Sunday, 22 June 2025

APA YANG ANDA PERLU TAHU TENTANG PREBIOTIK, PROBIOTIK DAN SINBIOTIK

 


PENDAHULUAN
Tubuh manusia dihuni oleh 39 trillion mikroorganisma dan bilangan ini sebenarnya lebih banyak daripada jumlah sel manusia itu sendiri.
Mikroorganisma ini terdiri dari bakteria, kulat, yis, virus dan archaea) yang menghuni usus, kulit dan rongga badan (mulut,hidung,faraj, pundi kencing). Keseluruhan microorganisma yang menghuni tubuh kita ini dikenali sebagai Microbiom.
Organisma2 ini pula ada yang baik (normal flora) dan ada yang berpotensi menyebabkan penyakit (patogen).
Di antara organisma baik dalam tubuh manusia adalah Laktobacillus sp, Bifidobacterium sp, strain bukan patogen E.coli, Faecalibacterium prausnitzii, Saccharomyces boulardii dan lain2.
Manakala mikroorganisma yang boleh menyebabkan penyakit (patogen) adalah Clostridium difficile, Salmonella sp, Helicobacter pylori, Candida albican, Staphylococcus aureus dan E.coli strain patogen (contoh EHEC). Walaupun dianggap mikroorganisma jahat atau patogen, ada juga manfaatnya iaitu berperanan melatih sistem imun kita. Walau bagaimanapun, bilangannya perlu dikawal kerana jika terlalu banyak, ia menyebabkan penyakit.
Mikroorganisma yang baik dan jahat ini keseluruhannya akan membentuk mikrobiom. Mikrobiom merujuk kepada keseluruhan komuniti mikroorganisma (termasuk bakteria, virus, kulat, dan protozoa) bersama bahan genetik mereka, yang hidup di dalam tubuh manusia
FUNGSI MIKROBIOM
Mikrobiom bukanlah segala2nya untuk kesihatan. Ia hanya salah satu dari banyak lagi faktor2 penting yang menyumbang kepada kesihatan badan. Jadi kesihatan memerlukan gabungan dan interaksi beberapa faktor atau parameter. Mikrobiom pula akan hanya bermanfaat apabila ianya seimbang. Keseimbangan mikrobiom bermaksud:

1. Mikroorganisma baik (flora normal) lebih dominan
2. Mikroorganisma patogen berada dalam jumlah terkawal
3. Kepelbagaian mikrobiota adalah tinggi (diversiti)
4. Fungsi normal (penghadaman, imun, metabolisme) tidak terganggu
Jadi fungsi microbiom yang seimbang ini adalah:
1. Menghalang pertumbuhan bakteria berbahaya
Flora baik "menjaga kawasan", tidak beri ruang kepada patogen membiak. Contoh: Lactobacillus mencegah jangkitan yis (Candida) dalam faraj
2. Menyokong sistem imun
Mikrobiom latih sistem imun untuk kenal pasti “musuh sebenar”. Mungkin imun yang seimbang akan kurang risiko alahan & autoimun.
3. Membantu penghadaman dan serapan nutrien
Bakteria usus memfermentasi serat untuk hasilkan asid lemak (SCFA) yang baik untuk usus dan otak. Membantu serapan zat seperti kalsium, magnesium, vitamin K dan B12.
4. Menghasilkan vitamin penting
Sesetengah mikrobiota menghasilkan vitamin K, vitamin B (B1, B2, B12).
5. Mempengaruhi kesihatan mental (gut-brain axis)
Ada yang berpendapat mikrobiom usus berhubung dengan otak melalui saraf vagus dan bahan kimia (neurotransmitter seperti serotonin). Jadi keseimbangan mikrobiom mungkin boleh membantu kawal stres, kemurungan dan keresahan. Maklumat ini diperolehi daripada kajian terhadap haiwan, manakala kajian ke atas manusia masih terhad.
6. Membantu kawal berat badan & metabolisma
Mikrobiom seimbang boleh bantu kawal penghasilan insulin dan selera makan. Ketidakseimbangan boleh meningkatkan risiko obesiti, diabetes dan hati berlemak

Memang tidak dapat dinafikan peranan mikrobiom seperti yang tertera di atas, tetapi ada di antaranya bukan berasaskan kepada bukti kajian yang kukuh. Selain daripada yang tersebut di atas, banyak pihak sengaja membesar2kan peranan mikrobiom secara berlebihan seperti boleh merawat berbagai jenis penyakit, manakala kaitannya dengan fungsi otak masih dalam kajian. Dengan kaedah ini, mereka membesarkan skop penggunaan produk probiotik untuk tujuan melariskan jualan.

