KONTROVERSI TELUR DAN KESIHATAN JANTUNG
Selama berpuluh-puluh tahun, telur menjadi antara makanan yang sering diperdebatkan dalam bidang pemakanan dan kesihatan. Ada yang melihatnya sebagai sumber nutrisi yang lengkap dan berkhasiat. Namun, tidak kurang juga yang bimbang dengan kandungan kolesterol dalam kuning telur kerana dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung.
Jadi, adakah makan telur sebenarnya baik atau tidak baik untuk jantung?
Berdasarkan bukti saintifik terkini, jawapannya tidak semudah ya atau tidak. Kesan pengambilan telur boleh berbeza antara individu, bergantung pada keadaan kesihatan, faktor genetik dan yang paling penting, corak pemakanan secara keseluruhan.
MENGAPA TELUR SERING DIKAITKAN DENGAN PENYAKIT JANTUNG?
Beberapa kajian berskala besar di Amerika Syarikat, termasuk kajian oleh Zhong dan Zhuang, mendapati bahawa setiap penambahan setengah biji telur sehari dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular dan kematian sebanyak 6% hingga 8%.
Namun, apabila dapatan ini diteliti dengan lebih mendalam, terdapat dua perkara penting yang perlu diberi perhatian.
Pertama, kandungan kolesterol dalam makanan. Apabila data kajian diselaraskan berdasarkan jumlah kolesterol yang diambil melalui diet, hubungan langsung antara pengambilan telur dengan penyakit jantung sebahagian besarnya didapati hilang. Ini memberi petunjuk bahawa kolesterol dalam kuning telur mungkin menjadi faktor utama yang menyumbang kepada risiko tersebut, bukannya telur itu sendiri secara mutlak.
Kedua, kaitan dengan TMAO (Trimethylamine N-oxide). Telur mengandungi sejenis nutrien yang dikenali sebagai kolina (choline). Bakteria tertentu dalam usus boleh menukarkan kolina kepada sebatian TMAO. Sebatian ini terbukti boleh menggalakkan pembentukan plak pada dinding arteri, iaitu proses yang dikenali sebagai aterosklerosis.
DAPATAN KAJIAN GLOBAL: ADAKAH TELUR SEBENARNYA MELINDUNGI JANTUNG?
Menariknya, tidak semua kajian menunjukkan peningkatan risiko penyakit jantung akibat pengambilan telur. Beberapa penyelidikan antarabangsa berskala besar memberikan gambaran yang agak berbeza.
Antaranya ialah:
1.Kajian PURE
Kajian ini melibatkan 146,000 orang dari 21 buah negara. Hasilnya mendapati tiada kaitan (0%) antara pengambilan tujuh biji telur atau lebih dalam seminggu dengan peningkatan masalah kardiovaskular utama mahupun kematian.
2. Paradoks Asia
Beberapa kajian yang dijalankan di rantau Asia pula menunjukkan bahawa pengambilan telur yang lebih tinggi sebenarnya dikaitkan dengan risiko strok dan penyakit jantung yang lebih rendah.
Fenomena ini dipercayai ada kaitan dengan corak pemakanan masyarakat Asia secara keseluruhan yang secara umumnya lebih sihat dan seimbang berbanding diet Barat.
Perbezaan dapatan ini menunjukkan bahawa kita tidak boleh menilai kesan sesuatu makanan secara berasingan tanpa mengambil kira keseluruhan corak pemakanan seseorang.
MENGAPA KESAN PENGAMBILAN TELUR BERBEZA ANTARA INDIVIDU?
Pernahkah kita tertanya-tanya mengapa ada orang yang boleh makan beberapa biji telur setiap hari tanpa mengalami perubahan ketara pada bacaan kolesterol darah, sedangkan ada pula yang mengalami peningkatan kolesterol dengan agak mendadak?
Perbezaan ini ada kaitan dengan tindak balas tubuh terhadap kolesterol daripada makanan. Dari sudut ini, manusia secara umumnya boleh dibahagikan kepada dua kumpulan.
1. Majoriti populasi (Hypo-responder)(70-75%)
Dianggarkan sekitar 70% hingga 75% manusia tergolong dalam kumpulan ini. Apabila mereka mengambil makanan yang mengandungi kolesterol seperti telur, hati akan mengurangkan penghasilan kolesterolnya sendiri sebagai tindak balas.
Hasilnya, paras kolesterol dalam darah tidak banyak berubah. Mekanisme ini membantu tubuh mengekalkan paras kolesterol dalam julat tertentu walaupun pengambilan kolesterol daripada makanan meningkat.
2. Golongan Hyper-responder (25-30%)
Sekitar 25% hingga 30% populasi pula mempunyai tindak balas genetik yang lebih sensitif terhadap kolesterol dalam makanan.
Apabila mengambil telur, paras kolesterol jahat (LDL) dan kolesterol baik (HDL) dalam darah boleh meningkat dengan lebih ketara berbanding individu lain.
3. Apakah kesannya terhadap kesihatan jantung?
Berita baiknya, bagi kebanyakan individu hyper-responder yang sihat, peningkatan kolesterol ini biasanya melibatkan zarah LDL yang bersaiz besar. Zarah LDL besar dianggap kurang berbahaya berbanding zarah LDL yang kecil dan padat. Pada masa yang sama, nisbah antara kolesterol LDL dengan HDL lazimnya masih kekal seimbang.
Walau bagaimanapun, golongan ini tetap perlu memantau profil lipid darah masing-masing. Jika bacaan LDL meningkat terlalu tinggi, pengambilan kuning telur wajar dikurangkan.
