Tuesday 15 October 2019

TEORI KONSPIRASI : LEBIH AUTA DARI FAKTA



Konspirasi bermaksud perancangan rahsia ataupun persetujuan di antara seseorang ataupun kumpulan untuk tujuan memudaratkan orang lain ataupun kumpulan lain melalui kaedah yang selalunya bertentangan dengan undang-undang. Rahsia ini disimpan di dalam pengetahuan individu ataupun kumpulan yang terlibat itu sahaja. Manakala teori pula adalah satu maklumat ataupun kesimpulan yang belum disahkan benar, walaupun ianya lojik.

Maksud teori konspirasi adalah penerangan mengenai sebab berlakunya sesuatu perkara melalui penjelasan yang berbeza daripada yang apa yang dipegang/dilakukan oleh pihak yang terlibat. Penjelasan ini tertumpu kepada satu plot ataupun rancangan jahat yang tersembunyi tanpa bukti yang kukuh. Kebanyakan teori konspirasi ini mempunyai bukti yang lemah jika dibandingkan  bukti yang dibawa oleh pihak yang benar. Maka teori konspirasi ini bolehlah disamakan statusnya dengan gossip atau khabar angin. 

Kebanyakan teori konspirasi ini bermula daripada pendapat peribadi seseorang yang asalnya tersimpan di dalam mindanya, kemudian dicetuskan kepada orang ramai sehingga ianya tersebar luas. Pendek kata teori konspirasi bukan berasaskan kepada bukti yang kukuh tetapi lebih kepada kepercayaan ataupun persepsi. Kebanyakan teori konspirasi diwujudkan untuk menjatuhkan pihak lain terutama untuk tujuan politik ataupun untuk tujuan lain seperti pengaruh, kuasa, kewangan dan juga populariti.Orang yang menyebarkan teori konspirasi ini menggunakan lojik dan orang yang mendengar tidak dapat menafikan lojik tersebut melainkan yang mendengar itu adalah pakar di dalam bidang yang berkenaan.




Individu yang memulakan teori konspirasi ini mungkin mempunyai tujuan menjatuhkan pihak lain ataupun ianya wujud akibat daripada tanggapan/prasangka peribadi. Tanggapan peribadi yang berbentuk prasangka ini boleh disebabkan oleh masalah personality seseorang di mana orang tersebut mempunyai masalah paranoia ataupun buruk sangka akibat daripada perasaan benci yang keterlaluan. Ia juga boleh merupakan manifestasi masalah psikologi dinamakan “psychological projection” iaitu mekanisma mempertahan dan menutup kelemahan diri sendiri dengan memprojeksi sesuatu perasaan dan emosi tidak baik kepada orang lain ataupun pihak lain. Menyalahkan orang lain dan bukan mencari jalan untuk membantu diri sendiri, sedangkan yang mengalami konflik adalah dirinya sendiri. 

Teori konspirasi boleh bersifat setempat ataupun antarabangsa melibatkan banyak pihak. Ia juga boleh melibatkan hanya satu kejadian ataupun banyak kejadian yang bersangkutan sehingga ia boleh melibatkan masa yang panjang dalam sejarah. Individu yang mencipta teori konspirasi (conspiracy theorist) ini beranggapan mereka adalah seorang yang istimewa dan mendapat kelebihan mengetahui lebih banyak perkara berbanding daripada orang lain. 

Ada juga individu yang hanya menjadi pengikut kepada "conspiracy theorist" (individu yang mencipta teori konspirasi) dan membantu menyebarkan konspirasi tersebut. Teori konspirasi boleh berpotensi menghuru-harakan dunia jika teori itu menggalakkan keganasan. Teori konspirasi juga menyebabkan penyebaran maklumat palsu berbentuk keburukan tentang sesuatu yang sepatutnya memanfaatkan manusia. Contoh terbaik adalah kes pembunuhan beramai-ramai di New Zealand akibat kepercayaan terhadap “white genocide theory”, begitu juga trajedi di El Paso membunuh 22 orang pendatang Mexico, di mana orang yang terlibat (Patrict Crucius) telah diyakinkan dengan idea bahawa orang berkulit putih bakal dihapuskan di dunia oleh pendatang. Teori konspirasi juga mengujudkan kumpulan antivaksin dan antiperubatan moden. 

