Friday 30 August 2024

HENTIKAN SENGKETA, PULIHKAN PERPADUAN

 


Tulisan ini hanyalah pendapat peribadi seorang rakyat biasa yang tidak ada apa2 kedudukan di dalam mana2 organisasi ataupun parti politik. Jadi ini bukanlah tulisan pakar atau penganalisis politik. Jika tulisan ini menimbulkan perasaan tidak senang kepada anda, saya memohon maaf.

Saya pernah menulis tentang pendirian saya terhadap politik, di mana walaupun saya ada kecenderungan menyokong parti politik tertentu, namun saya redha dan mendukung mana2 kerajaan yang telah dibentuk secara sah. Kebetulan semasa berkhidmat sebagai kakitangan awam lebih 30 tahun, sudah terbiasa dengan prinsip untuk patuh kepada kerajaan yang memerintah. Apa apa pun, pendirian ini sebenarnya lebih menenangkan perasaan, pasrah dengan takdir. Lagipun kerajaan yang kita harapkan tidak semestinya lebih baik.

Perbezaan parti politik telah mengheret masyarakat kita kepada krisis perpecahan yang serius. Sudahlah kita berpecah kerana perbezaan pendapat dalam hal ehwal agama, perbalahan antara pemimpin dari pelbagai parti politik telah mengheret pengikut2 ke dalam krisis perpecahan yang sangat parah.

Media sosial menjadi medan serang menyerang, kecam mengecam, fitnah dan propaganda. Sentimen kaum dan agama mencetus perasaan benci dan sakit hati antara satu sama lain. Serangan peribadi dan tuduhan berat sesama Islam menjadi lumrah lebih2 lagi apabila ada pilihanraya.

Apabila keputusan pilihanraya ke 15 diumumkan, negara tergamam seketika kerana tidak ada pihak yang mendapat majoriti untuk dilantik menjadi kerajaan.

Dengan kebijaksanaan YDPA dan barisan penasihat undang2 serta sokongan majlis raja2, penubuhan kerajaan perpaduan telah dicadangkan. Pada ketika itu, saya berpendapat inilah peluang terbaik kepada penyatuan semua parti politik tanpa pembangkang. Sebenarnya inilah juga peluang terbaik untuk melihat rakyat Malaysia, khususnya orang melayu dan orang Islam bersatu. Malangnya, peluang ini tidak diambil kerana tidak ada kesepakatan pemimpin teratas parti2 politik, khususnya dari pihak yang kemudiannya menjadi pembangkang.

Maka, persengketaan dan perpecahan terus berlaku hinggalah ke hari ini. Kalau melihat konten dan komen2 pengikut masing2 di dalam medsos, sangat menakutkan, seolah2 mereka ini tidak ada pegangan agama. Puncanya hanya berlainan kem politik, sedangkan politik itu ijtihad, bukan pegangan hidup.

Di sebalik krisis politik ini, ada hikmah yang boleh diambil darinya. Semua parti politik yang sebelum ini hebat di luar gelanggang, telah diberikan peluang untuk mempamerkan keupayaan masing2 sebagai kerajaan. Adakah apa yang diperjuangkan mudah untuk dilaksanakan? Adakah janji2 mudah untuk ditunaikan ? Adakah tuduhan yang dibuat semasa kempen pilihanraya itu satu fakta atau fitnah semata2?. Rakyat yang rajin menyelidik dan tidak taksub sangat mudah menilai dan membuat perbandingan. Pemimpin2 yang telah dan melalui pengalaman sebagai kerajaan tentu sudah ada jawapan kepada persoalan di atas. Apabila satu pihak menuduh tentang sesuatu perkara, mereka perlu pastikan yang ianya tidak berlaku dalam kerajaan mereka. Jika tidak, tuduhan itu akan memantul balik kepada diri sendiri, umpama "meludah ke langit".

Pada pandangan peribadi saya, samada kerajaan dahulu mahupun sekarang, kedudukan raja2, orang melayu dan agama Islam kekal terjamin. Perlembagaan negara tetap dipertahankan. Tidak ada yang tergugat, melainkan mungkin agenda peribadi pemimpin2 politik tertentu. YB PM sekarang pun nampaknya sangat komited dan setakat ini pencapaian ekonomi dan kesejahteraan rakyat tidaklah lebih teruk dari dahulu. Gaji kakitangan awam bakal dinaikkan pada kadar yang tertinggi dalam sejarah, kadar pengangguran menurun dan matawang masih kukuh. Pelaburan terus masuk dan bursa saham melonjak. Pendek kata, kerajaan sekarang tidaklah lebih lemah dari kerajaan terdahulu dalam semua aspek. Malahan ada beberapa aspek, mereka lebih ke hadapan.
Berdasarkan kepada fakta2 yang dinyatakan di atas, tidak ada alasan yang munasabah untuk menggantikan kerajaan atau pucuk pimpinan pada masa ini sehingga tiba waktunya di PRU16 nanti. Ketegangan yang timbul dan usaha2 untuk menukar kerajaan secara tergesa2 ini mungkin didorong oleh keterdesakkan individu tertentu demi kepentingan peribadi dan bukan untuk kepentingan rakyat.

Jika kebajikan rakyat dan negara menjadi keutamaan, langkah yang lebih munasabah adalah bersama2 menyokong kerajaan yang sedia ada dan merealisasikan saranan asal YDPA ketika krisis politik pasca PRU15 dahulu. Bukan sahaja fitnah, cemuhan dan kecaman akan reda, perkataan seperti walaun, walanon, munafik, kafir, neraka, khawarij, tunggang agama, liberal, pro komunis, ulamak suq, pro-yahudi dan dajjal mungkin tidak lagi digunakan sebagai senjata untuk menjatuhkan reputasi parti lain.

Cukuplah pengalaman pahit yang kita alami semasa berlakunya peristiwa naik turun kerajaan yang kerap dalam masa yang singkat. Marilah bersama2 kita bersatu membina negara dan mengenepikan persengketaan, demi kesejahteraan hari ini dan generasi akan datang. Ketepikan kepentingan diri sendiri dan ketaksuban kepada mana2 kumpulan. Dengan itu, lebih cerahlah peluang untuk melihat rakyat negara ini bersatu-padu dan hidup aman damai, khususnya orang2 melayu dan umat Islam.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN 2024
"Jiwa Merdeka"
Dato' Dr. Rushdan Noor
31hb Ogos 2024



















No comments:

Post a Comment