Wednesday 6 November 2019

13 MITOS TENTANG KANSER YANG RAMAI ORANG PERCAYA


Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Jika anda masukkan perkataan “ cancer” ke dalam enjin pencarian google maka akan keluar berbagai maklumat mengenai kanser. Anda akan menjadi keliru dengan begitu banyak maklumat yang tidak diketahui benar atapun palsu. Berikut adalah beberapa maklumat palsu ataupun mitos yang anda akan sering temui di dalam internet dan media sosial.

MITOS 1 : KANSER DIRANSANG OLEH GULA
FAKTA: Mitos ini tentu selalu anda temui di dalam internet dan juga media sosial. Dakwaan gula meransang kanser adalah tidak benar. Tidak ada bukti yang kukuh mengatakan gula mempercepatkan pembiakan kanser. Maka tidak mengambil gula ataupun mengurangkan gula di dalam makanan tidak akan merencat pembiakan kanser sebaliknya ia boleh memudaratkan sel-sel yang normal. Sel kanser sangat bijak mencari sumber makanan dan tenaga sebab itu ia berupaya membiak sendiri tanpa kawalan tubuh badan manusia.Semua sel di dalam badan anda memerlukan gula dan badan anda berupaya untuk memecahkan makanan anda kepada gula. Ini bukan bermaksud anda boleh mengambil gula di dalam kuantiti yang berlebihan kerana ini akan menyebabkan anda mengalami kegemukan, diabetes dan berisiko lebih tinggi untuk mengidap kanser.

MITOS 2 : KANSER ADALAH PENYAKIT KETURUNAN
FAKTA: Hanya 5-10% daripada kanser dikaitkan dengan keturunan yang juga dikenali sebagai kanser keturunan. Kebanyakan kanser yang dihidapi oleh manusia boleh berlaku tanpa ada factor keturunan. Kanser yang terjadi tanpa factor keturunan ini dikenali sebagai kanser sporadic. Kanser sporadic berlaku akibat pendedahan kepada agen penyebab kanser dan amalan gaya hidup yang tidak sihat. Usia yang semakin lanjut juga merupakan factor yang meningkatkan risiko seseorang menghidap kanser kerana semakin tua, semakin lama tubuh anda terdedah kepada agen penyebab kanser dan semakin tinggi kemungkinan gene anda mengalami kelainan ataupun mutasi.

MITOS 3: KANSER BOLEH BERJANGKIT
FAKTA: Kanser tidak boleh berjangkit walaupun anda terhidu/tertelan/tersentuh  cairan yang mengandungi sel-sel kanser daripada pesakit kanser. Kanser adalah unik untuk setiap orang dan ianya tidak boleh hidup di dalam badan orang lain. Apabila sel kanser terlepas keluar daripada badan pesakit, ia akan mati serta merta kerana terputus bekalan darah dan juga nutrient. Terdapat kanser yang disebabkan oleh jangkitan tetapi mendapat jangkitan tidak semestinya akan menghidap kanser. Hanya jangkitan itu sahaja yang boleh berjangkit tetapi apabila kanser sudah terjadi, kanser tersebut tidak boleh menjangkiti orang lain. Hanya satu keadaan sahaja di mana kanser boleh merebak kepada orang lain iaitu di dalam kes pemindahan organ contohnya buah pinggang. Jika buah pinggang tersebut pernah diserang kanser dan kemudiannya dipindahkan kepada orang lain, kanser boleh berulang pada buah pinggang tersebut.

MITOS 4: PERUBATAN MODEN TIDAK MENYEMBUHKAN KANSER
FAKTA: Dua pertiga daripada kanser yang dihidapi oleh manusia boleh dicegah dan disembuhkan. Kadar penyembuhan bergantung kepada jenis dan peringkat kanser semasa dikesan. Selama 40 tahun terakhir ini, terdapat banyak perkembangan pencegahan dan rawatan kanser moden dan kadar hidup serta sembuh semakin meningkat. Walaupun bilangan kes kanser meningkat, kadar hidup penyakit kanser pada hari ini lebih baik daripada masa lampau. Pada masa ini lebih kurang 64% daripada pesakit kanser dapat hidup lebih daripada 5 tahun. Pesakit kanser pada hari ini juga mempunyai kualiti yang lebih baik kerana kaedah merawat kesan sampingan yang lebih baik.

MITOS 5 : KANSER ADALAH HUKUMAN MATI
FAKTA: Pada hari ini kemungkinan untuk mati akibat kanser telah menurun semenjak tahun 1990 an. Kadar hidup 5 tahun beberapa jenis kanser seperti kanser payudara, kanser prostat dan kanser tiroid adalah 90% dan kadar hidup 5 tahun untuk semua jenis kanser digabungkan telah meningkat kepada 67% di Amerika pada hari ini. Data ini adalah data keseluruhan mengambilkira ramai orang pesakit, setiap individu yang mengidap kanser akan mempunyai risiko kematian yang berbeza bergantung kepada jenis dan peringkat kanser yang mereka hidapi. Risiko kematian juga bergantung kepada jenis rawatan yang mereka ambil. Pesakit yang mengambil kaedah rawatan alternative untuk merawat kanser mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi daripada mengambil kaedah rawatan moden. 

