tujuan rawatan komplimentari bukan untuk menyembuhkan kanser tetapi mengurangkan gejala.

3.RAWATAN ALTERNATIF adalah rawatan (selain daripada yang tersenarai di atas(1) yang didakwa boleh menggantikan kaedah rawatan kanser moden. Pendek kata boleh digunakan untuk menyembuhkan penyakit kanser.

4.Di antara kaedah2 rawatan yang tergolong di dalam PKA/CAM adalah vitamin suplemen, terapi diet, yoga, tai chi, akupuntur, rawatan traditional Cina (TCM), herba, bekam, homeopati, Ayurveda, terapi ozon, mengurut dan lain-lain. Kajian di Malaysia menunjukkan 46.5% pesakit kanser payudara mengamalkan PKA/CAM.

5.Pada pandangan pengamal perubatan moden khususnya pakar kanser, setakat ini TIDAK ADA mana2 kaedah rawatan alternatif yang telah terbukti berkesan berdasarkan KAJIAN SAINTIFIK yang dapat menyembuhkan penyakit kanser.

6.Disebabkan tidak mempunyai bukti yang kukuh, pakar kanser hanya membenarkan kaedah rawatan alternatif YANG TERPILIH untuk digunakan ke atas pesakit yang TELAH GAGAL dirawat dengan kaedah rawatan kanser moden.

7.Pengamal perubatan moden percaya terdapat beberapa kaedah rawatan komplementari yang selamat diamalkan dan sesuai digabungkan dengan rawatan moden.

8.Apabila menyebut gabungan ataupun integrasi (“integrated medicine”) di antara rawatan kanser moden dengan rawatan komplimentari, maka ianya bermaksud pesakit akan dirawat dengan kaedah rawatan moden sebagai RAWATAN UTAMA untuk menyembuhkan kanser. Rawatan komplementari pula diintegrasikan untuk tujuan MENGURANGKAN GEJALA kesan sampingan rawatan kanser moden. Rawatan komplimentari juga bertujuan untuk mengurangkan kesan sampingan (fizikal dan psikologikal) akibat penyakit kanser itu sendiri. Rawatan2 complementari ini pula hendaklah sudah disahkan berkesan dan selamat digunakan.

9.Kajian terkini telah menunjukkan bahawa apabila masyarakat memilih PKA/CAM sebagai kaedah rawatan utama, maksudnya pesakit pergi mendapatkan rawatan PKA/CAM untuk merawat kanser mereka dan mengenepikan rawatan kanser moden, kadar kematian ataupun kemungkinan pesakit untuk mati akibat kanser adalah lebih tinggi. Hasil kajian ini telah disiarkan di dalam Journal of the NCI keluaran bulan Ogos 2017. Analisis dilakukan ke atas pesakit kanser payudara, kanser prostat, paru-paru dan usus besar. Pesakit2 ini enggan menerima rawatan kanser moden sebaliknya mengamalkan PKA/CAM. Keseluruhannya kadar kematian meningkat sebanyak 2.5 kali ganda (250%) ke atas semua pesakit kanser yang memilih PKA/CAM. Apabila diasingkan jenis2 kanser, kadar kematian meningkat sebanyak 5.68 kali lebih tinggi dalam kalangan pesakit kanser payudara, 2.17 kali kanser paru2 dan 4.57 kali ke atas kanser usus besar. Kajian ini telah mengesahkan kebimbangan pakar kanser mengenai kesan mudarat amalan PKA/CAM untuk tujuan menggantikan rawatan moden sebagai rawatan utama kanser.


CAM : Complementary and Alternative Medicine

TCM : Traditional Chinese Medicine


RUJUKAN


https://academic.oup.com/jnci/article/doi/10.1093/jnci/djx145/4064136/Use-of-Alternative-Medicine-for-Cancer-and-Its

http://journals.plos.org/plosone/article?id=10.1371/journal.pone.0176394

https://sciencebasedmedicine.org/complementary-and-alternative-medicines-and-cancer/

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

No comments:

Post a Comment