APA PULA SARANAN AHA, WHO DAN KKM?
Apakah pandangan badan kesihatan utama dunia mengenai pengambilan telur? Secara umumnya, ketiga-tiga badan ini tidak melihat telur sebagai makanan yang perlu dielakkan sepenuhnya. Namun, terdapat beberapa perbezaan dari segi saranan dan penekanan yang diberikan.
1. American Heart Association (AHA)
AHA tidak lagi menetapkan had angka kolesterol harian yang ketat untuk orang ramai.
Sebaliknya, bagi individu yang sihat, AHA menyarankan pengambilan sehingga sebiji telur penuh sehari. Warga emas yang sihat pula boleh mengambil sehingga dua biji sehari sebagai sebahagian daripada corak pemakanan yang baik untuk jantung.
Bagi mereka yang mempunyai paras kolesterol tinggi, diabetes atau sejarah penyakit jantung, pengambilan kuning telur perlu dikawal dengan lebih teliti. Mereka juga dinasihatkan supaya mengelakkan hidangan sampingan yang tinggi lemak tepu seperti daging terproses dan mentega.
2. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
WHO tidak menetapkan had khusus mengenai bilangan telur yang boleh dimakan oleh individu sihat dalam sehari atau seminggu.
Dalam laporan pemakanannya, WHO menjelaskan bahawa walaupun kuning telur mengandungi kolesterol, kandungan lemak tepunya lebih rendah berbanding daging merah atau produk tenusu penuh lemak.
Oleh itu, perhatian utama perlu diberikan kepada jumlah pengambilan lemak tepu dan lemak trans dalam diet harian. WHO menyarankan supaya lemak tepu dihadkan kepada kurang daripada 10% dan lemak trans kurang daripada 1% daripada jumlah tenaga harian.
3. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Menerusi Panduan Diet Malaysia 2020, KKM menyarankan orang dewasa yang sihat mengambil purata sebiji telur sehari sebagai sebahagian daripada sumber protein harian, selaras dengan konsep pemakanan Suku-Suku Separuh.
Bagi kanak-kanak dan remaja pula, pengambilan telur segar setiap hari digalakkan bagi menyokong proses tumbesaran.
KKM turut menekankan kepentingan cara penyediaan yang sihat. Telur sebaik-baiknya dimasak secara rebus atau kukus, manakala telur yang diawet seperti telur masin perlu dielakkan.
Bagi pesakit yang mempunyai penyakit kronik, pengambilan kuning telur perlu disesuaikan mengikut keadaan kesihatan dan nasihat doktor atau pegawai dietetik.
KESIMPULAN: BUKAN SEKADAR BERAPA BIJI TELUR KITA MAKAN
Bagi individu yang sihat, mempunyai paras kolesterol normal dan tidak mempunyai sejarah penyakit jantung, pengambilan sebiji telur sehari secara umumnya selamat. Malah, telur merupakan makanan yang kaya dengan pelbagai nutrien penting.
Namun, bagi mereka yang mempunyai paras kolesterol jahat (LDL) yang tinggi, penyakit jantung sedia ada atau tergolong dalam kumpulan hyper-responder, pengambilan telur perlu lebih dikawal. Sebagai panduan, mereka boleh mengehadkan pengambilan kepada 3 hingga 4 biji seminggu.
Jika ingin mendapatkan protein berkualiti tinggi tanpa tambahan kolesterol daripada kuning telur, putih telur boleh dijadikan alternatif. Kekacang dan ikan juga merupakan pilihan sumber protein yang baik.
Satu lagi perkara yang sering terlepas pandang ialah cara telur disediakan dan makanan yang dimakan bersamanya. Tidak banyak manfaatnya jika kita memilih telur sebagai makanan berkhasiat tetapi memasaknya dengan terlalu banyak mentega atau mengambilnya bersama daging terproses yang tinggi lemak tepu.
Akhirnya, kesihatan jantung bukan ditentukan oleh satu jenis makanan sahaja. Ia bergantung pada keseluruhan corak pemakanan harian, kaedah penyediaan makanan yang sihat tanpa lemak tepu berlebihan serta amalan gaya hidup aktif yang dilakukan secara konsisten.
Jadi, tidak perlu terlalu takut untuk makan telur, tetapi jangan juga menganggapnya sebagai makanan yang boleh diambil tanpa sebarang pertimbangan. Seperti kebanyakan perkara dalam pemakanan, kesesuaian dan kesederhanaan tetap penting.
Dato' Dr. Rushdan Noor
29hb Nov 2026
RUJUKAN
1. Zhong et al., 2019: Associations of Dietary Cholesterol or Egg Consumption With Incident Cardiovascular Disease and Mortality (JAMA).
2. Zhuang et al., 2021: Egg and cholesterol consumption and mortality from cardiovascular and different causes in the United States (PLoS Medicine).
3. Global PURE (Dehghan et al., 2020): Association of egg intake with blood lipids, cardiovascular disease, and mortality in 177,000 people in 50 countries (The American Journal of Clinical Nutrition).
4. Fernandez, 2006: Dietary cholesterol provided by eggs and plasma lipoproteins in healthy populations (Current Opinion in Clinical Nutrition and Metabolic Care).
5. Saranan AHA (Carson et al., 2020): Dietary Cholesterol and Cardiovascular Risk: A Science Advisory From the American Heart Association (Circulation).
6. Garis Panduan WHO (2023): Saturated fatty acid and trans-fatty acid intake for adults and children: WHO guideline (World Health Organization).


No comments:
Post a Comment