APAKAH PROBIOTIK, PREBIOTIK DAN SINBIOTIK
PROBIOTIK adalah mikroorganisma hidup (biasanya bakteria atau yis) yang diambil dari sumber luar samada dari makanan ataupun suplemen. Mikroorganisma ini juga jenis yang sama dengan yang ujud semulajadi dalam badan. Probiotik boleh memberi manfaat kesihatan kepada golongan tertentu, terutamanya sistem pencernaan, apabila diambil dalam jumlah mencukupi. Contoh: Lactobacillus, Bifidobacterium, Saccharomyces boulardii.
PREBIOTIK adalah makanan untuk probiotik. Prebiotik ialah jenis serat atau karbohidrat tidak tercerna (seperti inulin, FOS, GOS, pektin, beta-glukan)) yang menjadi makanan kepada bakteria baik (probiotik) dalam usus besar. (FOS :fruktooligosakarida, GOS: galaktooligosakarida)
Komponen probiotik dan prebiotik memang sudah ada dalam tubuh badan kita, cuma samada ianya cukup atau kurang.
SINBIOTIK ('SYNBIOTIC') pula adalah gabungan probiotik dan prebiotik di dalam satu produk ataupun makanan.
APAKAH SUMBER PROBIOTIK DAN PREBIOTIK SEMULAJADI
Prebiotik dan probiotik boleh diperolehi dari makanan harian kita.
Sumber probiotik dari makanan:
1. Yogult
2. Tempeh
3. Kimchi
4. Cuka apel
5. Susu/keju mentah
6. Jeruk sayur
8. Jeruk timun
9. Tapai
10. Sauerkraut (Kubis jeruk Jerman)
Sumber prebiotik dari makanan:
1. Bawang Putih
2. Bawang Besar
3. Daun bawang
4. Pisang yang tidak terlalu masak
5. Asparagus
6. Epal dengan kulit
7. Kacang kuda
8. Kacang merah
9. Kubis
10. Oat
SIAPAKAH YANG DISYORKAN AMBIL SUPLEMEN PREBIOTIK DAN PROBIOTIK
Tidak semua orang perlu mengambil suplemen pre dan probiotik kerana sebab-sebab yang akan diterangkan nanti. Sebelum mengambil probiotik, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu. Berikut adalah individu2 yang mungkin disyorkan mengambil prebiotik dan probiotik oleh doktor dan pakar perubatan.
1. Mengalami ciri-birit akibat antibiotik. Antibiotik boleh membunuh bakteria baik dalam usus. Probiotik (seperti Lactobacillus dan Saccharomyces boulardii) membantu mengurangkan risiko cirit-birit.
2. Sembelit yang disebabkan oleh fungsi usus. Pesakit sudah menjalani pemeriksaan dan ujian mencari punca sembelit tetapi tidak ditemui. Setengah probiotik meransang pergerakan usus (Lactocillus casei) dan melembutkan najis (Bifidobacterium lactis sp).
3. Bayi yang mengalami kembung perut (infant colic), perlu nasihat pakar kanak2
4. Irritable bowel syndrome dengan nasihat doktor. Sesetengah probiotik (seperti Bifidobacterium infantis) boleh membantu mengurangkan simptom seperti kembung, sembelit atau cirit-birit.
5. Penyakit radang usus ("Inflammatory bowel disease") dengan nasihat pakar gastro.
6. Jangkitan kulat (candida) yang berulang2 pada faraj dan pundi kencing.Probiotik tertentu (Lactobacillus rhamnosus, L. reuteri) boleh membantu mengekalkan keseimbangan flora faraj
7. Selepas jangkitan usus ("gastroenteritis") dengan nasihat doktor. Probiotik boleh mempercepatkan pemulihan flora usus.
Terdapat banyak jenis suplemen prebiotik dan probiotik di dalam pasaran dan tidak semuanya sama dari segi kandungan, jenis mikroorganisma, dos dan kualiti. Jadi perlu nasihat doktor untuk jenis yang sesuai untuk tujuan dan individu tertentu.
MENGAPA SUPLEMEN PREBIOTIK DAN PROBIOTIK TIDAK DISYORKAN KEPADA SEMUA ORANG
Berikut adalah beberapa sebab suplemen prebiotik dan probiotik tidak diperlukan oleh semua orang.
1. Tiada keperluan jika sihat
Jika seseorang mempunyai sistem penghadaman dan diet yang baik, flora usus biasanya seimbang secara semulajadi tanpa perlu suplemen.
2. Kesan berbeza antara individu
Setiap individu mempunyai microbiom yang profil bakterianya berbeza. Respon terhadap suplemen sangat bergantung kepada jenis mikrobiom asal seseorang. Tidak semua orang mendapat manfaat yang sama. Satu jenis suplemen tidak semestinya sesuai untuk semua orang. Apa yang berkesan untuk seseorang mungkin tidak memberi kesan, malah boleh memudaratkan orang lain. Ujian mikrobiom pula masih kontroversi dan tidak ada garispanduan yang seragam.
3. Tidak semua produk berkesan
Banyak suplemen di pasaran tidak mengandungi jumlah bakteria hidup yang mencukupi, atau bakteria yang sesuai untuk memberi manfaat.
4. Risiko kepada golongan tertentu
Individu yang mengalami kelemahan sistem imun (pesakit kanser, HIV, selepas pemindahan organ) boleh mengalami jangkitan serius akibat probiotik (jarang, tetapi dilaporkan). Jangkitan ini dikenali sebagai jangkitan oportunistik.
5. Kesan sampingan ringan
Sesetengah pengguna mengalami gas, kembung, atau perubahan najis pada awal pengambilan. Jadi mereka tidak sesuai mengambilnya kerana gejala perut dan usus yang bertambah.
6. Tindakbalas alahan ataupun hipersensitiviti.
Sebahagian suplemen probiotik dihasilkan dari sumber tenusu atau yis dan boleh menyebabkan alahan kepada mereka yang sensitif.
7. Kos jangka panjang
Pengambilan suplemen secara berterusan mungkin mahal, tanpa manfaat tambahan jika tiada indikasi klinikal.

8. Seperti mana suplemen yang lain, keraguan tentang kualiti, kandungan prebiotik, probiotik dan juga kebimbangan tentang isu kebersihan serta keselamatan tetap ujud.

Mengambil prebiotik dan probiotik tanpa menjaga diet, tanpa pengendalian stres yang baik, tidur yang mencukupi dan mengambil makanan yang diproses akan mengurangkan keberkesanan probiotik. Mikrobiom memerlukan gabungan diet dan gaya hidup sihat untuk berkesan, ia hanya salah satu dari komponen di dalam pakej kesihatan yang lebih besar.
Elakkan memgambil probiotik semasa rawatan antibiotik, sebaliknya jika diperlukan, ianya lebih berkesan selepas selesai rawatan antibiotik.
Pengambilan prebiotik dan probiotik perlu mendapatkan nasihat profesional kesihatan. Adalah lebih baik mengambil prebiotik dan probiotik ini dari sumber makanan semulajadi dan mengamalkan gaya hidup sihat.
ADAKAH PERLU MENJALANI UJIAN MIKCROBIOM
Terdapat ujian menggunakan sampel tinja untuk menganalisa komposisi mikrobiom seseorang. Melalui analisa ini makmal dapat mengenalpasti komposisi mikrobiom, jenis mikrob yang dominan, kepelbagaian dan cadangan ujian lanjut untuk mengesan hasil metabolik mikrobiom.
Walaupun ujian ini nampak seperti berguna tetapi tidak sesuai dilakukan oleh semua orang kerana beberapa sebab, antaranya:
1. Ujian mikrobiom tidak disokong oleh bukti kajian yang kukuh. Tidak ada persetujuan universal terhadap apakah yang dimaksudkan dengan mikrobiom yang normal. Banyak ujian-ujian ini tidak diiktiraf oleh FDA.
2. Ianya bukan ujian pengesahan ataupun diagnostik. Ia hanya memberi maklumat tambahan yang tidak semua orang perlukan.
3. Ada kelemahan dari segi ketepatan ujian kerana mikrobiom seseorang boleh berubah-ubah. Jadi hasil ujian ini mungkin tidak membantu proses rawatan yang diberikan. Komposisi mikrobiom boleh berubah mengikut masa dan keadaan. Satu bacaan bukan petunjuk gambaran mikrobiom yang sebenar.
4. Interpretasi hasil ujian ini perlu berhati2 dan dilakukan oleh profesional yang terlatih. Di dalam banyak keadaan, tidak ada aplikasi klinikal yang dapat disyorkan dari keputusan ujian.
5. Kos yang mahal. Ujian asas mungkin menelan belanja beratus ringgit dan jika ujian lanjutan dilakukan boleh mencapai ribuan ringgit.
6. Boleh disalahgunakan oleh golongan tertentu yang ingin mengaut keuntungan.

