Konspirasi bermaksud perancangan rahsia
ataupun persetujuan di antara seseorang ataupun kumpulan untuk tujuan
memudaratkan orang lain ataupun kumpulan lain melalui kaedah yang selalunya
bertentangan dengan undang-undang. Rahsia ini disimpan di dalam pengetahuan
individu ataupun kumpulan yang terlibat itu sahaja. Manakala teori pula adalah
satu maklumat ataupun kesimpulan yang belum disahkan benar, walaupun ianya
lojik.
Maksud teori konspirasi adalah penerangan
mengenai sebab berlakunya sesuatu perkara melalui penjelasan yang berbeza
daripada yang apa yang dipegang/dilakukan oleh pihak yang terlibat. Penjelasan
ini tertumpu kepada satu plot ataupun rancangan jahat yang tersembunyi tanpa bukti yang kukuh. Kebanyakan
teori konspirasi ini mempunyai bukti yang lemah jika dibandingkan bukti yang dibawa oleh pihak yang benar. Maka teori konspirasi ini bolehlah disamakan statusnya dengan gossip atau khabar angin.
Kebanyakan teori konspirasi ini bermula daripada pendapat
peribadi seseorang yang asalnya tersimpan di dalam mindanya, kemudian
dicetuskan kepada orang ramai sehingga ianya tersebar luas. Pendek kata teori
konspirasi bukan berasaskan kepada bukti yang kukuh tetapi lebih kepada
kepercayaan ataupun persepsi. Kebanyakan teori konspirasi diwujudkan untuk
menjatuhkan pihak lain terutama untuk tujuan politik ataupun untuk tujuan lain seperti pengaruh, kuasa, kewangan dan juga populariti.Orang yang menyebarkan teori
konspirasi ini menggunakan lojik dan orang yang mendengar tidak dapat menafikan lojik tersebut melainkan yang mendengar itu adalah pakar di dalam bidang
yang berkenaan.
Individu yang memulakan teori konspirasi
ini mungkin mempunyai tujuan menjatuhkan pihak lain ataupun ianya wujud akibat
daripada tanggapan/prasangka peribadi. Tanggapan peribadi yang berbentuk prasangka ini
boleh disebabkan oleh masalah personality seseorang di mana orang tersebut
mempunyai masalah paranoia ataupun buruk sangka akibat daripada perasaan benci
yang keterlaluan. Ia juga boleh merupakan manifestasi masalah psikologi dinamakan “psychological projection” iaitu mekanisma mempertahan dan menutup kelemahan diri sendiri dengan memprojeksi sesuatu perasaan dan emosi tidak baik kepada orang lain ataupun pihak lain. Menyalahkan orang lain dan bukan mencari jalan untuk membantu diri sendiri, sedangkan yang mengalami konflik adalah dirinya sendiri.
Teori konspirasi boleh bersifat setempat
ataupun antarabangsa melibatkan banyak pihak. Ia juga boleh melibatkan hanya
satu kejadian ataupun banyak kejadian yang bersangkutan sehingga ia boleh melibatkan
masa yang panjang dalam sejarah. Individu yang mencipta teori konspirasi
(conspiracy theorist) ini beranggapan mereka adalah seorang yang istimewa dan
mendapat kelebihan mengetahui lebih banyak perkara berbanding daripada orang
lain.
Ada juga individu yang hanya menjadi pengikut kepada "conspiracy theorist" (individu yang mencipta teori konspirasi) dan membantu menyebarkan konspirasi tersebut. Teori konspirasi boleh berpotensi
menghuru-harakan dunia jika teori itu menggalakkan keganasan. Teori konspirasi
juga menyebabkan penyebaran maklumat palsu berbentuk keburukan tentang sesuatu
yang sepatutnya memanfaatkan manusia. Contoh terbaik adalah kes pembunuhan
beramai-ramai di New Zealand akibat kepercayaan terhadap “white genocide theory”,
begitu juga trajedi di El Paso membunuh 22 orang pendatang Mexico, di mana orang
yang terlibat (Patrict Crucius) telah diyakinkan dengan idea bahawa orang
berkulit putih bakal dihapuskan di dunia oleh pendatang. Teori konspirasi juga mengujudkan kumpulan antivaksin dan antiperubatan moden.
