Wednesday 7 August 2019

KETUM : PERTIMBANGAN MANFAAT/MUDARAT

        
Ketum diambil dalam pelbagai cara dan yang paling disukai oleh masyarakat kita adalah di dalam bentuk air minuman. Apabila ketum disediakan sendiri oleh pengguna, maka sukar untuk ditentukan apakah dos bahan aktif (mitragynine) yang diambil. Apabila tidak diketahui berapa banyak bahan aktif ini diambil, maka boleh berlaku pengambilan dos yang berlebihan. Walaupun ketum mempunyai manfaat jika diambil dalam dos yang rendah, namun bagaimana masyarakat tahu bahawa dos yang diambil itu rendah? Di dalam keadaan ini kita sepatutnya lebih bimbang akan kesan pengambilan yang berlebihan atau disalahgunakan. Benarkah manfaat ketum lebih besar daripada mudarat?

Satu semakan literature yang besar telah dilakukan oleh penyelidik daripada Universiti Columbia dan Universiti Imory, Amerika Syarikat mengenai kesan positif dan negatif pengambilan ketum. Semakan ini dilakukan berikutan peningkatan yang sangat tinggi kes-kes aduan kesan sampingan yang dikaitkan dengan ketum di negara Barat. Dalam masa 5 tahun sahaja Pusat Racun Amerika telah mengesan peningkatan aduan sebanyak 10 kali ganda kesan sampingan ketum di negara mereka (rujuk graf).

Penyelidik2 ini telah menganalisa kajian2 yang disiarkan daripada tahun 2007 hingga 2017. Walaupun penyelidik mengkaji kesan positif pengambilan ketum, saya akan lebih memfokuskan kepada kesan negatif. Mereka menemui 120 kajian dan hasil daripada analisis tersebut berikut adalah kesan negatif yang dikaitkan oleh amalan pengambilan ketum.

1. Kajian dos yang boleh menyebabkan kematian ("lethal dose") ke atas manusia tidak dapat dijalankan tetapi kajian ke atas haiwan menunjukkan haiwan itu boleh mati jika mengambil lebih daripada 200mg/kg ekstrak ketum.

2. Ketum mempunyai kesan seperti opioid dan kokain pada dos tertentu, jadi kesan ke atas psikologi dan emosi boleh berlaku walaupun kesannya lebih ringan daripada dadah merbahaya. Walaupun pengamal boleh mendapat manfaat seperti berasa seronok, bertenaga dan kurang letih, kesan sampingan jangkapanjang boleh memudaratkan. Terdapat lapuran pengamal ketum mengalami gejala gian ("withdrawal") seperti agresif, ganas, tidak dapat bekerja, menggeletar dan sakit pada otot serta tulang. Terdapat juga lapuran kes halusinasi dan delusi.

3. Terdapat pengamal ketum jangkapanjang dikesan menjadi kurus, kulit kehitaman terutama pada bahagian muka, mulut kering, kencing kerap, hilang selera makan dan sembelit.

4. Kajian ke atas haiwan menunjukkan ketum boleh menyebabkan kerosakan hati dan terdapat lapuran kes kerosakan hati manusia hingga mangsa mengalami jaundice dan peningkatan enzim hati. Jenis kerosakan hati yang dialami adalah "drug-induced cholestatic injury, a canalicular cholestasis".

5. Lapuran kes kecederaan saraf telah ditemui di mana mangsa mengalami sawan dan koma selepas mengambil ketum.

6. Kes kerosakan paru-paru dan buah pinggang telah ditemui ke atas pengamal ketum yang juga penagih dadah. Kerosakan ini berlaku apabila pengamal ketum mencampurkan pelbagai bahan termasuk alkohol dan ubat batuk. Lapuran postmortem mengesan kehadiran ketum di dalam darah dan paru-paru dipenuhi air.

7. Ketum boleh menekan penghasilan hormon tiroksin dan menyebabkan hipotiroidisma (kekurangan hormon tiroksin).

8. Gangguan ingatan dan fungsi kognitif boleh berlaku walaupun kajian ini dilakukan ke atas haiwan.

KESIMPULAN

Memang terdapat bukti bahawa ketum pada dos tertentu boleh dimanfaatkan oleh manusia seperti mengurangkan kesakitan, kesan sedatif, peransang (stimulant) dan potensi merawat masalah ketagihan dadah ("drug withdrawal"). Belum terdapat bukti kukuh keberkesanan ketum untuk merawat penyakit2 lain ke atas manusia. Walau bagaimanapun kesan manfaat tersebut perlu ditimbang tara dengan kesan mudarat yang boleh diakibatkan oleh pengambilan ketum tanpa kawalan dan pemantauan. Kesan negatif ketum dijangka akan mendominasi pertimbangan ini (mudarat lebih besar dari manfaat) jika tidak ada kawalan dan undang2 untuk mengawal pengambilan ketum kerana potensi disalahgunakan. Di samping itu, penyediaan sendiri tanpa ada pemantauan dari aspek steriliti, dos, kuantiti pengambilan dan kemungkinan mencampur-adukkan ketum dengan bahan2 lain boleh memudaratkan kesihatan. Ianya juga boleh diambil dengan mudah oleh kanak2 dan ini dikhuatiri akan menjadi langkah permulaan (gateway) kepada ketagihan dadah yang lebih merbahaya. Kesan negatif ketum dijangka lebih besar jika ianya dihasilkan dalam bentuk suplemen kerana kandungan bahan aktif yang lebih tinggi serta kemungkinan dicampurkan dengan ubat2 lain. Setakat ini belum ada maklumat tepat tentang dos terapeutik dan dos toksisiti kerana kekurangan kajian saintifik. Kajian lanjut yang lebih besar perlu dijalankan untuk mendapat lebih maklumat mengenai ketum. Ahli sains perlu mencari apakah kegunaan, dos terapeutik, kaedah pemberian dan formulasi yang sesuai untuk diambil oleh manusia. Ini baru perbincangan daripada aspek kesihatan, kita belum lagi menyentuh kesan sosial dan kewangan ke atas masyarakat dan negara akibat pengambilan ketum yg berleluasa.

DDr Rushdan Noor
6hb Ogos 2019



RUJUKAN

Fluyau D, Rivadigar N. Biochemical Benefits, Diagnosis, and Clinical Risks Evaluation of Kratom. Front Psychiatry. 2017; 8: 62

Prozialeck WC1, Avery BA2, Boyer EW.Kratom policy: The challenge of balancing therapeutic potential with public safety.Int J Drug Policy. 2019 Aug;70:70-77

https://nypost.com/2019/07/11/herbal-supplement-kratom-linked-to-serious-side-effects-deaths

No comments:

Post a Comment