Monday 4 November 2019

TERAPI IMUN (IMMUNOTHERAPY) DAN RAWATAN KANSER


Sistem imun ataupun system pertahanan badan berfungsi mencegah dan melawan serangan bendasing yang masuk ke dalam badan manusia. Benda asing tersebut adalah bacteria, virus, parasit, fungus dan sel-sel yang asing. Ringkasnya serangan system imun ini melalui penghasilan antibodi ataupun serangan oleh sel T. Sel T boleh menghasilkan molekul-molekul khusus seperti racun untuk mematikan sel kanser, molekul-molekul ini dikenali sebagai cytokines (interleukin, interferon).

Sel-sel kanser yang terbentuk di dalam tubuh badan seseorang juga boleh dianggap sebagai bendasing yang terhasil daripada transformasi sel-sel yang normal.Berbeza dengan benda asing lain, sel-sel kanser ini lebih pintar kerana ia mampu untuk mencegah dirinya daripada  dikesan dan dimusnahkan oleh system imun. Pendek kata sistem imun yang dimiliki oleh tubuh manusia perlu diubahsuai terlebih dahulu sebelum ianya berkesan merawat kanser.

Disebabkan oleh kepintaran sel kanser mencegah daripada diserang oleh sistem imun, maka ahli sains perlu mencari jalan bagaimana boleh menghasilkan ubat yang dapat melepasi halangan tersebut. Untuk mencari ubat yang berkesan, ahli sains perlu terlebih dahulu tahu apakah kaedah sel-sel kanser mempertahankan diri daripada serangan sistem imun. Terdapat sekurang-kurangnya 3 kaedah bagaimana sel kanser mempertahankan diri daripada sistem imun iaitu:
      
      1.Mempunyai kelainan genetik sehingga kewujudan mereka tidak dikesan oleh system imun
      2.Mempunyai protein di permukaan sel mereka sehingga mengunci sel imun daripada bertindak ke atas mereka. Salah satu jenis protein ini adalah PDL1 pada permukaan sel kanser dan PD1 pada permukaan sel T. Kedua-dua PDL1 dan PD1 ini terikat dan membentuk pelindung biokemikal umpama brake yang mennyekat sel T daripada bertindak ke atas sel kanser.
3.Menukar ciri2 sel-sel normal di sekeliling mereka sehingga mengganggu tugas sistem imun daripada mendekati mereka.

Anda tentu selalu mendengar dakwaan pengamal rawatan alternatif yang berkata bahawa sistem pertahanan badan boleh dikuatkan untuk melawan kanser secara semulajadi tanpa ubat. Mereka mungkin ada mengesyorkan pengambilan diet, suplemen, herba ataupun kaedah2 lain tanpa ubat kononnya untuk meningkatkan sistem pertahanan badan bagi merawat kanser. Apakah dakwaan mereka ini benar dan berasaskan kepada bukti yang kukuh ataupun tidak. Apakah pula pandangan pengamal perubatan moden tentang rawatan menggunakan sistem imun ini ataupun apa yang dikenali sebagai terapi imun ("immunotherapy").

Konsep menggunakan sistem imun ataupun sistem pertahanan badan untuk merawat kanser bukan perkara baru tetapi telah dicetuskan semenjak tahun 1890 lagi, tetapi ahli sains mengambil masa berdekad2 untuk berjaya menghasilkan ubat terapi imun untuk tujuan merawat kanser. Kajian untuk mencari ubat terapi imun (immunotherapy) ini tentulah memerlukan kepakaran tinggi ahli2 sains dan dijalankan di dalam makmal yang canggih. Ahli sains mampu mengambil sel-sel  dan protein-protein yang  terlibat di dalam system imun. Mereka menggunakan tubuh badan manusia untuk mendapatkan sel-sel dan protein2 ini, sebab itu terapi imun ini juga dikenali sebagai terapi biologi. Sekurang-kurangnya ada 3 kaedah bagaimana ahli sains menghasilkan terapi imun iaitu:
  
      1. PEMINDAHAN SEL T. Sel T adalah salah satu sel di dalam sistem imun yang mampu memusnahkan sel kanser. Ahli sains perlu mengambil sel T daripada pesakit kanser dan mengubahnya supaya lebih berkesan. Sel T yang telah diubahsuai ini akan dibiak di dalam makmal kepada berjuta2 unit dan kemudian akan diberikan kembali kepada pesakit di dalam bentuk suntikan.
  
