Friday, 25 October 2019

BAGAIMANA AHLI SAINS MENEMUI KAEDAH MENYEKAT GULA MASUK KE DALAM SEL KANSER




Seperti juga sel-sel yang normal, sel kanser memerlukan gula untuk hidup. Jadi jika gula dikurangkan di bawah tahap minima, sel boleh mati. Maka ada segolongan orang yang berfikir cara mudah dan berpendapat sel kanser boleh dimatikan dengan mengurangkan pengambilan gula/karbohidrat di dalam diet. Persoalannya, kalau kurangkan gula, bagaimana pula dengan sel-sel yang normal. Akibat mengambil cara mudah untuk berfikir, maka mereka pun wujudkan idea sendiri untuk kononnya membunuh sel kanser melalui pelbagai jenis diet. Banyak jenis diet yang mereka cipta kononnya untuk membuat sel kanser kebuluran. Disebabkan kefahaman yang salah dan kaedah berfikir yang mudah, maka tentulah kaedah ini tidak berkesan membunuh sel kanser. Satu perkara lagi, gula tetap akan dihasilkan oleh badan jika tidak diambil melalui diet kerana badan manusia boleh menghasilkan gula oleh hati yang menukarkan protein kepada gula.

Memang benar, sel kanser dapat dimatikan jika kita mampu menghalang gula daripada masuk ke dalam sel tetapi bukan dengan cara diet kerana jika kandungan karbohidrat (sumber gula) terlalu rendah di dalam diet, ia akan memberi kesan kepada seluruh badan. Akan sampai satu tahap di mana tubuh pun tak mampu menghasilkan gula sedangkan organ seperti saraf dan otak memerlukan gula untuk berfungsi. Penghasilan keton akan meningkat akibat pemecahan lemak sebagai sumber tenaga yang baru dan ini boleh memudaratkan banyak system badan. Pendek kata menggunakan diet untuk mengurangkan gula/karbohidrat secara keterlaluan untuk membunuh sel kanser sama seperti menyembur racun rumput ke atas ladang sayur, akhirnya bukan sahaja rumput akan mati, sayur pun ikut sama. Jika rumput dan sayur tidak mati maksudnya racun tidak cukup, tentu sayur yang terkena racun akan mengalami kerosakan.  Hakikat yang lebih sering kita temui adalah diet2 yang dicipta oleh golongan pengamal pseudosains ini sebenarnya tidak memberi kesan yang bermakna kepada sel kanser sebaliknya kesihatan badan pengamalnya yang terancam. Jika pengamal diet ini mengaku tidak ada kesan sampingan, maka begitulah juga sel-sel kanser yang ada di dalam tubuh badan mereka. Lambat laun, sel-sel kanser itu akan dapat menguasai tubuh badan mereka. Tidak hairan mengapa setakat ini belum terdapat bukti kukuh amalan diet2 ini dapat merawat penyakit kanser dengan berkesan.

Kaedah yang berkesan mematikan sel kanser adalah dengan menghalang kemasukan glukos ke dalam sel kanser tanpa memberi kesan yang sama ke atas sel-sel yang normal. Ini hanya dapat dilakukan pada peringkat molekul/zarah. Ahli sains telah mendapati terdapat protein yang mengangkut gula pada dinding sel kanser yang dikenali sebagai GLUT 1 dan GLUT 3 (lihat rajah). Ahli Sains di German telah menemui satu molekul yang dinamakan GLUTOR. Glutor dapat menghalang kemasukan gula ke dalam sel dengan menyumbat saluran gula pada GLUT 1 dan GLUT 3 (lihat rajah). Apabila gula tidak dapat masuk ke dalam sel kanser, maka sel kanser boleh mati. Sel kanser juga bergantung kepada satu lagi nutrient untuk hidup iaitu asid amino Glutamine di mana dengan menghalang kemasukan gula sahaja belum cukup berkesan mematikan sel kanser jika sel kanser masih mempunyai Glutamine. Ahli sains juga berjaya menghasilkan perencat enzim Glutaminase yang memetabolismakan Glutamine dan perencat enzim ini dikenali sebagai CB-839. Maka apabila digabungkan Glutor dan CB-839, mereka dapati kesan mematikan sel kanser lebih berkesan. Apa yang menarik Glutor tidak berkesan menyekat kemasukan gula di dalam sel-sel yang normal jadi sel-sel normal terselamat. Walau bagaimanapun kajian ini dilakukan di dalam makmal ke atas lapisan sel kanser (“cancer cell line”) dan didapati hanya berkesan ke atas 44 jenis sel kanser (terdapat hampir 150 jenis kanser dihidapi oleh manusia). Kajian ini masih lagi terlalu awal dan kajian lanjut perlu dilakukan ke atas haiwan sebelum kajian klinikal ke atas manusia. Jadi hingga ke hari ini belum ada lagi di pasaran ubat antikanser yang menyekat kemasukan gula ke dalam sel kanser.

Rencana ini ditulis supaya orang ramai faham bagaimana ahli sains mengkaji kaedah mematikan sel kanser berdasarkan kepada kefahaman yang mendalam tentang fungsi-fungsi sel hingga ke peringkat molekul yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Kaedah rawatan juga menggunakan molekul yang khusus untuk tujuan mematikan sel kanser tanpa menjejaskan sel yang normal. Inipun masih dianggap terlalu awal dan penemuan ubat antikanser melalui kaedah menyekat kemasukan glukos ini sebenarnya masih lagi jauh. Di samping itu tidak semua jenis kanser berkesan dengan kaedah ini. Menggunakan diet tertentu ataupun makanan2 tertentu kononnya untuk mematikan sel kanser adalah cara berfikir mudah umpama mengaitkan angin dan urat dengan bermacam jenis penyakit, sedangkan fungsi tubuh badan manusia tersangat kompleks. Hanya ahli sains dan pakar perubatan yang layak sahaja mampu memahami ilmu ini, jadi biarlah pakar di dalam bidangnya yang mengkaji dan memberi pendapat tentang rawatan kanser. Semoga anda tidak tersalah pilih sumber rujukan dan terperangkap ke dalam tipu daya yang memudaratkan diri sendiri. 

