PENDAHULUAN
Perkataan selebriti mengikut Kamus Dewan adalah orang yang terkenal dan menjadi tumpuan ramai, terutamanya dalam bidang hiburan seperti bintang filem, pelakon dan penyanyi. Dalam konteks masakini, dengan kemajuan media massa dan medsos, gelaran selebriti boleh juga diberikan kepada lain-lain kerjaya seperti tukang masak/chef, pendakwah, doktor, pakar ekonomi, pakar motivasi, guru, pempengaruh medsos dan lain2.
Taksub atau fanatik pula bermaksud sikap yang melampau dalam sesuatu pegangan atau pendirian. Lawan kepada perkataan taksub adalah toleransi. Toleransi atau tasamuh bermaksud kelapangan dada dan keluasan fikiran. Sikap taksub adalah sikap tertutup terhadap pandangan lain yang berbeza. Sikap taksub boleh berlaku ke atas manusia ataupun objek. Pentaksub dalam konteks rencana ini adalah individu yang memiliki sifat taksub mendewa2kan selebriti.
GELARAN SELEBRITI
Seseorang yang dianggap selebriti akan menerima gelaran di mana perkataan selebriti itu diletakkan di belakang nama kerjaya mereka contohnya chef selebriti, doktor selebriti, cikgu selebriti, pendakwah selebriti atau ustaz selebriti dan lain2.
Untuk menjadi seorang selebriti memanglah susah kerana bukan senang untuk menarik perhatian orang sehingga menjadi popular dan mengumpul ramai pengikut ataupun penyokong. Pengikut2 yang telah lama mengikuti selebriti ini akan mengkagumi mereka sehingga ada yang sampai kepada tahap taksub. Pengikut yang taksub inilah aset paling bernilai kepada seorang selebriti.
Sebelum seseorang menjadi selebriti, tentu ada cita2 ataupun sesuatu yang ingin diperolehi apabila bergelar selebriti. Dengan kata lain, mereka mempunyai produk yang akan ditawarkan kepada orang ramai di mana melalui produk itu, cita2 mereka tercapai. Pengikut yang taksub akan mengikuti selebriti ini di mana saja dan tidak melepaskan peluang untuk mencari produk yang ditawarkan. Produk2 tersebut mungkin dalam bentuk lagu, lakunan, ilmu, produk makanan, pakaian, produk kecantikan, produk kesihatan dan lain2 mengikut kerjaya selebriti tersebut. Salah satu lagi produk yang mungkin tak terfikir oleh pembaca adalah ideologi dan fahaman politik.
PENTAKSUB ADALAH ASET SELEBRITI
Semakin ramai pengikut yang taksub, semakin beruntunglah selebriti tersebut. Jika mereka menawarkan produk yang baik, maka baiklah juga kesannya. Di sebaliknya pula, jika produk itu membawa kemudaratan, maka mudaratlah yang akan ditanggung oleh pengikut mereka. Kemudaratan tersebut mungkin boleh merebak kepada masyarakat dan memberi kesan yang besar.
Pengikut yang biasa masih boleh membuat pertimbangan baik buruk, jadi jika mereka sedar yang produk itu tidak baik ataupun diri mereka cuba dipergunakan, mereka akan berhenti menjadi pengikut. Pendek kata, mereka ini masih waras dan belum mencapai tahap taksub.
Pengikut yang sudah sampai ke tahap taksub sukar untuk membuat pertimbangan yang rasional, pada mereka apa sahaja yang datang dari selebriti tersebut, semuanya baik dan benar belaka. Pentaksub2 ini juga akan mempertahankan selebriti mereka dari sebarang tuduhan dan kecaman. Hatta, jika idola mereka didapati bersalah oleh mahkamah sekalipun , mereka akan bersangka baik dan mempertahankannya. Pendek kata ketaksuban telah menutup kewarasan berfikir.
Selebriti yang bertanggungjawab akan memastikan produk yang mereka tawarkan adalah berkualiti dan memberi manfaat kepada orang ramai. Mereka tidak mengambil kesempatan ke atas pengikut mereka. Mereka bekerja dengan ikhlas dan tidak mengharapkan balasan. Di sebaliknya pula, bukan selidikit selebriti yang mengambil kesempatan dari pengikut mereka. Keuntungan tersebut mungkin dalam bentuk wang ringgit, harta, kuasa ataupun mengembangkan ideologi tertentu.
Jika produk selebriti itu adalah ideologi atau ilmu yang sesat, maka mereka dapat mengujudkan satu gerakan atau kumpulan yang membawa ajaran sesat. Sebenarnya, inilah modus operandi pemimpin2 ajaran sesat dan kultus. Terdapat juga individu yang menjadi terkenal sehingga ke tahap selebriti dengan menyebarkan ilmu yang terpesong di dalam sesatu bidang sehingga mengelirukan masyarakat. Ilmu2 ini mungkin di dalam bidang sains, perubatan, sejarah, agama dan lain-lain.
