Program Analisis di TV AlHijrah baru-baru ini berbincang tentang tajuk VAKSIN COVID-19 : MENJAWAB DAKWAAN PALSU. Ahli Panel yang dijemput adalah Dato' Dr. Musa dan Prof Madya Dr. Rozaimi Ramle. Saya syorkan sabahat2 untuk menonton program ini kerana sangat bermanfaat, ahli panel yang dijemput sememangnya pakar2 yang layak untuk berbincang tentang tajuk ini samada dari perspektif perubatan dan juga bidang agama.
Banyak maklumat dan pencerahan yang boleh diperolehi daripada perbincangan ini. Saya hanya ingin mengambil salah satu isu menarik (semua isu yang dibincangkan menarik sebenarnya) untuk dikongsikan iaitu berkenaan dengan bahan2 pengubatan yang disebut di dalam Quran dan hadith. Ramai dalam kalangan penganut Islam yang enggan mengambil vaksin menggunakan alasan mengutamakan amalan "makanan sunnah" terlebih dahulu. Saya ambil contoh 3 bahan pengubatan yang disebut di dalam Quran ataupun Hadith iaitu Madu, Habbatus Sauda dan Kurma.
Cuba teliti dalil2 berkenaan dengan ketiga2 bahan ini seperti yang dicatitkan di bawah.
1. MADU
Firman Allah bermaksud “Dari perut lebah itu keluarlah minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat UBAT, yang MENYEMBUHKAN bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.” (Surah an-Nahl, ayat 69)
2. HABBATUS SAUDA
“Pada habbatus sauda itu ada PENAWAR bagi segala PENYAKIT kecuali mati (Sahih Bukhari, Kitab al-Tibb, hadis 5688; dan Sahih Muslim, Kitab al-Salam, hadis 2215)
3. KURMA
“Sesungguhnya pada kurma Ajwah ‘Aliyah itu ada UBAT PENYEMBUH atau ia merupakan ubat penawar bagi racun, apabila dimakan pada awal pagi.” [ Riwayat Aisyah R.Anha, HR Muslim (2048)
Dr. Rozaimi ada menerangkan maksud pengubatan Islam di mana perubatan moden termasuk penggunaan vaksin adalah juga dianggap perubatan Islam jadi tidak timbul isu mendahulukan bahan2 di atas. Penggunaan istilah "makanan sunnah" juga mengelirukan dan boleh dipertikaikan. Beliau juga menjelaskan hadith tentang khasiat habbatus sauda telah difahami secara literal oleh ramai masyarakat Islam sehingga menimbulkan salah faham, seolah2 ianya boleh mengubati semua jenis penyakit sedangkan tafsiran sebenar hanya merangkumi penyakit tertentu (Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fathul Bari dan Imam al-Nawawi dalam syarah Al-Nawawi).
Kedua2 ahli panel ada memberi penjelasan yang sangat menarik berkenaan dengan bahan2 di atas di mana jika kita perhatikan maksud ayat Quran dan Hadith berkenaan dengan madu, habbatus sauda dan kurma di atas, perkataan yang digunakan adalah UBAT, PENAWAR dan PENYAKIT. Sedangkan Vaksin Covid-19 adalah kaedah PENCEGAHAN dan BUKAN RAWATAN. Vaksin mencegah punca penyakit dan di dalam kes Covid-19, ia mencegah jangkitan virus SARS-CoV-2 dan BUKAN untuk MERAWAT Covid-19. Jadi konteksnya sudah tidak betul.
Isu kedua adalah jika bahan2 ini ingin digunakan untuk tujuan MERAWAT penyakit, ada beberapa persoalan yang perlu dijawab:
1. Apakah jenis penyakit yang boleh dirawat
2. Bagaimanakah kaedah penyediaan
3. Apakah dos berkesan dan tahap toksik
4. Bagaimanakah cara dan jangkamasa pengambilan bahan2 tersebut
Di dalam menjawab 4 soalan di atas, nampaknya ia akan kembali kepada konsep asas melakukan sesuatu perkara yakni menyerahkan urusan kepada orang yang pakar/ahli di dalam bidang tersebut (Firman Allah bermaksud "Bertanyalah kepada Ahli Zikir jika kamu tidak ada pengetahuan tentang hal itu.” (An-Nahl:43).
Dengan tidak menafikan wujudnya bahan pengubatan di dalam madu, habbatus sauda dan kurma, perlu terlebih dahulu menjawab 4 soalan di atas. Sepatutnya diserahkan kepada pakar di dalam bidang pengubatan termasuk keperluan untuk menjalankan kajian klinikal. Sebaliknya apa yang berlaku pada hari ini adalah yang menentukan 4 perkara di atas adalah orang2 yang bukan ahli di dalam bidang pengubatan, dibancuh sendiri dan dicampur-adukkan dengan banyak lagi bahan2 lain pada kadar yang tidak diketahui. Tidak melalui proses penyediaan yang betul dan selamat.
Kepada yang tidak berkesempatan mengikuti program ANALISIS tersebut boleh pergi ke pautan di bawah:
https://fb.watch/3TwZZfKQts/
Perbincangan tajuk yang sama dalam Forum Perdana di pautan bawah :
https://m.youtube.com/watch?v=DAAkFst8myo&feature=youtu.be
Dato' Dr.Rushdan Noor
26hb Feb 2021
https://fb.watch/3TwZZfKQts/ (Analisis Al-Hijrah)
https://youtu.be/DAAkFst8myo (Forum Perdana)
http://www.ikim.gov.my/new-wp/index.php/2019/07/15/habbatus-sauda-penawar-penyakit/
https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3898-irsyad-al-fatwa-siri-ke-347-fadilat-memakan-tujuh-biji-kurma-adakah-khusus-buat-kurma-ajwah-madinah-sahaja-atau-umum-buat-semua-jenis-kurma
No comments:
Post a Comment