Dua hari lepas saya pergi gunting rambut di sebuah kedai seorang pemuda
Cina bernama JK. Semasa menggunting rambut, JK menceritakan perihal
ibunya yang diserang angin ahmar (stroke) 3 minggu lepas dan menjalani
rawatan pembedahan membuka sebahagian daripada tempurung kepalanya
akibat pendarahan otak. Sambil bercerita, JK sempat memberi petua kepada
saya mengenai apa yang perlu dilakukan dahulu apabila diserang angin
ahmar, walaupun JK tahu saya seorang doktor. "You ambil jarum dan cucuk
pada jari, cucuk satu kali saja, jangan banyak2, bagi darah keluar satu
titik cukup, bersungguh2 JK untuk meyakinkan saya. Lepas cucuk, you bawa
cepat2 ke hospital". Saya tidak mahu menegur salah faham JK tentang
cucuk jarum itu kerana tidak mahu wujudkan ketegangan, lagipun JK sedang
memegang gunting. Tapi saya jelaskan bahawa memang bagus bawa ibunya
cepat2 ke hospital.
Saya tanya JK, bagaimana keadaan ibunya.
Katanya selepas rawatan pembedahan di hospital, dia dirawat beberapa
hari di ICU dan kemudian di wad biasa. Sekarang sudah balik ke rumah dan
kena ulangalik ke hospital menjalani rawatan fisioterapi. Dia akan bawa
ibunya ke hospital mengikut jadual. Tapi di samping itu, secara senyap2
dia juga pergi dapatkan rawatan akupuntur di sebuah premis atas nasihat
seorang kawan, untuk memulihkan angin ahmar katanya. JK bersetuju
membawa ibunya untuk 15 sesi akupunktur dan setiap sesi dikenakan caj
RM100, jadi 15 sesi RM1,500. Kata JK, selepas beberapa sesi fisioterapi
di hospital dan akupuntur, ibunya menunjukkan perubahan yang positif.
Nampaknya mitos mengenai cucuk jarum pada jari untuk merawat angin
ahmar bukan sahaja wujud dalam kalangan orang melayu tetapi juga kaum
lain. Mungkin tidak tepat jika saya hanya menggunakan JK untuk mewakili
kaum Cina tetapi pendekatan yang diambil oleh JK dalam menangani masalah
kesihatan ibunya menarik perhatian saya. Walaupun JK percaya kepada
mitos, namun beliau memberi keutamaan kepada kaedah rawatan moden dengan
mengambil pendirian bahawa ibunya patut dibawa ke hospital secepat
mungkin dan mematuhi arahan doktor untuk menjalani pembedahan. Beliau
juga patuh arahan doktor untuk membawa ibunya mendapatkan rawatan
susulan dan fisioterapi. Walaupun secara senyap JK mendapatkan rawatan
akupuntur, saya beranggapan bahawa peranan akupuntur yang digunakan oleh
JK adalah pendekatan rawatan komplementari dan bukan alternatif. Apa
yang lebih baik dilakukan oleh JK adalah mendapatkan nasihat doktor
terlebih dahulu dan memastikan pengamal akupuntur tersebut adalah
seorang yang bertauliah.
Pendekatan yang diambil oleh JK
berkemungkinan besar tidak akan memudaratkan ibunya, walaupun beliau
terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih besar. Apa yang memudaratkan
pesakit adalah mengamalkan kaedah rawatan alternatif sehingga pesakit
lewat dibawa ke hospital ataupun pesakit tidak dirawat sepenuhnya oleh
pihak doktor. Lebih2 lagi jika ada pengamal perubatan alternatif yang
mensyaratkan pesakit mereka supaya tidak mendapatkan rawatan hospital
jika ingin menerima khidmat mereka (kononnya ubat tak boleh bercampur).
Pesakit yang diserang angin ahmar perlu dibawa ke hospital dengan
segera. Apabila telah selesai rawatan oleh pihak hospital dan pesakit
dibenarkan pulang, maka kaedah rawatan komplementari boleh diamalkan
jika ianya diiktiraf oleh pihak hospital dan KKM. Kebetulan akupuntur
adalah salah satu kaedah rawatan komplementari yang diterima oleh KKM di
dalam konsep perubatan integratif. Perkhidmatan ini disediakan oleh
unit TCM di beberapa buah hospital kerajaan, dilakukan oleh pengamal
yang bertauliah.
Dato' Dr Rushdan Noor
8hb Julai 2019
http://www.myhealth.gov.my/en/acupuncture-treatment-post-stroke-patients/
8hb Julai 2019
http://www.myhealth.gov.my/en/acupuncture-treatment-post-stroke-patients/
No comments:
Post a Comment