Wednesday, 9 April 2025

BENARKAH AMBIL VAKSIN ADALAH HAK PERIBADI MASING2?



Banyak komen2 yang saya baca dari netizen 2-3 hari ini bila isu vaksin dibincangkan dalam media sosial. Di samping pendapat2 yang jelas kepada pendirian ideologi antivaksin, ada juga komen2 yang nampak seimbang dan ada juga yang maksudnya tersirat. Salah satu komen yang ingin saya ulas adalah kenyataan bahawa "MENGAMBIL VAKSIN ADALAH HAK PERIBADI MASING2, KALAU NAK AMBIK BOLEH, TAK MAHU AMBIL PUN OK"

Pernyataan seperti "memilih rawatan ataupun intervensi perubatan adalah hak peribadi masing-masing" umumnya dianggap selari dengan prinsip kebebasan individu, iaitu seseorang berhak menentukan apa yang berlaku ke atas tubuh badannya. Dalam konteks hak asasi manusia, ini merupakan satu prinsip yang penting dan dihormati.

Namun, apabila kita bercakap tentang vasksin dan vaksinasi, dalam konteks kesihatan awam, prinsip ini perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab sosial dan kepentingan masyarakat secara keseluruhan. Jadi dalam konteks vaksin, hak peribadi itu tidak mutlak.

PERBEZAAN VAKSIN DENGAN KAEDAH PENCEGAHAN LAIN2 PENYAKIT

Banyak jenis penyakit memerlukan kaedah pencegahan dan rawatan yang berbeza. Selain daripada penyakit berjangkit, ikhtiar untuk mencegah dan merawat adalah bersifat individu tanpa kesan ke atas orang lain. Penyakit darah tinggi, kanser dan diabetes contohnya, tidak menjangkiti orang lain. Kegagalan untuk mencegah ataupun merawat penyakit2 ini tidak memberi kesan ke atas orang lain. Hanya individu berkenaan sahaja yang akan menanggungnya.

Dalam konteks pencegahan penyakit berjangkit, keberkesanan vaksin bukan hanya bergantung kepada kecekapan vaksin itu, tetapi juga kepada LIPUTAN VAKSINASI, konsep ini dikenali sebagai "HERD IMMUNITY" (imuniti berkelompok). Jika cukup ramai orang divaksin (biasanya sekitar 70-95% bergantung kepada penyakit), penularan penyakit dapat dihentikan, dan ini melindungi mereka yang tidak boleh divaksin seperti bayi, orang tua, atau mereka yang mempunyai masalah kesihatan tertentu. Tetapi jika liputannya rendah, maka wabak akan berkembang dan lebih ramai akan mendapat mudarat. Maka, tanggungjawab ini adalah secara bersama dan kolektif. Kes wabak demam campak dan kematian 2 orang kanak2 di Amerika baru2 ini adalah contoh terbaik akibat dari liputan vaksinasi yang rendah.

HUJAH DAN PENJELASAN

1. Hak individu masih penting, tetapi ia tidak boleh dilihat secara terpisah daripada kesan terhadap orang lain. Tindakan seseorang bukan sahaja memberi kesan ke atas orang itu, tetapi juga melibatkan orang lain. Apabila semua memilih untuk menuntut hak tidak mahu ambil vaksin, akibat liputan yang rendah, mudaratnya akan tertimpa kepada lebih ramai orang dan wabak gagal dikawal. Jadi dalam menjaga hak diri sendiri, kita tidak boleh menafikan hak orang lain, apatah lagi memudaratkan orang lain.

2. Dalam kes pandemik atau penyakit berjangkit yang serius, kerajaan boleh mengenakan polisi kesihatan awam yang menghadkan kebebasan individu demi keselamatan ramai. Ini berdasarkan akta-akta seperti Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), yang membolehkan kerajaan mengambil tindakan bagi mencegah penularan penyakit.

3. Vaksinasi asas seperti BCG, DTP, MMR dan lain-lain termasuk dalam program imunisasi kebangsaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Walaupun secara teknikal tidak wajib, pihak sekolah boleh menolak pendaftaran pelajar yang tidak divaksin, atas dasar keselamatan murid lain.

4. Dalam Islam dan juga banyak sistem moral lain, ada prinsip “menjaga nyawa” dan “mencegah mudarat” yang sering dijadikan asas dalam menyokong vaksinasi sebagai satu tanggungjawab sosial. Islam melihat masyarakat sebagai satu tubuh, apabila satu bahagian sakit, seluruhnya terasa. Satu lagi kaedah fiqh yang boleh digunakan adalah berbunyi "polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat". Definisi maslahah seperti yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali Rahimahullah ialah: ‘mendatangkan manfaat dan menghalang kemudharatan". Dalam keadaan ini mematuhi arahan pemimpin yang mempunyai maslahah ‘ammah (kepentingan umum) ialah wajib. Tambahan pula, fatwa kebangsaan dan antarabangsa memfatwakan vaksin sebagai harus dan dianjurkan.

KESIMPULAN

Walaupun pengambilan vaksin boleh dianggap sebagai hak peribadi dalam keadaan biasa, dalam konteks kesihatan awam dan agama, keputusan itu tidak boleh dilihat secara individu semata-mata. Ia membawa implikasi sosial dan moral, dipertanggungjawabkan kepada semua ahli masyarakat. Maka, dari sudut undang-undang dan syariah, pengambilan vaksin boleh dianggap sebagai satu tanggungjawab bersama, bukan sekadar pilihan peribadi. Islam galakkan menjaga kesejahteraan ummah, bukan hanya diri sendiri. Pendirian bahawa "ambil atau tidak, itu hak masing-masing" tidak selari sepenuhnya dengan tanggungjawab kolektif dalam mencapai liputan vaksin yang mencukupi (imuniti berkelompok) untuk memelihara kesihatan dan mengurangkan penderitaan serta kematian akibat jangkitan.


Dato' Dr.Rushdan Noor
10hb April 2025

No comments:

Post a Comment