Perkataan antivaksin dan gerakan antivaksin bukan baru tetapi sudah dikenal keujudannya semenjak awal abad ke 18 lagi. Kalau kita menulis perkataan antivaksin di atas injin pencarian goggle, tidak terkira banyaknya perkataan ini digunakan di dalam rencana dan jurnal antarabangsa. Jadi tidak ada sebab untuk mempertikaikan keujudannya.
Terdapat sekurang2nya 3 kategori orang ramai yang mempunyai tanggapan berbeza terhadap vaksin. Pertama, golongan yang positif, menyahut tuntutan vaksinasi untuk diri mereka serta ahli keluarga.
Kumpulan kedua adalah mereka yang was-was ataupun skeptik tetapi terbuka kepada pandangan mana2 pihak. Mereka mungkin bersetuju untuk ambil satu vaksin tetapi enggan mengambil vaksin lain dan pendirian ini boleh berubah bergantung kepada maklumat yang mereka terima. Inilah kumpulan atas pagar yang menjadi tumpuan pendidikan kesihatan dan memperbetulkan kefahaman.
Kumpulan ketiga adalah yang menolak vaksin secara total dan sangat tegar pegangan mereka walaupun sudah diberikan hujah2 yang menafikan pendirian mereka itu. Tidak ada apa2 kaedah yang boleh mengubah kepercayaan mereka.
Kumpulan ketiga di atas boleh dikategorikan sebagai golongan antivaksin tetapi saya membahagikannya kepada 2 lagi subkategori iaitu antivaksin yang pasif, di mana pendirian antivaksin itu bersifat peribadi dan diamalkan untuk diri mereka sahaja. Kategori pasif ini boleh diabaikan melainkan mereka bertukar menjadi subkategofi kedua. Subkategori kedua adalah antivaksin yang menyebarkan fahaman dan amalan mereka kepada ahli keluarga dan orang ramai. Mereka aktif di dalam kumpulan, menghasut atau mengumpul keahlian untuk membesarkan saiz organisasi mereka. Yang ini kita kenali sebagai antivaksin yang aktif. Subkategori kedua ini akan membentuk gerakan antivaksin ("antivaksin movement") dan gerakan inilah sebenarnya membawa masalah besar kepada sistem kesihatan negara.
ANCAMAN GERAKAN ANTIVAKSIN
Gerakan antivaksin telah disenaraikan oleh WHO sebagai salah satu dari senarai teratas ancaman terhadap kesihatan global. Sedangkan bagi komuniti saintis dan pengamal perubatan moden, vaksinasi adalah salah satu kaedah paling "cost-effective" mencegah penyakit. Vaksin mencegah 2-3 juta kematian setiap tahun dan tambahan sebanyak 1.5 juta lagi kematian jika liputan vaksin dapat ditingkatkan.
Vaksin bukan sahaja digunakan untuk mencegah penyakit berjangkit, tetapi penggunaannya sedang diperluaskan kepada pencegahan dan rawatan kanser. Vaksin terapeutik juga sedang diuji untuk merawat penyakit seperti HIV dan hepatitis.
Malangnya, salah satu faktor yang menghalang di dalam perlaksanaan program vaksinasi adalah keujudan gerakan yang menyebarkan salah faham dan menentang penggunaan vaksin. Ancaman gerakan antivaksin adalah seperti berikut:
1. Penurunan Liputan Imunisasi. Apabila ramai menolak vaksin, kadar imunisasi populasi menurun. Ini mengurangkan herd immunity, iaitu perlindungan tidak langsung kepada mereka yang tidak boleh divaksin seperti bayi, warga emas, atau mereka yang sakit kronik. Apabila liputan rendah, wabak sukar dikawal dan akibatnya lebih besar.
2. Kemunculan Semula Penyakit Lama. Beberapa penyakit yang hampir pupus (seperti campak, difteria) mula muncul semula di kawasan dengan kadar vaksinasi rendah. Contoh: wabak campak di AS dan Eropah akibat penurunan vaksin MMR, kemunculan semula penyakit polio di Filipina dan banyak lagi.
3. Beban Sistem Kesihatan. Wabak akibat penolakan vaksin membebankan hospital, petugas kesihatan, dan bajet negara. Penyakit yang sepatutnya boleh dicegah dengan vaksin meningkat dan bebannya terpaksa ditanggung oleh negara bukan sahaja dari aspek kewangan, tetapi sosial dan psikologi.
