Monday, 12 April 2021

PESAKIT KANSER DAN BERPUASA

 


Amalan berpuasa di bulan Ramadan adalah salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh penganut agama Islam. Walau bagaimanapun terdapat keadaan tertentu dimana umat Islam diberikan keringanan dan dibenarkan berbuka jika berpuasa memudaratkan mereka.

Berpuasa memang mempunyai kebaikan kepada seseorang seperti meransang badan untuk melancarkan tindakbalas melawan stres di peringkat sel ("cellular stress") sehingga badan menjadi lebih tahan lasak apabila stres yang lebih besar menyerang sel-sel. Berpuasa juga mengurangkan insulin, IGF-1 dan kandungan gula darah dan meningkatkan kemampuan badan mematikan sel-sel yang tidak normal. 

Walau bagaimanapun manfaat yang diberikan oleh amalan berpuasa ini lebih kepada individu yang normal dan tidak mengalami penyakit yang serius. Ianya lebih kepada mencegah penyakit dan bukan mengubati penyakit. Pertimbangan manfaat:mudarat perlu dilakukan ke atas seseorang yang mengalami penyakit, lebih-lebih lagi penyakit serius seperti kanser.

Terlalu banyak mitos yang mengaitkan berpuasa ataupun mengurangkan pengambilan kalori ("calorie restriction") dengan rawatan kanser. Walaupun ada kajian yang dilakukan namun kajian tersebut adalah kajian praklinikal dan belum disahkan ke atas manusia. Di samping itu terlalu ramai peniaga yang mengambil kesempatan di atas mitos-mitos ini dengan memperkenalkan perkhidmatan dan produk2 yang kononnya dapat merawat kanser melalui kawalan makanan dan suplemen. Akibatnya ramai pesakit yang keliru dan terpedaya. Setakat ini belum ada mana-mana dakwaan mereka ini yang telah disahkan oleh pakar kanser. Malahan ada di antaranya yang boleh memudaratkan pesakit kanser.

Pesakit kanser menghadapi dua cabaran besar iaitu kesan penyakit kanser ke atas badan mereka dan kesan sampingan akibat rawatan yang diberikan. Salah satu masalah besar yang dihadapi oleh pesakit kanser adalah kekurangan zat makanan. Kajian yang dilakukan menunjukkan majoriti pesakit kanser mengalami masalah nutrisi, di mana kadar malnutrisi dalam kalangan mereka boleh mencapai sehingga 75% (1). Tahap nutrisi mempunyai kaitan yang rapat dengan keupayaan badan untuk melawan kanser dan juga untuk menjalani rawatan kanser. Maka, daripada fakta ini jelaslah bahawa berpuasa dalam kalangan pesakit kanser yang sudah mengalami masalah nutrisi ataupun berisiko mengalami masalah nutrisi akan memudaratkan tubuh badan mereka dan boleh menjejaskan peluang mereka untuk sembuh (2,3).

Di samping masalah nutrisi, pesakit kanser juga berisiko mengalami masalah kehilangan otot ataupun Sarcopenia akibat daripada penyakit, kurang bergerak dan juga kesan kekurangan pengambilan makanan. Sarcopenia menyebabkan mereka lemah, sukar bergerak dan menurunkan kualiti hidup mereka. Malnutrisi dan sarcopenia adalah dua keadaan yang patut dielakkan oleh pesakit kanser.

Berdasarkan kepada fakta di atas, saya boleh simpulkan bahawa pada pandangan pakar kanser, pesakit kanser yang mengalami masalah nutrisi tidak disyorkan untuk berpuasa. Ini merangkumi sebahagian besar pesakit kanser yang penyakit mereka masih aktif, semua pesakit yang sedang menerima rawatan dan yang sedang mendapat rawatan paliatif. Pesakit kanser yang dibenarkan untuk berpuasa adalah pesakit kanser yang telah disahkan sembuh ataupun bebas dari kanser, tidak mengalami gejala muntah/cirit birit dan mempunyai tahap nutrisi yang baik. 

Pesakit-pesakit kanser yang lain perlu mendapatkan nasihat Pakar Kanser samada mereka boleh ataupun tidak berpuasa. Pakar kanser akan melihat keseluruhan aspek kanser, "performance status" dan tahap nutrisi mereka sebelum memberi keputusan. Keupayaan seseorang pesakit kanser berbeza dengan pesakit yang lain. 

Daripada perspektif agama Islam, saya merujuk kepada firman Allah Taala:

.. فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ..

" .. Barangsiapa di antara kamu yang sakit atau dalam keadaan musafir,  (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain .." (ayat 184, surah Al Baqarah)


Menurut huraian ulama', rahimahullah: Bahawa orang sakit yang ada harapan untuk sembuh, dibolehkan meninggalkan puasa semasa ia sakit dan diwajibkan ia mengqadha puasanya itu sesudah ia sembuh kelak.Sebaliknya orang yang sakit berat dan tidak ada harapan untuk sembuh dan orang tua yang tidak larat berpuasa, dibolehkan mereka meninggalkan puasa di sebabkan uzurnya itu dan diwajibkan membayar "fidyah" iaitu memberi makan orang miskin,  satu cupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasanya (4). 


Dato' Dr Rushdan Noor 

Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

6 hb Mei 2019


RUJUKAN


1. Ryan AM, Power DG, Daly L, Cushen SJ, Ni Bhuachalla E, Prado CM. Cancer-associated malnutrition, cachexia and sarcopenia: the skeleton in the hospital closet 40 years later. Proc Nutr Soc. 2016;75:1–13


2. Maasberg S, Knappe-Drzikova B, Vonderbeck D, Jann H, Weylandt KH, Grieser C, Pascher A, Schefold JC, Pavel M, Wiedenmann B, Sturm A, Pape UF. Malnutrition predicts clinical outcome in patients with neuroendocrine neoplasias. Neuroendocrinology. 2017;104:11–25


3.Prado CM, Cushen SJ, Orsso CE, Ryan AM. Sarcopenia and cachexia in the era of obesity: clinical and nutritional impact. Proc Nutr Soc. 2016;75:1–11


4. (http://ii.islam.gov.my/hadith/detailed.php?id=7&j=3 )


5. Caccialanza et al.To fast, or not to fast before chemotherapy,that is the question.BMC Cancer (2018) 18:337

https://doi.org/10.1186/s12885-018-4245-5

No comments:

Post a Comment