Ujian mikrobiom perlu mendapat nasihat daripada pakar yang merawat. Ia mungkin disyorkan ke atas individu yang mengalami masalah kesihatan serius yang mewajarkan mereka mengambil prebiotik dan probiotik. Kebanyakan individu yang perlu mengambil prebiotik dan probiotik tidak perlu menjalani ujian mikrobiom. Ujian ini juga boleh digunakan di dalam konteks penyelidikan. Pendek kata ujian mikrobiom tidak boleh dilakukan semberono.
KESIMPULAN
Mikrobiom adalah keseluruhan mikroorganisma yang ujud di dalam tubuh seseorang. Ia terdiri dari mikroorganisma yang baik dan yang tidak baik untuk kesihatan. Ketidakseimbangan mikrobiom boleh menyumbang kepada beberapa masalah kesihatan. Probiotik adalah mikroorganisma yang sama tetapi diambil dari luar samada dalam bentuk makanan ataupun suplemen. Prebiotik pula adalah makanan kepada probiotik. Apabila prebiotik dan probiotik disatukan dalam satu produk, ianya dikenali sebagai sinbiotik. Memandangkan probiotik dan prebiotik boleh diperolehi dari makanan, tidak semua orang perlu mengambil suplemen probiotik. Hanya golongan tertentu sahaja yang disyorkan mengambil probiotik, itupun perlu nasihat profesional. Ujian mikrobiom adalah kontroversial dan tidak boleh dilakukan sewenang2nya. Amalan mengambil probiotik dan prebiotik menjadi tidak bermakna, jika tidak digabungkan dengan diet, senaman, tidur yang cukup, pengendalian stres dan lain-lain gaya hidup sihat.
DDr Rushdan Noor
22hb Jun 2025




Friday, 13 June 2025

SUPLEMEN FITOSTEROL ATAU STATIN UNTUK RAWATAN KOLESTEROL ?


 