4. Ketegangan Sosial dan perpecahan. Perbezaan pendapat tentang vaksin boleh menimbulkan ketegangan antara keluarga, komuniti, dan pihak berkuasa.
5. Penyebaran fahaman dan ilmu perubatan yang palsu serta teori konspirasi. Golongan antivaksin ini membawa bersama mereka kefahaman yang salah tentang sains dan perubatan ataupun pseudosains/pseudoperubatan. Mereka juga menyebarkan teori2 konspirasi karut yang mengelirukan masyarakat, disamping mempromosikan produk2 overclaim dan pseudoperubatan yang tidak selari dengan prinsip amalan perubatan konvensional.
6. Terhakisnya kepercayaan terhadap perkhidmatan kesihatan arus perdana dan institusi2 kesihatan awam. Untuk meyakinkan pengikut mereka, serangan menjatuhkan reputasi dan fitnah ke atas petugas dan institusi kesihatan awam termasuk KKM, WHO dan lain-lain organisasi kesihatan.
7. Antivaksin yang melampau boleh bersikap ganas, mencaci serta mengecam pihak yang tidak sealiran dengan mereka, menyerang peribadi seperti cyberbuli dan lain-lain tindakan tidak bermoral.
PERKATAAN ANTIVAKSIN PUNCA PERPECAHAN ??
Ada yang berpendapat bahawa penggunaan istilah antivaksin akan memecahbelahkan masyarakat. Pendapat ini tidak tepat kerana antivaksin dan gerakan antivaksin adalah entiti yang benar2 ujud dan ancaman mereka adalah besar. Label ini bertujuan untuk mengenalpasti dan juga memudahkan perlaksanaan aktiviti kesihatan awam serta pendidikan kepada kumpulan sasaran yang tepat.Jika kita tidak termasuk di dalam golongan tersebut, apa yang perlu dirisaukan.
Gerakan antivaksin bukan isu peribadi ataupun terpencil tetapi adalah satu bentuk gerakan terancang yang menentang arah perjuangan perkhidmatan kesihatan negara. Kesannya luas jika tidak dibendung.
Sama seperti kita memerangi ajaran sesat di dalam agama, kita perlu mengenal apakah nama ajaran sesat itu dan ideologi mereka supaya dapat dikenalpasti dan dibenteras. Adalah pelik jika ada pihak yang mencadangkan agar nama2 ajaran sesat ini tidak digunakan, kononnya tidak mahu umat Islam berpecah sedangkan ajaran sesat inilah yang memesongkan akidah dan memecahbelahkan ummah. Melainkan orang tersebut ada kepentingan di dalam ajaran sesat itu ataupun sebahagian dari mereka.
Data2 tentang tahap berkembangnya gerakan antivaksin sangat membimbangkan kerana media sosial tidak menyekat dan menapis kandungan2 antivaksin. Kajian dari Centre of Countering Digital Hate (CCDH) di Amerika telah mendapati akaun media sosial yang dimiliki oleh antivaksin mendapat peningkatan ketara bilangan pengikut. Laporan itu juga mendapati 31 juta pengguna facebook menjadi pengikut kumpulan antivaksin dan 17 juta orang lagi menjadi pengikut saluran youtube yang dikendalikan oleh antivaksin.
KESIMPULAN
Gerakan antivaksin merupakan ancaman serius terhadap kesihatan awam kerana ia melemahkan usaha vaksinasi dan menjejaskan imuniti kelompok. Implikasinya lebih besar dari pencegahan penyakit berjangkit kerana vaksin juga digunakan untuk tujuan mencegah dan merawat kanser serta berpotensi digunakan untuk rawatan penyakit2 lain. Ancaman gerakan antivaksin bukan tertumpu kepada satu aspek sahaja tetapi kepada banyak lagi isu2 kesihatan, pengetahuan, kesedaran orang ramai dan juga imej institusi kesihatan awam. Menangani isu ini memerlukan pendekatan pelbagai aspek, termasuk pendidikan awam yang lebih berkesan, dasar kesihatan yang lebih kukuh, penguatkuasaan undang2 yang ketat, pemantauan dan kerjasama erat antara organisasi kesihatan serta kerajaan. Hanya dengan usaha bersama ini, kita dapat mengekang pengaruh gerakan antivaksin dan meningkatkan mutu kesihatan rakyat negara ini.
Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
2hb Mei 2025
No comments:
Post a Comment