MAKSUD KELAHIRAN SELAMAT
Kelahiran selamat didefinasikan sebagai kelahiran yang disambut oleh petugas/anggota yang terlatih dengan kelengkapan yang mencukupi. Untuk tujuan mengumpulkan data, peringkat kedua proses kelahiran (second stage) diambil sebagai titik penentu (critical point) kepada kelahiran selamat. Jadi kelahiran dianggap selamat apabila petugas yang terlatih mengendalikan proses kelahiran sekurang2nya pada peringkat kedua (dari serviks terbuka sepenuhnya hingga kelahiran anak yang lengkap). Dengan perkataan lain, jika peringkat kedua ini tidak dikendalikan oleh petugas terlatih, maka kelahiran tersebut tidak dianggap sebagai kelahiran selamat.
Mengikut WHO, anggota kesihatan terlatih adalah petugas yang telah dilatih serta dikawal selia dalam penjagaan kesihatan ibu hamil dan bayi baru lahir mengikut piawaian kebangsaan dan antarabangsa. Dalam konteks negara kita Malaysia, Petugas terlatih adalah Pengamal Perubatan yang didaftarkan di bawah Akta Perubatan 1971 (Akta 50) atau Bidan yang berdaftar dengan Lembaga Bidan Malaysia serta Jururawat Kebidangan dan Jururawat Masyarakat. Definasi Bidan berdaftar ini dinyatakan di dalam Akta Bidan 1966, di seksyen 9-11 yang dikepilkan di bawah. Saya juga pernah menulis tentang bidan terlatih di pautan ini : https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10212819610792928&id=1468333443&mibextid=Nif5oz
KADAR KELAHIRAN SELAMAT DI MALAYSIA
Persoalan seterusnya adalah apakah kadar kelahiran selamat di Malaysia? Memandangkan kadar kelahiran selamat adalah salah satu kayu ukur yang penting bagi menilai keberkesanan penyampaian kesihatan ibu dan anak, data tentang kadar ini dipantau setiap tahun bagi memastikan ianya mencapai sasaran. Kadar kelahiran selamat diukur dalam bentuk peratusan kelahiran selamat yang dinisbahkan dengan jumlah kelahiran pada tahun tersebut. Pada tahun 1990, kadar kelahiran selamat di negara kita adalah 92.8%. Kadar ini meningkat perlahan-lahan di mana pada tahun 2015 ianya mencapai 99% dan data terakhir pada tahun 2019 adalah 99.83% (rujuk geraf). Ini adalah satu pencapaian yang sangat baik jika dibandingkan dengan negara-negara lain (rujuk geraf kadar kelahiran selamat oleh UNICEF di bawah). Jadi pada tahun 2019, kelahiran tidak selamat adalah 0.17%.
Punca berlakunya kelahiran tidak selamat (0.17%) adalah ibu yang mengalami "precipitate labour" di mana proses kelahiran berlaku terlalu cepat hingga tidak sempat dikendalikan oleh petugas terlatih, kelahiran yang berlaku semasa ibu dalam perjalanan ke fasiliti kesihatan dan ada juga ibu yang mengambil keputusan untuk bersalin sendirian di rumah. Malangnya kita tidak mempunyai data terperinci tentang ibu-ibu yang sengaja bersalin di rumah kerana kesukaran untuk mendapatkan maklumat yang betul kerana ibu-ibu ini akan memberi jawapan tidak sempat untuk bersalin di fasiliti kesihatan. Dalam kalangan mereka ini tentu ada yang terpengaruh dengan pengamal ilmu kelahiran sesat (cth Lotus birth dll ) yang tidak berdaftar/terlatih ataupun "Doula Palsu"(Individu yang mengaku seorang Doula tetapi tidak memiliki sijil latihan yang diiktiraf/sah di samping membuat amalan menyimpang dari tugas sebenar seorang Daola).