PENDAHULUAN
Sebelum membaca rencana ini saya syorkan anda membaca tulisan saya bertajuk KOLESTEROL DAN UBAT STATIN: FAKTA DAN AUTA , KLIK DI SINI. Keputusan untuk menggunakan ubat statin diterangkan di dalam tulisan tersebut. Rencana terbaru ini adalah dalam konteks yang sama. Tulisan ini juga akan menjawab terhadap dakwaan kononnya ada rawatan alternatif dari sumber semulajadi yang lebih baik dan terbukti melalui kajian klinikal.
APAKAH STEROL TUMBUHAN ATAUPUN FITOSTEROL Salah satu sebatian kimia dari tumbuhan yang melalui kajian saintifik adalah FITOSTEROL ("phytosterols") ataupun Sterol tumbuhan. Fitosterol terdiri dari beberapa jenis, antaranya campesterol, beta-sitosterol dan stigmasterol. Sebatian semulajadi ini terdapat dalam tumbuh-tumbuhan yang mempunyai struktur kimia mirip dengan kolesterol dalam tubuh manusia. SUMBER SEMULAJADI FITOSTEROL Fitosterol wujud secara semula jadi dalam: 1. Kacang dan biji (seperti badam, biji bunga matahari) 2. Minyak sayuran (minyak jagung, minyak kacang soya) dan minyak zaitun. 3. Sayur-sayuran dan buah-buahan seperti broccoli, avacado, limau dll (dalam kuantiti kecil) 4. Produk yang diperkayakan ("fortified") sterol (margarin, yogurt, susu rendah lemak) BAGAIMANA FITOSTEROL MENGURANGKAN LDL DARAH Disebabkan persamaan struktur fitosterol dengan kolesterol, fitosterol boleh bersaing dengan kolesterol untuk masuk ke dalam pengangkut dinamakan micelle yang diperlukan untuk penyerapan kolesterol ke dalam darah. Apabila fitosterol memenuhi micelle, maka kolesterol tidak dapat diserap dan dilepaskan bersama najis. Kolesterol darah akan menurun dan hati akan menarik lebih banyak kolesterol dari darah untuk menghasilkan cecairan hempedu. Hasilnya paras LDL (kolesterol jahat) darah akan menurun. Fitosterol tidak menjejaskan tahap HDL (kolesterol baik) dan Trigliserida. BERAPA BANYAK FITOSTEROL DIPERLUKAN UNTUK MENURUNKAN KOLESTEROL Kajian menunjukkan bahawa pengambilan 2 gram fitosterol setiap hari boleh menurunkan kolesterol LDL sebanyak 5–15%. Fitosterol ini biasanya perlu diambil secara tetap dan dengan makanan untuk kesan optimum. Tetapi untuk mengambil 2 gram fitosterol sehari, jika sumbernya hanya dari biji badam, ANDA PERLU MENGAMBIL 1.3 KG BIJI BADAM. KAJIAN SAINTIFIK FITOSTEROL DAN PENGURANGAN KOLESTEROL DARAH Satu kajian meta-analisis telah dijalankan melibatkan 59 kajian rawak menilai keberkesanan fitosterol dalam menurunkan kolesterol darah. Kajian itu mendapati (1) : Fitosterol mengurangkan LDL sebanyak ~0.31 mmol/L (~12 mg/dL), bersamaan dengan penurunan sebanyak 8–15%, selepas pengambilan selama 4–6 minggu dengan dos 1–3 gram sehari, dalam bentuk makanan yang diperkayakan. Lagi tinggi dos, lagi besar penurunan kolesterol di mana 3 gram sehari pengambilan fitosterol menurunkan LDL sehingga 12%. Walau bagaimana pun, pengambilan melebihi 3 gram fitosterol sehari tidak memberi manfaat tambahan. SUMBER FITOSTEROL DARI MAKANAN DAN DALAM BENTUK SUPLEMEN Hasil kajian menunjukkan kedua2 sumber samada melalui makanan yang diperkaya ("fortified food") ataupun suplemen, kesan penurunan LDL darah adalah sama dengan syarat dos fitosterol yang diambil adalah sama.(2) .Tetapi umumnya, pengambilan melalui makanan semulajadi (kekacang, bijirin, minyak sayur, buah dan sayuran cth: avocado, broccoli, limau dan pistachios) hanya membekalkan fitosterol kurang dari 600 mg sehari. Kecuali jika mengambil makanan yang diperkayakan (fortified) dengan sterol ataupun dalam bentuk suplemen, makanan semulajadi sukar untuk mengurangkan LDL darah secara berkesan UNTUK TUJUAN RAWATAN. MENGAPA PAKAR TIDAK MENGESYORKAN SUPLEMEN FITOSTEROL UNTUK MENGURANGKAN LDL BERBANDING DENGAN UBAT STATIN Persoalan ini adalah dalam konteks apabila seseorang itu telah memenuhi kriteria untuk dirawat dengan ubat kolesterol, selain daripada mengamalkan diet dan gayahidup sihat. Ini adalah juga soalan paling penting untuk dibincangkan dalam rencana ini kerana penerangan ini akan juga terpakai untuk ubat2 lain dan suplemen2 lain yang digunakan untuk merawat penyakit. Pengamal perubatan konvensional tidak menafikan tentang adanya sebatian kimia berasaskan tumbuhan yang melalui kajian saintifik. Ada antaranya didapati berkesan seperti fitosterol di dalam mengurangkan LDL. Tetapi ada beberapa isu besar yang menyebabkan pakar2 perubatan keberatan untuk mengesyorkannya sebagai kaedah utama, berikut adalah 4 sebab utama: 1. KETIDAKPASTIAN KESAN FITOSTEROL KE ATAS SISTEM SALURAN DARAH JANTUNG, OTAK DAN KADAR KEMATIAN Menilai keberkesanan ubat kolesterol bukan setakat kemampuannya menurunkan kandungan LDL-C ataupun non HDL-C darah, tetapi juga kesan akhirnya ke atas kesihatan jantung yakni adakah ia mengurangkan kadar serangan jantung, angin ahmar dan mengurangkan kadar kematian. Kesan akhir ini bergantung kepada beberapa faktor lain termasuk kesan pengurangan proses keradangan. Memang terdapat banyak kajian ke atas fitosterol dalam bentuk makanan yang diperkayakan ataupun ekstrak fitosterol , tetapi hanya setakat pengurangan kandungan LDL C. Kajian2 ini tidak cukup besar dan tidak cukup panjang untuk menilai kesan rawatan ke atas kesihatan salur darah jantung dan otak, apatah lagi kadar kematian. Jika pun ada kajian itu, setakat ini belum menunjukkan keberkesanan yang sama seperti ubat statin. Ubat statins telah dibuktikan bukan sahaja mengurangkan tahap kolesterol LDL tetapi juga dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dan kematian seperti kajian The JUPITER dan 4S. (3,4). Jadi manfaatnya ke atas kesan akhir itu telah dibuktikan. Kajian terbaru juga membuktikan ubat statin mengurangkan risiko nyanyok atau dementia. Ini tidak dibuktikan oleh pengambilan fitosterol. 2. POTENSI KESAN MUDARAT TERHADAP INDIVIDU TERTENTU. Fitosterol menurunkan kandungan LDL dengan bersaing untuk masuk ke dalam pengangkut (micelle) di usus dan saingan ini mengurangkan penyerapan kolesterol. Walaupun fitosterol bersaing untuk tertarik ke dalam pengangkut semasa proses penyerapan, kadar penyerapannya sangat rendah ke dalam darah. Jadi kandungan fitosterol darah tidak tinggi. Dikatakan kurang dari 2% sahaja yang diserap ke dalam darah. Berbanding dengan kolesterol, fitosterol di dalam darah ini lebih mudah membentuk plug (lebih "atherogenic"). Lebih kurang 8-12% dari populasi, kadar penyerapan masuk fitosterol ke dalam darah lebih tinggi dari orang biasa disebabkan oleh faktor genetik yang dikenali sebagai sitosterolemi. Apabila mengambil produk berasaskan fitosterol, mereka ini akan mengalami tahap fitosterol darah yang lebih tinggi dan meningkatkan pula risiko penyakit salur darah. Kepada mereka2 ini, fitosterol umpama serampang dua mata. Di samping itu, pengambilan fitosterol melebihi 3 gram sehari tidak memberi lebih manfaat, sebaliknya boleh menyebabkan gangguan penyerapan vitamin larut lemak (Vit A, D, E, K). 3. KESAN PENGURANGAN LDL YANG LEBIH KECIL Kadar pengurangan LDL darah oleh produk yang berasaskan kepada fitosterol adalah lebih kecil dari ubat statin. Dos yang dianggap tinggi fitosterol hanya mampu mengurangkan LDL darah pada kadar 8-12% , berbanding dengan dos rendah ubat statin yang paling minimum mengurangkan LDL sebanyak 30-40%. Kajian klinikal yang membandingkan 5 mg Rosuvastatin dengan 1.6 gram fitosterol sehari mendapati, ubat statin mengurangkan LDL sebanyak 33.5% berbanding dengan fitosterol yang tidak memberikan sebarang kesan penurunan (-1.7%). (5) Pengambilan fitosterol melebihi 3 gram sehari tidak menurunkan tahap LDL lebih rendah, jadi terdapat had ataupun siling keberkesanan fitosterol. Maka ianya tidak mampu untuk menurunkan tahap LDL jika sasarannya lebih rendah. 4. KERAGUAN PRODUK SUPLEMEN DARI ASPEK PROSES PENGHASILAN, DOS FITOSTEROL DAN KESELAMATAN Fakta ini terpakai untuk semua jenis suplemen.Tidak seperti ubat preskripsi seperti statin, kebanyakan suplemen tidak perlu melalui ujian klinikal yang ketat sebelum dipasarkan. Di banyak negara (termasuk Malaysia), produk ini dikawal sebagai produk makanan ataupun suplemen kesihatan (kategori N), bukan ubat (kategori A), maka piawaian keselamatan dan keberkesanan tidak seketat ubat dari kategori A. Hasil kajian yang positif tentang fitosterol diperolehi melalui pengendalian rapi peserta kajian dan pengambilan dos fitosterol yang betul. Tetapi ini sukar diperolehi jika diambil oleh orang ramai di luar konteks penyelidikan. Kebimbangan ke atas produk suplemen ini juga ujud tentang kandungan sebenar, kuantiti bahan aktif (fitosterol) yang mungkin tidak sama seperti yang tercatat di label, pencemaran dan kemungkinan campur-palsu Kadar penyerapan bahan aktif juga tidak seragam dan boleh berlaku interaksi dengan ubat-ubat lain yang diambil. KESIMPULAN Masalah kolesterol darah yang tinggi boleh diatasi dengan pelbagai kaedah. Mengawal makanan, melakukan senaman, mengurangkan stress dan mengamalkan gayahidup sihat adalah salah satu amalan yang perlu dilakukan oleh semua orang. Apabila seseorang memenuhi kriteria2 yang mewajarkan mereka mengambil ubat kolesterol, mereka akan disyorkan mengambil ubat statin. Ubat statin adalah pilihan terbaik untuk mengurangkan risiko serangan jantung, angin ahmar, dementia dan menurunkan kadar kematian. Walaupun fitosterol berkesan mengurangkan LDL, pengambilannya dalam bentuk makanan ataupun suplemen mempunyai banyak kelemahan dan kurang bukti keberkesanan di dalam menurunkan kadar serangan jantung dan kematian. Mungkin fitosterol dari sumber makanan yang diperkayakan boleh dipertimbangkan untuk dijadikan ikhtiar tambahan ke atas ubat statin jika individu tersebut tidak boleh mengambil statin melebihi dos tertentu kerana kesan sampingan. Dato' Dr.Rushdan Noor 13hb Jun 2025 RUJUKAN 1. AbuMweis SS, Barake R, Jones PJH. Plant sterols/stanols as cholesterol lowering agents: a meta-analysis of randomized controlled trials. Food & Nutrition Research, 2008. 2. Shaghaghi, A., Abumweis, S. S., & Jones, P. J. H.Cholesterol-lowering efficacy of plant sterols and stanols provided in capsule and tablet formats: A systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials.Journal of the Academy of Nutrition and Dietetics, 2013,113(11), 1494–1503 3.Ridker, P. M., Danielson, E., Fonseca, F. A. H., et al. JUPITER Study Group. (2008). Rosuvastatin to prevent vascular events in men and women with elevated C-reactive protein. New England Journal of Medicine, 359(21), 2195–2207 4. Scandinavian Simvastatin Survival Study Group. (1994). Randomised trial of cholesterol lowering in 4444 patients with coronary heart disease: the Scandinavian Simvastatin Survival Study (4S). The Lancet, 344(8934), 1383–1389 5.Barkas, F., Bathrellou, E., Nomikos, T., Kontogianni, M. D., et al. Comparative effects of low-dose rosuvastatin, placebo, and dietary supplements on lipids and inflammatory biomarkers. Journal of the American College of Cardiology. 2023