Teori konspirasi seringkali digunakan oleh ahli politik, contohnya Presiden Amerika Donald Trump menggunakan teori konspirasi untuk membina pengaruh politiknya, di antara salah satu teori konspirasinya adalah Barack Obama tidak dilahirkan di Amerika dan yang terbaru adalah dakwaan kematian Jeffrey Epstein yang mati membunuh diri dikaitkan dengan bekas presiden Bill Clinton. Dengan pengikut akaun twitter beliau berjumlah lebih 60 juta orang, beliau boleh menyebarkan teori konspirasi dengan berkesan.

Di antara kejadian dan perkara yang menjadi tumpuan utama teori konspirasi adalah yang melibatkan kematian orang yang terkenal, aktiviti kerajaan, politik, teknologi baru, terorisma, perubatan dan juga kehidupan makhluk asing. Ada juga yang berkaitan dengan agama sehingga maklumat daripada teks agama digunakan untuk menjustifikasikan dan mereka-reka teori konspirasi. Di antara contoh2 teori konspirasi yang kekal hidup hingga sekarang adalah kes pembunuhan John F Kennedy, pendaratan roket Apollo 1969 di atas bulan dan kejadian serangan pengganas 9/11. Walaupun dunia sudah diberikan bukti yang kukuh tentang kejadian-kejadian di atas, namun masih berlegar bermacam teori konspirasi seperti kononnya pendaratan Apollo ke bulan adalah palsu dan komplot dalaman Amerika yang meruntuhkan bangunan world trade centre (9/11), bukan akibat hentaman kapalterbang yang dirancang oleh pengganas.  Teori konspirasi juga menyebabkan wujudnya golongan bumi leper dan antivaksin. Terdapat juga golongan pengamal perubatan alternatif yang menggunakan teori konspirasi untuk menjatuhkan reputasi Perubatan moden dengan mengaitkan ubat-ubatan moden dengan agenda Syarikat Farma besar di dunia.

Disebabkan oleh perkembangan teknologi maklumat dan media sosial yang pesat, sebarang teori konspirasi sangat mudah disebarkan dan cepat mempengaruhi orang ramai. Ia mampu mempengaruhi bukan sahaja orang biasa tetapi juga selebriti, ahli politik dan ada juga ahli2 akademi serta agamawan. Dengan penglibatan selebriti, ahli politik dan individu yang berpengaruh di dalam penyebaran teori konspirasi ini, ia telah menarik ramai pengikut dan menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai. Majoriti teori konspirasi adalah palsu dan tidak mempunyai bukti yang kukuh. Walau bagaimanapun berlaku juga keadaan di mana sesuatu dakwaan yang asalnya dianggap teori konspirasi kemudiannya dibuktikan benar. Tetapi keadaan ini sangat jarang berlaku.Salah satu daripada teori konspirasi yang kemudiannya didapati benar adalah skandal Watergate. Walau bagaimanapun ada yang beranggapan skandal Watergate tidak sepatutnya dikategorikan sebagai teori konspirasi sebaliknya merujuk kepada “investigative journalism” atau “historical analysis”. Beberapa lagi teori konspirasi yang didapati benar adalah berita FDI mengintip pergerakan penyanyi Beatle iaitu John Lennon dan syarikat rokok menyembunyikan bukti merokok dengan kanser paru-paru selama berpuluh-puluh tahun sebelum diketahui ramai 1990an. Apabila sesuatu teori konspirasi itu didapati benar kemudiannya, ia tidak lagi dianggap satu teori,sebaliknya satu konspirasi yang tulin.