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

Elena S. Reckzeh et al. "Inhibition of Glucose Transporters and Glutaminase Synergistically Impairs Tumor Cell Growth." Cell Chemical Biology 26 (9) 1214-1228.E25. Published: 19-Sept-2019. doi: 10.1016/j.chembiol.2019.06.005

William P. Katt et al. "Starving the Devourer: Cutting Cancer Off from Its Favorite Foods." Cell Chemical Biology 26 (9): 1197-1199. Published: 9-Sept-2019. doi: 10.1016/j.chembiol.2019.09.005


ROKOK DAN VAPE: BELAJARLAH DARI SEJARAH


Selalu orang berkata sejarah tidak boleh diabaikan dan tanpa sejarah tiadalah hari ini dan masa depan. Sejarah dapat mengajar manusia agar sentiasa berada pada landasan yang benar dan berusaha untuk tidak melakukan kesilapan yang sama seperti yang telah berlaku pada masa silam.

Sejarah rokok bermula 520 tahun dahulu, manakala vape dan e-rokok diperkenalkan/dikomersialkan 17 tahun yang lalu. Perhatikan perbezaan masa kedua2nya. Rokok asalnya dianggap ubat untuk merawat penyakit, melegakan tekak, sakit kepala, cirit dan lain-lain. Malahan sebelum 1950 an, terdapat doktor yang terlibat dengan perniagaan rokok dan menjadi model iklan rokok.
Kajian tentang kemudaratan rokok bermula selepas 390 tahun kemudian (pada tahun 1890) dan 430 tahun kemudian (tahun 1930) baru rokok dikaitkan dengan kanser. Ahli2 sains meningkatkan bilangan kajian tetapi mendapat maklumbalas yang berbeza, pada ketika itu ada yang belum yakin kaitan terus antara rokok dan penyakit salur darah, paru2 dan kanser. Hanya sekitar tahun 1950-60 an (selepas 450 tahun rokok diperkenalkan) barulah kesan mudarat rokok ke atas kesihatan diterima sepenuhnya oleh ahli2 sains dan di war2kan dalam media untuk dimaklumkan kepada masyarakat. Lebih kurang 50 tahun yang lalu barulah Royal College of Physician, UK mengeluarkan kenyataan keras tentang bahaya rokok dan syarat melabel kemudaratan ini pada produk rokok. Kini merokok telah membunuh 3 juta orang manusia setiap tahun dan dijangka meningkat kepada 10 juta orang pada tahun 2030. Belum lagi mengambilkira kesan kecacatan, ketidakupayaan, masalah sosial dan kewangan yang diakibatkan olehnya.

Dengan perkembangan teknologi mengesan penyakit pada hari ini, semakin banyak kemudaratan lain rokok ditemui hingga kepada kesan ke atas perokok pasif, otak, sistem pembiakan dan juga kesan ke atas anak di dalam kandungan. Kita yakin lebih banyak kesan mudarat rokok ke atas kesihatan akan ditemui apabila teknologi perubatan lebih canggih. Akibat merokok juga manusia mula menghisap ganja, kokain dan heroin, tabiat yang wujud kemudiannya.

Sejarah vape dan e-rokok baru memasuki 17 tahun walaupun ada yang berkata ianya bermula pada tahun 1965 tetapi tidak dikomersialkan sehingga tahun 2003. Namun sejarahnya terlalu pendek untuk dibandingkan dengan rokok, maka bagaimana pendokong2 vape boleh begitu yakin mengatakan vape jauh lebih selamat daripada rokok sedangkan kajian2 ke atasnya masih boleh dianggap terlalu awal. Itupun kita sudah saksikan satu persatu kesan buruk Vape ditemui dari masa ke semasa dan ada diantaranya lebih berat dan lebih cepat daripada kesan merokok. Di samping itu, keburukan vape bukan sahaja perlu dinilai daripada aspek fizikal, tetapi juga kesan ke atas kesihatan mental, kesan sosial dan ekonomi masyarakat.

Jika sesuatu yang berkesan tidak dilakukan sekarang, vape akan meninggalkan sejarah yang sama ataupun jauh lebih buruk dari yang dibawa oleh rokok. Bersama2lah kita membantu menyokong usaha mengekang tabiat merokok dan vape demi untuk kebaikan generasi sekarang dan akan datang.

Dato' Dr Rushdan Noor
22hb Okt 2019








Tuesday, 15 October 2019

TEORI KONSPIRASI : LEBIH AUTA DARI FAKTA



Konspirasi bermaksud perancangan rahsia ataupun persetujuan di antara seseorang ataupun kumpulan untuk tujuan memudaratkan orang lain ataupun kumpulan lain melalui kaedah yang selalunya bertentangan dengan undang-undang. Rahsia ini disimpan di dalam pengetahuan individu ataupun kumpulan yang terlibat itu sahaja. Manakala teori pula adalah satu maklumat ataupun kesimpulan yang belum disahkan benar, walaupun ianya lojik.

Maksud teori konspirasi adalah penerangan mengenai sebab berlakunya sesuatu perkara melalui penjelasan yang berbeza daripada yang apa yang dipegang/dilakukan oleh pihak yang terlibat. Penjelasan ini tertumpu kepada satu plot ataupun rancangan jahat yang tersembunyi tanpa bukti yang kukuh. Kebanyakan teori konspirasi ini mempunyai bukti yang lemah jika dibandingkan  bukti yang dibawa oleh pihak yang benar. Maka teori konspirasi ini bolehlah disamakan statusnya dengan gossip atau khabar angin. 

Kebanyakan teori konspirasi ini bermula daripada pendapat peribadi seseorang yang asalnya tersimpan di dalam mindanya, kemudian dicetuskan kepada orang ramai sehingga ianya tersebar luas. Pendek kata teori konspirasi bukan berasaskan kepada bukti yang kukuh tetapi lebih kepada kepercayaan ataupun persepsi. Kebanyakan teori konspirasi diwujudkan untuk menjatuhkan pihak lain terutama untuk tujuan politik ataupun untuk tujuan lain seperti pengaruh, kuasa, kewangan dan juga populariti.Orang yang menyebarkan teori konspirasi ini menggunakan lojik dan orang yang mendengar tidak dapat menafikan lojik tersebut melainkan yang mendengar itu adalah pakar di dalam bidang yang berkenaan.