Thursday, 12 June 2025

TEORI KONSPIRASI : ANTARA FAKTA, FANTASI DAN ANCAMAN

 


Pernah dengar teori macam “manusia tak pernah sampai ke bulan”, HAARP boleh mengawal cuaca dan menguasai minda manusia dan virus Covid-19 ciptaan makmal ? Inilah di antara banyak lagi kepercayaan yang kita panggil teori konspirasi, kepercayaan bahawa ada pihak berkuasa (kerajaan, syarikat besar, atau individu kaya) yang merancang sesuatu secara rahsia untuk tujuan jahat, agenda tersembunyi atau mengawal manusia serta dunia.
ADAKAH TEORI KONSPIRASI INI BENAR ?
Kajian mendapati lebih dari 90% dari teori konspirasi adalah palsu dan mainan minda semata2. Jadi, hanya kurang dari 10% teori konspirasi didapati benar. Di antara teori konspirasi yang kemudiannya didapati benar adalah skandal Watergate di Amerika dan Projek MK- Ultra CIA.
Kesimpulannya teori konspirasi ini lebih banyak auta dari fakta. Majoriti adalah palsu, tanpa bukti kukuh dan berdasarkan andaian ataupun spekulasi.
BAGAIMANA TEORI KONSPIRASI INI MUNCUL
Teori konspirasi muncul apabila berlaku kejadian2 besar (contoh : peperangan, wabak penyakit, bencana besar dan lain2), peristiwa2 yang sukar difahami dan kekurangan maklumat yang jelas ataupun kebenaran yang tidak dapat diterima.
SIAPAKAH PENCETUS TEORI KONSPIRASI
Apabila wujud keadaan2 yang tersebut di atas, akan ada individu ataupun kumoulan yang akan mencipta teori konspirasi. Individu ini mungkin hanya melayan imaginasi beliau dan melayan perasaan ingin tahu. Manakala kumpulan orang yang mencipta teori konspirasi ini mungkin mempunyai agenda tersembunyi untuk tujuan2 tertentu seperti mengujudkan ketegangan, hilang kepercayaan, memecahbelahkan dan mengalih perhatian.
APAKAH CIRI2 PERIBADI SEORANG YANG MENCIPTA TEORI KONSPIRASI
Individu yang mencipta teori konspirasi dikenali sebagai 'conspiracy theorist' (CT). Terdapat kajian psikologi dan sosiologi yang meneliti keperibadian individu2 yang taksub dengan teori konspirasi. Di antara dapatan dari kajian ini individu2 yang menjadi CT ini mempunyai kecenderungan2 tertentu, di antaranya:
1. Kurang kepercayaan kepada pihak lain atau institusi
2. Mindanya mudah terbuka kepada kepercayaan pelik
3. Mudah cemas, syak wasangka atau paranoia
4. Pemikitan konspiratif atau cenderung untuk mentafsir sesuatu peristiwa dari sudut tyang berbeza dari orang lain dengan menganggap ujudnya agenda tersembunyi dalam apa sahaja yang berlaku.
5. Keinginan untuk merasa diri itu lebih istimewa ataupun unik dari orang lain
6. Rasa tidak berkuasa ("powerlessness"), merasa sistem politik, ekonomi, atau sosial tidak memihak kepada mereka, teori konspirasi menjadi cara untuk memahami dunia.
APAKAH CIRI2 PERIBADI ORANG YANG MUDAH MEMPERCAYAI TEORI KONSPIRASI
Satu meta-analisis bertajuk "Who believes in conspiracy theories? A meta-analysis on personality correlates." telah dijalankan dan disiarkan dalam jurnal Journal of Research in Personality pada tahun 2022.
Ringkasan hasil kajian:
Meta-analisis ini menunjukkan bahawa orang yang lebih cenderung mempercayai teori konspirasi biasanya menunjukkan ciri-ciri berikut:
1.Percaya kepada pseudoscience (ilmu sains palsu)
2.Mempunyai ciri paranoia (prasangka yang keterlaluan)
3. Mempunyai ciri schizotypy (satu klaster pemikiran yang menyerupai schizophrenia tetapi lebih ringan, contoh: pemikiran dan kepercayaan yang pelik, isolasi sosial, prasangka, kesukaran menjalinkan hubungan dll)
3.Narsisistik
4.Terlalu spiritual
5.Tahap kebolehan kognitif yang lebih rendah (kognitif adalah keupayaan memahami dunia sekeliling, membuat keputusan dan belajar)
Meta-analisis ini tidak bermaksud semua orang dengan ciri-ciri tersebut pasti mempercayai teori konspirasi, tetapi secara statistik, mereka lebih berkemungkinan untuk mempercayainya. Kajian ini melihat korelasi, bukan hubungan sebab-akibat.
Tidak semua orang yang spiritual, atau dengan tahap kognitif rendah mempercayai konspirasi. Ini adalah corak umum, bukan pernyataan mutlak. Perkara2 luar biasa boleh berlaku dengan kehendak dari Allah swt tetapi sumbernya mesti datang dari quran dan sunnah bukan dicetuskan oleh sebarangan orang.
Faktor sosio-politik dan budaya juga memainkan peranan besar, yang tidak semestinya dijelaskan oleh faktor psikologi semata-mata.
KENAPA TEORI KONSPIRASI TERUS DISEBARKAN
Hingga ke hari ini teori2 konspirasi terus disebarkan dan bukan sedikit yang telah terpengaruh termasuk golongan2 yang dianggap terpelajar dan beroengaruh. Ada beberapa sebab mengapa teori konspirasi terus tersebar:

1. Penyebar merasa unik dan istimewa, percaya sesuatu yang “orang lain tak tahu”.
2. Kepuasan emosi, teori ini mudah difahami, lebih ‘seronok’ daripada fakta saintifik yang rumit.
3. Media sosial, platform seperti Facebook, TikTok & YouTube menyediakan ruang yang besar untuk teori ini tular tanpa semakan fakta dan sekatan undang2. Menggunakan teori konspirasi sebagai kontent boleh menarik ramai pembaca dan peminat.
4. Teori konspirasi boleh memenuhi kehendak sesuatu pihak meyebarkan ideologi dan pengaruh atau mencapai agenda mereka yang tersembunyi.
5. Keuntungan wang ringgit diperolehi melalui jualan buku tentang teori konspirasi. Tidak sedikit teori konspirasi dicetuskan oleh penulis buku.

