Wednesday 10 July 2019

AZIMAT GELANG MAGNETIK: FAKTA ATAU AUTA

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

APAKAH KESAN PLASEBO

Kesan placebo adalah kesan kelegaan daripada gejala yang dialami oleh seseorang selepas diberikan sesuatu jenis rawatan yang tidak ada kena mengena dengan punca sebenar gejala tersebut. Kelegaan yang dirasai itu hanya sebahagian daraipada gejala yang dialami tetapi bukan kerana penyakit yang menyebabkan gejala itu telah disembuhkan. Sakit yang dialami oleh seseorang memang dipengaruhi oleh otak kerana otaklah yang akan memberi persepsi sakit jadi dengan otak juga persepsi sakit dapat dikurangkan ataupun ditingkatkan. Sebab itulah persepsi sakit seseorang berbeza dengan orang lain walaupun dikenakan punca dan intensiti yang sama. Maka dengan memberi "ubat palsu", seseorang yang yakin dengan ubat itu dapat mengurangkan rasa sakit yang dialaminya hanya melalui mainan otak. Ubat palsu ini dikenali sebagai PLASEBO. Pengamal perubatan moden merawat sakit dengan kaedah menyembuhkan punca sakit, bukan semata2 mengurangkan gejala. Gejala yang dialami oleh seseorang adalah gabungan daripada dua punca iaitu mainan otak dan juga gejala yang disebabkan oleh penyakit. Plasebo hanya mengurangkan gejala yang disebabkan oleh mainan otak. Maka menggunakan kesan plasebo semata-mata untuk merawat pesakit adalah kaedah yang bertentangan dengan prinsip rawatan kerana ia tidak merawat pesakit sepenuhnya. Walau bagaimanapun terdapat pesakit yang TIDAK mengalami apa2 penyakit fizikal tetapi berdepan dengan gejala seperti sakit kepala, sakit badan, sakit sendi dan sebagainya berpunca dariapada masalah psikologi. Keadaan ini dinamakan psikosomatik. Orang yang mengalami masalah psikosomatik boleh memanfaatkan kesan plasebo. Anda boleh menggunakan apa sahaja kaedah rawatan untuk dijadikan sebagai plasebo selagi pesakit merasa yakin dengan kaedah tersebut.

Kesan plasebo ini penting kepada ahli sains di dalam melakukan kajian keberkesanan sesuatu produk ataupun ubat. Sesuatu ubat itu dianggap berkesan jika pengkaji dapat membuktikan bahawa gejala yang dikurangkan itu BUKAN disebabkan oleh kesan plasebo semata2. Jadi pengkaji akan membandingkan dua kumpulan pesakit, satu kumpulan diberikan hanya plasebo dan satu lagi diberikan ubat yang dikaji. Jika di dapati kedua2 kumpulan mengalami pengurangan gejala yang sama, maka sahlah bahawa ubat yang diberikan itu tidak ada bezanya dengan plasebo dan ubat tersebut dianggap tidak berkesan. Kajian seumpama ini dikenali sebagai "randomized placebo controlled trial" yang dianggap kajian yang berkualiti tinggi. Bahan placebo yang sering digunakan adalah ubat ataupun produk yang kelihatan luarnya sama dengan produk atau ubat yang hendak diuji tetapi tidak mengandungi bahan aktif. Contohnya jika ujian dilakukan ke atas ubat pil, maka plasebo adalah juga pil yang kelihatan sama tetapi hanya mengandungi glukosa. Jika ubat yang diuji itu di dalam bentuk cecair maka bahan placebo yang digunakan mungkin air kosong ataupun larutan saline.

Kesan plasebo ini digunakan oleh ramai pengamal perubatan alternatif seperti bomoh, tukang urut,“Healer” dan lain-lain. Malahan terdapat kaedah rawatan alternatif yang terkenal pada hari ini pun telah disahkan hanya menggunakan kesan plasebo untuk merawat pesakit. Melalui kesan placebo ini seseorang yang mengalami sakit boleh dikurangkan gejala sakitnya dengan apa sahaja cara dengan syarat pesakit yakin cara tersebut dapat memberi kesan. Hatta jika yakin dengan air kosong dan pil glukos sekalipun akan dapat mengurangkan sakit melalui kesan plasebo. Pendek kata plasebo adalah “ubat tipu” yang dapat memberi kesan mengurangkan gejala walaupun ianya tidak ada kaitan dengan penyakit yang hendak ditangani. Jadi placebo tidak merawat punca penyakit tetapi hanya mengurangkan gejala melalui kesan psikologi. Walaupun pesakit merasa lega semasa mengambil placebo, kelegaan itu hanya persepsi semata-mata dan apabila ahli sains mengukur keadaan penyakit, mereka dapati penyakit masih kekal sama. Kadangkala kesan plasebo boleh juga dialami oleh pesakit hanya melalui kaedah komunikasi yang baik daripada perawat. Ini lah sebabnya mengapa seseorang pesakit merasa serasi dengan seorang perawat tetapi tidak dengan yang lain sedangkan ubat yang diberikan oleh mereka adalah sama. Apa yang menarik adalah seseorang yang mengambil plasebo juga boleh mengalami kesan negatif seperti juga kesan sampingan ubat seperti loya, cirit dan sembelit. Kesan sampingan plasebo ini juga dinamakan kesan NOCEBO.