Individu yang memulakan teori konspirasi ini mungkin mempunyai tujuan menjatuhkan pihak lain ataupun ianya wujud akibat daripada tanggapan/prasangka peribadi. Tanggapan peribadi yang berbentuk prasangka ini boleh disebabkan oleh masalah personality seseorang di mana orang tersebut mempunyai masalah paranoia ataupun buruk sangka akibat daripada perasaan benci yang keterlaluan. Ia juga boleh merupakan manifestasi masalah psikologi dinamakan “psychological projection” iaitu mekanisma mempertahan dan menutup kelemahan diri sendiri dengan memprojeksi sesuatu perasaan dan emosi tidak baik kepada orang lain ataupun pihak lain. Menyalahkan orang lain dan bukan mencari jalan untuk membantu diri sendiri, sedangkan yang mengalami konflik adalah dirinya sendiri. 

Teori konspirasi boleh bersifat setempat ataupun antarabangsa melibatkan banyak pihak. Ia juga boleh melibatkan hanya satu kejadian ataupun banyak kejadian yang bersangkutan sehingga ia boleh melibatkan masa yang panjang dalam sejarah. Individu yang mencipta teori konspirasi (conspiracy theorist) ini beranggapan mereka adalah seorang yang istimewa dan mendapat kelebihan mengetahui lebih banyak perkara berbanding daripada orang lain. 

Ada juga individu yang hanya menjadi pengikut kepada "conspiracy theorist" (individu yang mencipta teori konspirasi) dan membantu menyebarkan konspirasi tersebut. Teori konspirasi boleh berpotensi menghuru-harakan dunia jika teori itu menggalakkan keganasan. Teori konspirasi juga menyebabkan penyebaran maklumat palsu berbentuk keburukan tentang sesuatu yang sepatutnya memanfaatkan manusia. Contoh terbaik adalah kes pembunuhan beramai-ramai di New Zealand akibat kepercayaan terhadap “white genocide theory”, begitu juga trajedi di El Paso membunuh 22 orang pendatang Mexico, di mana orang yang terlibat (Patrict Crucius) telah diyakinkan dengan idea bahawa orang berkulit putih bakal dihapuskan di dunia oleh pendatang. Teori konspirasi juga mengujudkan kumpulan antivaksin dan antiperubatan moden. 

Teori konspirasi seringkali digunakan oleh ahli politik, contohnya Presiden Amerika Donald Trump menggunakan teori konspirasi untuk membina pengaruh politiknya, di antara salah satu teori konspirasinya adalah Barack Obama tidak dilahirkan di Amerika dan yang terbaru adalah dakwaan kematian Jeffrey Epstein yang mati membunuh diri dikaitkan dengan bekas presiden Bill Clinton. Dengan pengikut akaun twitter beliau berjumlah lebih 60 juta orang, beliau boleh menyebarkan teori konspirasi dengan berkesan.

Di antara kejadian dan perkara yang menjadi tumpuan utama teori konspirasi adalah yang melibatkan kematian orang yang terkenal, aktiviti kerajaan, politik, teknologi baru, terorisma, perubatan dan juga kehidupan makhluk asing. Ada juga yang berkaitan dengan agama sehingga maklumat daripada teks agama digunakan untuk menjustifikasikan dan mereka-reka teori konspirasi. Di antara contoh2 teori konspirasi yang kekal hidup hingga sekarang adalah kes pembunuhan John F Kennedy, pendaratan roket Apollo 1969 di atas bulan dan kejadian serangan pengganas 9/11. Walaupun dunia sudah diberikan bukti yang kukuh tentang kejadian-kejadian di atas, namun masih berlegar bermacam teori konspirasi seperti kononnya pendaratan Apollo ke bulan adalah palsu dan komplot dalaman Amerika yang meruntuhkan bangunan world trade centre (9/11), bukan akibat hentaman kapalterbang yang dirancang oleh pengganas.  Teori konspirasi juga menyebabkan wujudnya golongan bumi leper dan antivaksin. Terdapat juga golongan pengamal perubatan alternatif yang menggunakan teori konspirasi untuk menjatuhkan reputasi Perubatan moden dengan mengaitkan ubat-ubatan moden dengan agenda Syarikat Farma besar di dunia.

Disebabkan oleh perkembangan teknologi maklumat dan media sosial yang pesat, sebarang teori konspirasi sangat mudah disebarkan dan cepat mempengaruhi orang ramai. Ia mampu mempengaruhi bukan sahaja orang biasa tetapi juga selebriti, ahli politik dan ada juga ahli2 akademi serta agamawan. Dengan penglibatan selebriti, ahli politik dan individu yang berpengaruh di dalam penyebaran teori konspirasi ini, ia telah menarik ramai pengikut dan menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai. Majoriti teori konspirasi adalah palsu dan tidak mempunyai bukti yang kukuh. Walau bagaimanapun berlaku juga keadaan di mana sesuatu dakwaan yang asalnya dianggap teori konspirasi kemudiannya dibuktikan benar. Tetapi keadaan ini sangat jarang berlaku.Salah satu daripada teori konspirasi yang kemudiannya didapati benar adalah skandal Watergate. Walau bagaimanapun ada yang beranggapan skandal Watergate tidak sepatutnya dikategorikan sebagai teori konspirasi sebaliknya merujuk kepada “investigative journalism” atau “historical analysis”. Beberapa lagi teori konspirasi yang didapati benar adalah berita FDI mengintip pergerakan penyanyi Beatle iaitu John Lennon dan syarikat rokok menyembunyikan bukti merokok dengan kanser paru-paru selama berpuluh-puluh tahun sebelum diketahui ramai 1990an. Apabila sesuatu teori konspirasi itu didapati benar kemudiannya, ia tidak lagi dianggap satu teori,sebaliknya satu konspirasi yang tulin.