KEBURUKAN TEORI KONSPIRASI
Sebahagian teori konspirasi boleh membawa implikasi yang buruk kepada masyarakat, manakala ada juga teori2 konspirasi yang tidak membawa apa2 mudarat. Berikut adalah beberapa potensi kemudaratan yang boleh diakibatkan oleh teori konspirasi:
1. Pecah-belahkan masyarakat akibat salah faham kaum/agama/negara
2. Membawa bahaya kesihatan dan nyawa, contoh: tolak vaksin, rawatan COVID-19
3. Merugikan ekonomi & pendidikan akibat hilang kepercayaan terhadap sains, ubat moden, atau fakta sejarah
4. Boleh digunakan untuk manipulasi politik, rakyat mudah dikawal dengan ketakutan dan maklumat palsu.Contohnya beberapa teori konspirasi yang digunakan oleh Donald Trump untuk menarik pengundi, antaranya "Obama bukan warganegara US dan sokongan senyap terhadap QAnon dll".
5. Menyuburkan penyebaran maklumat palsu dan salah faham.
10 CONTOH TEORI KONSPIRASI YANG POPULAR
Berikut ialah 10 teori konspirasi terkenal di seluruh dunia, beserta ringkasan dan (jika diketahui) pencetus atau penyebar awalnya:
1. Pendaratan di Bulan adalah Palsu (Moon Landing Hoax)
Teori: Pendaratan manusia di Bulan oleh NASA pada 1969 adalah palsu dan hanya satu rakaman studio.
Pencetus: Buku "We Never Went to the Moon" (1974) oleh Bill Kaysing, bekas pekerja syarikat berkaitan industri angkasa.
2. Serangan 9/11 adalah Konspirasi Dalaman (Inside Job)
Teori: Serangan 11 September 2001 dirancang atau dibiarkan oleh kerajaan AS untuk alasan politik dan ekonomi.
Pencetus: Kumpulan seperti Loose Change (2005 – dokumentari buatan Dylan Avery)
3. Chemtrails
Teori: Garisan wap pesawat di langit mengandungi bahan kimia rahsia untuk kawalan minda, populasi, atau cuaca.
Pencetus: Teori mula beredar pada akhir 1990-an, tiada individu spesifik, tetapi banyak disebarkan di forum dalam talian seperti AboveTopSecret.
4. COVID-19 adalah Konspirasi Global
Teori: Virus SARS-CoV-2 direka di makmal sebagai senjata biologi atau direka untuk mengawal populasi melalui vaksin.
Pencetus: Teori awal muncul di media sosial dan disokong oleh tokoh seperti David Icke dan penyokong teori "plandemic".
5. Teori Bumi Rata (Flat Earth Theory)
Teori: Bumi adalah rata, dan semua gambar angkasa adalah palsu.
Pencetus: Teori ini wujud sejak zaman dahulu, tetapi moden dipopularkan oleh Flat Earth Society (abad ke-19 dan diperbaharui sejak 2000-an).
6. Teori Illuminati
Teori: Satu kumpulan elit rahsia (Illuminati) mengawal dunia dari belakang tabir – politik, ekonomi, hiburan.
Pencetus: Bermula dari kumpulan sebenar "Bavarian Illuminati" (1776), tapi versi moden dipopularkan oleh Robert Anton Wilson dalam novel satira "The Illuminatus! Trilogy" (1975).
7. Teori New World Order (NWO)
Teori: Terdapat rancangan global untuk membentuk satu kerajaan dunia autoritarian yang menghapuskan kebebasan individu.
Pencetus: Berkembang dari teori anti-Mason dan anti-Komunis sejak Perang Dingin; dipopularkan oleh penulis seperti Alex Jones (Infowars).
8. Pembunuhan JFK adalah konspirasi
Teori: Presiden John F. Kennedy dibunuh bukan oleh Lee Harvey Oswald sahaja, tetapi sebagai sebahagian daripada konspirasi oleh CIA, FBI, mafia, atau kerajaan AS sendiri.
Pencetus: Buku "Rush to Judgment" (1966) oleh Mark Lane.
9. Teori HAARP (Kawalan Cuaca dan Minda)
Teori: HAARP (projek kajian ionosfera) digunakan untuk mengawal cuaca, menyebabkan gempa bumi, atau mengawal fikiran manusia.
Pencetus: Buku "Angels Don't Play This HAARP" oleh Nick Begich Jr. (1995).
10. Paul McCartney Sudah Mati
Teori: Paul McCartney dari The Beatles telah mati dalam kemalangan pada 1966 dan digantikan dengan penyamar.
Pencetus: Spekulasi bermula pada 1969 melalui stesen radio WKNR-FM (Amerika Syarikat), dan disebarkan melalui media dan peminat.
KESIMPULAN
Teori konspirasi memang mengujakan dan seronok dibaca tetapi kebanyakannya bukan berasaskan fakta dan boleh membawa kesan buruk dalam kehidupan. Terdapat korelasi antara personaliti seseorang dengan kecenderungan untuk mencipta dan mempercayai teori konspirasi. Sebagai orang awam, jangan mudah percaya dan sebarkan. Belajarlah berfikir secara kritikal dan semak sumber sebelum kita kongsi sesuatu. Di samping itu, bukan semua yang pelik itu konspirasi, kadangkala ia cuma salah faham dan kurang maklumat.
Boleh baca dengan lebih lanjut tentang teori konspirasi klik di sini.
Dato' Dr.Rushdan Noor
13hb Jun 2025
Lukasz Stasielowicz. Who believes in conspiracy theories? A meta-analysis on personality correlates, Journal of Research in Personality,Volume 98,2022,104229,
ISSN 0092-6566

Tuesday, 3 June 2025

KOLESTEROL DAN UBAT STATIN : FAKTA DAN AUTA

 

Satu kumpulan pengguna media sosial sedang menyebarkan maklumat yang mengelirukan tentang kolesterol dan ubat statin. Tidak dapat dipastikan dari mana asalnya sumber maklumat ini, adakah mereka ini dari pengikut pengamal perubatan fungsional yang kontroversi ataupun anti-perubatan moden.

Dari gaya tulisan, mereka mendakwa lebih mengetahui tentang penyakit dan menganggap doktor2 serta pakar2 perubatan di hospital tidak betul. Secara tidak langsung mereka nak beritahu, kalau tentang bab kolesterol, statin dan penyakit jantung, mereka lebih arif dari pakar jantung.

Antara maklumat yang tidak tepat disebarkan adalah kolesterol itu semuanya baik, tidak perlu untuk menurunkan tahap kolesterol yang tinggi dan jangan mengambil ubat kolesterol/statin. Pendek kata, kolesterol itu semuanya baik dan statin itu semuanya jahat.

