Tuesday 7 September 2021

PENERIMA VAKSIN YANG DIJANGKITI COVID-19 LEBIH SUKAR MENJANGKITI ORANG LAIN BERBANDING DENGAN PESAKIT YANG TIDAK MENERIMA VAKSIN




BENARKAH PENERIMA VAKSIN YANG DIJANGKITI COVID-19 BOLEH MENJANGKITI SAMA SEPERTI PESAKIT YANG TIDAK MENERIMA VAKSIN ?

Satu lagi berita yang menjadi perbualan hangat di medsos adalah mengenai satu lapuran hasil kajian oleh penyelidik dari Universiti Wisconsin Madison) yang menunjukkan penerima vaksin yang dijangkiti mempunyai beban virus yang sama dengan pesakit yang tidak menerima vaksin. Berita ini telah dimanipulasikan sepenuhnya oleh golongan antivaksin.

Saya ingin membuat beberapa komen tentang kajian yang dijalankan dan kesimpulan yang boleh dibuat:

1. Kajian ini masih dalam peringkat pre-print dan belum lagi dilakukan peer-reviewed.

2. Kajian yang dilakukan itu bukanlah kajian klinikal yang berkualiti. Bukan kajian RCT. Ia adalah kajian makmal terhadap sampel yang diambil daripada peserta kajian yang merupakan pesakit Covid-19 yang baru dikesan (89% dijangkiti varian Delta).

3. Pesakit2 Covid-19 ini kemudiannya dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu sudah lengkap vaksinasi dan belum divaksinasi.

4. Ujian RT-PCR dilakukan ke atas swab dan ditentukan CT value masing-masing. Walaupun terdapat persamaan daripada segi CT value namun kita tahu bahawa ujian PCR ini adalah untuk mengesan RNA daripada virus dan bukan virus yang hidup. Sukar untuk menentukan kadar kebolehjangkitan seseorang berdasarkan kepada CT value walaupun ianya berguna untuk menguji kehadiran virus. 

5. Untuk menjawab persoalan (4) di atas, penyelidik memilih sampel dari pesakit yang mempunyai CT value yang rendah dan melakukan ujian kultur untuk mengesan kesan sitopatik yang merupakan petanda virus itu boleh menjangkiti. Walau bagaimanapun hanya melibatkan 37 orang yang menerima vaksin dan 15 orang yang tidak menerima vaksin (jumlah 52 orang sahaja). Sampel ini sangat sedikit dan hasil kajian sitopatik itu pula boleh dipertikaikan kerana kajian luar tubuh (in-vitro) 

6. Berdasarkan kepada kajian makmal di atas, kita tidak boleh menentukan tahap kebolehjangkitan ("level of infectivity"). Kebolehjangkitan hanya dapat diketahui jika kajian dilakukan ke atas manusia dengan melihat perbezaan kadar jangkitan antara 2 kumpulan (kajian seperti ini tidak akan diluluskan). Kajian ini hanya memberi gambaran bahawa penerima vaksin yang dijangkiti berpotensi untuk menjangkiti orang lain kerana wujudnya virus di dalam sistem pernafasan mereka. 

7. Pakar Vaksin, Profesor Robert Booy dari University of Sydney memberi amaran supaya berhati2 menilai kajian ini. Di samping kelemahan yang tersebut di atas, menurut beliau, walaupun beban virus yang sama ditemui ke atas penerima vaksin yang dijangkiti, namun banyak faktor lain yang mempengaruhi. Kajian di atas pula dilakukan ke atas pesakit yang berada pada peringkat awal di mana pada ketika itu memang beban virus masih tinggi, tidak kira status vaksinasi. Tetapi kajian itu tidak melihat berapa cepat virus2 itu dihapuskan. Sebaliknya banyak kajian lain telah menunjukkam bahawa penerima vaksin dapat menghapuskan virus pada kadar yang lebih cepat berbanding dengan orang yang tidak menerima vaksin. Jadi PENERIMA VAKSIN YANG DIJANGKITI MENYIMPAN VIRUS DALAM MASA YANG SINGKAT dan ini mengurangkan kemungkinan mereka menjangkiti orang lain.

8. Kajian lain yang dilakukan oleh Imperial College London mendapati orang yang menerima suntikan vaksin yang lengkap mempunyai risiko dijangkiti Covid-19 yang lebih rendah yakni 50-60% kurang daripada orang yang tidak menerima vaksin. Kajian di Singapura memberi angka yang lebih besar iaitu 79%. Perlindungan ini lebih besar jika penerima vaksin itu tidak mempunyai gejala. Penerima vaksin juga lebih rendah kemungkinan untuk mendapat ujian swab PCR positif selepas berlakunya kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

9. CDC sendiri di dalam kenyataannya menegaskan tentang kelemahan kajian ini dan menyarankan supaya kajian yang lebih berkualiti dan lebih besar dijalankan. Tujuan CDC mewar2kan hasil kajian ini hanyalah untuk mengingatkan orang ramai untuk terus mengamalkan kaedah pencegahan yang lain walaupun sudah menerima vaksin.



KESIMPULAN

Adalah TIDAK BENAR mengatakan bahawa orang yang menerima vaksin dan dijangkiti Covid-19 dapat menjangkiti orang lain pada kadar yang sama dengan orang yang tidak menerima vaksin. Hasil kajian yang masih pre-print tersebut hanya menunjukkan kehadiran virus di dalam hidung penerima vaksin pada peringkat awal jangkitan berdasarkan kepada ujian makmal dan ujian kultur yang sedikit bilangan sampelnya. Pakar vaksin berpendapat bahawa penerima vaksin yang dijangkiti meskipun mempunyai beban virus yang sama pada peringkat awal, mereka dapat menghapuskan virus itu pada kadar yang lebih cepat dan tidak menyimpannya dalam masa yang panjang berbanding dengan orang yang tidak menerima vaksin. Tambahan pula, penerima vaksin mempunyai risiko dijangkiti Covid-19 pada kadar yang lebih rendah daripada orang yang tidak menerima vaksin. Berdasarkan kepada fakta ini, terdapat bukti yang lebih kukuh untuk mengatakan bahawa individu yang TIDAK mengambil vaksin LEBIH MUDAH menjangkiti orang lain berbanding dengan individu yang menerima vaksin.


Dato' Dr.Rushdan Noor

10hb Julai 2021


ICL : Imperial college London

https://www.medrxiv.org/content/10.1101/2021.07.31.21261387v4


https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/variants/delta-variant.html


https://www.cbsnews.com/news/covid-vaccine-delta-variant-infections-carry-same-virus-load-unvaccinated/


https://www.nature.com/articles/d41586-021-02187-1


Linked explained

https://www1.racgp.org.au/newsgp/clinical/cdc-covid-report-no-cause-for-panic


https://spiral.imperial.ac.uk/bitstream/10044/1/90800/2/react1_r13_final_preprint_final.pdf


https://www.straitstimes.com/singapore/study-of-29000-people-on-quarantine-in-spore-shows-vaccines-can-prevent-infection-and


Singapore study

https://www.medrxiv.org/content/10.1101/2021.07.28.21261295v1

No comments:

Post a Comment