Thursday, 26 January 2023

FENOMENA BOMOH SILAP MATA



FENOMENA BOMOH SILAP MATA

Silap mata ataupun magic/magik dianggap satu cabang seni untuk tujuan berhibur dan ada yang menjadikannya sebagai satu kerjaya. Sehebat mana sekalipun seseorang ahli silap mata, hakikatnya apa yang penonton saksikan itu hanyalah ilusi dan bukan realiti. Untuk menjadi ahli silap mata yang hebat, tidak perlu menggunakan makhluk halus kerana bidang seni ini sudah berkembang begitu pesat sehingga kaedah “menipu” yang digunakan itu sudah cukup canggih, malahan ada yang menggunakan teknologi moden untuk menipu mata penonton seperti menghilangkan objek besar, terapung di udara, berjalan di atas air, bernafas dalam air, kebal dan sebagainya. Pendek kata pada hari ini teknologi moden sudah boleh menggantikan tugas jin dan saka untuk melakukan perkara2 pelik dan luar biasa.

Masyarakat faham dan menerima kewujudan ahli silap mata dan tahu bahawa apa yang dilakukan oleh mereka adalah satu ilusi hasil daripada kemahiran pergerakan tangan, penggunaan alat2an, teknologi moden dan dibantu oleh pembantu yang turut "menipu". Jadi silap mata adalah satu bidang seni untuk menghiburkan penonton melalui “penipuan terancang”. Penonton mengeluarkan wang membayar harga tiket menyaksikan silap mata dan mendapat pulangan dalam bentuk keseronokan.

Terdapat satu lagi golongan manusia yang juga menggunakan kemahiran melakukan silap mata tetapi untuk tujuan menipu orang ramai supaya percaya bahawa mereka memang mampu melakukan sesuatu yang luarbiasa, benar2 pelik, bukan satu ilusi ataupun silap mata. Mangsa golongan ahli silap mata yang menipu ini selalunya adalah pesakit-pesakit dengan pelbagai masalah kesihatan seperti batu karang,ketumbuhan, penyakit kronik dan lain-lain. Ada juga yang sihat fizikal tapi dikatakan berpenyakit ataupun dirasuk jin. 

Disebabkan oleh tanggapan masyarakat kita bahawa apa2 sahaja yang pelik dan tak masuk akal mestilah kerja jin atau makhluk halus, maka penipu2 ini mengambil kesempatan untuk sengaja mengaitkan penyakit dengan serangan makhluk halus ataupun buatan orang. Di atas alasan serangan makhluk halus dan buatan orang inilah maka wujud seribu satu teknik silap mata yang digunakan seperti mengeluarkan kaca, paku, batu, jarum, rambut, haiwan dan lain-lain daripada tubuh badan pesakit. Malahan mereka juga mendakwa boleh melakukan pembedahan untuk mengeluarkan penyakit dengan kaedah yang dikenali sebagai bedah batin. Hakikatnya semua ini dilakukan dengan kaedah silap mata.

Bukan niat saya untuk menafikan kewujudan makhluk halus seperti jin dan iblis, tetapi untuk menyedarkan masyarakat bahawa sebelum kita meletakkan sebab sesuatu perkara itu ke atas makhluk halus, sepatutnya cari terlebih dahulu punca-punca yang boleh diterangkan oleh akal fikiran dan lojik. Jika ianya adalah gejala kesihatan, berjumpalah dengan doktor terlebih dahulu dan jalani pemeriksaan serta ujian yang lengkap sebelum menyalahkan makhluk halus ataupun buatan orang. Faktor2 penyebab penyakit ini apabila dikesan akan dapat dirawat dengan kaedah yang betul dan jika ianya penyakit yang serius, rawatan awal dapat menyelamatkan nyawa seseorang. 

Sebahagian ulamak berpendapat tidak berdosa melakukan permainan silap mata selagi tidak ada unsur2 sihir dan syirik. Walau bagaimanapun menggunakan silap mata untuk tujuan menipu dengan mendakwa boleh mengubati penyakit bukan saja berdosa tetapi juga satu bentuk jenayah penipuan. Nampaknya apa sahaja yang asalnya baik boleh saja disalahgunakan untuk tujuan yang tidak baik oleh orang2 yang tidak baik. Orang ramai yang kurang berpengetahuan dan tidak teliti pasti akan jadi mangsa.

Di bawah ini saya sertakan pautan2 video yang menunjukkan rahsia di sebalik silap mata dan penipuan2 menggunakan kemahiran silap mata.

1. Rahsia bedah batin :

            https://youtu.be/k4fU0Swt4pI

2. Rahsia ilmu kebal: 

         https://youtu.be/mGVEn_vYg-A

3. Rahsia keluarkan santau ke dalam telur :         

         https://youtu.be/yI09PxPQ9jM

4. Contoh2 persembahan silap mata dan bagaimana ianya menipu mata manusia:

         https://youtu.be/Avo6gkVveaM

         https://youtu.be/mAFY-DRQS04

         https://youtu.be/Aaehd9xrdBQ

         https://youtu.be/dgFy7jasnU8

Kredit kepada En.Alif (gambar bawah), ahli silap mata yang membongkarkan rahsia penyalahgunaan silap mata

DDr Rushdan Noor 

19hb Disember 2019






No comments:

Post a Comment