Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Medical Mythbusters Malaysia
Kajiselidik di Amerika menunjukkan bahawa 52%
daripada rakyatnya mengamalkan makanan tambahan di mana 10% mengambil
sekurang-kurangnya 4 makanan tambahan. Kajiselidik ke atas rakyat yang berusia
lebih daripada 60 tahun pula menunjukkan peratusan yang lebih tinggi iaitu 70%
mengamalkan sekurang-kurangnya 1 jenis makanan tambahan. Makanan tambahan ini
dalam bentuk suplemen mineral, vitamin dan lain-lain.
Satu analisis besar mengumpulkan kajian-kajian
besar telah dilakukan dan hasil analisis tersebut telah disiarkan pada bulan Julai 2019. Mereka telah menemui
105 meta-analisis, 24 kajian intervensi dan 277 RCTs melibatkan lebih 990,000
peserta. Analisis ini ingin mengkaji adakah amalan mengambil suplemen seperti
vitamin, mineral, makanan tambahan dan diet2 tertentu dapat memberi kesan ke
atas kadar penyakit jantung dan saluran darah (cardiovascular). Ia juga melihat
kesan amalan ini terhadap kadar penyakit angin ahmar. Di antara suplemen yang
diamalkan adalah antioksidan, beta-karoten, vitamin B kompleks, vitamin B6,
vitamin C, vitamin E, vitamin D, kalsium, asid folik, zat besi dan omega 3.
Manakala 8 jenis amalan diet telah dianalisa iaitu diet Mediterranean,
mengurangkan pengambilan lemak tepu, mengurangkan garam, meningkatkan
pengambilan omega 3 dan omega 6 di dalam diet.
Memilih kadar kejadian dan kematian akibat
sakit jantung dan angina ahmar sebagai sasaran adalah tepat kerana seseorang
yang mengamal suplemen, makanan tambahan ataupun diet tertentu tentu ingin
mengurangkan kadar penyakit ini memandangkan inilah punca kematian utama umat
manusia. Penganalisis ingin melihat samada dengan amalan suplemen dan makanan
tambahan yang tersebut di atas dapat mengurangkan kadar kematian akibat
penyakit jantung dan angina ahmar. Berikut adalah keputusan kajian tersebut:
1. RISIKO KEMATIAN AKIBAT SEMUA SEBAB. Semua
amalan yang tersebut di atas KECUALI mengurangkan pengambilan garam (oleh
individu yang tidak mengalami penyakit darah tinggi) TIDAK mengurangkan risiko
kematian akibat daripada semua sebab.
2. RISIKO KEMATIAN AKIBAT PENYAKIT
JANTUNG DAN SALURAN DARAH. Semua amalan yang tersebut di atas KECUALI
mengurangkan pengambilan garam oleh pesakit darah tinggi TIDAK mengurangkan
risiko kematian akibat penyakit jantung dan saluran darah (“cardiovascular
mortality”).
3. RISIKO “MYOCARDIAL INFARCTION”. Risiko
mendapat “Myocardial Infarction” (MI) ataupun kematian otot jantung akibat
penyakit jantung koronari sedikit menurun dengan amalan pengambilan Omega 3
(RR, 0.92, CI 0.85-0.99,p=0.03, low certainty). Amalan suplemen lain dan
intervensi diet yang lain tidak mempunyai pengaruh ke atas risiko MI.
4. RISIKO ANGIN AHMAR. Terdapat bukti
yang lemah bahawa pengambilan Asid Folik mengurangkan risiko angin ahmar (RR,
0.80, CI 0.67-0.96, p=0.02, low certainty). Pengambilan Kalsium dan Vitamin D
pula dikaitkan dengan risiko Angin Ahmar yang lebih tinggi (RR, 1.17, CI
1.05-1.30, p=0.01, moderate certainty). Lain-lain suplemen dan intervensi diet
tidak mempunyai pengaruh ke atas risiko angin ahmar.
5. RISIKO MENGHIDAP PENYAKIT JANTUNG
KORONARI. Pengambilan omega 3 dikaitkan dengan pengurangan risiko penyakit
jantung koronari walaupun kaitan yang lemah (RR, 0.93, CI 0.89-0.98,p=0.01).
Amalan pengambilan lain-lain suplemen dan diet tidak mempunyai kesan ke atas
risiko menghidap penyakit jantung koronari.
KESIMPULAN
Analisis yang besar ini menunjukkan amalan
pengambilan suplemen, makanan tambahan dan diet tertentu TIDAK memberi manfaat
kepada pengamal daripada segi risiko kematian dan kadar penyakit jantung
koronari serta angin ahmar. Hanya dua sahaja amalan yang mempunyai manfaat pada
kadar yang lemah-sederhana iaitu pengambilan Omega 3 mengurangkan risiko
penyakit myocardial infarction dan juga risiko menghidap penyakit jantung
koronari. Satu lagi amalan yang bermanfaat adalah pengurangan pengambilan garam
yang dapat menurunkan kadar kematian akibat daripada semua punca dalam kalangan
individu yang tidak mengalami tekanan darah tinggi. Pengurangan pengambilan
garam juga mengurangkan risiko kematian akibat penyakit jantung. Hanya dua
jenis suplemen yang didapati mempunyai manfaat pada kadar sederhana dan rendah
iaitu pengambilan omega 3 dan asid folik. Pengambilan omega 3 menurunkan risiko
“myocardial infarction” dan risiko mengalami penyakit jantung koronari.
Pengambilan asid folik pula mengurangkan risiko angin ahmar. Manfaat asid folik
ini mungkin disebabkan oleh pengaruh besar kajian di negeri Cina (China Stroke
Primary Prevention Trial) yang menunjukkan suplemen asid folik mengurangkan
kadar angin ahmar, tetapi ini mungkin boleh dijelaskan oleh hakikat bahawa rakyat
Cina mempunyai diet yang kurang asid folik. Jadi keputusan ini mungkin tidak
dapat digunakan untuk populasi negara-negara lain. Terdapat bukti pengambilan
suplemen kalsium bersama dengan vitamin D meningkatkan risiko angin ahmar.
Manakala lain-lain suplemen, vitamin, mineral dan diet tertentu tidak mempunyai
kesan ke atas kadar kematian dan risiko penyakit jantung. Metaanalisis ke atas
34 kajian menunjukkan pengurangan garam ( purata 4.4 gram/hari) mengurangkan tekanan darah sistolik dan diastolic. Ini
akan dapat mengurangkan kadar penyakit angin ahmoar dan juga penyakit saluran
darah koronari. Manfaat omega 3 tidak ditemui di dalam semua kajian tetapi manfaatnya
tidak dapat ditolak terutama mengurangkan kadar penyakit jantung (19%) dengan
dos 1 gram omega-3 LC-PUFA sehari.
RUJUKAN
Khan SU, Khan MU, Riaz H, et al. Effects of
Nutritional Supplements and Dietary Interventions on Cardiovacsular Outcomes.
An Umbrella Review and Evidence Map. Ann Intern Med, 2019;171:190-198. doi:10.7326/M19-0341
No comments:
Post a Comment