Teori konspirasi berkembang disebabkan terlalu banyak maklumat yang berlegar dalam kalangan ramai manusia dengan kebebasan manusia untuk memberi pendapat tanpa batasan tidak kira latarbelakang. Ahli Sosiologi berpendapat individu yang mencetuskan teori konspirasi ini mendapat kepuasan daripada tindakannya dengan kaedah meletakkan kesalahan kepada pihak lain dan menampakkan dirinya  seolah-olah seorang yang perihatin dan sedang melakukan tanggungjawab sosial. 

Seorang ahli Fizik telah membuat perkiraan tentang apakah jarakmasa untuk menyebarkan teori konspirasi kepada orang ramai sebelum ianya berkesan, contohnya teori konspirasi vaksin memerlukan pendedahan kepada 22,000 orang selama 3 tahun. Pendek kata kejayaan mempengaruhi orang ramai bukan terletak kepada kebenaran dan kekuatan bukti tetapi kepada berapa ramai orang dan berapa lama masa penyebaran maklumat yang palsu tersebut disebarkan .

Setakat ini senarai teori konspirasi yang diwujudkan oleh individu dan kumpulan tertentu sangat panjang dan anda boleh klik pada pautan berikut (senarai teori konspirasi) untuk membaca sebahagian daripadanya. Malahan di Malaysia sendiri terdapat banyak teori konspirasi yang disebarkan oleh individu dan golongan tertentu berkaitan dengan kejadian yang berlaku seperti kejadian MH370 dan MH17. Contohnya mengenai kehilangan MH370, terdapat banyak teori dan salah satu daripadanya adalah ianya disorok di tempat tertentu dan kemudian keluar sebagai MH17 yang kemudiannya ditembak jatuh untuk tujuan politik. Teori konspirasi boleh melibatkan perkara kecil hinggalah sebesar-besarnya dalam pelbagai bidang seperti Politik, Perniagaan, Ekonomi, Perubatan, Sains teknologi, Sukan, Makhluk asing dan lain-lain lagi. 

Kepada orang awam, anda perlu berhati-hati dan sedar tentang kewujudan teori konspirasi dan individu-individu yang menjadi pencetus teori konspirasi. Ada di antara mereka mengambil kesempatan di atas populariti diri sendiri untuk menyebarkan maklumat yang salah tentang sesuatu perkara demi untuk kepentingan diri sendiri. Kaedah yang berkesan untuk mencegah daripada terpengaruh daripada mempercayai teori-teori konspirasi ini adalah dengan menanam sikap teliti semasa menapis sesuatu maklumat dan mengetahui latar belakang pemberi maklumat. Anda hendaklah tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang diberikan oleh orang yang bukan pakar di dalam bidang berkenaan. Contohnya jika bidang tersebut adalah Perubatan, maka yang layak menulis dan bercakap tentang Perubatan adalah pakar Perubatan, begitu juga bidang lain seperti agama, politik, undang-undang, sains dan lain-lain. Tidak ada manusia yang pakar di dalam semua bidang, sedangkan Albert Einstein yang mempunyai IQ 160 mempunyai kepakaran hanya di dalam bidang fizik dan bukan di dalam lain-lain bidang. Jika terdapat tulisan ataupun video yang mendakwa sesuatu perkara, selidiki dahulu maklumat tersebut dengan menyemak siapakah yang menyebarkannya dan apakah latarbelakang mereka. Jika anda tidak pasti siapa yang menyebarkannya , adalah lebih baik jangan dikongsikan maklumat tersebut dengan orang lain. Jika tidak anda berkemungkinan menjadi salah seorang penyebar teori konspirasi dan satu hari nanti anda boleh menjadi pentaksub dan pencetus teori konspirasi baru.


Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
16hb Oktober 2019




https://www.readersdigest.com.au/true-stories-lifestyle/12-crazy-conspiracy-theories-actually-turned-out-be-true?



Friday, 11 October 2019

MENGAPA MASIH RAMAI YANG PERCAYA BUMI ITU LEPER




Walaupun kepercayaan bumi berbentuk leper telah dibuktikan SALAH atau KARUT oleh Ahli-Ahli Sains Fizik dan Astronomi,namun komuniti bumi leper ini semakin berkembang termasuk di negara maju seperti Amerika. Jangan terkejut jika di antara individu2 yang mendokong ideologi bumi leper ini termasuk dalam kalangan selibriti dan tokoh2 masyarakat yang ada pengaruh. Saya ada membaca satu rencana yang menulis mengapa kepercayaan bumi leper ini terus hidup dan berkembang. Saya percaya mungkin 10-15% daripada sahabat2 facebook saya masih ragu bahawa bumi ini berbentuk sfera atau lebih tepatnya "oblate spheroid" ataupun mereka sudahpun merupakan ahli komuniti bumi leper.

Seperti yang saya tulis di dalam posting yang lalu bahawa apabila tersalah pilih guru, tersalah masuk kumpulan dan taksub kepada kepercayaan yang ditanam di dalam kumpulan itu, maka apa sahaja jenis maklumat yang disampaikan akan dipegang oleh ahli kumpulan tersebut. Media sosial terutama youtube dan facebook memainkan peranan yang sangat besar di dalam mengembangkan kepercayaan bumi leper ini. Mereka boleh wujudkan filem dokumentari mereka sendiri dan banyak siri bual bicara/tv show dan sesi "ilmiah" yang dikendalikan oleh "guru2" mereka disiarkan sehingga pengikut merasa kagum dan terpengaruh. Mereka juga mempunyai pertubuhan antarabangsa, buletin dan majalah bumi leper yang diterbitkan.