Doula bukan petugas kesihatan terlatih dan TIDAK layak untuk mengendalikan kelahiran anak. Jadi jika Doula mengendalikan kelahiran ataupun ibu itu bersalin sendiri, kelahiran yang berlaku itu dianggap kelahiran yang tidak selamat walaupun Doula tersebut memiliki sijil latihan Doula dari luar negara. Individu yang bukan petugas terlatih/berdaftar termasuk "Doula Palsu" yang sengaja menyambut kelahiran anak boleh diambil tindakan di bawah Akta Bidan 1966 (seksyen 14) di mana mereka boleh didenda tidak melebihi RM2000 ataupun dipenjarakan selama tidak lebih 1 tahun ataupun kedua2nya sekali. Berdasarkan kepada data yang saya bentangkan di atas, pengaruh "Doula Palsu" ini boleh dikatakan sangat kecil dan apa yang disiarkan oleh mereka dalam media sosial adalah umpama "ayam bertelur sebiji riuh sekampung".
Walaupun negara kita mempunyai kadar kelahiran selamat yang sangat tinggi, namun adalah penting untuk sekurang2nya mengekalkan status ini ataupun lebih baik lagi mencapai kadar yang lebih tinggi. KKM sedang giat menjalankan aktiviti pendidikan kesihatan, meningkatkan kemudahan tempat bersalin, bilangan kakitangan dan pemantauan ke atas semua ibu hamil bagi memastikan mereka mendapat perkhidmatan yang sempurna.
Ibu-ibu yang sengaja memilih untuk bersalin sendiri di rumah tanpa kehadiran petugas terlatih dan aktiviti "Doula Palsu" ataupun lain-lain pengamal yang tidak berdaftar sedang dalam radar KKM. Wanita2 yang sengaja memilih kelahiran tidak selamat ini nanti akan mengalami kesukaran untuk mendaftarkan kelahiran anak mereka di Pejabat Pendaftaran. Kerjasama dalam bentuk membuat aduan (sebagai bukti) atau membantu siasatan oleh ibu2 yang terlibat sangat penting agar tindakan dapat diambil ke atas golongan yang tidak bertanggungjawab. Buat masa ini negara kita belum lagi mempunyai persatuan ataupun badan ataupun pengendali latihan yang diiktiraf untuk melatih Doula, sebab itu saya menggunakan istilah "Doula Palsu". Sememangnya ada cadangan untuk mengujudkan program latihan dan proses pengiktirafan Doula agar kita dapat menghasilkan Doula yang bertauliah, berdaftar dan tahu peranan sebenar mereka.
TAHAP KESEDARAN MASYARAKAT SEMAKIN TINGGI
Daripada perbincangan semasa mesyuarat ini dan juga maklumbalas daripada kakitangan KKM, kesedaran masyarakat Malaysia sudah semakin tinggi berkenaan dengan amalan kelahiran selamat dan semakin ramai yang sedar tentang mudarat yang dibawa oleh "Doula Palsu". Ini dibuktikan oleh kadar kelahiran selamat yang semakin meningkat. Kesedaran ini bukan sahaja hasil usaha oleh kakitangan KKM tetapi adalah juga usaha yang bersepadu oleh perkhidmatan swasta dan NGO seperti Medical Mythbusters Malaysia, MedTweetMY dan juga MedSos Influencer2. Pihak Jabatan mufti juga mengeluarkan fatwa tentang hukum menggunakan perkhidmatan pengendali kelahiran yang tidak terlatih termasuk "Doula Palsu". Semoga kerjasama ini dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa. Di samping kesedaran ibu-ibu, suami juga memainkan peranan dan perlu menjadi sasaran pendidikan kesihatan.
DDr Rushdan Noor
Ketua Perkhidmatan O&G KKM
23hb Jan 2023
https://data.unicef.org/topic/maternal-health/delivery-care/
https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/2292-bayan-linnas-siri-ke-125-hukum-menggunakan-khidmat-doula
https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/10212819610792928
https://www.minda2tinta.com/2020/10/siapakah-bidan-terlatih-dan-daola.html
https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/2292-bayan-linnas-siri-ke-125-hukum-menggunakan-khidmat-doula
https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/10212819610792928
https://www.minda2tinta.com/2020/10/siapakah-bidan-terlatih-dan-daola.html
No comments:
Post a Comment