DDR Rushdan Noor
PENDAHULUAN
Sistem
pertahanan badan ataupun sistem imun wujud di dalam badan manusia untuk tujuan
melawan kemasukan organisma asing yang menjadi punca penyakit. Sistem imun juga
berperanan memusnahkan sel-sel yang tidak normal wujud di dalam badan termasuk
sel-sel kanser. Di dalam proses alahan terhadap benda-asing/alergen, sistem imun juga
berperanan bertindakbalas ke atas bahan asing ini sehingga kadangkala boleh
menimbulkan gejala dan tindakbalas badan yang keterlaluan. Pendek kata, sistem
imun memang besar peranannya ke atas manusia. Untuk rencana kali ini, saya hanya akan
menumpukan tulisan ini kepada menjawab persoalan adakah terdapat kaedah ataupun
amalan yang dapat meningkatkan keupayaan sistem imun (“immune booster”)
sehingga boleh melawan jangkitan penyakit dengan berkesan.
Amalan
mengambil suplemen samada di dalam bentuk vitamin, mineral ataupun herba sangat
meluas diamalkan oleh masyarakat dunia. Produk2 suplemen ini berjaya dipasarkan
dengan jualan berbilion ringgit dan ramai yang mengambil peluang untuk menjadi
pengedar dan penjual. Salah satu dakwaan yang terkenal tentang amalan ini
adalah ianya dapat meningkatkan kekuatan sistem imun manusia (“immune boosters”).
Kajian ke atas 185 laman web yang mempromosikan kaedah meningkatkan kekuatan sistem
imun telah dilakukan untuk mengkaji apakah kaedah-kaedah tersebut. Pengkaji
telah mendapati terdapat 37 kaedah yang diwar-warkan dapat menjadi "immune booster" dan di antara yang paling kerap adalah diet (77%),
buah-buahan (67%), antioksidan (52%), probiotik (51%), mineral (50%), dan
vitamin C(49%). Berikut adalah beberapa fakta yang perlu difahami oleh orang
ramai tentang dakwaan2 ini.
SISTEM
IMUN YANG SANGAT KOMPLEK
Sistem
imun manusia adalah sangat kompleks terdiri daripada 2 jenis utama iaitu imuniti
spesifik dan imuniti tidak spesifik (ataupun innate immunity). Setiap jenis imuniti
ini mempunyai komponen dan mempunyai peranan berbeza. Apabila disebut
perkataan sistem, maka ianya merujuk satu proses yang sangat kompleks melibatkan
banyak organ dan faktor2 seperti faktor genetic, faktor fizikal, sel-sel darah
putih, sistem limpa, timus, sistem aliran darah, protein komplemen, sum-sum tulang dan lain-lain lagi.
Setiap mikroorganisma dan benda-asing yang cuba masuk ke dalam tubuh manusia
berbeza daripada segi struktur antigennya dan akan melalui tindakbalas imun
yang berbeza. Apabila sistem ini terlalu kompleks, maka bagaimana mungkin boleh
ada satu kaedah yang berupaya untuk mengubah perjalanan sistem ini dengan berkesan. Apakah kayu ukur untuk digunakan sebagai petunjuk kepada kekuatan
sistem imun? Tidak hairanlah mengapa kajian mengenai kekuatan sistem imun ini sangat
sukar dijalankan dan seringkali pengkaji menggunakan andaian ataupun petunjuk
yang bersifat tidak langsung. Di samping itu, komponen mana pula di dalam sistem imun ini yang
hendak diperkuatkan? Sistem imun bukan seperti otot, roket dan belon yang boleh
dibesarkan, dikuatkan, dikembangkan dan dilancarkan ke udara dengan hanya
menggunakan tenaga.
