Thursday 8 August 2019

BAIK BURUK MAKAN PEDAS

KLIK DI SINI UNTUK KE LAMAN UTAMA


Pedas adalah perasaan panas atau pedih di bahagian bibir, mulut dan lidah apabila seseorang mengambil makanan yang mengandungi cili atau lada. Cili adalah tergolong dalam kumpulan sayuran, maka mengambil sayuran adalah sesuatu amalan yang baik. Tetapi jika cili menyebabkan kepedasan, adakah kebaikannya terjejas?

Sebenarnya pedas adalah persepsi otak ke atas sebatian kimia ataupun fitonutrien di dalam cili atau lada yang dikenali sebagai CAPSAICIN. Capsaicin dikatakan akan meransang reseptor panas (ada yang percaya reseptor sakit) pada lidah ("taste bud"), ini akan membawa maklumat kepada otak yang akan menghasilkan persepsi panas dan pedih ataupun pedas. Tahap kepedasan bergantung kepada kandungan capsaicin.

Rasa kepedasan bukan disebabkan oleh kecederaan pada lapisan lidah ataupun pada mana2 bahagian yang terkena cili, tetapi adalah persepsi otak. Walau bagaimanapun akibat daripada persepsi otak ini, ia boleh mempengaruhi fungsi organ lain terutama perut, usus, sistem pernafasan, kelenjar dan beberapa anggota badan yang lain. Otak akan menafsirkan maklumat sakit dan panas itu sebagai satu ancaman dan akan meransang sistem badan untuk menyahkan ancaman tersebut contohnya meransang pengeluaran haba seperti berpeluh, pengeluaran mukus, air mata dan air liur. Tindakbalas badan ini berupa rasa loya, muntah, hidung berair, pengeluaran air mata dan berpeluh. Kadar metabolik meningkat dan selera makan boleh tertekan.Walau bagaimana pun ada ahli sains percaya pengambilan capsaicin yang berlebihan mempunyai kesan pro-keradangan ke atas permukaan saluran makan yang terlibat.

Kebanyakan gejala yang dihadapi oleh seseorang yang memakan makanan pedas adalah kesan tidakbalas badan secara tidak langsung akibat persepsi otak yang menganggap itu satu ancaman. Kepada individu normal yang tidak mengalami masalah perut dan usus, tidak ada perkara serius yang akan berlaku dan gejala2 itu bersifat sementara. Tetapi kepada individu yang sudah mengalami masalah kesihatan seperti penyakit gastritis, irritable bowel syndrome, penyakit chron dan lain-lain, tindakbalas badan ini boleh meningkatkan gejala sakit yang mereka hadapi.

Cili paling pedas di dunia adalah Carolina Reaper dengan ukuran 2.2 juta scoville heat units (SHU). Kepedasan cili ditentukan oleh kuantiti kandungan satu sebatian kimia dikenali sebagai Capsaicin. Pada asalnya nilai SHU ini ditentukan dengan kaedah pencairan cili dengan air gula. SHU adalah berapa kali pencairan yang perlu dilakukan sehingga larutan tersebut tidak terasa pedas. Hari ini kita mempunyai kaedah yang lebih canggih mengukur kandungan Capsaicin.

MANFAAT MAKANAN PEDAS

Pengambilan makanan pedas pada kadar yang sederhana mempunyai kesan positif terhadap badan manusia. Kajian yang dilakukan oleh ahli sains menemui beberapa manfaat kesihatan yang dibawa oleh capsaicin dan makanan pedas. Di antaranya adalah seperti berikut:

1. Satu kajian prospektif kohort yang besar dijalankan di negara China dan disiarkan di dalam British Journal of Medicine pada tahun 2015. Ia melibatkan lebih 400,000 peserta. Kajian pemerhatian ini mendapati individu yang mengambil makanan pedas 6 atau 7 hari seminggu mempunyai kadar kematian yang lebih rendah (14%) dalam tempoh kajian berbanding dengan individu yang mengambil kurang daripada 1 hari seminggu. (1). Kajian seumpama ini tidak membuktikan kaitan langsung ("direct causal relationship") tetapi hanya menyatakan ada hubungan yang mungkin secara tidak langsung.

