Seperti juga sel-sel yang normal,
sel kanser memerlukan gula untuk hidup. Jadi jika gula dikurangkan di bawah
tahap minima, sel boleh mati. Maka ada segolongan orang yang berfikir cara
mudah dan berpendapat sel kanser boleh dimatikan dengan mengurangkan
pengambilan gula/karbohidrat di dalam diet. Persoalannya, kalau kurangkan gula,
bagaimana pula dengan sel-sel yang normal. Akibat mengambil cara mudah untuk
berfikir, maka mereka pun wujudkan idea sendiri untuk kononnya membunuh sel
kanser melalui pelbagai jenis diet. Banyak jenis diet yang mereka cipta
kononnya untuk membuat sel kanser kebuluran. Disebabkan kefahaman yang salah
dan kaedah berfikir yang mudah, maka tentulah kaedah ini tidak berkesan membunuh
sel kanser. Satu perkara lagi, gula tetap akan dihasilkan oleh badan jika tidak
diambil melalui diet kerana badan manusia boleh menghasilkan gula oleh hati yang
menukarkan protein kepada gula.
Memang benar, sel kanser dapat
dimatikan jika kita mampu menghalang gula daripada masuk ke dalam sel tetapi
bukan dengan cara diet kerana jika kandungan karbohidrat (sumber gula) terlalu
rendah di dalam diet, ia akan memberi kesan kepada seluruh badan. Akan sampai
satu tahap di mana tubuh pun tak mampu menghasilkan gula sedangkan organ
seperti saraf dan otak memerlukan gula untuk berfungsi. Penghasilan keton akan
meningkat akibat pemecahan lemak sebagai sumber tenaga yang baru dan ini boleh
memudaratkan banyak system badan. Pendek kata menggunakan diet untuk
mengurangkan gula/karbohidrat secara keterlaluan untuk membunuh sel kanser sama seperti menyembur racun rumput
ke atas ladang sayur, akhirnya bukan sahaja rumput akan mati, sayur pun ikut
sama. Jika rumput dan sayur tidak mati maksudnya racun tidak cukup, tentu sayur yang terkena racun akan mengalami kerosakan. Hakikat yang lebih sering kita temui adalah diet2 yang dicipta oleh golongan pengamal pseudosains ini sebenarnya tidak memberi kesan yang bermakna kepada sel kanser sebaliknya kesihatan badan pengamalnya yang terancam. Jika pengamal diet ini mengaku tidak ada kesan sampingan, maka begitulah juga sel-sel kanser yang ada di dalam tubuh badan mereka. Lambat laun, sel-sel kanser itu akan dapat menguasai tubuh badan mereka. Tidak
hairan mengapa setakat ini belum terdapat bukti kukuh amalan diet2 ini dapat
merawat penyakit kanser dengan berkesan.
Kaedah yang berkesan mematikan
sel kanser adalah dengan menghalang kemasukan glukos ke dalam sel kanser tanpa
memberi kesan yang sama ke atas sel-sel yang normal. Ini hanya dapat dilakukan
pada peringkat molekul/zarah. Ahli sains telah mendapati terdapat protein yang
mengangkut gula pada dinding sel kanser yang dikenali sebagai GLUT 1 dan GLUT 3
(lihat rajah). Ahli Sains di German telah menemui satu molekul yang dinamakan
GLUTOR. Glutor dapat menghalang kemasukan gula ke dalam sel dengan menyumbat
saluran gula pada GLUT 1 dan GLUT 3 (lihat rajah). Apabila gula tidak dapat
masuk ke dalam sel kanser, maka sel kanser boleh mati. Sel kanser juga
bergantung kepada satu lagi nutrient untuk hidup iaitu asid amino Glutamine di mana dengan menghalang kemasukan gula sahaja belum cukup berkesan mematikan sel kanser jika sel kanser masih mempunyai Glutamine.
Ahli sains juga berjaya menghasilkan perencat enzim Glutaminase yang memetabolismakan Glutamine
dan perencat enzim ini dikenali sebagai CB-839. Maka apabila digabungkan Glutor dan CB-839, mereka
dapati kesan mematikan sel kanser lebih berkesan. Apa yang menarik Glutor tidak
berkesan menyekat kemasukan gula di dalam sel-sel yang normal jadi sel-sel normal
terselamat. Walau bagaimanapun kajian ini dilakukan di dalam makmal ke atas lapisan sel
kanser (“cancer cell line”) dan didapati hanya berkesan ke atas 44 jenis sel kanser (terdapat hampir 150 jenis kanser dihidapi oleh manusia). Kajian ini masih lagi terlalu awal dan kajian lanjut
perlu dilakukan ke atas haiwan sebelum kajian klinikal ke atas manusia. Jadi hingga
ke hari ini belum ada lagi di pasaran ubat antikanser yang menyekat kemasukan
gula ke dalam sel kanser.
Rencana ini ditulis supaya orang
ramai faham bagaimana ahli sains mengkaji kaedah mematikan sel kanser
berdasarkan kepada kefahaman yang mendalam tentang fungsi-fungsi sel hingga ke
peringkat molekul yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Kaedah rawatan
juga menggunakan molekul yang khusus untuk tujuan mematikan sel kanser tanpa
menjejaskan sel yang normal. Inipun masih dianggap terlalu awal dan penemuan
ubat antikanser melalui kaedah menyekat kemasukan glukos ini sebenarnya masih lagi jauh. Di samping itu tidak semua jenis kanser berkesan dengan kaedah ini. Menggunakan diet tertentu
ataupun makanan2 tertentu kononnya untuk mematikan sel kanser adalah cara
berfikir mudah umpama mengaitkan angin dan urat dengan bermacam jenis penyakit,
sedangkan fungsi tubuh badan manusia tersangat kompleks. Hanya ahli sains dan
pakar perubatan yang layak sahaja mampu memahami ilmu ini, jadi biarlah pakar
di dalam bidangnya yang mengkaji dan memberi pendapat tentang rawatan kanser. Semoga anda tidak tersalah pilih sumber rujukan dan terperangkap ke dalam tipu daya yang memudaratkan diri sendiri.
Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
William P. Katt et al. "Starving the Devourer: Cutting Cancer Off from Its Favorite Foods." Cell Chemical Biology 26 (9): 1197-1199. Published: 9-Sept-2019. doi: 10.1016/j.chembiol.2019.09.005
No comments:
Post a Comment