Sunday, 3 November 2019

BASIKAL LAJAK : SATU LAGI TAMBAHAN KEPADA PENYAKIT SOSIAL



Isu basikal lajak ni sebenarnya sama dengan merempit. Cuma basikal lajak ni bibit-bibit ke arah merempit. Pendek kata ia adalah merempit versi kanak2 yang belum boleh bawa motosikal, tak ada bunyi "rem" sebab basikal tak ada injin. Budaya mengayuh basikal lajak beramai2 atas lebuhraya ini bukan sahaja satu kegiatan yang merbahaya kepada kanak2 tersebut tetapi juga kepada pengguna2 jalanraya yang lain. Ianya perlu dianggap sebagai salah satu penyakit sosial kerana penunggang basikal lajak ini sudah ada komuniti mereka, mereka ada banyak kumpulan2 ditubuhkan di banyak tempat serta berkomunikasi di antara satu sama lain. Mereka menggunakan media sosial untuk berkongsi aktiviti dan kaedah mengubahsuai basikal supaya lebih laju. Budaya ini bukan bersifat setempat lagi tetapi sudah semakin meluas.

Banyak cadangan telah dikemukakan untuk mengatasi masalah basikal lajak dan tidak kurang pula golongan yang memuji kanak2 ini kerana dikatakan inovatif dan berani. Mereka mengubahsuai basikal mereka sendiri dan berhasil mencipta basikal yang boleh dibawa laju sambil berbaring. Ada juga yang cadangkan supaya disediakan litar basikal lajak kepada kanak2 ini. Agaknya berapa buah litar dan kos yang perlu dibelanjakan oleh kerajaan untuk menyiapkan litar ini? Sikap inovatif dan berani itu bagus tetapi hendaklah menjurus kepada sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat. Berapa banyak inovasi kaedah memproses dan mengambil ganja telah dihasilkan. Berapa banyak inovasi mencuri wang orang ramai dicipta oleh scammer hingga berjuta2 ringgit orang ramai kerugian. Maka berinovatif mencipta sesuatu yang memudaratkan tidak dianggap satu pencapaian yang boleh dibanggakan, malahan ianya sesuatu yang malang.

Di samping langkah2 jangkapanjang, langkah jangkapendek perlu dilaksanakan untuk menangani masalah basikal lajak ini. Pihak yang berkuasa dan JPJ perlu mempertimbangkan supaya diadakan undang2 ketat dan mengharamkan penggunaan dan penjualan basikal lajak. Akta mengenakan tindakan undang2 ke atas penjaga kanak2 ini juga boleh dipertimbangkan. Penguatkuasaan undang2 ini hendaklah tegas dan tidak ada kompromi. Masyarakat setempat juga boleh memainkan peranan dengan mengawasi dan menubuhkan kumpulan pemantau basikal lajak supaya budaya ini tidak wujud dalam masyarakat mereka. Mereka boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa melapurkan kes ataupun mana2 individu yang terlibat dalam aktiviti basikal lajak.
 
Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
3hb Nov 2019

No comments:

Post a Comment