Saturday 25 May 2019

SUPLEMEN YANG MENGANDUNGI ANTIOKSIDAN POLYPHENOLS UMPAMA SERAMPANG DUA MATA

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Saya percaya perkataan Polyphenol tidak asing kepada penjual dan pengamal suplemen kerana ini adalah salah satu nama "ajaib" yang menjadi penarik kepada banyak jenis produk suplemen. Dengan adanya nama ini, maka seribu satu macam khasiat akan dikaitkan dengan pengambilannya. Di dalam rencana ini saya akan cuba terangkan apakah risiko mengambil produk suplemen yang tidak diketahui status keberkesanan dan keselamatannya dengan mengambil contoh suplemen yang mengandungi POLYPHENOLS.

Polyphenols adalah sekumpulan sebatian kimia yang ditemui di dalam tumbuh-tumbuhan termasuk sayuran, buah-buahan, kekacang dan bijirin. Sebenarnya terdapat beribu-ribu jenis sebatian kimia yang tergolong di dalam kumpulan polyphenols. Tiga di antaranya adalah FLAVONOIDS, ASID FENOLIK DAN RESVERATROL yang sering digunakan dalam produk suplemen. Ringkasnya polyphenols adalah fitonutrien (nutrien dari tumbuhan) yang memiliki ciri-ciri ANTIOKSIDAN. Apabila mempunyai ciri antioksidan, maka keluarlah pelbagai dakwaan kemujarabannya seperti antipenuaan, mencegah kanser, merawat keradangan, memelihara kulit, sakit jantung, diabetes, penyakit Alzeimers dan lain-lain lagi. (1,2,3)

Malangnya, dakwaan kemujaraban polyphenol dalam bentuk suplemen tidak pernah dibuktikan berkesan ke atas manusia. Tidak ada kajian klinikal yang kukuh dijalankan ke atas manusia untuk menyokong dakwaan ini. Walaupun ada kajian tetapi ianya hanya kajian praklinikal yang dilakukan di dalam makmal ke atas ekstrak polyphenol. Pendek kata, tidak ada bukti kukuh produk suplemen yang mengandungi polyphenol ini bermanfaat kepada manusia.

Persoalan kedua, adakah ianya selamat diambil ? Soalan ini juga sukar dijawab atas alasan yang sama kerana jika tidak ada kajian klinikal yang berwibawa untuk menguji keberkesanan, maka begitulah juga keselamatan. Ia mungkin selamat semasa kajian praklinikal ke atas haiwan di dalam makmal tetapi itu bukan jaminan selamat ke atas manusia.

Apabila kita tidak dapat menjawab dengan yakin persoalan keselamatan, maka ini juga bermaksud ada kemungkinan produk yang mengandungi polyphenol ini boleh memudaratkan. Cuba kita tengok apakah potensi kemudaratan yang boleh diakibatkan oleh polyphenols ini jika diambil dalam kuantiti yang tinggi:

1. Pengambilan suplemen antioksidan seperti polyphenol boleh menyebabkan gangguan kepada keseimbangan antioksidan dan radikal bebas di dalam badan. Badan memerlukan kedua2 antioksidan dan radikal bebas pada tahap yang optima. Keseimbangan ini berlaku secara semulajadi. Berlebihan salah satu daripadanya boleh memudaratkan kesihatan. Kajian ke atas haiwan yang menghidap kanser menunjukkan kanser itu lebih cepat merebak apabila disuntik dengan antioksidan kerana walaupun radikal bebas boleh merosakkan sel, ciri2 ini juga bermanfaat untuk memusnahkan sel kanser. (4)

2. Ahli Sains mendapati polyphenols boleh memberi kesan mengurangkan kandungan nutrien tertentu di mana ia boleh mengikat beberapa jenis mineral seperti zat besi. Jadi dalam kuantiti tertentu ia boleh menjadi anti-nutrisi (1).

3. Kandungan polyphenols yang tinggi juga boleh meningkatkan risiko penyakit jantung (melalui gangguan ke atas pemprosesan homocysteine) dan risiko meransang kanser ke atas individu yang berisiko. (5)

4. Kajian juga mendapati ada polyphenol (contoh: navingenin) mampu merencat enzim yang bertanggungjawab memetabolismakan ubat dan ini menyebabkan boleh berlaku "overdose". Pendek kata ia mempunyai kesan interaksi dengan ubat-ubat lain (6). Polyphenols boleh berinteraksi dengan ubat seperti ubat tahan sakit (NSAIDs) dan warfarin (ubat pencair darah).