     2. IMMUNE CHECKPOINT INHIBITORS. Di permukaan sel terdapat "Immune checkpoint" ataupun sekatan imun bertindak seperti brake yang bertanggungjawab menghalang system imun daripada menyerang sel-sel normal (serangan ke atas diri sendiri). Sel-sel kanser juga mempunyai  immune checkpoint mereka sendiri yang merupakan protein khusus di permukaan sel bertindak menghalang sistem imun khususnya sel T daripada bertindak ke atas mereka. Ahli sains menghasilkan ubat yang boleh menganggu atau menyekat fungsi checkpoint pada sel kanser dan juga sel T. Ubat ini dinamakan Immune checkpoint inhibitors. Apabila immune check point diganggu, system brake akan terlepas dan sel T akan dapat menyerang serta memusnahkan sel kanser. Salah satu protein checkpoint pada permukaan sel kanser adalah PDL1 yang akan bertaut pada protein checkpoint PD1 pada permukaan sel T. PD1 dan PDL1 ini apabila bertaut di antara satu sama lain akan bertindak seperti system brake. Ubat yang mengganggu sistem break inilah dinamakan immune checkpoint inhibitor (anti-PD1 dan anti PDL1) di mana ia akan mengganggu protein PD1 atau PDL1 ini sehingga ikatan mereka terlepas dan ini memberi peluang kepada sel T untuk bertindak ke atas sel kanser. Checkpoint inhibitor yang pertama diluluskan oleh FDA adalah nivolumab pada tahun 2014 untuk merawat melanoma.

     3. ANTIBODI MONOKLONAL (MONOCLONAL ANTIBODY). Ahli sains menghasilkan antibodi di dalam makmal yang dapat membunuh sel-sel kanser tertentu. Antibodi yang dihasilkan ini lebih berkesan menyerang sel kanser berbanding dengan antibody yang dihasilkan oleh badan. Antibodi yang dihasilkan ini bertindak dengan banyak cara seperti mengikat pada sel kanser, bertindak seperti penanda (flag) untuk dikenali oleh sistem imun, merencat protein yang meransang pembentukan saluran darah baru untuk kanser, merencat protein yang menyekat sistem imun, meransang penghasilan cytokines dan lain-lain. Antibodi monoklonal merupakan terapi imun yang pertama diluluskan oleh FDA iaitu pada tahun 1997 untuk merawat limfoma.

Selain daripada 3 jenis terapi imun di atas, terdapat beberapa lagi jenis terapi imun seperti terapi vaksin (menggunakan vaksin untuk merawat kanser), modulator system imun ("modulator immune system') dan lain-lain. Ubat-ubat terapi imun ini diberikan di dalam bentuk suntikan, makan, memasukkan ke dalam pundi dan ada juga dalam bentuk topikal. Setakat ini terdapat beberapa jenis ubat di bawah kategori terapi imun yang dihasilkan dan mendapat kelulusan FDA. Kebanyakan ubat terapi imun ini digunakan untuk merawat penyakit kanser yang berulang ataupun yang sudah merebak di merata tempat. Ianya seringkali digunakan bersama dengan rawatan konvensional kanser seperti kemoterapi. Terdapat juga terapi imun yang sudah dimasukkan sebagai kaedah rawatan standard ke atas kanser seperti kanser paru-paru.Sebelum kelulusan ini diperolehi, kajian klinikal ke atas manusia tentu telah dilakukan dan ianya terbukti berkesan.