Walaupun kepercayaan bahawa bumi leper ini tidak memudaratkan, tetapi berkembangnya kepercayaan ini menjadi petunjuk semakin tergugatnya kewibawaan komuniti ahli2 sains moden yang membawa ilmu yang lebih tepat berdasarkan bukti saintifik yang objektif. Ia juga petujuk kepada kurangnya kepercayaan terhadap sistem pendidikan dan badan2 kerajaan. Hari ini yang menjadi penentu sesuatu kebenaran nampaknya bukan lagi bukti yang kukuh tetapi bagaimana sesuatu kepercayaan itu dapat disebarkan secara berkesan melalui media masa dan media sosial untuk mempengaruhi orang ramai. Ianya seperti satu bentuk peperangan siber di mana yang menang tidak semestinya benar dan yang kalah tidak semestinya palsu.

Bagi komuniti bumi leper yang saban hari mendapat maklumat dari rakan2 mereka serta media sosial tajaan guru2 mereka, mereka melihat komuniti bumi sfera dan ahli2 sains moden sama seperti mana pengikut2 ahli sains moden melihat mereka. Maksudnya mereka yakin penuh dengan kepercayaan bumi leper sebagaimana ahli kumpulan bumi sfera mempercayai bumi itu berbentuk sfera. Cuma perbezaan yang ketara adalah mereka tidak berjaya membuktikan pegangan mereka secara saintifik dan objektif berbanding dengan pihak yang satu lagi di mana sudah ada bukti yang sangat kukuh termasuk melihat sendiri bentuk bumi dari angkasa lepas. Komuniti bumi leper menggunakan hujah pseudosains dan teori konspirasi untuk mempertahankan kepercayaan mereka.Penerangan menggunakan teori konspirasi ini lebih meyakinkan pengikut2 mereka lebih2 lagi jika yang bercakap itu seorang yang berpengaruh dan yang mendengar itu pula tidak mempunyai asas ilmu yang kukuh.

Di antara teori konspirasi yang digunakan oleh pejuang bumi leper adalah penipuan pihak NASA di dalam menghasilkan imej bumi dengan menggunakan photoshop, menggunakan camera lensa lebar dan alat GPS dimanipulasikan sehingga juruterbang nampak seolah2 bumi itu sfera. Ada juga percaya pinggir bumi ini disempadani oleh bongkah ais setinggi 150 kaki dan dikawal oleh agen2 NASA agar ia tidak dirobohkan oleh manusia dan jatuh ke bawah. Bagi mereka graviti adalah ilusi dan tidak wujud, yang berlaku adalah bumi ini bergerak laju ke atas. Banyak lagi teori2 pseudosains dan konspirasi digunakan oleh mereka untuk meyakinkan ahli2 dan membenarkan apa yang mereka percaya.

Kepercayaan bumi leper ini adalah manifestasi pengaruh dan ketaksuban terhadap sesuatu kumpulan dibantu oleh media sosial dan internet yang menjadi platform bagi menyebarkan sesuatu kepercayaan dengan berkesan. Jika yang mempunyai asas pengetahuan sains pun boleh terperangkap apatah lagi orang biasa. Mereka yang taksub terhadap kepercayaan ini memang sukar untuk dipulihkan kerana kepercayaan ini seperti satu pegangan hidup. Jika dibawa mereka naik ke angkasa lepas dan melihat sendiri bentuk bumi pun belum tentu mampu untuk mengubah pendirian mereka. Kepercayaan ini hanya satu dari banyak lagi bentuk kepercayaan karut yang wujud di dunia ini, semuanya menggunakan modus operandi yang sama untuk menarik pengikut.

Orang ramai perlu menjauhkan diri daripada terperangkap di dalam gerakan bumi leper dan apa-apa sahaja jenis kepercayaan yang menyimpang dengan memilih guru yang betul dan meningkatkan pengetahuan dengan banyak membaca serta bertanya pakar-pakar yang layak. Untuk mengurangkan pengaruh golongan ini, senjata yang sama perlu digunakan oleh pendokong dan komuniti sains moden, iaitu melalui pengaruh yang lebih kuat di dalam media massa, internet dan media sosial bagi menyebarkan ilmu yang betul kepada orang ramai. Jangan diberikan promosi percuma kepada mereka kerana itulah senjata mereka untuk berkembang. Pengaruh media sosial tidak boleh dipandang ringan kerana ia mampu menukar kepalsuan menjadi sesuatu yang kelihatan benar. Pakar yang sebenar boleh dianggap penipu dan bodoh, manakala si jahil yang sesat boleh dianggap seorang pakar yang hebat. Tidak mustahil dunia akan diperintah dan dikuasai oleh orang2 yang sesat dan jahil.

Dato' Dr Rushdan Noor
12hb Oktober 2019

https://www.google.com/amp/s/pursuit.unimelb.edu.au/articles/why-do-some-people-believe-the-earth-is-flat.amp

https://www.google.com/amp/s/www.livescience.com/amp/24310-flat-earth-belief.html

Sunday, 15 September 2019

KAEDAH RAWATAN AIR DAN KUALITI AIR YANG SAMPAI KE RUMAH ANDA

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Kira-kira 97% daripada air di bumi adalah air masin, manakala hanya 3% sahaja merupakan air tawar. Air tawar digunakan oleh manusia untuk pelbagai kegunaan. Terdapat empat sumber air untuk kegunaan manusia iaitu air hujan, air larian di permukaan (sungai, parit, laut), air dalam tanah dan air dari proses perwapan. Di Semenanjung Malaysia, 50% dari sumber air datangnya dari air hujan daripada sejumlah 640 billion meter padu air yang dihasilkan di dalam satu tahun.
Daripada 3% air tawar yang terdapat di bumi, dua pertiga daripadanya adalah di dalam bentuk ais, manakala bakinya adalah air dalam tanah dan hanya sebahagian kecil sahaja air permukaan.Terdapat banyak kegunaan air dan di antaranya adalah untuk penggunaan di rumah, pertanian, perindustrian dan ada juga air digunakan untuk tujuan rekreasi. Hanya 1% sahaja air yang terdapat di bumi ini boleh diminum.

Terdapat dua jenis air yang boleh digunakan untuk minum iaitu air mentah dan air yang dirawat. Air mentah adalah air tawar yang terdapat secara semulajadi seperti air hujan, air sungai, air tasik dan air di dalam tanah. Manakala air yang dirawat adalah air yang diperolehi dari sumber air mentah tetapi menjalani rawatan tertentu untuk menjadikannya selamat digunakan oleh manusia samada untuk kegunaan di bilik air, ditandas, untuk tujuan memasak makanan ataupun untuk tujuan diminum.