MITOS 6: BIOPSI DAN PEMBEDAHAN BOLEH MEMPERCEPATKAN PEMBIAKAN KANSER 
FAKTA: Pembedahan adalah salah satu kaedah rawatan kanser moden. Tidak semua kanser berkesan dirawat dengan radioterapi dan kemoterapi. Banyak kanser yang perlu dikeluarkan dahulu melalui pembedahan supaya rawatan radioterapi ataupun kemoterapi yang diberikan kemudian lebih berkesan. Terdapat juga kanser yang boleh disembuhkan dengan rawatan pembedahan sahaja seperti peringkat awal kanser rahim, kanser serviks dan kanser payudara. Kepercayaan bahawa pembedahan boleh mendedahkan  kanser kepada bekalan oksigen yang lebih tinggi dan mempercepatkan pembiakan sel kanser adalah tidak berasas. Biospi adalah kaedah mengambil sebahagian kecil kanser untuk tujuan pengesahan. Tanpa ujian biopsi, pakar kanser tidak mengetahui jenis kanser dan tidak dapat menentukan kaedah rawatan yang berkesan. Biopsi tidak menyebabkan kanser merebak lebih cepat.

MITOS 7 : KANSER BOLEH DIRAWAT DENGAN MEMINUM AIR BERALKALI
FAKTA: Kanser lebih takut kepada asid daripada alkali sebab itu persekitaran dalam sel kanser adalah lebih beralkali berbanding dengan persekitaran di luarnya. Lagipun meminum air beralkali tidak akan mengubah pH darah ataupun persekitaran sel kerana air yang diminum akan bercampur dengan asid perut yang sangat kuat. Di samping itu sistem kawalan asid dan alkali di dalam badan sentiasa akan memastikan julat PH di dalam darah tidak berubah

MITOS 8: MEMAKAN BUAH DAN SAYURAN BOLEH MERAWAT KANSER
FAKTA: Tidak ada kajian yang membuktikan memakan buah dan sayuran tertentu boleh merawat kanser kerana walaupun mungkin terdapat bahan antikanser di dalam tumbuhan, kuantitinya terlalu rendah dan akan dimusnahkan oleh jus perut apabila dimakan. Jika sesuatu tumbuhan dan herba mengandungi bahan antikanser, ahli sains perlu melakukan penapisan, pemekatan dan penghasilan buah yang mengandungi bahan antikanser pada dos yang betul. Proses ini perlu dilakukan di dalam makmal yang canggih melalui kaedah yang kompleks.Ubat ini pula perlu diambil dengan kaedah tertentu dan kebanyakan ubat antikanser diberikan di dalam bentuk suntikan. Galaman mengambil buah dan sayuran adalah kerana di dalam sumber makanan ini terdapat banyak nutrient dan serat yang menyihatkan badan. Ia juga mengurangkan berat badan dan boleh mengurangkan risiko menghidap kanser yang dikaitkan dengan kegemukan. Peranannya lebih kepada mencegah dan bukan merawat.

MITOS 9 : UBAT HERBA DAN SUPLEMEN BOLEH MERAWAT KANSER
FAKTA : Tidak ada ubat herba yang dijual oleh peniaga yang dapat merawat kanser. Ubat herba ataupun suplemen boleh bertindak sebagai komplemen kepada kaedah rawatan kanser moden yakni mengurangkan kesan sampingan akibat rawatan kemoterapi ataupun radioterapi. Belum ada bukti kukuh ubat herba dan suplemen boleh merawat kanser, malahan pesakit yang menggunakan kaedah rawatan alternatif untuk merawat kanser didapati mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi daripada pesakit yang mendapat rawatan kanser moden. Setengah ubat herba dan suplemen boleh memudaratkan pesakit kanser kerana ia boleh mengganggu ubat antikanser yang diberikan kepada pesakit melalui interaksi ubat ("drug interaction"). Pendek kata ubat herba dan suplemen hanya berperanan sebagai kaedah rawatan komplementari (sampingan) dan bukan alternatif.