Terdapat beberapa ubat terapi imun yang telah diluluskan untuk kegunaan pesakit kanser berdasarkan kepada kejayaan kajian klinikal terhadap manusia. Di antaranya adalah Anti-PD-L1  seperti Afatumumab, Avelumab, Durvalumab, Pembrolizumab, Nivolumab dan Atezolizumab. Manakala terapi imun dari kategori monoclonal antibody pula adalah Ipilimumab, Necitumumab, Obinutuzumab, Daratumumab dan lain-lain. Sipuleucel-T adalah vaksin kanser yang diluluskan pada tahun 2010 untuk merawat kanser prostat.Setiap jenis terapi imun ini diluluskan untuk rawatan kanser tertentu sahaja dan kebanyakan untuk kanser yang berulang ataupun yang gagal dirawat oleh kaedah rawatan standard. Di antara kanser yang dirawat dengan terapi imun adalah kanser pundi kencing, leukemia, limfoma, melanoma, kanser paru-paru, kanser leher, kanser buah pinggang, multiple myeloma, neuroblastoma, kanser usus besar, kanser hati, kanser serviks, kanser payudara, kanser Rahim dan kanser esophagus. Penggunaan terapi imun ini semakin meluas dari masa ke semasa. Terapi imun mempunyai masa depan yang besar di dalam rawatan kanser dan kajian masih diteruskan.

Seperti ubat-ubat antikanser yang lain, ia juga mempunyai kesan sampingan . Ubat terapi imun yang berbeza mempunyai kesan sampingan yang berbeza. Di antara kesan sampingan terapi imun adalah kulit kekeringan, kulit kemerahan, kulit sensitive kepada cahaya matahari, lemah, demam, loya,muntah, pening, sakit badan, bengkak kaki, sukar bernafas, batuk dan cirit.
Daripada penerangan di atas jelaslah bahawa terapi imun ataupun menggunakan sistem imun untuk melawan kanser adalah satu bentuk rawatan kanser yang semakin mendapat tempat dan ubat yang dihasilkan adalah melalui kajian dan penyelidikan yang besar. Ianya bukan dengan menggunakan kaedah diet ataupun supplemen yang diberikan kepada pesakit kanser sepertimana yang diwar-warkan oleh penjual produk/suplemen ataupun pengamal rawatan alternatif. Kaedah semulajadi melalui perubahan gayahidup, makanan dan suplemen mungkin berkesan sekadar mencegah kanser, akan tetapi ianya tidak mampu untuk merawat kanser. Tidak ada makanan dan suplemen yang dapat meningkatkan sistem imun sehingga ke tahap mampu untuk melawan sel kanser. Jika ada sekalipun  ubat herba ataupun suplemen  (hakikatnya belum ada produk ataupun suplemen sedemikian) yang dapat meransang system imun sehingga boleh melawan kanser, ia tentu  akan memudaratkan sel-sel yang normal kerana ransangan yang diberikan ini bersifat menyeluruh dan bukan hanya tertumpu kepada sel-sel kanser. Ransangan sistem imun yang berlebihan ke atas badan seperti yang berlaku ke atas individu yang mengalami alahan dan kejutan anafilaktik boleh menyebabkan kematian. Setakat ini belum ada lagi satu kaedah yang berkesan merawat semua jenis kanser, sebaliknya satu jenis ubat antikanser hanya dapat merawat beberapa jenis kanser sahaja, ini termasuk ubat di bawah kategori terapi imun.Kajian lanjut sedang dilakukan oleh ahli sains untuk meningkatkan keberkesanan ubat antikanser yang sedia ada dan juga mencipta ubat antikanser baru yang lebih berkesan.

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

TIDAK DIBENARKAN SESIAPA UNTUK MENGAMBIL SEBAHAGIAN ATAUPUN KESELURUHAN RENCANA INI UNTUK APA SAHAJA TUJUAN TANPA KEBENARAN PENULIS
Pautan Video
https://youtu.be/jDdL2bMQXfE





No comments:

Post a Comment