AIR MENTAH

Air mentah merupakan sumber air yang paling besar digunakan oleh manusia untuk tujuan memenuhi keperluan hidup mereka terutamanya di negara-negara mundur dan membangun. Untuk tujuan minum, air mentah ini akan dididihkan bagi membunuh organisme yang terdapat di dalamnya. Air mentah juga digunakan di dalam industry pembinaan, penternakan dan juga untuk tujuan pembersihan. Komposisi air mentah berbeza-beza bergantung kepada sumber daripada mana ianya diperolehi. Di antara bahan-bahan yang terdapat di dalam air mentah adalah :
1.   Asid humik, iaitu asid komplek yang dihasilkan dari penguraian tumbuh-tumbuhan, asid ini menyebabkan air menjadi berwarna.
2.   Bahan mineral seperti karbonat, kalsium dan magnesium. Air yang mengandungi tinggi bahan-bahan mineral ini dikenali sebagai air keras (hard water), air keras boleh diminum tetapi kurang sesuai digunakan di dalam alat industry disebabkan oleh pemendapan kapur yang dihasilkan oleh mineral kalsium dan karbonat. Air mentah yang mengandungi kurang mineral pula dikenali sebagai “soft water”.
3.   Bahan dari tanah liat dan pasir
4.   Mikroorganisme seperti bakteria, virus dan protozoa
5.   Molekul oksigen yang terlarut
6.   Garam di dalam air mentah boleh diperolehi apabila berlaku pertemuan di antara air laut dan air sungai. Kandungan garamnya tidak sebanyak air laut.

AIR YANG DIRAWAT

Air yang dirawat adalah air yang telah menjalani proses pembersihan dari bahan-bahan pencemar untuk tujuan digunakan oleh manusia termasuk minum. Sumber air yang dirawat ini mungkin dari air mentah ataupun air yang telah digunakan oleh manusia. Air yang telah digunakan oleh manusia dikenali sebagai air sisa atau kumbahan. Di setengah negara seperti Singapura, air kumbahan dirawat dan dikitar semula supaya boleh digunakan untuk minum, melalui program yang dikenali sebagai NEWater. Di Malaysia, disebabkan oleh sumber air yang mencukupi, mungkin belum sampai ke tahap seperti di Singapura. Bahan-bahan yang dikeluarkan semasa proses rawatan ini adalah seperti bahan pepejal, bakteria, algae, virus, kulat, bahan-bahan mineral tertentu seperti besi dan manganese. Proses merawat air boleh dilakukan dengan pelbagai cara dan ianya terbahagi kepada kaedah mekanikal, kaedah fizikal, kaedah biological dan juga kaedah kimia.

PROSES RAWATAN AIR

Untuk tujuan penggunaan air di rumah, proses rawatan air ini dilakukan di loji rawatan air. Proses rawatan air ini terdiri dari beberapa peringkat:
1.   Penyaringan
Serpihan kayu, daun, tumbuhan akuatik dan bendasing yang terapung akan diasingkan melalui proses penyaringan. Selepas melalui proses penyaringan ini, bahan terampai yang lebih padat akan dibuang dengan membenarkan air mengalir melalui kebuk yang akan memendapkan bahan ini di dasar.
2.   Proses Pengudaraan
Air mentah yang dipam akan dicampurkan dengan udara di ruang pengudaraan. Proses ini menghasilkan oksigen dari atmosfera untuk melakukan pengoksidan ke atas besi dan manganese. Besi dan manganese yang asalnya larut di dalam air akan menjadi tidak larut akibat dari pengoksidan ini dan ianya akan dapat disingkirkan. Proses pengudaraan ini juga dapat membuang rasa dan bau air yang tidak menyenangkan.

3.   Proses koagulasi dan flokulasi
Koagulasi bermaksud pengetulan, manakala flokulasi pula bermaksud pengumpalan. Proses ini seringkali menggunakan tawas. Hasilnya adalah pembentukan kentalan (ekstrak) yang boleh mendap.

4.   Sedimentasi
Sedimentasi bermaksud pemendapan. Kentalan yang mendap tadi akan dibenarkan mengalir melalui tangki sedimentasi untuk  tempoh yang panjang supaya pemendapan berlaku dengan sempurna. Air yang jernih akan berkumpul di bahagian atas. Terdapat juga kentalan yang ringan dan tidak mendap sebaliknya terapung. Kentalan ini akan melalui proses yang berbeza iaitu menggunakan gelembung udara untuk mengapungkannya dan air di bahagian bawah menjadi jernih.

5.   Proses Penapisan
Proses ini akan memisahkan mendapan dari air bersih. Air yang bersih kemudiannya akan memasuki tangka air jernih. Penapis akan dicuci menggunakan kaedah backwash dengan kerap melalui kombinasi adunan udara dan air bagi memastikan kelancaran proses.

6.   Proses Disinfeksi dan Pelarasan pH
Air di dalam tangka jernih akan disinfeksi bagi menghapuskan mikroorganisma yang masih tertinggal di dalam air selepas proses penapisan. Klorin bergas ataupun kompoun klorin lazimnya digunakan untuk tujuan pembasmian kuman. Paras pH diselaraskan menggunakan kapur ataupun bikarbonat.

7.   Proses fluoridasi
Proses ini adalah mencampurkan air bersih dengan bahan kimia sodium fluoride untuk tujuan membekalkan air dengan kandungan fluorida. Fluorida adalah untuk membantu menjaga kebersihan gigi dan mencegah kaviti pada gigi kanak-kanak. Walaubagaimanapun, kandungan fluorida di dalam air perlu dipantau agar tidak melebihi paras yang telah ditetapkan oleh Drinking Water Quality Standard for Malaysia bagi mengelakkan risiko fluorosis dikalangan kanak-kanak. Paras kandungan fluorida yang dibenarkan di dalam air minum adalah 0.4 – 0.6 mg/l

8.   Tangki Air Jernih
Proses Disinfeksi dan penyelarasan pH merupakan proses terakhir hingga menghasilkan air yang dirawat. Air ini kemudiannya akan disimpan di dalam tangka air jernih bagi tujuan pengagihan.