AMALAN MEMAKAI GELANG MAGNETIK

Terdapat terlalu banyak amalan masyarakat kita yang dilakukan untuk tujuan memulihkan kesihatan. Banyak amalan-amalan ini tidak diketahui asal usulnya dan tidak kurang yang dibawa turun menurun daripada nenek moyang. Terdapat juga amalan yang diperkenalkan oleh pengamal perubatan alternatif. Pada satu ketika dahulu terdapat ramai ahli masyarakat, lelaki dan wanita yang mengamalkan pemakaian gelang tangan yang diperbuat daripada logam. Gelang ini juga menjadi produk yang hangat di pasaran sehingga ada yang menjualnya melalui kaedah pemasaran pelbagai peringkat (MLM). Gelang ini didakwa telah menjalani ionisasi dan mampu memberi manfaat kepada pemakainya melalui pengstabilan aliran tenaga elektromagnetik. Salah satu jenis gelang ini dinamakan gelang Q-Ray. Ia dikatakan telah dicipta oleh Manuel L Polo, seorang pengamal chiropractic dalam tahun 1973. Perniagaan gelang ini menjadi tular dengan kewujudan kemudahan laman web semenjak tahun 1997-98. Kepercayaan kesan gelang kepada pemakainya ini bukanlah berdasarkan kepada ilmu sains moden sebaliknya adalah kepercayaan pengamal rawatan alternative yang kebanyakan mereka tidak mempunyai latar belakang sains moden. Pencipta gelang ini percaya bahawa di dalam badan kita terdapat keseimbangan di antara ion positive dan negative. Badan menjadi sakit jika berlaku ketidakseimbangan kedua-dua caj ini. Terdapat juga gelombang biomagnetik alfa dan beta yang mengalir di dalam badan melalui pusat-pusat badan utama dan jika gelombang ini dipisahkan, akan berlaku perubahan aliran gelombang di mana ada  tempat-tempat tertentu gelombang ini akan terhenti. Gangguan aliran gelombang biomagnetik dan ketidakseimbangan ion negative dan positif inilah yang menyebabkan penyakit. Untuk menyeimbangkan kembali ion ini, arus elektrik yang berlebihan perlu dikeluarkan dan di sinilah letaknya fungsi gelang yang kononnya pada hujung bulat gelang itu adalah kawasan yang mempunyai rintangan rendah. Hujung bulat ini akan menjadi tempat mengeluarkan caj positif yang berlebihan. Kelebihan ion positif dikaitkan dengan tahap nutrisi yang rendah, pernafasan yang tidak stabil dan kehidupan yang tidak aktif. Manakala kekurangan ion negative pula dikaitkan dengan gejala kerisauan, stress, takut, benci dan keletihan. Ada juga pengeluar gelang magnetik yang mendakwa bahawa aliran magnet yang dihasilkan oleh gelang ini dapat memisahkan kelompok sel-sel darah merah dan menyebabkan sel-sel dapat mengambil lebih oksigen dan mengeluarkan lebih tenaga. Bertahun-tahun gelang ini dikatakan mampu untuk mengembalikan kesihatan, mengurangkan sakit akibat kanser, memperbaiki pergerakan otot, memperbaiki kemampuan bersukan, menyimpan tenaga dan lain-lain. Banyak lagi dakwaan manfaat yang dibawa oleh pemakaian gelang ini. 

Pada pandangan sains moden, konsep tenaga elektromagnetik dan ion-ion bercaj yang dinyatakan di atas adalah palsu dan tidak menepati fisiologi badan yang sebenar. Tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan bahawa penyakit disebabkan oleh ketidakseimbangan caj positif dan negatif. Sains moden tidak dapat menerangkan secara objektif bagaimana boleh adanya kaitan antara ketidakseimbangan caj ini dengan kejadian penyakit. Malahan dakwaan yang mengatakan gelang besi itu bercaj pun disanggah oleh ahli sains kerana objek yang pejal seperti gelang tersebut sebenarnya tidak boleh diionkan (ionized). Ujian mikroskopik elektron yang dijalankan dimakmal juga mengesahkan bahawa ianya tidak bercaj.