MITOS 10: RAWATAN KANSER SELALUNYA LEBIH TERUK DARIPADA PENYAKIT KANSER
FAKTA: Rawatan kanser pada hari ini jauh lebih ringan berbanding dengan masa lampau kerana penemuan kaedah pencegahan untuk mengurangkan kesan sampingan. Jika kanser dikesan pada peringkat awal, pesakit tidak perlu menjalani lebih daripada satu jenis rawatan dan kesan sampingan tentu lebih rendah. Walau bagaimanapun jika kanser tersebut adalah daripada jenis yang ganas ataupun peringkat lewat maka rawatan kanser yang diberikan tentu lebih agresif dan memberi kesan sampingan yang lebih berat. Tanpa rawatan yang berkesan, pesakit akan mengalami penderitaan dan kesakitan yang jauh lebih berat daripada rawatan yang diberikan. Kesan sampingan akibat rawatan bersifat sementara manakala penderitaan akibat penyakit kanser yang tidak dirawat adalah kekal hingga pesakit meninggal dunia. Kemajuan rawatan kanser moden juga dapat memberi keselesaan kepada pesakit kanser yang sudah tidak dapat dipulihkan melalui rawatan paliatif. Rawatan paliatif juga menumpukan perhatian kepada mengurangkan tekanan perasaan pesakit kanser. Ke semua kaedah rawatan ini akan meningkatkan mutu kehidupan dan keselesaan pesakit.

MITOS 11: JIKA SAYA TIDAK MENJALANI SEMUA UJIAN, PROSEDUR DAN RAWATAN YANG ADA, SAYA DIANGGAP MENERIMA RAWATAN KANSER YANG TERBAIK
FAKTA: Setiap pesakit kanser mempunyai keunikan masing-masing dan mereka tidak semestinya menjalani ke semua jenis ujian, prosedur dan rawatan yang pesakit lain jalani. Ada ujian tertentu yang khusus untuk kanser tertentu dan bukan untuk jenis kanser yang lain. Ada juga prosedur dan rawatan yang khusus untuk kanser tertentu dan tidak sesuai dilakukan ke atas kanser jenis lain. Pakar kanser akan menentukan apakah ujian, prosedur dan rawatan yang terbaik dengan anda mengikut jenis kanser dan peringkat kanser yang anda hidapi. Melakukan ujian dan prosedur secara pukal bukan sahaja tidak perlu tetapi akan melibatkan kos yang tinggi.

MITOS 12: KAEDAH RAWATAN YANG CANGGIH LEBIH BERKESAN MERAWAT KANSER
FAKTA: Kecanggihan kaedah rawatan kanser bukan penentu keberkesanan kerana ada kaedah rawatan yang terdahulu lebih berkesan kerana ianya telah digunakan ke atas lebih ramai pesakit kanser dan mempunyai bukti yang lebih kukuh. Sedangkan kaedah yang canggih mungkin baru diperkenalkan dan belum digunakan secara meluas, jadi keberkesanan kaedah ini belum terbukti. Keberkesanan rawatan juga bergantung kepada ilmu dan kemahiran doktor pakar kanser, walaupun sesuatu rawatan itu diberikan melalui kaedah yang lebh canggih, jika doktor tersebut tidak mahir menggunakan alat yang canggih tersebut, hasil rawatan yang diberikan mungkin  lebih buruk daripada kaedah rawatan yang kurang canggih. Terdapat syarikat2 ataupun hospital-hospital luar negara yang menawarkan kaedah rawatan yang canggih tetapi sebenarnya untuk pesakit yang terpilih sahaja dan sebenarnya mempunyai keberkesanan yang sama dengan kedah lain di dalam negara. Hospital ini akan mengenakan caj yang sangat tinggi tetapi memberi harapan yang palsu kepada pesakit. Ramai pesakit yang kehilangan wang yang banyak dengan sia-sia akibat terpengaruh dengan hospital-hospital kanser di luar negara ini. Berbincanglah dengan pakar kanser anda sebelum menerima tawaran mendapatkan rawatan yang canggih di luar negara.

MITOS 13: SUPLEMEN ANTIOKSIDAN BOLEH MERAWAT KANSER
FAKTA: Tidak ada suplemen yang dapat merawat kanser. Suplemen yang mengandungi antioksidan boleh menjadi serampang dua mata kerana jika diambil berlebihan ia akan menyebabkan ketidakseimbangan tahap antioksidan dan radikal bebas di dalam badan manusia. Walaupun kandungan radikal bebas yang tinggi boleh memudaratkan badan tetapi pada kadar tertentu radikal bebas ini boleh bermanfaat dengan menghapuskan sel-sel yang tidak normal termasuk sel-sel kanser. Maka tubuh badan yang sihat perlu mempunyai kandungan antioksidan dan radikal bebas yang seimbang. Apabila antioksidan diambil secara berlebihan, ia akan menghapuskan radikal bebas yang diperlukan untuk menghapuskan sel-sel yang tidak normal. Maka ini boleh menyebabkan sel-sel kanser merebak lebih cepat sebab itu pakar kanser tidak mengalakkan pesakit mengambil suplemen antioksidan semasa rawatan ataupun ketikan penyakit kanser masih aktif. 

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

TIDAK DIBENARKAN SESIAPA PUN MENGAMBIL SEBAHAGIAN ATAUPUN KESELURUHAN RENCANA INI TANPA KEBENARAN PENULIS

No comments:

Post a Comment