9.   Pengagihan Air
Pengagihan air akan bermula dari tangka air jernih di loji rawatan air. Air dari tangki air jernih ini akan dipam melalui sistem saluran yang panjang bagi mengimbangi takungan dengan ketinggian yang mencukupi untuk tujuan pengagihan menggunakan tekanan gravity. Melalui kaedah ini, air akan disalurkan kepada tangka-tangki air pengguna. 


PEMANTAUAN AIR YANG DIRAWAT

Proses pemantauan air yang dirawat dilakukan di bawah Program Pemantauan Kualiti Air minum. Garispanduan pemantauan ini dikeluarkan oleh Unit Kawalan Mutu Air Minum Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Garispanduan ini berdasarkan kepada piawaian yang dikeluarkan oleh WHO dan merupakan standard kualiti air yang selamat diminum, dirumus melalui perbincangan ahli panel dari Jabatan kerjaraya, Jabatan Kimia dan Jabatan Alam Sekitar. Standard kualiti air (Drinking Water Quality Standard for Malaysia) untuk tujuan diminum telah ditetapkan dan ianya meliputi ujian pH, suhu, warna, kandungan bahan organik, organisma, logam, bahan kimia, racun serangga dan lain-lain. Untuk melihat jadual Piawaian ini sila ke laman web http://kmam.moh.gov.my/. Manakala kaedah dan kekerapan pemantauan boleh diketahui di laman web ini http://engineering.moh.gov.my/v4/page.php?i=8. Secara amnya ada 4 kumpulan pemantauan iaitu kumpulan 1 hingga 4. Contohnya kumpulan 1 adalah pemantauan parameter fizikal dan mikrobiologi yang dijalankan sekali setiap minggu di Basic Station dan setiap bulan di sistem agihan. Pemantauan untuk kumpulan 1 ini dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Kumpulan 2 adalah parameter kimia inorganic, Kumpulan 3 : Parameter logam berat dan kimia organic dan Kumpulan 4 parameter pestisid. Kumpulan 2-4 dipantau oleh Jabatan Kimia. Sampel air untuk mengukur bahan radioaktif juga dilakukan oleh Agensi Nuklear Malaysia.

KUALITI BEKALAN AIR PAIP

Air yang telah menjalani proses rawatan akan sampai ke dalam rumah pengguna melalui saluran paip. Ramai yang bertanya adakah air dari bekalan paip awam ini selamat untuk diminum tanpa perlu melalui proses rawatan tambahan seperti menggunakan alat penapis air. Berikut adalah petikan jawapan yang diberikan oleh Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, KKM:
Bekalan air awam telah melalui suatu proses rawatan yang ketat mengikut fasa-fasa rawatan yang ditetapkan hingga dapat mencapai piawaian yang dikehendaki. Fasa-fasa proses rawatan yang asas adalah bermula dengan rawatan Pengudaraan, Flokulasi dan Kogulasi, Pemendapan, Penapisan, Pembetulan pH (jika perlu), Flouridasi dan Pengklorinan. Proses rawatan tersebut terbukti dapat menyah-lupus semua unsur-unsur yang tidak dikehendaki pada air minum. Kawalan kualiti pula dijalankan pada peringkat akhir proses rawatan sebelum pengagihan bekalan air dilakukan manakala pemantauan secara rutin dan berkala dilaksanakan disepanjang rangkaian sistem bekalan air sebelum diterima oleh pengguna. Dengan itu bekalan air yang dibekalkan daripada bekalan paip air awam adalah selamat untuk diminum tanpa perlu melalui apa-apa proses selanjutnya”.

KLORIN DAN FLORIDA DI DALAM AIR YANG DIRAWAT
 
Klorin adalah bahan kimia yang sering digunakan untuk membunuh banyak mikroorganisma. Kandungan klorin di dalam air sentiasa dipantau supaya tidak melebihi had yang dibenarkan. Klorin sangat berkesan membunuh bakteria tetapi tidak berkesan membunuh protozoa. Klorin larut di dalam air dan membentuk asid hipoklorus yang akan dipecahkan pula kepada ion hipoklorit, kedua-dua kompoun ini akan membunuh mikroorganisma dan hasilnya, air akan bebas dari tercemar. Klorin pada kuantiti yang tinggi boleh bertindakbalas dengan kompoun organik semulajadi untuk menghasilkan bahan kimia yang boleh memudaratkan kesihatan iaitu trihalomethanes dan haloacetic acids. Kesan kedua-dua bahan kimia ini ke atas badan manusia khususnya sebagai penyebab penyakit kanser (kanser pundi kencing dan usus) masih tidak disahkan. Malah banyak kajian menunjukkan bahawa meminum air berklorin tidak memudaratkan kesihatan seperti yang diwar-warkan oleh syarikat pengedar penapis. IARC (International Agency for Research of Cancer) sendiri telah membuat analisa berkenaan dengan keselamatan penggunaan klorin di dalam air dan mereka merumuskan bahasa tidak ada cukup bukti yang boleh mengesahkan kaitan di antara klorin di dalam air dengan kanser samada kepada manusia ataupun haiwan (rujuk di sini). Banyak ujian yang dijalankan adalah menggunakan model haiwan. WHO menetapkan had kandungan klorin di dalam air minum tidak lebih dari 5 mg per liter. Kandungan klorin di dalam air yang dirawat di Malaysia juga mengikut garispanduan dari WHO ini iaitu dari 0.2 – 5.0 mg/liter.