5. Terdapat lapuran kes kerosakan hati akibat pengambilan suplemen yang berasaskan teh yang mengandungi polyphenol yang tinggi. Kajian ke atas haiwan juga mendapati pengambilan diet yang mengandungi polyphenol yang tinggi boleh menyebabkan kematian, kerosakan buah pinggang dan hati. (7,8)

Walaupun banyak kajian yang melapurkan kemudaratan ini dilakukan di dalam makmal dan apabila kuantiti polyphenol itu diambil dengan banyak, namun ianya sudah cukup membuat kita merasa bimbang memandangkan suplemen mengandungi ekstrak polyphenol dan selalunya diambil oleh semua orang tidak kira yang sihat ataupun yang sakit. Produk suplemen juga tidak dipantau dengan ketat oleh FDA disebabkan oleh statusnya sebagai makanan tambahan. Jika anda seorang yang sihat, anda berpotensi untuk menjadi sakit. Lebih-lebih lagi polyphenol terdapat di dalam banyak sumber makanan seperti sayuran, buah2an, bijirin (nasi, gandung), teh, bawang dan lain-lain yang menjadi makanan ruji ramai penduduk dunia. Tidakkah anda bimbang kemungkinan mengambil polyphenol ini secara berlebihan apabila di samping mengambilnya daripada sumber makanan, anda menambah kuantitinya lagi di dalam bentuk suplemen. Kebetulan masalah utama masyarakat hari ini adalah obesiti dan makan berlebihan.

Kesimpulannya, walaupun suplemen yang mengandungi polyphenol ini mungkin dikeluarkan oleh kilang yang besar dengan pasukan R&D yang hebat, banyak persoalan yang belum terjawab. SETAKAT INI, SUMBER TERBAIK POLYPHENOL ADALAH MELALUI MAKANAN. Cerita tentang polyphenol ini sebenarnya sama sahaja dengan suplemen2 yang lain yang ada di dalam pasaran.Saya boleh katakan bahawa mengambil suplemen yang mempunyai status seperti ini samalah seperti menyeluk tangan anda ke dalam bakul yang anda tidak tahu apakah yang ada di dalamnya, mungkin duit, barang kemas ataupun mungkin binatang berbisa. Ada juga kemungkinan bakul tersebut kosong dan tidak memberi apa2 manfaat kepada anda. Mengapa sanggup memperjudikan keselamatan diri dan menghabiskan wang yang banyak demi untuk sesuatu yang belum pasti.

DDr Rushdan Noor
26hb Mei 2019
21 Ramadan

RUJUKAN

1. Martin KR, Christy LA. Polyphenols as dietary supplement. A double-edged sword. Nutrition and Dietary Supplement, 2010;2:1-12
2.Bravo L. Polyphenols: Chemistry, dietary sources, metabolism, and nutritional significance. Nutr Rev, 1998;56:317-333
3.Nijveldt RJ, van Nood E, van Hoorn DEC, et al. Flavonoids: A review of probable mechanisms of action and potential applications. Am J Clin Nutr, 2001;74:418-425
4.Halliwell B. Dietary polyphenols: Good, bad, or indifferent for your health? Cardiovasc Res. 2007;73:341-347
5. Olthof MR, Hollman PC, Zock PL, Katan MB. Consumption of high doses of chlorogenic acid, present in coffee, or of black tea increases plasma total homocysteine concentration in human. Am J Clin Nutr, 2001;73:532-538
6. Kiani J, Imam S, Medicinal importance of grapefruit juice and its interaction with various drugs. Nutr J. 2007;6:33
7. Bonkovsky HL. Hepatotoxicity associated with supplements containing Chinese green tea (Camellia sinensis). Ann Intern Med. 2006;144:68-71
8.Isbrucker RA, Edwards JA, Wolz E, et al. Safety studies on epigallocatechin gallate preparations. Part 2: Dermal, acute and short-term toxicity studies. Food Chem Toxicol, 2005;44:636-650
9. Hodgson JM, Burke V, Beilin LJ, Croft KD. Can b

No comments:

Post a Comment