Golongan yang mempercayai gelang Q ray ini seringkali menggunakan testimony dan ujian kekuatan jari yang dinamakan Omura test ataupun O-Ring test. Di dalam ujian ini, individu yang diuji akan menjalani ujian kekuatan sebelum dan selepas memakai gelang. Kekuatan itu diuji dengan rakan lain cuba memisahkan jari telunjuk dan ibu jari yang ditemukan bersama. Walaupun kadangkala ujian ini didapati berjaya tetapi dari sudut pengetahuan ilmu psikologi, fenomena ini dapat diterangkan  melalui mekanisma yang dinamakan “suggestion”. Apa yang berlaku adalah disebabkan oleh kekuatan yang sengaja diubahsuai samada daripada rakan yang menguji ataupun individu yang memakai gelang, sehingga mereka yang melakukan ujian Omura ini dapat bekerjasama hingga berjaya meyakinkan pemerhati.

KAJIAN SAINTIFIK MENGENAI KEBERKESANAN GELANG MAGNETIK

Kajian saintifik telah dijalankan ke atas gelang magnetik dan diterbitkan di dalam Jurnal Mayo Clinic Proceeding. Kajian ini adalah kajian “Randomized, double-blind, placebo-controlled trial” yang dijalankan oleh Bratton RL dan rakan-rakan, di mana matlamat kajian ini dijalankan adalah untuk menguji samada gelang yang didakwa bercaj ini boleh merawat sakit otot dan sendi. Di dalam kajian ini seramai 305 orang memakai gelang berion, manakala 305 orang lagi memakai gelang placebo selama 4 minggu. Individu di dalam kedua-dua kumpulan ini tidak mengetahui samada mereka memakai gelang bercaj ataupun gelang placebo. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa  terdapat pengurangan dari segi gejala sakit yang dialami oleh kedua-dua kumpulan. Tidak ada perbezaan yang bermakna daripada segi pengurangan sakit di antara kumpulan yang memakai gelang bercaj dan gelang placebo. Jadi ini menunjukkan bahawa sebenarnya gelang bercaj ataupun gelang magnetik (termasuk Q-ray) ini memberi kesan positif hanya melalui kesan placebo dan bukan disebabkan oleh apa yang didakwa oleh penciptanya (1). Keputusan yang sama juga telah diperolehi oleh kajian yang dijalankan oleh Richmond SJ dan rakan-rakan. Mereka menggunakan beberapa jenis gelang di antaranya gelang magnetic dan gelang tembaga yang dipakai selama 16 minggu dan pemakai bertukar gelang (Crossover trial) selepas beberapa lama dan mereka sendiri tidak tahu apakah jenisnya. Kajian ini adalah untuk melihat kesan pemakaian gelang ini ke atas sakit radang sendi (osteoarthritis). Hasil kajian ini menunjukkan bahawa pemakaian gelang-gelang ini tidak mengurangkan kesakitan, tidak melonggarkan sendi yang keras dan tidak ada manfaat ke atas fungsi fizikal sendi yang terlibat. Pengkaji membuat kesimpulan bahawa pemakaian gelang-gelang ini jikapun berkesan adalah disebabkan oleh kesan placebo. (2)

Syarikat yang mengeluarkan gelang ini telah disaman beberapa kali oleh beberapa badan yang melindungi pengguna di Amerika pada tahun 2000-2004 dan dikehendaki membayar sejumlah wang tertentu kepada pihak  yang menyaman sebagai ganti rugi kerana membuat dakwaan palsu mengenai kemujaraban gelang ini untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Di samping dakwaan palsu, pihak mahkamah juga menganggap ianya satu penipuan dari sudut perniagaan di mana harga sebiji gelang magnetik tersebut terlalu mahal (ada yang dijual dengan harga $200 USD sebiji) sedangkan ianya hanyalah placebo.