Florida pula digunakan untuk tujuan kesihatan gigi. Proses merawat air dengan florida dinamakan “water fluoridation” (WF). Sebenarnya florida ini boleh diperolehi dari alam semulajadi, malah di dalam air mentah, udara dan tanah mengandungi florida. Sebenarnya hampir semua jenis air mengandungi florida secara semulajadi. Di Amerika Syarikat, proses WF ini mula diperkenalkan semenjak tahun 1945 lagi apabila pakar sains mendapati penduduk yang tinggal di kawasan yang tinggi kandungan florida di dalam air minuman mereka jarang mendapat kerosakan gigi. Kandungan maksimum florida yang dibenarkan untuk tujuan minum di Amerika adalah 4.0 mg/L.  Ada yang menetapkan tahap maksimum yang lebih rendah. Di Malaysia, KKM telah menetapkan had kandungan florida di dalam air mentah kepada 1.5 mg/L dan air minum 0.4-0.6 mg/L. Pendedahan air yang tinggi kandungan florida untuk jangkamasa panjang boleh menyebabkan masalah tulang dan sendi dinamakan skeletal fluorosis (tulang menjadi lemah). Kaitan di antara florida dan kanser tulang belum dapat disahkan kerana hasil kajian masih belum meyakinkan walaupun ada sedikit bukti melalui kajian ke atas tikus. Lebih 50 kajian populasi telah dijalankan untuk melihat kaitan di antara florida dan kanser, tetapi kajian-kajian ini tidak menunjukkan sebarang bukti kukuh bahawa florida boleh menyebabkan kanser tulang.Kanser tulang sangat jarang berlaku dan tidak mungkin untuk dapat dibuktikan bahawa penggunaan florida boleh menyebabkan kanser tulang kerana memerlukan sampel kajian yang sangat besar dan perlu menolak faktor-faktor lain yang juga mungkin bertanggungjawab. Malah banyak badan-badan antarabangsa seperti National Research Council, National Health Service UK,  IARC, US Public Health Service dan European Scientific Committee on Health and Environmental Risks telah membuat kenyataan bahawa setakat ini tidak ada kaitan di antara pengambilan florida dengan kadar kejadian kanser tulang, kanser tiroid dan lain-lain kanser.


BAGAIMANA MENGUJI KEBERSIHAN AIR

Mengambil air yang bersih adalah salah satu amalan yang sangat baik untuk menjaga kesihatan badan anda. Seperti yang anda ketahui, air yang sampai ke dalam rumah anda sudah melalui proses rawatan dan kerajaan menjamin bahawa air itu selamat digunakan termasuk untuk tujuan meminum. Walaupun jaminan diberi dan anda mengetahui bagaimana air dirawat, ramai dalam kalangan anda tentu masih merasa ragu-ragu. Berikut adalah beberapa kaedah bagaimana anda dapat menguji kebersihan air di rumah anda (baca di sini mengenai jenis pencemaran air):

1. Rupa fizikal air. Air yang jernih selalunya bermaksud air yang bersih, manakala air yang keruh ataupun berwarna mungkin disebabkan oleh pencemaran akibat benda-asing ataupun organisma. Kaedah ini tidaklah begitu tepat tetapi sekurang-kurangnya dapat memberi sedikit maklumat mengenai kebersihan air. Ambil satu gelas air dan lihat air itu pada arah cahaya lampu ataupun matahari, perhatikan jika ada partikel yang mendap ataupun kekeruhan.

2.  Bau dan rasa air. Air yang berbau busuk ataupun tidak menyenangkan mungkin disebabkan oleh pencemaran terutamanya pencemaran bahan organik disebabkan oleh penguraian organisma ataupun tumbuhan yang mati. Bau busuk juga boleh disebabkkan oleh kandungan sulfur di dalam air yang wujuk secara semulajadi. Air yang berbau klorin adalah perkara biasa dan tidak perlu dirisaukan melainkan jika ianya terlalu kuat.  Air yang tercemar boleh menyebabkan rasa air tidak menyenangkan seperti rasa sabun, terlalu payau dan lain-lain. Rasa sabun mungkin disebabkan oleh air terlalu beralkali dan terlalu payau mungkin disebabkan kandungan mineral garam yang tinggi.

3.   Kaedah objektif mengukur kebersihan air adalah dengan kaedah ujian makmal. Ujian makmal yang dilakukan oleh badan yang bertanggungjawab merawat air yang sampai ke rumah kita adalah yang paling ideal sebab mereka memeriksa berpuluh-puluh jenis bahan pencemaran yang mungkin ada di dalam air termasuk kandungan organisma, racun serangga, bahan mineral, logam dan lain-lain.Walau bagaimanapun bagi orang awam, terdapat alat pengukur yang lebih ringkas boleh digunakan dirumah. Alat pengukur ini dapat mengukur pH, kandungan klorin, nitrat, mineral dan logam seperti besi, tembaga dan pelumbum. Ianya juga dapat menguji kekerasan air (hardness of water). Air yang keras (hard water) mengandungi kandungan mineral dan logam yang tinggi. Contoh kit ujian yang boleh digunakan untuk menguji air di rumah adalah Watersafe kit yang boleh menguji 4 pencemar iaitu kehadiran bakteria, racun serangga (pesticide), Nirat dan jumlah klorin. Untuk mengetahui bagaimana menggunakan kit ini, boleh layari video youtube ini (https://youtu.be/HEhXsaL0Vh0)

4.   Menghubungi pembekal air setempat dan dapatkan maklumat kebersihan air di rumah anda. Mereka tentu menyimpan bacaan ataupun keputusan proses pemantauan air yang mereka lakukan secara berkala. Ini adalah tanggungjawab mereka. Ujian kebersihan dan pencemaran air adalah terletak di bawah tanggungjawab Jabatan Kimia Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

5. Mendapatkan ujian air dari Makmal Profesional.  Kaedah ini memerlukan perbelanjaan sendiri dan saya tidak pasti samada ada makmal yang menyediakan perkhidmatan ini di Malaysia. Tetapi di luar negara, perkhidmatan professional ini memang ada dan digunakan oleh orang ramai. Malah sampel air yang diambil boleh diposkan kepada makmal berkenaan untuk analisa.

Rujukan
http://www.saj.com.my/V2/ContentBM.php?menu_parent_id=2&content_id=87
http://www.kimia.gov.my/%20index.php?option=com_content&view=article&id=137