Wednesday 22 May 2019

ANTARA KHILAF DAN SESAT DALAM AMALAN PERUBATAN


Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Tidak kira bagaimana pesatnya perkembangan ilmu perubatan yang berlaku pada hari ini, pengamal perubatan yang BERETIKA akan kekal berpegang dengan prinsip amalan berdasarkan bukti ataupun "evidenced based medicine" (EBM). EBM merangkumi 3 komponen utama iaitu kemahiran doktor, tahap pembuktian ("levels of evidence") dan komitmen pesakit. EBM juga menekankan betapa pentingnya sesuatu penyakit itu dirawat oleh pakar yang mahir di dalam bidang berkenaan menggunakan kaedah yang mempunyai tahap pembuktian yang tinggi.

Semua kaedah-kaedah rawatan ke atas penyakit yang dikesan oleh perubatan moden samada penyakit berjangkit ataupun penyakit bukan berjangkit (NCD) seperti diabetes, darah tinggi, kanser dan lain-lain adalah JELAS dan mempunyai garispanduan rawatan yang standard dihasilkan oleh pakar2 berdasarkan prinsip EBM. Garispanduan ini dinamakan protokol rawatan dan CPG (Clinical Practise Guideline) yang menjadi rujukan pengamal perubatan. Contohnya penyakit kanser, kaedah rawatan yang berdasarkan kepada EBM adalah kemoterapi, radioterapi, pembedahan, terapi hormon ataupun terapi sasaran. Tidak ada perbezaan yang ketara di antara CPG yang dihasilkan oleh pertubuhan luar negara dan negara kerana semua menggunakan prinsip yang sama. Analogi untuk CPG ini jika diaplikasikan di dalam agama adalah umpama keputusan Majlis Fatwa samada peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa.

Memang terdapat perkara2 yang kabur ataupun "grey area" di dalam amalan perubatan. Dalam ilmu agama, kita panggil KHILAFIAH yakni sesuatu pendapat yang tidak ada kata putus yang jelas di mana hujah kedua2 pihak yang berbeza ini mempunyai kekuatan hujah/dalil yang seimbang. Di dalam konteks perubatan, apakah perkara-perkara yang dianggap khilaf dan apa pula yang dianggap menyimpang/sesat.

Sebenarnya khilaf dalam kalangan pengamal perubatan adalah LUMRAH, contohnya pesakit kanser A telah dibedah dan selepas pembedahan, pakar B berpendapat pesakit tidak perlu rawatan kemoterapi tetapi pakar C berpendapat perlu kemoterapi. Kedua2 pakar B dan C memberi hujah yang sama kuat. Ini kita katakan khilaf dalam amalan perubatan. Begitu juga jika berlaku perbezaan pendapat tentang jenis ubat kemoterapi yang hendak digunakan. Manakala apa yang dikatakan SESAT adalah apabila seorang pengamal mengesyorkan makan jamu, herba ataupun suplemen untuk MERAWAT atau MENCEGAH kanser, kerana dalilnya sangat lemah, tidak selari dengan prinsip EBM. Jadi mengamalkan sesuatu yang belum terbukti bermanfaat adalah sesat, lebih2 lagi jika ia melibatkan keselamatan dan kos. Apatah lagi jika terdapat bukti yang ianya boleh memudaratkan. Kita menentang kesesatan bukan menentang perkara yang khilaf.

Selagi orang awam berpegang kepada pandangan pengamal perubatan yang mempertahankan prinsip EBM ini, mereka akan terselamat daripada mudarat akibat rawatan yang tidak betul, mengamalkan sesuatu yang tidak diperlukan dan pembaziran wang ringgit. KKM adalah autoriti kesihatan yang jelas berpegang kepada prinsip EBM dan menyokong mana-mana kumpulan yang memperjuangkannya.

Tidak kira samada dalam bidang perubatan ataupun agama, tentu ada golongan yang menggunakan kedudukan mereka untuk tujuan peribadi khususnya untuk imbuhan wang. Dalam konteks perubatan, salah satu ciri2 golongan ini adalah mempromosikan sesuatu aliran fikiran dan kefahaman yang akhirnya membawa kepada tawaran membeli produk kesihatan yang TIDAK berasaskan kepada prinsip EBM. Ada di antara mereka mempengaruhi orang ramai supaya menganggap yang sesat itu adalah khilaf dan mencampur-adukkan sains dan pseudosains. Pendek kata mereka sanggup mengenepikan prinsip, demi untuk habuan peribadi. Ada di antara mereka sengaja memandang sinis prinsip EBM sedangkan inilah yang mereka belajar semasa menuntut di dalam bidang perubatan. Inilah yang diajar oleh guru2 mereka yang mahir dan berpengalaman.

Untuk membaca dengan lebih lanjut berkenaan dengan disiplin ilmu perubatan moden dan kaedah mengenal golongan yang mengamal ajaran sesat di dalam bidang ini sila klik di pautan di bawah:




Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Medical Mythbusters Malaysia
23 hb Mei 2019
18 Ramadan
 

Contoh CPG rawatan Tekanan Darah Tinggi (Hypertension) KKM



No comments:

Post a Comment