2. Capsaicin boleh mengurangkan penghasilan asid perut dan meransang penghasilan mukus perut. Ini boleh membantu melindungi perut daripada penyakit gastrititis dan ulcer. Hasil kajian ini menyanggah banyak tanggapan orang tentang makanan pedas dan penyakit perut.(2)

3. Makanan pedas mengurangkan selera makan dan meningkatkan pembakaran tenaga. Ini membantu mengurangkan berat badan dan pengumpulan lemak. (3)

4. Cili dalam bentuk mentah mengandungi nutrient, serat dan antioksidan. Di antara nutrient yang terkandung di dalamnya adalah vitamin A,C, B6, kalsium, magnesium dan zat besi.

5. Kesan-kesan positif makanan pedas yang lain seperti antibakteria, antikeradangan, merencat pembiakan sel tidak normal dan lain-lain belum terbukti ke atas manusia kerana kajian itu dilakukan di makmal.

MUDARAT MAKANAN PEDAS

Makanan pedas juga tidak terlepas dari membawa kemudaratan kepada kesihatan badan jika diambil terlalu berlebihan. Di antara kesan negatif makanan pedas telah diterangkan di atas terutama kepada individu yang sememangnya mengalami masalah usus. Mulut dan lidah yang sudah mempunyai ulcer dan bahagian anus yang mengalami "anal fissure" akan lebih menyakitkan. Rasangan ke atas perut boleh menyebabkan muntah dan kadangkala jus perut yang berasid boleh naik ke bahagian atas dan menyebabkan keradangan esofagus dan sakit dada.

Kesan pengambilan makanan yang terlalu pedas dapat disaksikan ketika pertandingan memakan cili terpedas di mana ada peserta yang muntah dan pengsan. Tindakakbalas badan yang keterlaluan melalui ransangan saraf simpatetik, peningkatan kadar metabolik dan termogenesis boleh memudaratkan kesihatan jika seseorang mengambil cili yang sangat pedas dalam kuantiti yang banyak pada satu masa. Malahan kajian ke atas haiwan mendapati cili serbuk yang tersangat pedas seperti Bhut Jolokia jika diambil lebih dari 3 pound (1.4kg) dalam satu masa boleh membunuh manusia.(4)

KESIMPULAN

Pengambilan makanan pedas secara sederhana oleh individu yang tidak mengalami masalah pergerakan usus mempunyai manfaat kesihatan. Makanan pedas perlu dikurangkan oleh individu yang mengalami masalah usus seperti irritable bowel syndrome, penyakit crohn, ulcer mulut dan anal fissure. Pengambilan makanan pedas yang terlalu pedas dalam kuantiti yang tinggi pada satu masa membawa lebih kemudaratan.

Dato' Dr. Mohd Rushdan Noor
9 hb Ogos 2019
RUJUKAN

1. Lv J, K Lu, Yu C et al. Consumption of spicy foods and total and cause specific mortality: population based cohort study.BMJ 2015;351:h3942
2. Satyanarayana MN. Capsaicin and gastric ulcers.Crit Rev Food Sci Nutr. 2006;46(4):275-328.
3. Whiting S1, Derbyshire E, Tiwari BK.Capsaicinoids and capsinoids. A potential role for weight management? A systematic review of the evidence.Appetite. 2012 Oct;59(2):341-8
4. Glinsukon T, Stitmunaitum V, Tostulkao C et al. Acute toxicity of Capsaicin in several animal species.Toxicon,1980;18(2):215-20.

https://www.uchicagomedicine.org/forefront/health-and-wellness-articles/2018/september/spicy-foods-healthy-or-dangerous
https://www.journals.elsevier.com/food-research-international/news/three-reasons-why-you-should-eat-spicy-foods
https://www.nhs.uk/news/food-and-diet/could-eating-spicy-food-help-you-live-longer/
https://www.livescience.com/16556-spicy-food-fatal-chili-peppers.html



No comments:

Post a Comment