Teori konspirasi
seringkali digunakan oleh ahli politik, contohnya Presiden Amerika Donald Trump
menggunakan teori konspirasi untuk membina pengaruh politiknya, di antara salah
satu teori konspirasinya adalah Barack Obama tidak dilahirkan di Amerika dan
yang terbaru adalah dakwaan kematian Jeffrey Epstein yang mati membunuh diri
dikaitkan dengan bekas presiden Bill Clinton. Dengan pengikut akaun twitter beliau
berjumlah lebih 60 juta orang, beliau boleh menyebarkan teori konspirasi dengan
berkesan.
Di antara kejadian dan perkara yang menjadi
tumpuan utama teori konspirasi adalah yang melibatkan kematian orang yang
terkenal, aktiviti kerajaan, politik, teknologi baru, terorisma, perubatan dan juga kehidupan
makhluk asing. Ada juga yang berkaitan dengan agama sehingga maklumat daripada teks
agama digunakan untuk menjustifikasikan dan mereka-reka teori konspirasi. Di antara
contoh2 teori konspirasi yang kekal hidup hingga sekarang adalah kes pembunuhan
John F Kennedy, pendaratan roket Apollo 1969 di atas bulan dan kejadian
serangan pengganas 9/11. Walaupun dunia sudah diberikan bukti yang kukuh
tentang kejadian-kejadian di atas, namun masih berlegar bermacam teori konspirasi
seperti kononnya pendaratan Apollo ke bulan adalah palsu dan komplot dalaman
Amerika yang meruntuhkan bangunan world trade centre (9/11), bukan akibat hentaman
kapalterbang yang dirancang oleh pengganas.
Teori konspirasi juga menyebabkan wujudnya golongan bumi leper dan
antivaksin. Terdapat juga golongan pengamal perubatan alternatif yang
menggunakan teori konspirasi untuk menjatuhkan reputasi Perubatan moden dengan
mengaitkan ubat-ubatan moden dengan agenda Syarikat Farma besar di dunia.
Disebabkan oleh perkembangan teknologi
maklumat dan media sosial yang pesat, sebarang teori konspirasi sangat mudah
disebarkan dan cepat mempengaruhi orang ramai. Ia mampu mempengaruhi bukan
sahaja orang biasa tetapi juga selebriti, ahli politik dan ada juga ahli2
akademi serta agamawan. Dengan penglibatan selebriti, ahli politik dan individu
yang berpengaruh di dalam penyebaran teori konspirasi ini, ia telah menarik
ramai pengikut dan menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai. Majoriti teori
konspirasi adalah palsu dan tidak mempunyai bukti yang kukuh. Walau
bagaimanapun berlaku juga keadaan di mana sesuatu dakwaan yang asalnya dianggap
teori konspirasi kemudiannya dibuktikan benar. Tetapi keadaan ini sangat jarang
berlaku.Salah satu daripada teori konspirasi yang kemudiannya didapati benar
adalah skandal Watergate. Walau bagaimanapun ada yang beranggapan skandal
Watergate tidak sepatutnya dikategorikan sebagai teori konspirasi sebaliknya merujuk kepada “investigative journalism” atau “historical analysis”. Beberapa lagi teori
konspirasi yang didapati benar adalah berita FDI mengintip pergerakan penyanyi
Beatle iaitu John Lennon dan syarikat rokok menyembunyikan bukti merokok dengan
kanser paru-paru selama berpuluh-puluh tahun sebelum diketahui ramai 1990an.
Apabila sesuatu teori konspirasi itu didapati benar kemudiannya, ia tidak lagi
dianggap satu teori,sebaliknya satu konspirasi yang tulin.