Status selebriti juga boleh digunakan sebagai batu loncatan untuk mendapatkan keuntungan atas angin, contohnya melalui kutipan derma. Pihak pemungut derma memggunakan mereka untuk menjadi umpan mengutip derma dan wang kutipan tersebut boleh disalahgunakan. Selebriti ini akan diberikan komisyen di atas sumbangan mereka mengumpan penderma. Pendek kata selebriti boleh terjebak di dalam scam.
Status selebriti juga digunakan untuk menarik sokongan parti politik. Dengan pengikut dan pentaksub yang ramai, selebriti ini digunakan semasa berkempen pilihanraya ataupun dipilih menjadi calun pilihanraya. Walaupun selebriti ini popular di dalam bidang lain, pengikut terutama pentaksub sanggup mengundi mereka. Kemampuan mereka untuk menjadi pemimpin dan wakil rakyat sudah tidak penting lagi.
TAKSUB ATAU FANATIK DALAM AGAMA
Menjadi pentaksub bukan sahaja perlu dihindari dalam apa2 urusan dunia, ianya juga sifat yang tercela dalam amalan agama.
Taksub yang dikutuk ini adalah sikap orang-orang yang cuba mengikat pihak lain kepada dirinya dan menafikan peranan orang lain. Mereka seolah-olah berkata: "Adalah hak aku untuk berkata dan kewajipanmu untuk mendengar. Hak aku untuk memimpin dan kewajipan kamu untuk mengikut. Pendapatku benar belaka dan tidak mungkin salah, pendapatmu salah dan tidak mungkin benar".
Allah berfirman maksudnya "Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampau-lampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka tersesat (jauh) dari jalan yang benar".Maksud Surah Al-Maidah (5):77)
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik:".Maksud Surah Al-Nahl (16):125
Mendakwa diri sebagai seorang yang istimewa seperti keturunan Nabi adalah salah satu lagi kaedah untuk menjadi selebriti. Ramai individu yang mengaku mempunyai darah keturunan nabi hanya untuk menjadi popular dan mengumpul pengikut. Kejadian seorang pemuda dari Maghribi yang mengaku sebagai keturunan Nabi sehingga disanjung dan dipuja oleh ramai umat Islam. Sedangkan pihak berkuasa maghribi sendiri telah memberi kenyataan mengesahkan bahawa beliau berasal dari Algeria dan tidak ada kaitan dengan Sharif Idrisi di Maghribi atau mana-mana jalur keturunan Nabi Muhammad SAW yang lain, sebaliknya hanya mengeksploitasi nasab suci Nabi Muhammad SAW untuk menarik perhatian pengikut. Disebabkan oleh taksub, ramai pengikut beliau yang masih mempertahankan dan terus mengidolakan beliau.
Sikap taasub terhadap individu ini akan membuka ruang kesesatan dan penyelewengan daripada jalan yang benar kerana mengikuti seseorang itu secara buta dan akhirnya menyebabkan kerosakan kepada agama dan umat. Sabda Nabi SAW, bermaksud:
"Dan janganlah kamu berlebih-lebihan dalam agama, maka sesungguhnya yang telah membinasakan umat sebelum kamu itu sikap berlebih lebihan dalam agama" (Riwayat an-Nasa'ie).
Banyak lagi contoh amalan2 agama yang sesat akibat sifat taksub atau fanatik yang dimiliki oleh umat Islam.
KESIMPULAN
Memiliki gelaran selebriti boleh menjadi seperti serampang dua mata. Jika gelaran itu digunakan untuk kebaikan, maka banyaklah pahala yang akan dikumpulkan. Sebaliknya jika gelaran itu disalahgunakan, maka rosaklah masyarakat. Jauhi sikap taksub kepada manusia kerana seorang yang taksub akan mempunyai minda tegar yang tidak berupaya membuat pertimbangan yang rasional mengenai idola mereka sehingga segala apa yang dilakukan oleh idola mereka ini dianggap benar belaka. Pengikut yang taksub mudah dipergunakan dan boleh menjadi mangsa dalam pelbagai bentuk penipuan oleh selebriti yang tidak bertanggung jawab. Sikap taksub juga dilarang oleh agama. Jadilah manusia yang tidak mudah mempercayai, berfikiran terbuka, berilmu dan teliti di dalam menilai kesahihan sesuatu maklumat.
Dato' Dr Rushdan Noor
1hb September 2024
No comments:
Post a Comment