Teori konspirasi berkembang disebabkan terlalu banyak maklumat yang berlegar dalam kalangan ramai manusia dengan kebebasan manusia untuk memberi pendapat tanpa batasan tidak kira latarbelakang. Ahli Sosiologi berpendapat individu yang mencetuskan teori konspirasi ini mendapat kepuasan daripada tindakannya dengan kaedah meletakkan kesalahan kepada pihak lain dan menampakkan dirinya  seolah-olah seorang yang perihatin dan sedang melakukan tanggungjawab sosial. 

Seorang ahli Fizik telah membuat perkiraan tentang apakah jarakmasa untuk menyebarkan teori konspirasi kepada orang ramai sebelum ianya berkesan, contohnya teori konspirasi vaksin memerlukan pendedahan kepada 22,000 orang selama 3 tahun. Pendek kata kejayaan mempengaruhi orang ramai bukan terletak kepada kebenaran dan kekuatan bukti tetapi kepada berapa ramai orang dan berapa lama masa penyebaran maklumat yang palsu tersebut disebarkan .

Setakat ini senarai teori konspirasi yang diwujudkan oleh individu dan kumpulan tertentu sangat panjang dan anda boleh klik pada pautan berikut (senarai teori konspirasi) untuk membaca sebahagian daripadanya. Malahan di Malaysia sendiri terdapat banyak teori konspirasi yang disebarkan oleh individu dan golongan tertentu berkaitan dengan kejadian yang berlaku seperti kejadian MH370 dan MH17. Contohnya mengenai kehilangan MH370, terdapat banyak teori dan salah satu daripadanya adalah ianya disorok di tempat tertentu dan kemudian keluar sebagai MH17 yang kemudiannya ditembak jatuh untuk tujuan politik. Teori konspirasi boleh melibatkan perkara kecil hinggalah sebesar-besarnya dalam pelbagai bidang seperti Politik, Perniagaan, Ekonomi, Perubatan, Sains teknologi, Sukan, Makhluk asing dan lain-lain lagi. 

Kepada orang awam, anda perlu berhati-hati dan sedar tentang kewujudan teori konspirasi dan individu-individu yang menjadi pencetus teori konspirasi. Ada di antara mereka mengambil kesempatan di atas populariti diri sendiri untuk menyebarkan maklumat yang salah tentang sesuatu perkara demi untuk kepentingan diri sendiri. Kaedah yang berkesan untuk mencegah daripada terpengaruh daripada mempercayai teori-teori konspirasi ini adalah dengan menanam sikap teliti semasa menapis sesuatu maklumat dan mengetahui latar belakang pemberi maklumat. Anda hendaklah tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang diberikan oleh orang yang bukan pakar di dalam bidang berkenaan. Contohnya jika bidang tersebut adalah Perubatan, maka yang layak menulis dan bercakap tentang Perubatan adalah pakar Perubatan, begitu juga bidang lain seperti agama, politik, undang-undang, sains dan lain-lain. Tidak ada manusia yang pakar di dalam semua bidang, sedangkan Albert Einstein yang mempunyai IQ 160 mempunyai kepakaran hanya di dalam bidang fizik dan bukan di dalam lain-lain bidang. Jika terdapat tulisan ataupun video yang mendakwa sesuatu perkara, selidiki dahulu maklumat tersebut dengan menyemak siapakah yang menyebarkannya dan apakah latarbelakang mereka. Jika anda tidak pasti siapa yang menyebarkannya , adalah lebih baik jangan dikongsikan maklumat tersebut dengan orang lain. Jika tidak anda berkemungkinan menjadi salah seorang penyebar teori konspirasi dan satu hari nanti anda boleh menjadi pentaksub dan pencetus teori konspirasi baru.


Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
16hb Oktober 2019




https://www.readersdigest.com.au/true-stories-lifestyle/12-crazy-conspiracy-theories-actually-turned-out-be-true?



No comments:

Post a Comment