Saturday 2 November 2019

MEROKOK : ANTARA BRAZIL DAN TIMOR LESTE




Keputusan mahkamah mengekalkan peraturan larangan merokok di tempat awam adalah satu petanda kemenangan kepada pihak yang perihatin tentang kesihatan. Ini juga petunjuk bahawa dalam isu merokok/vape ini, negara kita telah memilih jalan yang betul seperti mana negara2 yang kadar merokok mereka semakin menurun.

Keseluruhannya peratusan perokok di dunia semakin menurun tetapi jumlah bilangan perokok meningkat disebabkan oleh peningkatan bilangan penduduk dunia. Jumlah bilangan perokok yang semakin meningkat tentu membimbangkan kerana 50% daripada mereka akan mati akibat penyakit yang berkaitan dengan merokok. Kebanyakan negara2 maju telah menunjukkan penurunan kadar merokok yang memberansangkan, contohnya negara UK, kadar merokok kaum lelaki mereka pada tahun 1970 an adalah lebih daripada 50%, menurun di bawah 20% pada tahun 2016. Begitu juga di Amerika, menurun dari 20.9% pada tahun 2005 kepada 15.5% pada tahun 2016. Kadar merokok di Australia turun kepada 13.3% pada tahun 2017. Meningkatkan harga dan menghadkan kawasan merokok adalah di antara langkah2 yang berkesan mengurangkan kadar merokok.

Malaysia juga menunjukkan peratusan perokok yang semakin menurun walaupun pada kadar yang perlahan. Pada tahun 2015, peratusan lelaki Malaysia yang merokok adalah 43% berbanding dengan 46.5% pada tahun 2006 (penurunan 6.5%). Brazil adalah sebuah negara membangun seperti Malaysia yang menunjukkan kejayaan besar menurunkan kadar/peratusan merokok. Mereka dapat menurunkan kadar merokok sebanyak 50% (kadar merokok lelaki daripada 45% kepada 20%, wanita 27% kepada 13%) pada tahun 2010 berbanding dengan tahun 1989. Kadar keseluruhan (lelaki dan wanita) merokok di Brazil pada tahun 2016 adalah 13.9%. Di antara langkah2 yang diambil oleh negara ini adalah menaikkan harga rokok (menyumbang 46% daripada penurunan kadar merokok), menguatkuasa undang2 larangan merokok (menyumbang 14% penurunan), menghadkan penjualan (14%), pendidikan kesihatan (8%), kempen melalui media masa (6%) dan program berhenti merokok (10%). Hasilnya 420,000 kematian akibat rokok dapat dielakkan sehingga tahun 2010. Jadi Brazil boleh dijadikan negara contoh yang baik.

Berbeza dengan negara Timor Leste di mana lebih 60% kaum lelaki mereka merokok, manakala kadar merokok dalam kalangan wanita pula hampir 30%. Walaupun terdapat undang2 merokok tetapi penguatkuasaan sangat lemah dan rakyat mereka tidak kisah tentang kesan mudarat merokok kerana tahap pendidikan yang rendah. Melihat cikgu dan murid merokok di sekolah adalah perkara biasa di sana. Bekas Presiden mereka juga kuat merokok. Disebabkan oleh kemiskinan, menjual rokok dijadikan sumber pendapatan dan walaupun terdapat label tentang bahaya rokok, ramai rakyat mereka tidak tahu membaca. Harga rokok di negara ini pula sangat murah.

Jelas menunjukkan umumnya kadar merokok mempunyai kaitan dengan tahap ekonomi, pendidikan, kemajuan dan kesungguhan pemimpin sesebuah negara. Nampaknya negara kita telah memilih jalan yang seiring dengan negara2 maju dan negara Brazil di dalam menurunkan kadar merokok. Harga rokok telah dinaikkan dan pada tahun depan penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam akan dilaksanakan.. Langkah ini sangat tepat dan ini tentu akan memberi manfaat yang sangat besar khususnya kepada generasi akan datang. Diharap momentum ini akan berterusan sehingga negara kita boleh dijadikan contoh seperti negara Brazil. Semoga satu hari nanti Malaysia akan mencapai generasi bebas rokok.

DDr Rushdan Noor
2 hb Nov 2019

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
1hb Nov 2019








RUJUKAN
National Health and Morbidity Survey 2015. Report on smoking status among Malaysian adult.
Noncommunicable Disease Section, Disease Control Division. Ministry of health Malaysia, myNCDS-1 Malaysia NCD Surveillance-1 2005/2006.

Lim HK, Ghazali SM, Salleh S. Epidemiology of smoking among Malaysian adult males: prevalence and associated factors. BMC Public Health. 2013; 13: 8.

http://www.scielo.br/scielo.php?script=sci_arttext&pid=S0102-311X2017001205004

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3491001/

Yuan Z, Levy D. Update and extension of the Brazil SimSmoke model to estimate the health impact of cigarette smoking by pregnant women in Brazil. Cad Saude Publica 2017.

Sarmento DR, Yehadji D. An analysis of global youth tobacco survey for developing a comprehensive national smoking policy in Timor-Leste. BMC Public Health volume 16, Article number: 65 (2016)

No comments:

Post a Comment