FAKTOR NUTRIENT DAN USIA KE ATAS KEKUATAN SISTEM IMUN
Bukti-bukti
tidak langsung ada mengaitkan antara tahap nutrisi dengan ketahanan badan
melawan penyakit di mana masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat termasuk
mengambil makanan yang seimbang, cukup dengan kandungan makronutrien
(karbohidrat,lemak,protein) dan mikronutrient (mineral, vitamin) dapat hidup
lebih lama dan kurang dijangkiti penyakit. Tetapi bagaimana gaya hidup sihat
ini dapat mengurangkan kadar jangkitan penyakit tidak dapat dipastikan. Usia
juga mempunyai kaitan dengan keupayaan sistem imun, orang yang lebih tua lebih
mudah dijangkiti penyakit. Ahli sains berpendapat ini mungkin disebabkan oleh
keupayaan sel2 T yang semakin lemah, pengeluaran sel-sel stem dari sum-sum
tulang yang semakin berkurangan dan juga kekurangan nutrient tertentu di dalam
badan mereka kerana apabila usia semakin tua, kadar pengambilan makanan juga menurun.
ADAKAH
PENGAMBILAN SUPLEMEN VITAMIN DAN MINERAL BOLEH BERTINDAK SEBAGAI “IMMUNE
BOOSTER”
Di samping makronutrient terutamanya protein penting untuk pertahanan badan, vitamin dan mineral juga ada peranannya. Terdapat
bukti kajian ke atas haiwan tentang kaitan di antara kekurangan beberapa jenis
vitamin dan mineral dengan kelemahan sistem imun badan (“micronutrient deficiencies”).
Di antara vitamin dan mineral yang tersebut adalah zink, selenium, besi, asid
folik, kuprum, vitamin A, B6, C dan E. Walau bagaimanapun kajian ini adalah ke atas haiwan dan ahli sains tidak
dapat mengesahkan hubungannya dengan sistem imun serta adakah kesan yang sama
akan dialami oleh manusia. Disebabkan kompleksnya sistem imun dan juga kesukaran
untuk mencari kayu ukur kepada kekuatan sistem imun, kajian tentang aspek ini
sangat sukar dilakukan. Jadi setakat ini, tidak ada bukti saintifik yang
mengesahkan bahawa pengambilan mikronutrient (mineral dan vitamin) ini di dalam
bentuk suplemen dapat meningkatkan kekuatan sistem imun. Begitu jugalah dengan
pengambilan suplemen2 yang lain, probiotik dan herba2 yang dipasarkan serta
seribu satu kaedah2 lain yang didakwa boleh menjadi “immune booster”. Dakwaan-dakwaan yang dilakukan hanyalah berdasarkan kepada andaian semata-mata ataupun kaitan tidak langsung dan tidak
disokong oleh kajian klinikal yang berwibawa.
SUPLEMEN
VITAMIN C DAN PENCEGAHAN JANGKITAN
Suplemen
Vitamin C adalah vitamin yang paling kerap didakwa boleh mencegah jangkitan,
malahan ada yang mendakwa boleh merawat jangkitan penyakit. Ramai pula yang
percaya vitamin C dapat mencegah dan merawat jangkitan virus selesema. Dakwaan
ini bertitik tolak daripada testimoni seorang pakar kimia Amerika bernama Linus
Pauling pada tahun 1960 an yang mengambil vitamin C dalam dos yang tinggi.
Memandangkan ianya mendapat liputan ramai dan menjadi popular, ahli2 sains telah mengambil initiatif melakukan banyak kajian klinikal untuk menentukan kesahihan dakwaan,
malangnya hasil kajian yang diperolehi tidak meyakinkan malahan banyak yang
menunjukkan tidak ada kesan positif pengambilan vitamin C (dos tinggi) di dalam mencegah jangkitan virus. Walaupun terdapat kajian yang menunjukkan vitamin C boleh
mengurangkan gejala dan tempoh kembali bekerja dari jangkitan virus tetapi kajian
ini agak terpencil. Jika adapun kajian yang menunjukkan kesan positif pengambilan suplemen
vitamin C di dalam mencegah jangkitan virus selesema, ianya hanya ke atas askar,
atlit profesional dan individu yang melakukan senaman berat, kesan yang sama
tidak berlaku keatas orang awam yang lain. Setakat ini tidak ada bukti kajian klinikal
yang mengesahkan pengambilan suplemen vitamin C dapat mencegah jangkitan virus
selesema dengan berkesan. Kenyataan ini juga disokong oleh Cochrane Database Systematic Review. Tidak hairanlah mengapa tidak ada mana2 buku garispanduan rawatan di
dunia yang memasukkan pengambilan suplemen vitamin C sebagai kaedah berkesan
mencegah penyakit berjangkit ataupun di masukkan ke dalam senarai langkah2 pencegahan semasa berlakunya wabak penyakit.
