Thursday, 8 May 2025

ORANG DULU-DULU MEROKOK TAPI UMUR PANJANG, BADAN SIHAT ????



Selalu terlintas di depan kita komen2 dari individu2 yang berhujah menggunakan satu dua contoh atau kejadian yang terpencil untuk menyokong pendapat mereka dan menyanggah pendapat orang lain.

Antaranya, "nenek aku dulu merokok, tapi boleh hidup lama, tak sakit pun".
"Orang yang tak merokok pun ada yang mati sakit jantung".
"Dulu2 mana ada perubatan canggih, tapi orang boleh hidup panjang juga, tak sakit. Penyakit2 pelik pun tak banyak".
"Tok nenek kita dulu bersalin di rumah saja, bidan kampung saja yang sambut, tak ada masalah pun, anak pula ramai, OK saja".
"Anak saya tak seorang pun ambik vaksin, semua sihat2 belaka"
Banyak lagi contoh2 hujah simplistik untuk menafikan pendapat orang lain. Menggunakan kaedah membanding-banding tanpa mengambil kira faktor2 lain yang mempengaruhi.

Hujah seperti ini sangat ringkas dan memang berkesan jika yang mendengarnya tidak faham maksud kadar, keberangkalian dan risiko. Ataupun keupayaan berfikir mereka terbatas dan yang nak fikir cara mudah sahaja. Tetapi kepada orang yang kritikal dan bersifat objektif, hujah seumpama ini tentulah sangat lemah.

Hujah seperti ini sama macam testimoni, mengambil contoh yang baik saja untuk dihebuh2kan, sedangkan terdapat lebih banyak contoh yang tidak baik, tetapi disembunyikan. Lebih kurang macam kaedah pemasaran produk "overclaim".

Maka, untuk berlaku adil, kita kena lihat sesuatu isu itu dari kedudukan mata burung helang, lebih luas, lebih menyeluruh. Faham maksud risiko, keberangkalian dan pengaruh faktor2 sampingan.

Risiko orang yang merokok untuk mendapat sakit jantung adalah 4 kali ganda lebih tinggi daripada orang yang tidak merokok. Contohnya dalam 1000 orang perokok, 100-200 orang (10-20%) akan mengidap penyakit jantung. Risikonya lebih tinggi jika perokok itu menghidap diabetes, darah tinggi, obesiti dan ada keturunan. Memang ada perokok yang terselamat daripada sakit jantung, tetapi risiko untuk sakit itu lebih tinggi. Belum lagi mengambil kira lain2 kesan negatif merokok seperti angin ahmar, kanser paru2 dan lain2.

Jangkahayat manusia dikira melalui perkiraan purata dan unjuran. Purata jangkahayat penduduk Malaysia pada tahun 1957 adalah 57 tahun. Purata jangkahayat penduduk Malaysia pada tahun 2024 adalah 75.2 tahun. Jelas, peningkatan yang ketara.

Memang ada nenek moyang kita dahulu boleh hidup sampai 80-90 tahun, tetapi jika dibandingkan, pada masa sekarang, peratusan orang yang berusia 80-90 tahun jauh lebih besar. Pada masa dahulu, kebanyakan orang akan meninggal pada usia 50 an, tetapi sekarang cuba kita tengok rakan2 sekelas yang berusia 60an , berapa peratus yang sudah meninggal? Saya yakin, lebih besar peratusan yang masih hidup.

Peningkatan purata jangkahayat ini disebabkan oleh kaedah pencegahan dan rawatan penyakit yang lebih baik dan kadar kematian bayi serta ibu yang lebih rendah. Program2 kesihatan pada masa kini dan kaedah pencegahan serta kawalan wabak penyakit berjangkit yang lebih cekap turut menyumbang. Pada masa sekarang, sanitasi bertambah baik dan akses kepada rawatan juga lebih mudah.

Kadar kematian ibu pada tahun 1957 adalah 280 per 100,000 kelahiran hidup, tetapi pada tahun 2024 sudah menurun kepada 25.7 per 100,000. Kadar kematian bayi (infant) pada tahun 1957 dalam anggaran 75.5 per 1000 kelahiran hidup, pada tahun 2024 menurun kepada 6.7 per 1000 kelahiran hidup. Jadi lebih besar peratusan dan kadar ibu hamil serta bayi meninggal pada tahun 1957 berbanding sekarang.

Walaupun tidak ada kajian jangkapanjang, anak2 yang tidak menerima vaksin jauh lebih berisiko dijangkiti penyakit yang dilindungi oleh vaksin. Contohnya wabak demam campak di New York pada tahun 2019, liputan vaksinasi adalah 72.9% (sasaran 95%). Walaupun peratusan yang tidak menerima vaksin adalah 28.1%, lebih 85% dari mangsa jangkitan adalah kanak2 yang tidak menerima vaksin. Semua kes kematian kanak2 semasa wabak campak terbaru 2025 adalah kanak2 yang tidak menerima vaksin.

Inilah kaedah perbandingan yang lebih tepat daripada mengambil contoh seorang dua anak, nenek moyang ataupun seorang dua pemberi testimoni.

Kalau nak menyeberang sungai, kita boleh memilih untuk berenang sebab ramai yang selamat, walaupun ada yang lemas dan disambar buaya. Tetapi jika sudah disediakan jambatan, mengapa tidak dimanfaatkan, bukankah lebih selamat dan risikonya lebih rendah. Tidak masuk akal jika kita menolak orang membina jambatan atas alasan berenang pun selamat ataupun nenek saya dulu hari2 berenang menyeberang sungai, tapi umur masih panjang.
Dato' Dr.Rushdan Noor
8hb Mei 2025







No comments:

Post a Comment