Monday, 8 July 2019

SOS DAN MAYONIS DI DALAM BURGER/OBLONG

Burger adalah makanan segera yang sangat digemari oleh masyarakat kita terutama anak2 muda. Kalau dilihat pada ingredien yang digunakan untuk membuat burger, tentu ianya nampak seperti sejenis makanan yang agak seimbang kerana mengandungi semua komponen makronutrient termasuk sayur, timun dan tomato. Tetapi ada komponen burger yang perlu diberi tumpuan kerana ianya tidak menyihatkan. Antara komponen yang tidak menyihatkan adalah daging yang diproses (patty) dan topping yang dgunakan. Saya tak mahu menulis tentang daging tetapi nak fokus hanya kepada topping yang sering digunakan untuk menyedapkan rasa iaitu SOS dan MAYONIS. Ada juga yang menambah THOUSAND ISLAND sehingga melimpah.

GULA TAMBAHAN DALAM SOS CILI

Berapa banyak gula tambahan dalam sos cili jenama Life yang selalu dimakan dengan ayam KFC. Perhatikan fakta nutrisi, bagi setiap 100 gm sos mengandungi 41 gm gula, maksudnya 41% daripada sos ini adalah gula. Satu sudu teh sos mempunyai berat 6 gm, jadi kandungan gulanya adalah 41/100 X 6 gm = 2.5 gm. Mungkin satu ketul ayam KFC tak cukup dengan satu sudu teh sos. Andainya satu ketul ayam dimakan dengan 2 sudu teh sos, maka 3 ketul ayam akan menggunakan 6 sudu teh sos ataupun 15 gram gula. Had pengambilan gula tambahan sehari adalah 25 gm. Ini sudah 60% daripada had pengambilan gula sehari. Kita belum lagi mengira gula dalam segelas pepsi yang selalu diberikan bersama satu set dinner plate KFC. Belum lagi mengira kuantiti garam dan lemak. Ini baru satu sarapan.


FAKTA NUTRISI MAYONIS
 
Sekarang cuba kita analisa pula tentang Mayonis. Perhatikan fakta nutrisi Mayonis jenama terkenal di bawah. Cuba kita fokus kepada kandungan gula dan lemak.
Satu hidangan Mayonis (14 gm) mengandungi:
Gula 0.7 gm
Jumlah Lemak 9.7 gm

Jelas menunjukkan walaupun mengandungi sedikit gula tetapi Mayonis mengandungi tinggi kandungan lemak iaitu sebanyak 9.7/14 X 100 = 69% daripada kandungannya. Dalam setiap hidangan seberat 14gm mengandungi 9.7gm lemak dan ini mewakili 15% daripada keperluan harian seseorang.

Jadi kombinasi Sos cili dan Mayonis di dalam sebiji burger adalah ramuan yang "unggul" untuk penyakit diabetes dan kardiovaskular kerana Sos mengandungi tinggi gula (41%) dan Mayonis pula mengandungi tinggi lemak (69%).Belum lagi mengambil kira kandungan gula, lemak, kolesterol dan sodium (garam) di dalam minuman, thousand island, mentega, daging burger (patty) dan telur goreng (dalam burger special). Sila rujuk fakta nutrisi sebiji daging burger (patty, lemak 10.5gm)) dan sebiji telur goreng (lemak 6.8gm) yang tertera di dalam imej di bawah.




Burger dan oblong dijual di mana2 termasuk restoran makanan segera dan pasar2 malam. Jika di restoran makanan segera, ia di datangkan dengan set termasuk air bergas dan kentang goreng. Kedai2 burger di tepi jalan pula dibuka waktu petang dengan tidak putus pelanggan hingga ditutup tengah malam.Tidak hairanlah mengapa makanan segera dan tabiat makan seumpama ini telah menyumbang kepada peningkatan kadar obesiti dan penyakit kronik rakyat Malaysia. Sakit jantung dan angin ahmar merupakan punca kematian paling utama rakyat Malaysia. Set burger dan oblong menyediakan ramuan "lengkap" untuk penyakit diabetes, jantung/saluran darah dan darah tinggi. Semakin banyak berita2 kematian mengejut berlaku pada usia yang lebih muda. Kita boleh melakukan perubahan jika ada kemahuan.

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor 

TIDAK DIBENARKAN SESIAPA MENGAMBIL RENCANA INI TANPA KEBENARAN PENULIS.



No comments:

Post a Comment