Teori konspirasi berkembang disebabkan terlalu
banyak maklumat yang berlegar dalam kalangan ramai manusia dengan kebebasan
manusia untuk memberi pendapat tanpa batasan tidak kira latarbelakang. Ahli
Sosiologi berpendapat individu yang mencetuskan teori konspirasi ini mendapat
kepuasan daripada tindakannya dengan kaedah meletakkan kesalahan kepada pihak
lain dan menampakkan dirinya seolah-olah
seorang yang perihatin dan sedang melakukan tanggungjawab sosial.
Seorang ahli
Fizik telah membuat perkiraan tentang apakah jarakmasa untuk menyebarkan teori
konspirasi kepada orang ramai sebelum ianya berkesan, contohnya teori
konspirasi vaksin memerlukan pendedahan kepada 22,000 orang selama 3 tahun.
Pendek kata kejayaan mempengaruhi orang ramai bukan terletak kepada kebenaran
dan kekuatan bukti tetapi kepada berapa ramai orang dan berapa lama masa
penyebaran maklumat yang palsu tersebut disebarkan .
Setakat ini senarai teori konspirasi yang
diwujudkan oleh individu dan kumpulan tertentu sangat panjang dan anda boleh klik pada pautan berikut (senarai teori konspirasi) untuk membaca sebahagian daripadanya.
Malahan di Malaysia sendiri terdapat banyak teori konspirasi yang disebarkan
oleh individu dan golongan tertentu berkaitan dengan kejadian yang berlaku
seperti kejadian MH370 dan MH17. Contohnya mengenai kehilangan MH370, terdapat
banyak teori dan salah satu daripadanya adalah ianya disorok di tempat tertentu
dan kemudian keluar sebagai MH17 yang kemudiannya ditembak jatuh untuk tujuan
politik. Teori konspirasi boleh melibatkan perkara kecil hinggalah
sebesar-besarnya dalam pelbagai bidang seperti Politik, Perniagaan, Ekonomi, Perubatan,
Sains teknologi, Sukan, Makhluk asing dan lain-lain lagi.
Kepada orang awam, anda perlu berhati-hati
dan sedar tentang kewujudan teori konspirasi
dan individu-individu yang menjadi pencetus teori konspirasi. Ada di antara
mereka mengambil kesempatan di atas populariti diri sendiri untuk menyebarkan
maklumat yang salah tentang sesuatu perkara demi untuk kepentingan diri sendiri.
Kaedah yang berkesan untuk mencegah daripada terpengaruh
daripada mempercayai teori-teori konspirasi ini adalah dengan menanam sikap
teliti semasa menapis sesuatu maklumat dan mengetahui latar belakang pemberi
maklumat. Anda hendaklah tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang
diberikan oleh orang yang bukan pakar di dalam bidang berkenaan. Contohnya jika
bidang tersebut adalah Perubatan, maka yang layak menulis dan bercakap tentang
Perubatan adalah pakar Perubatan, begitu juga bidang lain seperti agama,
politik, undang-undang, sains dan lain-lain. Tidak ada manusia yang pakar di dalam semua bidang, sedangkan Albert Einstein yang mempunyai IQ 160 mempunyai kepakaran hanya di dalam bidang fizik dan bukan di dalam lain-lain bidang. Jika terdapat tulisan ataupun
video yang mendakwa sesuatu perkara, selidiki dahulu maklumat tersebut dengan
menyemak siapakah yang menyebarkannya dan apakah latarbelakang mereka. Jika anda
tidak pasti siapa yang menyebarkannya , adalah lebih baik jangan dikongsikan
maklumat tersebut dengan orang lain. Jika tidak anda berkemungkinan menjadi salah seorang penyebar teori konspirasi dan satu hari nanti anda boleh menjadi pentaksub dan pencetus teori konspirasi baru.
Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
16hb Oktober 2019
https://www.readersdigest.com.au/true-stories-lifestyle/12-crazy-conspiracy-theories-actually-turned-out-be-true?
No comments:
Post a Comment