FATWA HUKUM MEMAKAI GELANG BESI MAGNETIK BAGI LELAKI UNTUK TUJUAN KESIHATAN

Fatwa di atas telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan yang semasa persidangan untuk mengeluarkan fatwa ini, mereka telah menjemput pakar perubatan untuk memberi pendapat. Menurut pakar perubatan yang dijemput, beliau menjelaskan bahawa daripada sudut kesihatan tidak ada bukti bahawa gelang magnetik memberi kesan positif kepada kesihatan manusia. Apa yang ada hanyalah testimoni iaitu pengakuan perseorangan tentang kesannya dan ianya tidak diterima sebagai bukti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kerana mempunyai unsur plasebo. Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga tidak membuat kenyataan mengenai keberkesanan menggunakan gelang ini walaupun ianya selamat diamalkan. Majlis fatwa membuat rumusan bahawa bagi lelaki yang memakai gelang sebagai perhiasan diri menurut hukum syara’ adalah haram berdasarkan hadith daripada Ibnu Abbas r.s katanya : Rasullullah saw melaknat lelaki yang meniru-niru gaya perempuan, dan perempuan yang meniru-niru gaya lelaki. Pemakaian gelang magnetik ini hukumnya harus hanya jika terbukti berkesan melalui kajian saintifik sains perubatan. Sekiranya pemakaian gelang magnetik tidak memberi faedah daripada segi kesihatan, maka perlu ditinggalkan. Keputusan akhir daripada Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan ini adalah HARAM bagi lelaki memakai gelang magnetik kerana pemakaian gelang tersebut lebih kepada menyerupai wanita di samping tidak ada bukti saintifik yang ianya berkesan. Amalan ini adalah satu kaedah yang boleh merosakkan orang Islam (3).

Terdapat juga perbezaan pendapat dalam kalangan agamawan tentang pemakaian gelang tangan oleh kaum lelaki tetapi lebih kepada bersifat pendapat peribadi. Saya hanya menemui fatwa oleh Majlis Fatwa Agama Islam Negeri Sembilan. Jika pembaca ada menemui fatwa daripada lain-lain institusi Islam yang berwibawa, boleh berkongsi. Secara peribadi, saya berpendapat jika ada keraguan tentang hukum disebabkan oleh pendapat agamawan yang berbeza, adalah lebih baik kita menghindarinya kerana daripada segi saintifik juga, gelang magnetik ini hanyalah membawa kesan plasebo.

KESIMPULAN

Penjelasan mengenai bagaimana system badan berfungsi yang digunakan oleh pencipta gelang Q-Ray ataupun gelang-gelang magnetik yang lain  tidak menepati ilmu sains perubatan moden. Begitu jugalah penerangan mengenai bagaimana gelang ini dapat menyembuhkan penyakit, menyimpang daripada ilmu sains perubatan moden. Pemakaian gelang samada gelang magnetic ataupun gelang-gelang lain tidak mempunyai kaitan dengan pengubatan penyakit ataupun memulihkan kesihatan fizikal ke atas manusia. Ini adalah hasil daripada kajian saintifik yang dilakukan ke atas penggunaan gelang ini di mana  didapati kesan pengurangan sakit yang dibawa oleh pemakaian gelang ini adalah kesan placebo iaitu kesan palsu. Dari sudut hukum agama Islam pula, disebabkan tidak ada bukti bahawa gelang magnetik ini boleh mengubati penyakit melalui kajian sainfitik oleh pakar-pakar, maka mengikut majlis fatwa kerajaan Negeri Sembilan, hukum memakai gelang ini adalah haram.

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Medical Mythbusters Malaysia

RUJUKAN

1.   Bratton RL, Montero DP, Adams KS, et al. Effects of “ionized” wrist bracelets on musculoskeletal pain : a randomized , double-blind, placebo-controlled trial. Mayo Clin Proc, 2002;77(11):1164-8)
2.   Richmond SJ, Brown SR, Campion PD, et al. Therapeutic effects of magnetic and copper bracelets in osteoarthritis: a randomized placebo-controlled crossover trial. Complement Ther Med, 2009 17(5-6):249-56. doi: 10.1016/j.ctim.2009.07.002. Epub 2009 Aug 28
4.   About Q-Ray/Bio-Ray. QT, Inc, Web site, archived Dec 22, 1997. 
5.   About Q-Ray. QT, Inc, Web site, archived Dec 8, 2000. 
6.   Yamamoto S. The formation and basis of the bi-digital O-Ring test. Feb 26, 2002.
7.   Consumer Justice Center v Q.T., Inc., Andrew Park, Jung Joo Park, Que Te Park, Lizz Ciprian, and Does 1-100. 
8.   Superior Court of the State of California for the County of Orange, Central Justice Center, Case No. 00CC14710, Filed Dec 7, 2000.
9.   John Gardner v QT Inc. and Does 1-50. Superior Court of the State of California, County of San Diego, North County Branch. Case No. GIN026037. Amended complaint filed Jan 13, 2003.
11.                http://www.quackwatch.org/01QuackeryRelatedTopics/PhonyAds/qray.html
RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA PERTUBUHAN ATAUPUN INSTITUSI. TIDAK DIBENARKAN MANA-MANA PIHAK UNTUK MENGAMBIL BAHAN DI DALAM RENCANA INI DAN DIGUNAKAN UNTUK APA-APA TUJUAN MELAINKAN TERLEBIH DAHULU MENDAPAT KEBENARAN PENULIS.

No comments:

Post a Comment