Pengambilan vitamin C berlebihan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti
loya, cirit, batu karang dan meningkatkan pengumpulan zat besi oleh individu
tertentu sehingga boleh merosakkan jantung dan hati. Tidak dapat dinafikan
bahawa vitamin C memang sangat penting untuk kesihatan badan tetapi sumber yang
terbaik adalah daripada makanan terutama buah2an dan sayuran. Di antara makanan yang tinggi sumber vitamin C adalah limau, betik, tomato, brakoli,jambu batu, kiwi dan lain-lain lagi.
VAKSIN
: KAEDAH PALING BERKESAN MENCEGAH JANGKITAN PENYAKIT
Satu-satunya
kaedah yang terbukti berkesan yang difahami sepenuhnya untuk meningkatkan sistem
imun adalah vaksin. Kajian ke atas keberkesanan vaksin telah dilakukan semenjak
berpuluh2 tahun yang lalu dan inilah kaedah yang disokong oleh bukti kajian
klinikal yang kukuh. Walau bagaimanapun satu jenis vaksin tidak boleh mencegah
semua jenis jangkitan kerana sifat antigen dalam setiap organisma asing yang
menyerang manusia berbeza-beza. Ini juga
berkait dengan hakikat betapa kompleksnya sistem imun sehingga hanya kajian2
yang spesifik kepada sesuatu jenis organisma sahaja dapat dilakukan. Walaupun
vaksin dianggap kaedah yang paling berkesan meningkatkan kekuatan sistem imun, hanya 12% sahaja laman2 web yang dikaji menyenaraikan vaksin sebagai
kaedah yang dapat meningkatkan sistem imun (“immune booster”). Mungkin ini berkait rapat
dengan betapa besarnya industri perniagaan suplemen yang menjadi lubuk emas
kepada ramai peniaga, pengendali laman web dan media sosial. Produk2 suplemen tidak memerlukan kos yang tinggi untuk dihasilkan dan mudah untuk mendapat kelulusan untuk dipasarkan berbanding dengan vaksin yang perlu melalui kajian praklinikal dan klinikal. Penghasilan vaksin memerlukan masa yang panjang dan kos yang terlalu tinggi.
KAEDAH-KAEDAH
LAIN YANG BOLEH MENINGKATKAN KEMAMPUAN SISTEM IMUN
Adakah
cara lain untuk meningkatkan sistem pertahanan badan manusia selain daripada
vaksin. Pakar2 perubatan percaya bahawa melalui kajian pemerhatian yang
menunjukkan kecederungan seseorang untuk dijangkiti penyakit jika kekurangan nutrient,
maka boleh diandaikan bahawa amalan mengambil makanan seimbang, kurang pengambilan lemak, garam dan perbanyakkan
pengambilan buah2an dan sayuran akan
membekalkan makronutrient dan mikronutrient semulajadi yang lebih baik. Amalan ini bukan sahaja dapat mengurangkan masalah obesiti, risiko penyakit kronik tetapi juga dapat meningkatkan ketahanan badan daripada serangan penyakit berjangkit. Di samping
itu senaman yang sederhana, tidak merokok, mengurangkan pendedahan kepada pencemaran
dan tidak meminum alkohol dapat memberi perlindungan tambahan kepada tubuh badan. Pengambilan nutrient di dalam bentuk yang asal
sudah diyakini jauh lebih baik daripada mengambilnya di dalam bentuk extraks
seperti suplemen pil vitamin, mineral ataupun herba kerana mengekalkan variasi nutrient serta serat di dalamnya. Amalan gaya hidup sihat
ini dapat meningkatkan mutu kesihatan keseluruhannya. Pengambilan suplemen yang
khusus hanya disyorkan jika seseorang disahkan mengalami kekurangan nutrient2
tertentu akibat malnutrisi, kesukaran untuk makan, menghadapi masalah
penyerapan zat2 makanan dan budaya makan sesetengah kelompok yang hanya
mengambil sayuran sahaja (vegetarian). Mengaitkan sesuatu jenis bahan makanan dengan pencegahan jangkitan penyakit bukan sahaja mengelirukan tetapi akan membuat orang ramai hanya menumpukan perhatian kepada satu2 sumber makanan sedangkan khasiat yang sama boleh diperolehi daripada banyak lagi sumber makanan. Anda juga tidak tertekan di dalam memilih makanan dan dapat menikmati varieti makanan dan masakan. Tujuan golongan tertentu mengaitkan sesuatu jenis bahan makanan dengan pencegahan dan rawatan penyakit adalah agar ianya dapat diproses dan dijadikan produk kesihatan untuk mengaut keuntungan. Ada juga yang menggunakan pendekatan ini untuk menarik keterujaan orang ramai membaca dan mendengar pendapat mereka untuk tujuan menaikkan ranking pengunjung laman web, media sosial ataupun youtube mereka. Apabila pengikut bertambah ramai, inilah peluang untuk mempromosi produk mereka sendiri.
