Mitos tentang keracunan spike protein ini timbul pada pertengahan tahun ini susulan daripada posting yang disiarkan oleh seorang admin akaun facebook luar negara . Admin facebook ini adalah pendokong naturopathy dan seringkali menyebarkan maklumat yang negatif tentang sistem rawatan perubatan moden termasuk vaksin.
Di antara maklumat2 palsu yang pernah dicetuskan oleh admin facebook ini adalah tentang Covid-19 seperti vitamin D boleh mencegah dan merawat Covid-19, penggunaan mikrocip di dalam vaksin, wabak Covid-19 adalah scam dan juga 80% ujian PCR adalah "false positive". Saya percaya beliau ini juga menjadi rujukan kepada golongan2 antivaksin di negara kita.
Peluang untuk menyebarkan maklumat palsu seterusnya wujud selepas tersiarnya hasil kajian yang dikendalikan oleh penyelidik di Department of Pathology, Brigham and Women’s Hospital, Amerika Syarikat. Ianya disiarkan atas talian pada 20hb Mei 2021. Kajian ini sebenarnya kajian pilot/perintis yang sangat kecil yakni melibatkan hanya 13 orang peserta yang merupakan penerima vaksin mRNA.
Kajian kecil tersebut hanya bertujuan untuk menguji alat pengukur kandungan protein yang sedikit di dalam darah dan juga tindakbalas antibodi. Di dalam kajian ini, mereka mengukur kandungan spike protein di dalam darah selepas peserta menerima vaksin mRNA. Kajian ini mengesan sedikit kandungan spike protein di dalam 11 daripada 13 orang peserta tersebut. Ujian ke atas kandungan antibodi juga dilakukan.
Dalam kajian ini, penyelidik tidak langsung melihat apakah kesan yang dilakukan oleh spike protein ke atas organ manusia. Spike protein yang dikesan pada peringkat awal itu pula didapati hilang dalam masa beberapa hari hasil tindakbalas sistem imun badan. Kajian mereka ini juga membuktikan bahawa vaksin mRNA sememangnya berkesan meransang sistem imun seperti yang diramalkan.
Hasil kajian tentang spike protein ini digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk dijadikan isu dengan mengaitkan protein ini dengan semua gejala dan kesan sampingan yang dialami oleh penerima vaksin. Sedangkan banyak gejala2 dan masalah kesihatan yang dilapurkan berlaku secara kebetulan. Sehingga mereka mengaitkan masalah haid yang dialami oleh wanita adalah juga kerana kesan toksik spike protein terhadap ovari, lebih jauh lagi mereka mendakwa boleh menyebabkan masalah kesuburan.
Pendek kata, apa sahaja AEFI yang dilapurkan akan dikaitkan dengan spike protein, sehingga mendakwa spike protein ini boleh terlepas keluar dari badan (shedding) dan memberi kesan kesihatan kepada orang lain. Semua tuduhan2 ini hanyalah andaian ataupun boleh saya katakan khayalan mereka semata2. Hakikatnya vaksin mRNA adalah vaksin yang paling banyak diberikan dan setakat ini pihak autoriti kesihatan negara dan antarabangsa sangat berpuashati dengan profil keselamatannya.
Walaupun terdapat seorang pakar imunologi (Byram Bindle) yang bimbang, namun pakar2 imunologi yang lain serta pakar2 jangkitan penyakit menyangkal pendapat beliau. Rata2, pakar2 perubatan mengganggap Byram Bindle mengelirukan orang ramai dengan dakwaan yang tidak berasas. Kuantiti spike protein yang ditemui sangat kecil dan tidak memberi kesan kepada organ badan. Ini disokong oleh Dr.William Matchett, penyelidik vaksin dari University of Minnesota.
Jika benar spike protein ini wujud dalam darah sekalipun, tindakannya adalah berbeza dengan jangkitan virus kerana ianya dihasilkan dalam tubuh manusia dan bukan dalam dari virus atau bentuk lengkap dengan virus yang mengandungi banyak lagi komponen. Malahan kewujudan spike protein di dalam darah memang tidak mengejutkan kerana 1-2% vaksin boleh terlepas dari kawasan suntikan tetapi akan terhapus dengan cepat. Kehadiran spike protein adalah juga bukti secara langsung bahawa vaksin yang diberikan ini berjaya menghasilkan spike protein.
Kepada orang ramai, jangan mudah terpedaya dengan dakwaan2 antivaksin tentang Covid-19 dan vaksin kerana mereka hanya menceduk daripada sumber-sumber maklumat yang tidak berwibawa termasuk dari laman medsos dan portal pendokong rawatan alternatif dan naturopathy. Kembalilah kepada sumber maklumat yang betul dari pakar yang berwibawa dan bantu sebarkan kebenaran kepada saudara mara dan rakan-rakan.
Dato' Dr.Rushdan Noor
21hb September 2021
https://www.aap.com.au/toxic-spike-protein-claims-misinterpret-vaccine-study/
https://academic.oup.com/cid/advance-article/doi/10.1093/cid/ciab465/6279075
https://www.google.com/amp/s/mobile.reuters.com/article/amp/idUSL2N2NX1J6
https://apnews.com/article/fact-checking-377989296609
No comments:
Post a Comment