Kata mereka bukan kolesterol yang menyebabkan penyumbatan saluran darah, tetapi keradangan. Jadi kalau nak cegah penyumbatan saluran darah, kena rawat keradangan, kolesterol tidak bersalah.

Ikuti penerangan untuk memperbetulkan salah faham ini.

BENARKAH SEMUA KOLESTEROL ITU BAIK ?

Kita setuju dengan pendapat bahawa kolesterol penting untuk tubuh badan kerana ia adalah sebahagian komponen di dalam sel, hormon dan vitamin D. Tetapi kolesterol ujud dalam beberapa bentuk termasuk kolesterol baik, HDL dan kolesterol jahat, LDL.  Sebenarnya, kandungan LDL-C yang tinggi di dalam darah boleh memudaratkan kesihatan. Jadi, tidak semua kolesterol itu baik.

Banyak kajian populasi, kajian genetik dan berpuluh2 kajian klinikal menunjukkan bahawa kandungan LDL yang tinggi di dalam darah menyebabkan penyakit jantung, sebaliknya apabila kita menurunkan tahap kolesterol darah, risiko serangan penyakit jantung dan angin ahmar juga menurun. Contohnya, kajian The Framingham Heart Study (1) dan kajian INTERHEART (2) mendapati LDL-C adalah faktor risiko yang utama untuk mengalami penyakit saluran darah jantung.

Golongan yang mempunyai keturunan kolesterol darah yang tinggi ("Familial Hypercholesterolaemia") mempunyai risiko penyakit jantung yang lebih besar dan berlaku pada usia muda. Mereka mempunyai risiko serangan jantung sebanyak 20 kali lebih tinggi dari orang biasa. 

Kajian besar menunjukkan bahawa setiap penurunan 1mmol/L kandungan LDL darah menurunkan risiko penyakit jantung sebanyak 22%. Pendek kata, kolesterol LDL mempunyai hubungan sebab dan akibat dengan penyakit saluran darah.(3)

BENARKAH HANYA KERADANGAN DAN BUKAN KOLESTEROL YANG MENYEBABKAN PENYUMBATAN SALURAN DARAH ?

Pengamal perubatan yang keliru mendakwa bukan kolesterol yang menyebabkan penyumbatan saluran darah tetapi keradangan ("inflammation"). 

Kita menjawab, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada penyumbatan saluran darah, selain daripada keradangan, kandungan kolesterol darah jenis LDL-C adalah prasyarat untuk membentuk plag ataupun sumbatan. 

Buktinya, semua kajian patologi ke atas sampel plag di dalam saluran darah menemui kolesterol LDL di dalamnya.

Apabila kolesterol darah LDL tinggi dan berlaku keradangan pada dinding salur darah, baru kolesterol akan mendap dan membentuk plag. Jadi kedua2 faktor ini perlu ujud. Jika salah satu sahaja yang ujud, maka plag tidak akan terbentuk. 

Bayangkan plag itu umpama batu bata yang disemenkan ke lantai, di mana LDL-C adalah batu bata dan keradangan itu adalah semen pengikat. Tanpa semen pengikat, batu bata tidak boleh melekat antara satu sama lain, ia akan melonggok sahaja di situ. Tanpa kolesterol, keradangan sahaja tidak akan membentuk plag di dalam saluran darah. 

Kajian menunjukkan bahawa memberi ubat anti-keradangan sahaja tidak sebaik menggabungkan ubat itu dengan ubat yang dapat mengurangkan kandungan kolesterol darah untuk mencegah atau mengurangkan penyumbatan saluran darah.

Dalam kajian dinamakan CANTOS Trial, apabila ubat anti-keradangan digabungkan dengan ubat kolesterol serangan sakit jantung dapat dikurangkan sebanyak 30-50%, berbanding dengan ubat anti-keradangan sahaja yang hanya mengurangkan risiko sebanyak 15%. Nampaknya faktor kolesterol lebih penting.(4)

Apabila kolesterol LDL-C terlalu tinggi, tanpa keradangan ataupun keradangan yang sedikit pun boleh menyebabkan pembentukan plag dan serangan sakit jantung. Buktinya, lihat pesakit yang mengalami Familial Hypercholesterolaemia, di mana mereka mengalami serangan jantung pada usia yang sangat muda, ketika keradangan masih sedikit ataupun belum ujud. 

Tahukah anda ubat statin yang digunakan oleh pesakit mengandungi kedua2 ciri mengurangkan kandungan kolesterol LDL-C di dalam darah dan juga mengurangkan keradangan (anti-keradangan).

BETUL KE SEMUA ORANG TIDAK MEMERLUKAN UBAT KOLESTEROL/STATIN

Semua individu yang mengalami kolesterol darah yang tinggi perlu menjaga diet, pengendalian stres dan mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengurangkan kolesterol darah dan keradangan, seterusnya mencegah penyakit saluran darah. Tetapi, tidak semua mampu ataupun sesuai untuk dirawat dengan hanya pendekatan diet dan gaya hidup sahaja. Melalui kajian2 yang besar, terdapat golongan tertentu, di samping diet, mereka perlu dirawat dengan ubat untuk mengurangkan kolesterol. 

Terdapat kaedah penilaian risiko dan kriteria2 ketat digunakan oleh doktor untuk menentukan samada seseorang itu perlu mengambil ubat kolesterol statin ataupun tidak. Melalui penilaian risiko menggunakan Global CVS Risk Assessment, risiko seseorang untuk mengalami penyakit saluran darah jantung dan sasaran tahap kolesterol LDL-C ditentukan. Melalui skor yang diperolehi, doktor akan mengesyorkan kaedah2 yang paling berkesan untuk mengurangkan risiko termasuk penggunaan ubat kolesterol contohnya statin. Kajian2 besar telah membuktikan bahawa individu2 yang disyorkan pendekatan ini mempunyai risiko serangan penyakit salur darah yang lebih rendah dan jangkahayat yang lebih panjang. 

Justeru, anda perlu bertemu dengan doktor ataupun pakar perubatan yang berkelayakan untuk mengetahui status dan risiko anda serta rawatan yang terbaik. Bukan bertemu dengan doktor syok sendiri, yang kemudiannya mengesyorkan kaedah dan suplemen yang meragukan. Mendakwa semua orang tidak perlu ambil ubat kolesterol adalah tidak betul dan mengelirukan. Kepada yang membuat dakwaan ini, kita ingin bertanya, dari mana anda dapat maklumat ini dan siapa yang anda rujuk? Adakah dari doktor tik tok ataupun pengamal perubatan fungsional yang kurang berfungsi ?

BUKTI UBAT KOLESTEROL STATIN MENGURANGKAN RISIKO PENYAKIT SALURAN DARAH

Tidak seperti pakar2 segera medsos yang menyebarkan salah faham dan kekeliruan tanpa bukti, kita berhujah dengan fakta dan bukti kajian klinikal yang kukuh. 