KESIMPULAN
Kesimpulannya
perkataan “immune booster” seringkali disalahgunakan untuk tujuan perniagaan
mempromosi banyak jenis produk termasuk suplemen vitamin, mineral dan juga
herba. Tidak ada kaedah “immune booster” yang versatile boleh mencegah semua
jenis jangkitan kerana sistem imun yang sangat kompleks dan sifat-sifat mikroorganisma
serta benda asing yang berbeza-beza. Hanya vaksin sahaja satu-satunya kaedah mencegah
jangkitan dan “immune booster” yang terbukti berkesan setakat ini berdasarkan
kepada kajian klinikal yang berkualiti tinggi, itupun satu jenis vaksin hanya
mencegah satu jenis jangkitan. Makronutrient dan mikronutrient juga penting
untuk kesihatan dan kekuatan badan melawan penyakit termasuk penyakit
berjangkit walaupun mekanisma terperinci bagaimana ianya dilakukan belum dapat
dipastikan oleh ahli2 sains. Kaedah yang paling logikal untuk mendapat
kesihatan optima adalah dengan mengambil makanan seimbang dan banyakkan buah2an
dan sayuran yang membekalkan makronutrient dan mikronutrient dalam bentuk asal.
Di samping itu lakukan senaman yang sederhana secara tetap, jauhi rokok, jauhi
alkohol, tidur yang cukup dan kurangkan stres akan menjadi ikhtiar tambahan
melindungi tubuh badan daripada serangan penyakit. Kaedah2 pencegahan jangkitan seperti
yang disyorkan oleh WHO, CDC dan KKM seperti menjaga kebersihan, etika batuk, memakai
mask, membasuh tangan, amalan seks yang selamat dan lain-lain juga dapat diamalkan dan tidak melibatkan
kos. Amalan mengambil suplemen vitamin, mineral, probiotik, bawang putih, kunyit, kangkung, air kelapa, herba, minyak kelapa, air limau, akupuntur, chiropraktik,
homeopathi dan lain-lain oleh individu yang sihat tidak pernah dibuktikan bermanfaat
sebagai “immune booster” bagi mencegah dan melawan jangkitan penyakit.
Dato’
Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar
Perunding Ginekologi Onkologi
Medical
Mythbusters Malaysia
RUJUKAN
Macedo
AC, Vilela de Faria AO, Ghezzi P. Boosting the immune system, from science to
myth: Analysis the Infosphere with google. Front Med, 2019; 6:
165. doi: https://dx.doi.org/10.3389%2Ffmed.2019.00165
Mark
Crislip. Boost Your Immune System ? Sciece-Based Medicine, September 25,2009 (https://sciencebasedmedicine.org/boost-your-immune-system/)
Mark
Crislip. More Boosting the immune system. Can you boost your immune system?
Science-Based Medicine, Oct 19, 2012.
Hemila
H, Chalker E. Vitamin C for preventing and treating the common cold. Cochrane Database
Systematic Review, 31 January 2013
https://www.health.harvard.edu/cold-and-flu/can-vitamin-c-prevent-a-cold
https://www.health.harvard.edu/staying-healthy/can-supplements-help-boost-your-immune-system
https://www.healthline.com/nutrition/side-effects-of-too-much-vitamin-c#vitamin-c
https://www.healthline.com/nutrition/does-vitamin-c-help-with-colds#section2
No comments:
Post a Comment