Kepada golongan yang memenuhi kriteria untuk mengambil ubat kolesterol ataupun statin, banyak kajian telah dilakukan dan menunjukkan keputusan yang konsisten. Berikut adalah 4 kajian landmark membuktikan keberkesanan statin: 

1. 4S (Scandinavian Simvastatin Survival Study, 1994) 

Melibatkan lebih 4000 pesakit jantung koronari dan mempunyai tahap LDL darah yang tinggi. Hasil kajian ini menunjukkan Statin menurunkan kadar serangan jantung sebanyak 35% dan kadar kematian berkurangan sebanyak 30% (5).

2. HPS (Heart Protection Study, 2002)

Bilangan peserta kajian lebih 20,000 orang berisiko tinggi di rawat dengan Simvastatin. Hasil kajian menunjukkan statin mengurangkan kejadian serangan jantung major sebanyak 25%.(6)

3. JUPITER Trial (2008)

Peserta kajian mempunyai kandungan LDL yang normal tetapi petunjuk keradangan ("inflammatory markers") C-reactive protein yang tinggi. Rosuvastatin menurunkan kadar serangan jantung sebanyak 44% dan kadar kematian keseluruhannya 20%. Kajian ini membuktikan bahawa statin juga mempunyai ciri-ciri anti-keradangan. (7)

4. PROVE-IT TIMI 22 (2004)

Kajian ini dilakukan ke atas pesakit sindom koronari dengan membahagikan kumpulan yang menerima dos statin standard dengan dos yang lebih tinggi. Dos statin yang lebih tinggi memberi lebih manfaat. Salah satu mesej penting hasil kajian ini  adalah lagi rendah kandungan LDL-C yakni lebih agresif penurunan tahap LDL-C, lebih besar manfaat. (8)

Ubat statin mengurangkan risiko penyakit jantung koronari sebanyak 76% terhadap individu yang mengalami Familial Hypercholesterolaemia. (9).

BENARKAH STATIN TU BAHAYA

Apa2 jenis ubat sekalipun pasti ada kesan sampingan tetapi jika diambil dalam dos yang betul, indikasi yang betul dan dipantau dengan baik, kesan sampingan serius sangat jarang berlaku. Tidak ada bukti pengambilan statin dalam jangka masa panjang dan dipantau, menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang. Berdasarkan kajian klinikal dan pengalaman klinikal yang melibatkan berjuta-juta pesakit selama beberapa dekad,  di samping selamat, statin terbukti sangat berkesan untuk mengurangkan risiko serangan jantung dan strok. Kepada pengguna2 yang disyorkan, berdasar kepada kriteria yang ditetapkan, manfaat mengambil ubat statin lebih besar dari mudarat. 

Salah satu kelebihan ubat2 yang sudah menjalani kajian klinikal adalah kita tahu jenis2 kesan sampingan dan bagaimana menanganinya. Jadi kajian klinikal mengiktiraf ubat2 ini dari sudut keberkesanan dan keselamatan. Sebaliknya, mengambil suplemen, herba dan produk2 kesihatan "overclaim" sepatutnya lebih membimbangkan kerana ia belum terbukti berkesan dan selamat, kita tidak tahu apa sebenar kandungan produk2 ini, jadi apa sahaja kesan sampingan boleh berlaku. Perkataan "produk semulajadi yang selamat" itu hanya gimik pemasaran. Tidak hairan mengapa banyak kes2 campur-palsu dikesan walau pun produk itu sudah diluluskan oleh KKM. Jadi beraleh daripada ubat yang sudah diiktiraf dan diketahui kandungannya kepada suplemen ataupun produk yang meragukan adalah tindakan yang tidak bijak.

KESIMPULAN

Tahap kolesterol darah yang tinggi khususnya LDL-C terbukti meningkatkan risiko penyakit jantung dan angin ahmar. Adalah tidak benar mengatakan hanya keradangan punca penyumbatan saluran darah. Plag saluran darah terbentuk melalui interaksi kedua2 faktor iaitu kolesterol LDL-C yang tinggi dan keradangan. Jadi tahap kolesterol perlu dikawal untuk mengurangkan risiko serangan jantung dan angin ahmar. Tidak semua orang perlu mengambil ubat statin, tetapi yang memenuhi kriteria, ubat statin akan bermanfaat untuk mereka. Ubat statin telah dibuktikan berkesan melalui banyak kajian klinikal untuk menurunkan kolesterol LDL, mengurangkan keradangan, dan secara signifikan menurunkan risiko serangan jantung dan kematian. Dakwaan bahawa semua kolesterol adalah baik dan statin tidak diperlukan adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan. Penilaian perubatan yang berasaskan bukti dan dilakukan oleh pengamal perubatan beretika penting bagi menentukan sama ada seseorang perlu mengambil ubat statin ataupun tidak.


Dato' Dr.Rushdan Noor

4hb Jun 2025


RUJUKAN

1. Dawber, T. R., Meadors, G. F., & Moore, F. E. Jr.  Epidemiological approaches to heart disease: the Framingham Study. American Journal of Public Health and the Nation's Health, 41(3), 279–281

2. Yusuf, S., Hawken, S., Ôunpuu, S., et al. Effect of potentially modifiable risk factors associated with myocardial infarction in 52 countries (the INTERHEART study): case-control study. The Lancet, 364(9438), 937–952.

3. Cholesterol Treatment Trialists’ (CTT) Collaboration.

Efficacy and safety of more intensive lowering of LDL cholesterol: a meta-analysis of data from 170,000 participants in 26 randomised trials.Lancet, 2010, 376(9753), 1670–1681.

4. Ridker, P. M., Everett, B. M., Thuren, T., et al. CANTOS Trial Group. Antiinflammatory Therapy with Canakinumab for Atherosclerotic Disease.New England Journal of Medicine, 2017, 377(12), 1119–1131.

5. Scandinavian Simvastatin Survival Study Group. (1994). Randomised trial of cholesterol lowering in 4444 patients with coronary heart disease: the Scandinavian Simvastatin Survival Study (4S). The Lancet, 344(8934), 1383–1389

6. Heart Protection Study Collaborative Group. (2002). MRC/BHF Heart Protection Study of cholesterol lowering with simvastatin in 20,536 high-risk individuals: a randomised placebo-controlled trial. The Lancet, 360(9326), 7–22.

7. Ridker, P. M., Danielson, E., Fonseca, F. A. H., et al.  JUPITER Study Group. (2008). Rosuvastatin to prevent vascular events in men and women with elevated C-reactive protein. New England Journal of Medicine, 359(21), 2195–2207

8. Cannon, C. P., Braunwald, E., McCabe,  et al. Intensive versus moderate lipid lowering with statins after acute coronary syndromes. New England Journal of Medicine, 2004, 350(15), 1495–1504

9. Versmissen, J., Oosterveer, D. M., Yazdanpanah, M., et al. Efficacy of statins in familial hypercholesterolaemia: a long term cohort study.BMJ, 2008,337, a2423.